Inikah Bahasa Kita?

November 27, 2007 at 8:33 am | Posted in Citra Kehidupan, Renungan | 15 Comments
Tags: , ,

Assalamualaikum Warahmatullah…

Utamakan Bahasa Melayu

Bahasa Jiwa Bangsa

“salam lina??
hohoo..xtau plak awk ade fs..
so, cne da abes pmr??
feel relief..
ke
takot nk msk
f4??
da besa da korang sme an??
hahaha..
xsangke..
hikhik..jahat x??”

“pihak skola juga dpt tau bahawa dengar cerita kelab kelas f3 sendiri nk buat something atau prgm ape tah utk korg ni..tp mcm xde ape2 pon..n skola waktu tu maybe terpaksa focus pd exam..serta guru2 tarbiyah termasuk ana juga ketika itu sehinggalah skrg ni sedang sibuk merencanakan perancangan prgm trbyh utk thn dpn..jd kami pon xterpikirkn mengenai ntum..lagipon…”

MasyaAllah, sakit betul mata ana memandang coretan sebegini. (Coretan pertama diambil daripada Friendster ana, manakala tulisan kedua diambil daripada ruang komen di blog ana sendiri.) Semuanya dipendek-pendekkan sehingga sukar hendak dibaca. Kalau tidak dipendekkan pun, ejaan-ejaan kalimah tersebut diubah-ubah supaya bunyinya selari dengan gaya percakapan. (Perlu diingatkan ye, gaya percakapan sudah tentulah tidak sama dengan gaya penulisan.) Tidak cukup dengan pendek, Bahasa Melayu yang sememangnya sudah sedia indah itu dicampur adukkan pula dengan Bahasa Inggeris. Akibatnya, terciptalah bahasa rojak yang kian digunakan secara meluas mutakhir ini terutamanya dalam kalangan generasi muda. (Bukan ana hendak menafikan kepentingan menguasai bahasa lain selain bahasa ibunda, namun, tidak perlulah dicampur adukkan sehingga menjadi cacamerba.)

Secara asasnya, ana tidaklah begitu kisah sekiranya yang dipendekkan itu cuma beberapa perkataan sahaja seperti yang menjadi yg, seperti menjadi spt, sekolah menjadi sek, dan sebagainya yang sudah diketahui umum. Tetapi, jika keseluruhan tulisan dipendek-pendekkan dan dirojakkan bahasanya, perasaan jelak tatkala membaca akan muncul juga.

Jika di SMS, dapatlah ana fahami rasionalnya mengapa kalimah-kalimah disingkatkan ejaannya. Jumlah huruf yang dihadkan untuk satu SMS adalah terhad (sekitar 160 karakter), jadi dapatlah ana fahami mengapa ejaan-ejaan itu perlu dipendekkan. Tetapi, jika keadaan terbawa-bawa ke tulisan-tulisan biasa yang tidak mengambil kira jumlah kalimah, ana masih tidak dapat memahami rasionalnya mengapa kalimah tersebut perlu dipendekkan.

Pelik ana mengenangkan budaya baru yang sedang menghantui kehidupan masyarakat kita hari ini! Secara peribadinya, ana memang tidak menyenangi fenomena ini. Bagi ana, tulisan-tulisan sebegini hanya melambangkan keperibadiaan seseorang yang kurang bertanggungjawab, tidak beradab, tidak teliti, serta tidak menghargai keindahan bahasa. Generasi baru ini seolah-olah sudah tidak sayang akan kemurniaan bahasa ibunda kita.

Mungkin ada yang beranggapan bahawa sikap ana terhadap tulisan yang disingkat-singkatkan ini sebagai skema, poyo, perasan bagus, dan sebagainya. Bagi mereka yang beranggapan sedemikian, andalah yang perlu bermuhasabah diri. Walau apapun alasan yang anda berikan, keharmonian bahasa perlulah dipelihara sebaik-baiknya. Memang tidak dapat ana nafikan bahawa tulisan ana sendiri tidaklah sebagus mana, masih terdapat banyak kecacatan, cuma, ana sendiri sentiasa berhati-hati dalam penulisan agar keharmonian bahasa tetap terpelihara – tidak ada singkatan-singkatan ejaan yang menyesakkan dada serta campuran-campuran bahasa dari luar yang menyakitkan jiwa.

Lihat sahaja Kalamullah yang diturunkan sebagai panduan hidup kita. Ayat-ayatnya sangat indah tidak kiralah dari sudut bahasanya, ungkapannya, rima akhirnya, semuanya menenangkan dan mendamaikan jiwa. Tidak wujud singkatan-singkatan ejaan dan campuran-campuran bahasa yang memeningkan kepala.

Saranan ana buat semua, peliharalah bahasa kita. Sesungguhnya, cara kita berbahasa akan melambangkan jati diri dan perilaku kita.

Ingatlah, “bahasa jiwa bangsa. Rosak bahasa, rosaklah bangsa.”

Sekian,

Wassalam

Remaja dan Realitinya

November 24, 2007 at 6:47 pm | Posted in Citra Kehidupan, Renungan | 2 Comments
Tags: , , ,

Assalamualaikum Warahmatullah…

Alhamdulillah, kali ini, dapat lagi kita bertemu dalam blog ini setelah berhari-hari menyepi. Kali ini, kita akan sama-sama menyelusuri lompong-lompong kosong yang wujud dalam masyarakat kita hari ini.

zulfiqar

Bilakah Islam akan bangkit daripada lena yang tidak berkesudahan?

Situasi

“Ustaz, bagaimana fahaman pluralisme itu boleh dipersetujui oleh masyarakat sedangkan idea yang dibawa olehnya amat bercelaru? Islam yang monotheis itu dikatakan benar, Kristian yang politheis pun dikatakan benar, takkanlah akal yang waras boleh menerima dua idea yang bertentangan ini, ustaz?” tanya seorang remaja yang berusia belasan tahun kepada seorang ustaz yang baru selesai memberi ceramahnya di sebuah surau.

“Awak yakin awak mahu tahu persoalan ini?” Tanya ustaz tersebut kepada remaja yang sedang berdiri di hadapannya itu. Dalam diam, remaja tersebut hanya mengangguk bagi menyatakan kemahuannya.

“Awak tidak kira persoalan ini terlalu awal untuk awak ketahui? Tidakkah persoalan ini terlalu berat untuk dihayati pelajar belasan tahun seperti awak ini? Persoalan ini bukannya boleh dibuat main-main. Tak sesuai untuk difikirkan oleh remaja semuda awak ini,” kalam ustaz tersebut terhenti di situ. Beliau terus berlalu meninggalkan remaja yang masih terkapai-kapai mencari kebenaran itu keseorangan.

Mencari Punca

Itu hanyalah situasi yang dipetik daripada kehidupan seharian. Entahlah mengapa, sejak akhir-akhir ini, situasi inilah yang menyelubungi kehidupan masyarakat kita hari ini. Mungkin ramai yang beranggapan bahawa remaja masih terlalu “muda” untuk memahami sesuatu isu yang dianggap “berat”. Anggapan ini sebenarnya amat tidak menguntungkan masyarakat, malah, tanggapan sedemikian akan menyebabkan remaja-remaja tidak mampu untuk berfikiran jauh akibat terlalu dimanjakan!

Hakikatnya, para remaja seperti kami ini tidaklah se”daif” yang disangka. Bukankah ramai antara tokoh-tokoh Islam zaman silam telah menempa nama mereka dalam sejarah seawal usia belasan tahun? Seawal usia 21 tahun, Sultan Muhammad al-Fateh telah berjaya membebaskan kota Constantinopel daripada cengkaman pihak kuffar setelah berhari-hari kepungan dilakukan. Tatkala usia beliau baru mencecah 22 tahun, Hassan al-Banna telah berjaya menubuhkan gerakan Ikhwanul Muslimin. Tidakkah ini menunjukkan bahawa insan-insan yang bergelar remaja ini mampu untuk memimpin dunia jika selalu didedahkan dengan ilmu pengetahuan?

Akibatnya

Secara peribadinya, ana berpendapat bahawa situasi yang wujud dalam masyarakat kita hari ini perlu diperbaiki. Jika dibiarkan berterusan, situasi ini akan menyebabkan kerosakan yang teruk kepada masyarakat. Pepatah Arab pernah menyatakan bahawa,”Iza fasadal syabab, fasadal ummah.” (Dalam Bahasa Melayu ,”apabila rosaknya remaja, rosaklah bangsa”)

Pada hari ini, para remaja terus dianggap tidak bersedia untuk mendalami dan mengetahui persoalan-persoalan yang difikirkan oleh orang dewasa, akibatnya, apabila tiba masa-masa genting yang memerlukan bekalan ilmu, mereka masih tidak bersedia sama sekali. Malah, lebih mengharukan, generasi muda ini akan terkejut dan kalah dengan suasana sekeliling yang sentiasa mencengkam. Mereka telah menjadi mangsa keadaan. Lihat sahaja hari ini, kerana kurangnya bekalan ilmu pengetahuan, remaja kita mudah terjebak dalam kancah-kancah maksiat – penyalahgunaan dadah, seks bebas, murtad, jenayah, dan sebagainya.

Sepatutnya, persepsi masyarakat hari ini, khusunya golongan yang telah berumur dan berpengalaman, perlulah diubah. Usahlah kalian memandang remeh terhadap kami ini, insan yang masih bergelar remaja! Sebenarnya, dalam dunia yang semakin mencabar ini, kami amat memerlukan insan-insan seperti kalian bagi membantu kami mencorakkan kehidupan ini. Segala bimbingan dan tunjuk ajar kalian akan dapat meluaskan pemikiran kami yang selama ini berada dalam kesempitan yang nyata.

Buat sahabat-sahabat seusia denganku sekalian, jangan kalian terpesona dengan nikmat kehidupan dunia yang singkat ini. Usahlah kalian leka dalam dunia hedonisme yang memabukkan, novel-novel picisan bertemakan cinta yang melekakan, televisyen yang sentiasa melalaikan, dan sebagainya yang bakal melemahkan akal kita dalam mencari kebenaran. Jangan kalian asyik mengatakan bahawa isu-isu yang dianggap “dewasa” ini seperti pluralisme, liberalisme, sekularisme, dan sebagainya yang kian membelit ummah ini sebagai suatu yang tidak perlu dibicarakan! Isu ini sebenarnya amat besar dan penting bagi kita agar kita tidak semudah itu untuk disesatkan dan dipesongkan kepercayaan.

Bangkitlah wahai saudara-saudaraku! Ummah memerlukan kita!

Sekian,

Wassalam.

p/s: Andai ada yang tak kena di mata, tak sedap dibaca dalam tulisan ini, ana amat berharap agar kalian boleh meluahkannya dalam ruang komen yang disediakan supaya sesi perbincangan dapat dilanjutkan. Syukran Jazilan.

Majlis Takrim SRIAAG 2007

November 20, 2007 at 4:12 pm | Posted in Citra Kehidupan, Renungan, Sekolahku | 1 Comment
Tags: , , ,

Assalamualaikum…

Alhamdulillah, hari ini, Allah masih lagi memberi kesempatan kepadaku untuk meng”update” blog ini setelah berhari-hari menyepi. Almaklumlah, sejak kebelakangan ini, aku agak sibuk dengan aktiviti harian – tahfiz, belajar prinsip akaun dan matematik tambahan (isy, ni puas kena paksa baru berjalan), persediaan untuk kelas tahfiz keesokan harinya, dan bermacam-macam lagi. Semuanya memerlukan ketekunan!

Baru-baru ini, aku telah pergi ke Majlis Takrim SRIAAG yang bertempat di Sekolah Taman Ilmu dan Budi (SETIA BUDI). Di samping dapat meraikan kejayaan adikku mendapat tempat pertama dalam kelasnya, 4 Salman (tempat kedua keseluruhan), aku juga dapat merapatkan hubunganku dengan guru-guru SRIAAG yang sememangnya sudah lama tidak kujumpa. (Aik, menipulah! Jarak antara sekolah menengah dengan sekolah rendah hanya sejengkal, tak kanlah tak boleh jumpa! Tapi, itulah hakikatnya yang aku sendiri tidak tahu apa sebabnya. Sememangnya kita berjiran, namun jurang yang wujud amatlah besar, seakan-akan ada tembok pemisah antara kedua-dua buah sekolah! Selain itu, aku juga pelik dengan sikap sebahagian daripada sahabat-sahabat seangkatan denganku yang sudah mula kurang menghormati warga sekolah rendah. Bukankah itu tempatnya kita ditarbiah? Bukankah para muallim dan muallimah itulah yang telah bersusah payah menarbiah kita agar ad-deen yang tercinta dapat dikenali? Jadi, mengapakah kalian bersikap sedemikian. Mereka tetap seorang insan yang telah banyak berjasa kepada kita. Ayuh, ubahlah sikap kita bersama! Rapatkanlah semula jurang yang telah mula melebar ini.)

Takrim

Indahnya saat ketika masih bergelar pelajar sekolah rendah. Buat kalian, manfaatkanlah segala ilmu yang dipelajari. Jadikan ia panduan hidup.

 

Tatkala majlis tersebut sedang berjalan, aku kembali terkenang saat-saat manisku ketika bergelar pelajar sekolah rendah. Betapa bahagianya saat itu – tidak ada pelajaran yang membebankan, tidak banyak tanggungjawab yang perlu dilangsaikan, tidak ada banyak perkara untuk difikirkan, semuanya indah dan mudah untuk dilaksanakan. Ketika aku melihat para muallim dan muallimah yang sedang sibuk melayan karenah anak-anak murid mereka yang masih mentah ini, aku tersenyum sendirian. Jauh di sudut hatiku, aku benar-benar berterima kasih terhadap mereka. Insan-insan ini telah banyak berjasa kepadaku. Kalianlah insan yang berusaha memahamkanku tentang aqidah yang hak tatkala aku masih terkapai-kapai dalam lautan kejahilan. Syukran jazilan atas segalanya. Barakallahu Fi Kum.

Di sini, aklu sertakan beberapa keping gambar yang sempat kuambil tatkala Majlis Takrim SRIAAG 2007 berlangsung.

Dikir Barat


Persembahan Dikir Barat oleh pelajar-pelajar tahap dua. Persembahan ini dibimbing oleh Mlmh Isyamela Ismail dan Mlmh Zaleha Daud.

Guru-guru

Para muallimah yang begitu komited bagi menjayakan majlis ini.

 

dsc06358_e.jpg

Tahniah atas kejayaan anda mendapat tempat pertama bagi kelas 4 Salman dan pencapaian terbaik bagi matapelajaran ICT. Teruskan usaha bagi memburu kejayaan yang lebih gemilang pada masa akan datang.

 

Semoga SRIAAG akan terus berjaya dalam merealisasikan misinya melahirkan pelajar Soleh Wa Musleh.

Buat pelajar SMIAAG yang berasal dari SRIAAG, muhasabahlah sikap kita terhadap guru-guru kita yang telah banyak berjasa kepada kita ini. Hormatkah kita akan mereka?

Sekian,

Wassalam.

Apakah Sumbangan Kita untuk Islam?

November 15, 2007 at 6:05 pm | Posted in Citra Kehidupan, Renungan | 2 Comments
Tags: , ,

Assalamualaikum Warahmatullah…

Allah

Ya Allah, keredhaanMu sangat-sangat kami dambakan…

Hari ini, sementara menanti emak melangsaikan tugas-tugas pejabatnya, kami (aku, Abah, dan Azhari) telah mengambil peluang keemasan ini untuk bersiar-siar di sekitar Suria KLCC. Menyebut tentang Suria KLCC, antara lokasi yang benar-benar menambat hati kami ialah kedai buku Kinokuniya yang terletak di tingkat teratas Suria KLCC. Entahlah mengapa, tapi yang pasti, kami memang suka melepak di kedai buku, terutamanya kedai buku yang besar-besar. (Isy, kalau dah dok kat kedai buku, memang leka memanjang. Tak makan pun tak apa!)

Sepanjang kami berada di KLCC, aku agak tertarik dengan kelakuan beberapa orang remaja Melayu yang seolah-olah sudah hilang perasaan segan mereka – berpakaian dengan cara yang kukira tidak senonoh, berpeluk-peluk dan berpegang-pegang tangan dengan pasangan mereka (yang kukira bukan mahram) di tengah-tengah khalayak ramai! Entahlah mengapa, aku benar-benar jijik dengan perbuatan mereka itu. Namun setelah kufikir-fikirkan kembali, mungkin inilah yang nabi maksudkan dalam salah sebuah hadis baginda dahulu – Islam kembali dagang! Semoga Allah memberi mereka hidayah agar mereka kembali mengenal apakah erti manisnya iman. Amin.

Sepanjang perjalanan pulang ke rumah, aku asyik termenung mengenangkan perbuatan-perbuatan sumbang yang telah kulihat tadi. Jauh di sudut hati, aku benar-benar gusar melihat realiti ummah hari ini. Kita sebenarnya sedang lena dibuai mimpi yang telah ditaja oleh pihak kuffar yang sememangnya tidak sabar-sabar menanti kejatuhan umat Islam yang telah mengalahkan mereka lewat Perang Salib dahulu. Namun, apakah tindakan kita dalam usaha untuk menggagalkan impian pihak kuffar ini? Hanya menanti dan menyerah diri kepada mereka? Bangkitlah wahai muda-mudi sekalian! Islam amat memerlukan pengorbanan kita. Bukankah kita khalifah yang telah dipertanggungjawabkan untuk mentadbir bumi ini dengan sebaik-baik cara?

Kadang-kadang, aku terfikir, sepanjang aku hidup di bumi Allah ini, bermaknakah usiaku ini? Apakah yang telah aku sumbangkan untuk Islam? Apabila aku meniti kembali catatan hidup as-Syahid Hassan al-Banna, aku terasa diriku ini begitu kerdil jika dibandingkan dengan sumbangan serta pengorbanan yang telah beliau lakukan untuk Islam. Seawal usia 22 tahun, beliau telah mula menubuhkan gerakan Ikhwanul Muslimin yang telah berjaya menggegarkan bumi Mesir pada awal 90-an. Walaupun beliau telah menemui syahidnya ketika beliau berusia 43 tahun, namun, usia kehidupan yang singkat itu telah berjaya beliau manfaatkan dengan sebaik-baiknya. Bagaimana pula dengan kita?

Akhirnya, aku menyeru agar kita sama-sama dapat bermuhasabah kembali diri ini. Cuba tanya kepada diri sendiri, apakah sumbanganku untuk Islam? Bermaknakah usiaku ini?

Semoga sedikit coretan ini akan dapat memberi manfaat yang besar buat kalian. Aku tinggalkan kalian dengan secebis kata-kata yang telah diungkapkan oleh Hassan al-Banna,

“Janganlah kamu melawan arus kehidupan nescaya kamu akan tewas, tetapi, kuasailah ia. Ubahlah ia ke jalan yang betul.”

Apakah sumbangan kita untuk Islam?

Wassalam.

Erti Sebuah Kasih Sayang

November 12, 2007 at 5:37 pm | Posted in Citra Kehidupan, Renungan, Usrati | 3 Comments

Assalamualaikum semua!

Derita al-Quds

Kasihkah kita pada mereka?

Setelah beberapa lama ana menyepi daripada blog ini, Alhamdulillah, akhirnya Allah kembali memberi peluang untukku menitipkan sesuatu di sini buat renungan bersama. Hari ini, aku berhasrat untuk berkongsi dengan kalian secebis perbualan yang telah dituturkan oleh sepupuku semasa ziarah mereka ke rumahku Sabtu yang lalu.

“Nak balik dah ko?” Tanya sepupuku yang baru berusia tiga tahun, Majedi Ahmadi kepada Nenek dan Mak Cik Ja yang sedang bersiap sedia mengemas barang-barang untuk pulang ke Kuantan setelah semalaman berada di Kuala Lumpur bagi menghantar Ecik (adik abah) fly ke London.

“Eh, belum lagi lah. Kejap lagi baru balik…” Jawab Nenek dengan perlahan, mungkin kasihan melihat riak wajah cucu yang seolah-olah tidak merelakan nenek kesayangannya ini pulang ke Kampung.

Aku yang ketika itu sedang duduk-duduk di ruang tamu hanya tersenyum mendengar perbualan tersebut. Jauh di sudut hati, perbualan itu terasa benar-benar meresap masuk ke sukmaku. MasyaAllah, budak sekecil ini pun sudah mengerti erti kasih sayang sesama ahli keluarga, walaupun tidak selalu berjumpa! (Almaklumlah, keluarganya tinggal di Nilai, Negeri Sembilan, manalah dapat selalu pulang menjengah kampung halaman di Kuantan!)

Aku benar-benar insaf mendengar dialog tersebut. Alangkah suburnya perasaan kasih sayang dalam jiwa kanak-kanak yang masih fitrah ini! Bagaimana pula dengan kita, yang sudah besar remaja ini? Adakah kita benar-benar sayang akan ahli keluarga kita, akan saudara-saudara seagama kita di luar? Kadang-kadang kita mengaku bahawa derita di Palestin itu merupakan derita yang kita kongsi bersama, namun, mengapakah kita masih membantu pihak kuffar membunuh dan menyeksa batin mereka? Apakah buktinya kita menyayangi saudara-saudara kita yang sedang gigih memperjuangkan kesucian Masjidil Aqsa jika kita masih tetap membeli dan membantu secara tidak langsung syarikat-syarikat yang secara terang-terangan menyatakan bahawa keuntungan yang mereka peroleh digunakan untuk membantu meneruskan agenda perang Israel? Inikah tanda kasih sayang kita, ataupun kata-kata itu merupakan ungkapan yang bersifat retorik semata-mata? Inilah yang perlu kita renungkan bersama.

Bukan mudah untuk menamsilkan makna kasih sayang ini dalam kehidupan seharian. Lihat sahaja sifat kasih sayang yang wujud dalam kalangan sahabat-sahabat Rasulullah dahulu. Semasa Perang Uhud, para sahabat sanggup menahan panahan pihak musuh dengan badan mereka demi memastikan keselamatan Rasulullah SAW. Inilah salah satu contoh kasih sayang sejati yang telah ditunjuk oleh generasi sahabat dahulu dalam kehidupan mereka. Sememangnya kasih sayang yang telah dizahirkan amat murni, jauh sekali jika hendak dibandingkan dengan perilaku umat Islam hari ini.

Kepada semua pembaca blog ini, aku menyeru kepada kalian agar terus belajar bagaimana hendak berkasih sayang sesama masyarakat. Elemen ini nampak remeh sahaja, naman ia amat penting dalam usaha untuk menyelamatkan ummah ini daripada terus dilanda kehancuran. “Al-Ittihad asasu Najah (Perpaduan Asas Kejayaan).” Sabda Rasulullah SAW:

“Tidak beriman seseorang daripada kamu sehingga dia menyayangi saudaranya melebihi dirinya sendiri”

Wassalam.

Jawapan Pihak Sekolah Mengenai Isu PMRI

November 9, 2007 at 10:01 am | Posted in Renungan, Sekolahku | 2 Comments

Assalamualaikum!

Setelah beberapa hari aku tidak dapat ketemu kalian dalam blog ini, Alhamdulillah, Allah masih lagi memberi aku kesempatan untuk terus mengupdate blog ini. InsyaAllah, pada hari ini, aku akan mengutarakan jawapan yang telah diberikan oleh wakil pihak sekolah, Cikgu Alia serta komentar yang telah kuberikan mengenai post ku seminggu yang lalu, PMRI Diabaikan?

Jawapan Cikgu Alia:

Assalamualaikum,
Cikgu terpanggil untuk memberi komen pada apa yang telah enti tulis. Hanya untuk menjelaskan beberapa perkara kerana cikgu rasa, dari perspektif enti, enti mungkin tidak tahu apa perkara yang sebenar telah berlaku dari perspektif sekolah .
Untuk menyatakan yang PMRI telah tidak diurus/dirancang dengan teliti oleh pihak sekolah adalah kurang tepat. Enti ingat lagi tak bagaimana sekolah telah pun mengadakan PUI PMRI sejak dari awal tahun lagi? Pihak sekolah telah merancang semuanya dari awal lagi. Dan kami sangat mementingkan peperiksaan ini sehinggakan sesiapa yang tidak lulus PMRI, mereka tidak boleh menyambung ke Ting 4 di Al Amin! Berbanding jika mereka gagal subjek lain….

Perubahan jadual PMRI pada saat akhir ialah kerana sekolah hendak memastikan kehadiran maksimum pelajar Ting 3. Walau pun enti dan ramai lagi yang sangat mengambil berat dan hendak hadir, ramai lagi yang buat tak kisah dan memberitahu malas nak hadir. Jadi kami ubah jadual tersebut.
Tentang kertas jawapan yang tiada logo Al Amin tu, memang kebetulan kertas itu dah habis dan walau pun oder telah dibuat awal, pihak printing masih lambat menghantarnya ke sekolah. Peperiksaan F4 pun terpaksa menggunakan kertas biasa sebagai sebahagian kertas jawapan mereka. Pihak sekolah memohon maaf sekiranya perkara ini mengecewakan enti dan rakan2.
Cuma cikgu hairan mengapa pelajar tidak kisah dengan PUI PMRI sedangkan mereka tahu kepentingan peperiksaan ini. Adakah ibu bapa juga tidak peduli?

Cikgu akui, memang kita tidak menyediakan program khusus untuk pelajar T3 selepas PMR. Tahun2 lepas biasanya KKT3 ada program untuk T3 seperti pergi riadhah atau trip. Mungkin di tahun hadapan kami boleh merancang dengan lebih baik untuk T3. Cikgu ingat kalau tak silap last year lepas PMR masih puasa jadi pelajar terus cuti untuk raya.
Sebenarnya this year pun sekolah membenarkan pelajar terus bercuti. Kelonggaran diberi kerana F3 ada program hari perpisahan T5. Ada juuga pelajar yang merayu untuk datang juga kerana tidak seronok duduk seorang di rumah, jadi sekolah benarkan dengan syarat mereka ikut peraturan sekolah. Walau pun dah diingatkan, masih ada pelajar yang melanggar peraturan. Yang hadir berpakaian biasa tu, cuma sehari saja waktu mereka hendak pergi ke Ampang point bermain futsal. Cikgu tak benarkan mereka pakai uniform takut mereka ditangkap pulak bila keluar sekolah.

Akhir kata, cikgu harap sedikit sebanyak enti dapat penjelasan tentang perkara yang sebenar. Terima kasih atas luahan yang sebenarnya amat berguna bagi diri cikgu di peringkat pengurusan sekolah, agar dapat kita sama-sama perbaiki untuk kemajuan Al Amin sekarang dan akan datang, insyaAllah.

Wassalam,
Cgu Alia

Komentar Ana Mukminah!:

Waalaikumussalam Warahmatullah.
Alhamdulillah, akhirnya ada juga wakil daripada pihak sekolah yang tampil memberikan jawapan terhadap tulisan ini setelah hampir seminggu (6 hari sebenarnya) makalah ini dipublishkan. Syukran Jazilan ya Cikgu Alia kerana jawapan yang cikgu berikan. Sebenarnya, inilah yang ana hendak dengar-jawapan bertulis daripada pihak sekolah bagi menjelaskan keadaan yang berlaku. Memang ana akui, ana tidak tahu perkara sebenar yang berlaku kepada pihak sekolah, namun sebagai pelajar, ana hanya mengatakan apa yang telah berlaku berdasarkan perspektif ana-seorang pelajar yang sememangnya tidak tahu masalah dalaman sekolah. (Ye la, sebagai pelajar, apalah hak ana nak tahu masalah dalaman sekolah!)

Berkaitan PUI PMRI yang diadakan sejak awal tahun, memang masih segar di ingatan ana. Namun, kelas PUI yang diadakan sejam selepas solat Jumaat itu sebenarnya boleh juga ana katakan tak dirancang dengan baik. Sebenarnya, sepanjang tempoh PUI sejam tersebut, masih ada guru yang tidak boleh hadir ke kelas tersebut, dan secara automatik, kelas tersebut telah dibatalkan begitu sahaja. Tetapi, situasi ini tidak berlaku dengan kerap sehingga menjejaskan prestasi pelajar. Oleh sebab itu, ana rasa tak sesuai kalau ana nak masukkan sekali dalam tulisan kali ini. Tapi, secara keseluruhannya, sememangnya kelas PUI selama sejam yang dijalankan atas permintaan dan kelolaan pihak Kelab Kelas Tingkatan Tiga itu amat membantu kami untuk menghabiskan silibus PMRI yang sememangnya berlambak itu, terutamanya bagi subjek Tasawwur Islami.

Namun, ironinya, kelas PUI pada hari Jumaat ini hanya diadakan untuk subjek Tajwid, Tasawwur, dan Bahasa Arab sahaja. Bagaimana pula dengan al-Quran? (Hafazan dan Tilawah) Bukankah kedua-dua subjek ini termasuk dalam silibus PMRI juga? Bukankah subjek-subjek ini juga sama pentingnya dengan subjek-subjek yang lain? Mengapa kedua-dua subjek ini dipinggirkan daripada PUI? Bukankah tidak wajar tindakan kita meminggirkan kedua-dua subjek yang amat penting ini? (Bagi ana, kedua-dua subjek ini amat penting kerana ia berkaitan dengan Kalamullah.) Impaknya dapat kita saksikan sekarang. Masih ramai (bukan semua) pelajar tingkatan tiga yang tidak dapat menguasai kehendak silibus hafazan yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah, tidak kiralah sama ada pelajar tersebut mengikuti kelas tilawah ataupun kelas hafazan. Sewajarnya, pihak sekolah perlulah meniti kembali tindakan mereka menyusun program PUI PMRI untuk pelajar-pelajar tingkatan 3. Jangan sampai ada pelajaran yang tak diambil perhatian langsung oleh pihak sekolah. Sebenarnya, agak memalukan bagi pelajar al-Amin yang telah tiga tahun ditarbiah di sini, namun masih tidak lancar membaca juzu’ 30 dan surah-surah pilihan.
InsyaAllah, ana akan menyambung lagi koman yang tergantung ini pada sebelah malam nanti.

Jawapan Cikgu Alia:

Assalamualaikum,
Memang betul kata enti yang Al Quran tidak boleh dipinggirkan. Cikgu sangat setuju. Namun masa yang terhad di sekolah menghadkan kemampuan kita untuk memasukkan semua di dalam PUI.
Hafazan dan Tilawatul Quran sepatutnya pelajar Al Amin teruskan di rumah mengulangkaji setiap hari. Tidak kiralah untuk peperiksaan atau tidak. Cikgu rasa di sini pelajar Al Amin mesti mendisiplinkan diri untuk membaca dan menghafal setiap hari dengan pantauan ibu bapa. Kita tidak boleh mengharapkan semuanya berlaku di sekolah dengan bantuan guru. Malangnya Al Quran rata-rata dipandang sepi dan dianggap tidak penting oleh pelajar. Guru-guru hanya boleh mengingatkan sahaja. Cikgu selalu berpesan kepada anak usrah membaca Al Quran setiap hari terutamanya selepas solat Maghrib sementara menunggu Isya’. Jika amalan ini dilakukan oleh setiap pelajar Al Amin, cikgu tak nampak ada masalah dalam subjek ini.
Anak-anak cikgu, memang cikgu pastikan membaca dan menghafal setiap hari. Selepas Al Quran barulah boleh buat homework dan kerja lain.
Cukup menyedihkan bila pelajar Al Amin tiada kesedaran ini.
Cikgu amat berharap ibu bapa memberi sokongan kepada anak-anak dan memastikan mereka mementingkannya. Bukan akademik sahaja..

Wassalam

Komentar Ana Mukminah!:

Syukran Jazilan kepada Cikgu Alia atas keprihatinan beliau untuk lagi sekali tampil ke hadapan bagi menjelaskan keadaan. Sebagai seorang pelajar, ana amat hargai keprihatinan dan keterbukaan Cikgu ini. Alhamdulillah, di sebalik kekalutan yang melanda institusi keguruan hari ini, masih ada lagi insan-insan seperti cikgu yang sememangnya sangat komited dalam usaha untuk memperkasakan sistem pendidikan yang diguna pakai oleh al-Amin. Syabas dan tahniah ana ucapkan. Semoga cikgu dapat terus beristiqamah dengan sikap cikgu ini. Sebenarnya, sikap terbuka kita terhadap sesuatu isu dan masalah akan menyebabkan organisasi yang ditadbir akan bertambah matang.

Secara jujurnya, ana tak menafikan bahawa sebenarnya kita kekurangan masa untuk memasukkan subjek hafazan dan tilawah ke dalam PUI. Sememangnya, sembilan jam yang diperuntukkan kepada anak-anak di sekolah ini amatlah singkat. Oleh itu, ana berharap agar saranan Cikgu Alia yang mengharapkan para ibu bapa memantau perkembangan tahap hafalan dan tilawah anak-anak di rumah ini tidak terus dipandang sepi oleh semua ibu bapa. Dengan adanya pertolongan ibu bapa untuk “menengok-nengokkan” prestasi al-Quran anak-anak di rumah, insyaAllah, masalah ini tidak akan berlaku. Sememangnya kita tidak boleh mengharapkan semuanya berlaku di sekolah dengan bimbingan guru. Namun, sebagai seorang pelajar, ana berharap agar pihak sekolah dapat membuat satu program bagi memastikan pelajar-pelajar al-Amin terus membuat hafazan serta tilawah di rumah, meskipun tatkala itu musim cuti sekolah. Dalam hal ini, ana amat berharap agar pihak SMIAA boleh mengambil sistem yang diamalkan oleh SRIAAG (mengedarkan kad-kad pemantapan hafazan kepada setiap pelajar menjelang musim cuti sekolah untuk diserahkan kepada ibu bapa. Melalui sistem ini, anak-anak akan dipaksa mengulang bacaan hafazan mereka di rumah setiap hari. Selepas itu, ibu bapa akan menanda tangani kad tersebut sebagai pengakuan bahawa mereka telah mendengar atau melihat anak-anak mereka mengulang al-Quran di rumah pada musim cuti. Kad-kad ini akan diserahkan kepada guru-guru al-Quran mereka sebaik-baik sahaja sekolah dibuka semula.) InsyaAllah, usaha ini, (walaupun tidak akan dipatuhi sepenuhnya oleh para pelajar), akan “menampakkan” kepada ibu bapa bahawa pihak sekolah amat menitik beratkan pendidikan al-Quran ini. Secara keseluruhannya, sebenarnya, dalam usaha untuk melihat anak-anak membesar menjadi seorang insan yang soleh wa musleh, semua pihak perlu berganding bahu membentuknya. Jangan kita meninggalkan tanggungjawab ini untuk dilangsaikan oleh pihak sekolah semata-mata!

Tentang jadual peperiksaan yang berubah-ubah itu, mungkin ana boleh menerima sebab yang telah cikgu utarakan. Cuma, ana agak terkilan kerana perubahan tersebut betul-betul dilaksanakan pada saat akhir. Namun, ana berharap agar tahun depan, jadual PMRI akan dapat dicetak serta diberikan kepada setiap pelajar supaya tak timbul kecelaruan tentang jadual peperiksaan. Dengan cara ini juga, ibu bapa tidak perlu tertanya-tanya tentang jadual peperiksaan tersebut.

Mengenai kertas jawapan yang tidak rasmi tersebut, ana dapat memahami sebab yang telah cikgu beri. Memang kadang-kadang perkara-perkara sebegini berlaku di luar jangkaan kita. (Mungkin dalam hal ini, pihak sekolah perlu lebih kerap membuat “follow up” dengan pehak berkenaan.) Namun, ana berharap agar masalah ini tidak lagi berulang dalam sejarah al-Amin, tidak kiralah untuk peperiksaan biasa ataupun peperiksaan-peperiksaan yang agak “grand” bagi al-Amin seperti peperiksaan PMRI ini kerana masalah ini akan menimbulkan andaian bahawa al-Amin seolah-olah tidak mengambil berat terhadap peperiksaan.

Secara keseluruhannya, ana amat berterima kasih kepada sesiapa yang telah mengambil serius isu yang telah ana bangkitkan ini. Ana juga berhasrat untuk meminta maaf kepada semua pembaca blog ini andai tulisan-tulisan yang telah ana nukilkan menyebabkan ada antara kalian yang terasa, tersinggung, terkecil hati, dan sebagainya. Perlu ana tegaskan, sebenarnya antara kita semua, matlamat yang dituju semuanya sama – melahirkan generasi yang soleh wa musleh, cuma cara yang digunakan sahaja berbeza. Abaikanlah perbezaan cara yang digunakan, cuma pastikan agar matlamat yang dituju akan berjaya dicapai. Jadi, janganlah kerana isu yang ana bangkitkan ini menyebabkan kita berpecah-pecah serta saling salah-menyalah, namun jadikanlah tulisan ini sebagai muhasabah, seterusnya memangkinkan kita untuk menuju ke jalan islah!

Sekian,

Wassalam.

Wanita, Engkaukah Mujahidah?

November 6, 2007 at 10:17 pm | Posted in Citra Kehidupan, Renungan | 3 Comments

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Muslimah Solehah

Sopan itu Indah

Hari ini, aku tidak berhasrat untuk menulis panjang-panjang, namun cukuplah beberapa perkataan sebagai renungan. Kali ini, aku berhasrat untuk mengambil sebahagian pesanan Sheikh Ali Tantawi, seorang ulama’ Mesir yang tersohor, yang ditujukan kepada para muslimah di seluruh dunia, terutamanya kepada para remaja muslimah yang kian runtuh akhlaknya ini.

“Wahai puteriku, pintu pemulihan ada di hadapanmu. Kunci pintu itu ada di tanganmu. Jika engkau meyakininya dan engkau berusaha untuk memasuki pintu itu, maka keadaan akan berubah dan menjadi baik.

Engkau benar puteriku, bahawa kaum lelakilah yang mula-mula melangkah menempuh jalan dosa, bukan wanita. Tetapi ingat, bahawa tanpa kerelaanmu dan tanpa kelunakan sikapmu, mereka tidak akan berkeras melangkah maju. Engkaulah yang membuka pintu kepadanya untuk masuk.

Engkau berkata kepada pencuri: “Silakan masuk”.. dan setelah kecurian barulah tersedar. Ketika itu barulah engkau berteriak .. “Tolong.. tolong.. aku kecurian.”

Seandainya engkau tahu bahawa lelaki itu serigala dan engkau adalah kambing, pasti engkau akan berhati-hati dan sentiasa menjaga diri seperti waspadanya seorang yang kikir terhadap pencuri.

Jika yang dikehendaki oleh serigala dari kambing adalah dagingnya, maka yang diingini oleh seorang lelaki adalah lebih dari itu. Lelaki menginginkan lebih dari sekadar daging kambing.. Dan bagimu lebih buruk daripada kematian kambing itu.

Lelaki mengkehendaki yang paling berharga darimu… iaitu harga diri dan kehormatanmu. Nasib seorang gadis yang diragut kehormatannya lebih menyedihkan daripada nasib seekor kambing yang dimakan serigala.

Wahai puteriku.. demi Allah, apa yang dikhayalkan oleh pemuda ketika dia melihat gadis ialah gadis itu telanjang dihadapannya tanpa pakaian.

Aku bersumpah lagi: “Demi Allah, jangan percaya terhadap kata-kata sebahagian lelaki, bahawa mereka memandangmu kerana akhlak dan adab. Berbicara denganmu seperti seorang sahabat dan apabila mencintaimu hanyalah sebagai teman akrab”. Bohong..bohong.. bohong..Demi Allah dia berbohong. Seandainya engkau mendengar sendiri perbualan di antara mereka, pasti engkau akan takut dan ngeri.

Tidak akan ada seorang pemuda melontarkan senyumannya kepadamu, berbicara dengan lembut dan merayu, memberikan bantuan dan layanan kepadamu, kecuali akan ada maksud-maksud tertentu. Setidak-tidaknya isyarat awal bagi dirinya bahawa itu adalah langkah awal.

Apakah sesudah itu wahai puteriku?

Renungkanlah!”

Semoga pesanan Sheikh Ali Tantawi ini akan kita hayati sepenuhnya maksudnya, seterusnya mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian. Pesanan yang diberikan ini persis pesanan seorang ayah kepada anak perempuannya dan pesanan seorang datuk yang wara’ kepada cucunya yang masih kecil-penuh kasih sayang. Pesanan ini tentunya dibut berdasarkan pengamatan beliau terhadap muslimah sekarang ini yang sudah seolah-olah hidup dalam kecelaruan yang tidak berpenghujung. Hayatilah pesanan ini seadanya.

Sememangnya aku mengakui bahawa kehidupan dalam era globalisasi ini amat mencabar bagi sebahagian muslimah. Kadang-kadang, kehendak nafsu kita sering bercanggah dengan tuntutan syara’. Sememangnya kehidupan dalam arus kemodenan ini memerlukan sejuta pengorbanan, dan sebagai seorang muslim, kita perlu berkorban apa-apa sahaja demi ad-Din yang tercinta!

Rasulullah pernah bersabda,

“Dunia ini perhiasan, dan seindah-indah perhiasan ialah wanita yang solehah”

Wassalam…

Aidilfitri Mengeratkan Masyarakat Bandar

November 5, 2007 at 6:03 pm | Posted in Citra Kehidupan, Usrati | 3 Comments

Salam semua,

Makan-makan

Di Ruang Tamu

Sebelum kita berbicara lebih lanjut, aku ingin meminta maaf kepada kalian kerana, semalam aku tidak dapat meluangkan masaku untuk meng”update” blogku ini. Almaklumlah, setelah seharian puas beraya sakan, badan pun mula kelelahan. Akibatnya, semalam malam, aku asyik terlantar kepenatan di atas katil.

Semalam, aku dan Een telah pergi beraya ke rumah guru disiplin kami yang terletak di Taman Ehsan. Seperti yang telah dirancang, aku dan Een akan di “pos” terlebih dahulu ke rumah ustaz berkenaan pada waktu pagi untuk rewang-rewang sebelum kaum kerabat kami datang berziarah ke tempat yang sama pada sebelah tengah hari. (Eh, rewang? Agak memelikkan untuk insan yang ganas wa “brutal” macam kami ni hendak masuk dapur. Nanti, terbalik semua. Hehehe… Tapi, sebenarnya, kami pergi ke rumah ustaz pagi-pagi tu bukan rewang sangat pon. Lepak-lepak je lebih. Macam mana nak rewang, semuanya telah siap tersedia. Hanya tunggu untuk dimakan sahaja. Syukran banyak-banyak untuk semua pengorbanan ustaz wa isteri dalam menyambut ziarah kami pada hari itu. Maaflah banyak-banyak andai ziarah kami tempoh hari banyak menyusahkan kehidupan anda berdua.)

Sepatutnya, berpandukan apa yang telah dirancang, aku dan Een akan bertolak ke rumah ustaz lebih awal. (Huhu, kalau ikut perancangan Een, lepas Subuh jangan tidur. Kita terus “serbu” rumah ustaz!) Namun, keadaan yang sebaliknya berlaku. Seperti biasa, aku yang sentiasa akur akan kehendak Een telah menantinya di rumah semenjak pukul lapan pagi lagi. Puas kunanti, namun, setelah hampir pukul sembilan setengah, Een masih tak muncul-muncul. Puas kuhubungi sahabatku itu, namun usahaku sia-sia belaka. Telefon bimbitnya kehabisan bateri!

Setelah puas kutunggu-tunggu, aku telah mengambil keputusan untuk ke pasar tani yang terletak berhampiran dengan rumahku bersama dengan si Azhari. Di pasar tani tersebut, kami telah membeli dua batang lemang (huh, sepanjang perjalanan di pasar tani yang sentiasa penuh dengan pelbagai jenis manusia itu, puas sudah si kenit ni bermain dengan lemang tersebut. Katanya, best. Boleh buat jadi senapang!) dan beberapa jenis buah untuk di bawa ke rumah ustaz sebagai buah tangan. Dalam perjalanan pulang daripada pasar tani tersebut, adikku telah menyuruhku untuk membelikannya keropok lekor sebagai “upah” menemaniku ke pasar. Sebagai kakak yang baik, aku pun menuruti kehendaknya itu. Setibanya di rumah, aku mendapat tahu bahawa Een masih belum sampai. Geram betul aku dengannya ketika itu. Alhamdulillah, selang beberapa minit kemudian, Een muncul di hadapan pintu rumahku dengan jari telunjuk di tangan kirinya berbalut kapas. Aku benar-benar hairan dengan keadaan jarinya itu. Setelah kuselidiki, rupa-rupanya sahabatku itu telah tersepit pintu. (Kesiannya… Syafakillah)

Tanpa berlengah, kami pun terus bergegas ke rumah ustaz. (Ye la, kan dah lambat. Mana boleh berlengah-lengah lagi?) Setelah beberapa kali tersesat di sekitar Taman Ehsan tersebut, Alhamdulillah, dapat juga kami ketemu rumah ustaz. (Almaklumlah, kami memang kurang arif dengan taman-taman perumahan di sekitar Selayang ini.) Setibanya di rumah ustaz, aku berasa amat canggung. (Bukan apa, namun, itulah perangaiku ketika baru-baru tiba di rumah orang. Tapi, sikap “sopan” yang dibuat-buat itu tidak lama, selepas sepuluh minit, tindak tandukku akan bertukar normal-ganas dan “brutal”. Itulah diriku yang sebenarnya. Tak akan berubah walaupun puas kuberlakon!)

Sepanjang di rumah ustaz, banyak perkara yang telah aku bualkan bersama. Antara topik yang paling hangat kami bualkan ialah tentang masalah ummah yang kian membarah. Sambil berbual, aku sibuk menghabiskan keropok lekorku yang kubeli sebentar tadi di pasar. Tanpa aku sedar, belum habis lagi kami berbual, keropok lekor tersebut telah habis licin. Isy, dahsyatnya aku makan! Pada pemerhatianku, sepanjang kami “rewang” di rumah ustaz, aku lebih banyak berbual dan “menyelongkar” bilik ustaz, manakala Een dan Azhari sibuk menonton televisyen. (Maklumlah, rumah ustaz kan ada Astro. Budak-budak ni pula, memang terkenal jakun dengan Astro. Maaflah banyak-banyak andai kehadiran kami ini telah meninggikan bil eletrik ustaz ye!)

Lebih kurang pukul dua tengah hari, keluargaku dan keluarga Een telah sampai ke rumah ustaz. Keadaan ziarah kurasakan begitu ceria, apatah lagi keluarga Een membawa bersama mak toknya dan sepupu-sepupunya yang masih kecil. Namun, di sebalik kecerian tersebut, aku masih sempat terlelap di atas sofa. Entahlah bagaimana aku boleh terlelap dalam suasana yang gamat tersebut. Aku sendiri pun kurang pasti. Keadaan ini mungkin didorong oleh sifatku yang sememangnya “kuat tidur”.

Di sebalik keceriaan yang berpanjangan itu, terselit juga beberapa insiden yang kukira amat memalukanku. Tanpa kusedari, sepanjang ziarah ini berlangsung, entah beberapa kali aku terjerit setelah kucing yang dibela oleh ustaz masuk ke dalam rumah. Kurasakan air mataku hampir hendak meleleh kerana begitu fobia dengan binatang tersebut. Sebagai insan yang memang sangat tidak gemar akan binatang yang bernama kucing, aku memang amat takut dengan binatang tersebut. Keadaan ini menyebabkan seluruh keluarga Een yang sememangnya amat sayang akan kucing telah mentertawakanku. Bagi mereka, (terutamanya sepupu-sepupunya yang masih kecil), tingkah lakuku terhadap kucing itu merupakan satu perbuatan yang amat janggal.

Kucing oh kucing!

Kucing Oh Kucing!

Secara keseluruhannya, ziarah balas kami ini ke rumah ustaz telah mendatangkan pelbagai manfaat. Yang paling muhim sekali, ukhuwwah antara keluarga aku dan Een dengan keluarga ustaz akan bertambah utuh. Secara tidak langsung, ziarah kali ini akan membuatkan ustaz lebih memahami perangai-perangai kami yang sememangnya ganas dan “brutal” ini. Syukran jazilan atas segala layanan yang telah ustaz berikan kepada kami. Maaflah andai kehadiran kami ke rumah ustaz sejak pagi menyusahkan ustaz dan isteri. Kami juga ingin meminta maaf atas segala tindak tanduk kami yang menyusahkan ustaz – hendak mengikut ustaz keluar ke mana-mana, terlalu ralit dengan televisyen, menyepahkan rumah ustaz, menghabiskan tisu di rumah ustaz, dan bermacam-macam lagi seribu satu perangai yang terpaksa ustaz wa isteri layan dengan penuh kesabaran. Semoga segala kebaikan yang kalian berdua curahkan akan sentiasa mendapat balasan yang sebaik-baiknya daripada Ilahi. Barakallahu Fi Kum!

Wassalam…

Datang Sekolah Hanya untuk Peperiksaan?

November 3, 2007 at 9:31 am | Posted in Renungan, Sekolahku | 18 Comments

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh…

Al-Amin

Semoga al-Amin terus maju dalam semua bidang!

Sebagai seorang pelajar tingkatan tiga yang baru selesai menjalani peperiksaan PMR dan PMRI, aku rasa diriku sekali lagi terpanggil untuk meluahkan sedikit rasa kesalku terhadap sikap pihak sekolah yang seolah-olah sudah tidak mempedulikan lagi kami pasca peperiksaan PMR dan PMRI yang telah dijalankan lewat bulan Oktober lalu.

Fenomena ini dapat disaksikan dengan jelas apabila kehadiran kami ke sekolah sudah tidak lagi dicatat, tidak ada aktiviti yang khusus untuk dilakukan (selain perbincangan untuk mengadakan Majlis Perpisahan tingkatan 5), disiplin serta peraturan sekolah bebas dilanggar sewenang-wenangnya – ramai banin yang datang tidak berkopiah, ada yang tidak memakai pakaian seragam sekolah, boleh keluar masuk ke kawasan sekolah sesuka hati pada bila-bila masa tanpa sebarang kekangan, malah, ada juga yang sudah berani membawa hand phone dan pelbagai barang larangan lain ke sekolah! Kekosongan yang berlaku ini menyebabkan tidak ramai pelajar tingkatan tiga hadir ke sekolah, sebaik-baik sahaja tamat peperiksaan PMR dan PMRI. (Kalau datang pun, ramai yang hanya melepak dan berbual-bual kosong bersama rakan-rakan. Tidak kurang juga yang leka membuat word search dan sudoku bagi mengisi waktu yang kosong.) Fenomena ini bertambah teruk apabila ada beberapa orang guru yang berpendapat bahawa, “lebih baik antum duduk di rumah, daripada datang ke sekolah membuat kacau!”

Senario yang sedang berlaku di al-Amin ini amatlah menyedihkan diriku. Aku rasa, situasi ini tidak sepatutnya berlaku di sekolah yang amat mementingkan pentarbiahan secara menyeluruh ini. Ini kerana, situasi yang berlaku ini menggambarkan seolah-olah al-Amin hanya mementingkan pendidikan untuk berjaya dalam peperiksaan sahaja –jadi, selepas peperiksaan, tidak perlu lagi datang ke sekolah untuk menimba pengetahuan!

Sebenarnya sistem yang diamalkan ini amatlah bertentangan dengan misi al-Amin yang telah ditetapkan seawal penubuhannya, iaitu ingin melahirkan pelajar yang soleh wa musleh. Al-Amin tidak akan mampu merealisasikan cita-citanya selagi sikap ini tidak diubah sepenuhnya. Sepatutnya, jika kita benar-benar ingin memberikan pendidikan yang menyeluruh serta mencakupi semua bidang, kita perlu memanfaatkan masa lapang yang wujud selepas imtihan PMR dan PMRI selesai dijalankan dengan pelbagai aktiviti yang mampu mengisi minda dan rohani para pelajar seperti usrah yang lebih kerap, pendidikan kerohanian yang bertujuan untuk memantapkan kefahaman pelajar-pelajar tentang isu semasa berkaitan Islam, gotong-royong untuk membersihkan dan menceriakan kawasan sekolah, dan banyak lagi.

Jika ada aktiviti-aktiviti sebegini yang dijalankan selepas berakhirnya imtihan PMR dan PMRI, para pelajar akan dapat memantapkan sahsiah dan kefahaman mereka tentang ad-deen yang tercinta. Kefahaman yang mantap tentang ad-deen ini amat penting dalam usaha untuk membina ketahanan para pelajar dalam menghadapi cabaran globalisasi hari ini yang amat berbahaya, seterusnya membolehkan mereka lahir sebagai generasi yang soleh wa musleh pada masa akan datang.

Secara keseluruhannya, aku berasa amat kecewa dengan sikap pihak-pihak yang terlibat terhadap kami, pelajar tingkatan tiga sebaik sahaja tamat peperiksaan PMR dan PMRI. Dalam hal ini, semua pihak yang bergelar warga al-Amin, khususnya pihak sekolah perlu mengisi kembali kekosongan yang wujud dalam proses pentarbiahan di al-Amin ini. Mungkin pembaharuan ini tidak dapat dijalankan untuk tahun ini, namun, setidak-tidaknya, generasi tingkatan tiga tahun hadapan tidak akan mengalami nasib yang serupa seperti kami. Dalam usaha untuk menjadi sebuah pusat pendidikan Islam yang sentiasa mengikuti peredaran zaman, usaha pengislahan ini perlu dilakukan dari semasa ke semasa supaya tarbiah yang diberi sesuai dengan kehendak ummah. Jika tiadanya pengislahan dalam proses pentarbiahan ini, tidak hairanlah misi dan visi sekolah yang telah dirangka sejak dahulu lagi akan menjadi retorik semata.

Sebelum aku mengundur diri, ingin kupohon seribu kemaafan andai ada yang terasa dengan tulisanku yang agak keras ini. Maafkanlah daku. Namun, itulah realitinya yang terpaksa kita ubah demi kemaslahatan bersama. Jauh di lubuk hati, kuharap agar al-Amin akan sentiasa berada di mercu kejayaan dalam semua bidang, tidak kiralah bidang sahsiah mahupun akademik. Semoga al-Amin terus komited dengan tugasnya untuk melahirkan lebih ramai daie yang bakal mengubah masa depan Islam di dunia ini. Kuharap juga agar cita-cita al-Amin untuk melahirkan insan yang soleh wa musleh ini tidak akan tersasar jauh dari landasannya. Ingat, kitalah permata yang berkilau di celah-celah kegelapan malam yang bakal mengubah nasib ummah ini pada masa hadapan! Semoga segala jerih payah yang telah kita curahkan dalam bidang yang mulia ini akan sentiasa mendapat keredhaan Ilahi.

Semoga al-Amin terus maju dalam usaha untuk melahirkan insan soleh wa musleh!

Wassalam…

p/s: Kepada sesiapa yang mempunyai pandangan/jawapan/persoalan/kritikan terhadap tulisan ini bolehlah menyampaikannya di ruangan komen ini. InsyaAllah ana akan cuba menjawabnya selagi terdaya.

Bangkitlah Wahai Pemuda Pemudi!

November 2, 2007 at 3:23 pm | Posted in Citra Kehidupan, Renungan | 6 Comments

Assalamualaikum semua!

Seindah perhiasan di dunia ialah wanita yang solehah

Seindah Perhiasan di Dunia ialah Wanita yang Solehah

Hari ini, aku tidak berhajat untuk menulis sesuatu yang berat-berat. Ini kerana, aku agak kelelahan setelah seharian melakukan pelbagai aktiviti. Pada sebelah pagi, aku telah pergi ke sekolah untuk menghadiri kelas tahfiz selama tiga jam, manakala pada sebelah petang pula, aku sibuk “bertukang” di dapur membuat kuih Cornflakes yang telah diminta oleh adikku semalam. Alhamdulillah, pada sebelah malam, barulah Allah memberiku kelapangan untuk melakukan sedikit updates pada blog ini.

Setelah aku membuka komputer, abah telah menunjukkan ku beberapa buah video di youtube mengenai pengakuan beberapa orang remaja muslimah yang sedang menjalani tarbiyyah pemulihan akhlak di Raudhatus Sakinah setelah terjebak dengan pelbagai gejala sosial seperti berzina, menghisap dadah, murtad, dan sebagainya. Video yang telah ditayangkan itu benar-benar menginsafkan diriku. Pengakuan ikhlas yang telah dibuat oleh mereka itu benar-benar menyedarkanku betapa dunia hari ini penuh dengan pancaroba. Hanya mereka yang benar-benar mempunyai keimanan yang teguh sahaja akan berjaya melalui halangan dan dugaan ini. Di sini, aku kongsikan bersama dua buah video tersebut. Semoga video ini akan memberi banyak manfaat kepada kita.

Video yang pertama ini mengisahkan tentang pengakuan seorang remaja perempuan bernama Dora (bukan nama sebenar) yang telah dimurtadkan oleh teman lelakinya yang beragama Kristian. Seluruh anggota keluarga teman lelakinya menyokong tindakan Dora tersebut. Akhirnya, beliau telah ditangkap dan dipenjarakan. Atas arahan mahkamah, beliau dimasukkan ke Raudhatus Sakinah untuk ditarbiyyah. Video ini banyak mengingatkan kita supaya sentiasa berusaha mendalami ilmu agama. Tanpa adanya ilmu yang cukup di dada, kita akan mudah terjebak dalam gejala yang sememangnya dilaknat oleh ad-deen ini.

Video ini pula memaparkan tentang pengakuan seorang remaja wanita yang telah terlanjur berzina dan mengambil dadah. Kemudiannya, beliau telah dimasukkan ke Raudhatus Sakinah untuk ditarbiyyah supaya menjadi muslimah solehah. Banyak pengajaran boleh didapati daripada video ini.

Semoga apa yang dipaparkan akan kita hayati serta selami intipatinya bersama-sama semaksimanya. Semoga usaha Raudhatus Sakinah untuk menyelesaikan masalah-masalah ummah ini akan mendapat bantuan Ilahi. Bangkitlah wahai pemuda dan pemudi. Jangan kalian leka dengan kenikmatan dunia. Sesungguhnya, Islam menyeru kita semua (terutama kalian, pemuda dan pemudi Islam)supaya bersatu tenaga berjihad mengembalikan kegemilangannya di mata dunia. Kepada semua, sentiasalah berdoa supaya Allah menghidupkan dan mematikan kita dalam keimanan. Firman Allah:

Ya tuhan kami, jangan jadikan diri kami condong setelah Engkau memberi petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, sesungguhnya Engkaulah yang maha pemberi kurnia.” (Surah Ali Imran, ayat 8)

Bangkitlah wahai pemuda dan pemudi! Umat Islam sedunia dahagakan tenaga kita untuk berjihad membantu mereka!

Perjuangan kita belum selesai

Wallahualam…

Wassalam

 

Next Page »

Create a free website or blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.