Eksplorasi Aidilfitri

September 24, 2009 at 9:57 am | Posted in Citra Kehidupan, Usrati | 1 Comment

Datangnya Syawal, berlalunya trial SPM. Rasa seronok tak terhingga kerana bebanan trial dah diangkat. Selain pulang ke kampung bertemu saudara mara, aku juga seronok membantu nenek di dapur. Di sebalik kenikmatan menziarahi saudara-mara yang telah lama tidak ketemu, aku juga sedih memikirkan kebiasaan kami mengira wang zakat fitrah yang dikutip oleh atuk untuk dibankkan. Ya, itu hanya tinggal kenangan apabila atuk dijemput bertemu Ilahi sebelum sempat bertemu dengan Ramadhan 1430H.

Aktiviti mengira duit zakat fitrah... (Gambar tahun lepas)

Aktiviti mengira duit zakat fitrah... (Gambar tahun lepas)

Raya kali ini turut diceriakan dengan buku-buku yang menjadi tempat aku melepaskan nafsu yang telah lama kutahan-tahan tatkala trial SPM yang telah berlalu.

1. Palestin Tak Pernah Gentar! Fatwa Kontemporari dan Penyelesaiannya

Palestin Tak Pernah Gentar

Palestin Tak Pernah Gentar

Buku ini tersangatlah menarik kerana berjaya menambahkan pengetahuanku tentang gelora yang sentiasa menghambat bumi al-Aqsa tercinta.

2. Hulagu Khan Khabar Hitam dari Timur

Hulagu Khan Khabar Hitam Dari Timur

Hulagu Khan Khabar Hitam Dari Timur

Buku ini menarik kerana menceritakan sejarah kejatuhan khilafah Abbasiyah yang sangat menjelikkan dek kerana penyakit “wahan”, cintakan dunia dan takutkan kematian yang dialami oleh khalifah-khalifahnya. Akhirnya, khilafah Abbasiyah yang mahsyur dek kegemilangan ilmunya runtuh di tangan tentera monggol yang buta huruf. Sungguh, kisah ini ibrah buat kita semua!

3. Rahsia Islam di China, Gemilang di Sebalik Tembok Besar China

Rahsia Islam di China

Rahsia Islam di China

Buku ini menceritakan tentang perjuangan masyarakat Islam China, bermula dengan kegemilangannya, sehinggalah ke saat ini, di mana mereka ditindas dengan sangat kejam. Pembunuhan berlaku di mana-mana, terutamanya wilayah yang majoriti penduduknya Islam seperti di Xinjiang, namun masyarakat di sana masih mempertahankan kemurnian aqidah mereka.

4. Travelog Haji Merentasi Sempadan Iman

Travelog Haji Mengubah Sempadan Iman

Travelog Haji Mengubah Sempadan Iman

Kisah dan pengalaman Prof Muhd Kamil Ibrahim mengerjakan haji yang diceritakan dengan penuh tawadduk. Banyak ibrah dapat dikutip daripada coretan penuh bermakna beliau.

5. Laskar Pelangi

Laskar Pelangi

Laskar Pelangi

Karya Andrea Hirata yang mencengkam kalbu. Membacanya ada kala gembira, teruja, tak kurang juga babak-babak sedih dan menyebabkan aku terkilan. Novel yang menyedarkanku betapa berharganya pendidikan yang kulalui, dan betapa masih ramai anak-anak genius di luar sana yang terpaksa menggadaikan pendidikan dan masa hadapan mereka demi menyara keluarga yang lebih memerlukan mereka.

Raya kali ini juga, aku berjaya download:

1. Doa Khatam Quran Ramadhan 1430H di Makkah dan Madinah

2. Takbir Raya di Masjidil Haram.

Sesiapa nak mendapatkannya, boleh pergi ke http://www.haramainrecordings.com

Raya kali ini juga, aku pergi menziarahi sepupuku, Nabiil Ahmadi yang terpaksa menyambut Eid di Hospital Serdang. Nabiil dimasukkan ke hospital pada malam 26 Ramadhan kerana mengadu sakit dada. Beliau disahkan mengalami pneumonia. Rupa-rupanya, sejak lahir, sebelah paru-parunya tidak tumbuh seiring dengan peningkatan usia. Selama ini, beliau hanya gunakan paru-parunya sebelah sahaja, iaitu bahagian yang sihat. Apabila bahagian yang sihat itu terkena jangkitan kuman, paru-paru tersebut tidak dapat bertahan.

Nabiil - Kat depan sekali pakai baju warna kuning-hitam-merah

Nabiil - Kat depan sekali pakai baju warna kuning-hitam-merah

Kasihan Nabiil, usianya baru 7 tahun, tapi dah diuji Allah sebegini berat sekali. Syafakallah, sepupuku.

Raya ke-4, kami juga pergi ke Melaka, menziarahi nenek saudaraku (adik ipar nenek) yang disahkan mengidap kanser usus. Beliau dimasukkan ke Hospital Melaka. Syafakillah.

Di Sebalik Ramadhan…

September 19, 2009 at 5:00 pm | Posted in Citra Kehidupan, Imtihan, Renungan, Usrati | Leave a comment
Tags: ,

Menghitung hari-hari Ramadan, aku punya cerita tersendiri. Tentu sahaja, tatkala Ramadhan menjelma, masing-masing meletakkan target peribadi, berkisar tentang amalan-amalan bagi menghidupkan bulan ini. Almaklumlah, Ramadan, menurut para sahabat, hanya ada tiga amalan utama, iaitu saum, qiam, dan quran.

Dalam merealisasikan target ini, banyak pengalaman baru telah kutempuhi. Alhamdulillah, kesemuanya telah berjaya meluaskan dimensi pemikiranku.

Ramadan-Tarawih dan Iktikaf

Aku belajar untuk bersikap terbuka dan berlapang dada dengan sesiapa sahaja. Misalnya, tatkala solat, aku kadang-kadang sedikit terganggu dan naik berang dengan telatah kakak yang entah dari negara mana entah yang solat sambil memegang Quran, dan dalam masa yang sama mengikut bacaan imam tersebut sambil melafazkannya kuat-kuat. Mula-mula, aku memang bengang juga lah dengan kakak tersebut, almaklumlah perbuatannya menganggu solatku. Namun, apabila difikir-fikirkan kembali, aku tak patut marah dengan kelakuan tersebut. Mungkin ada sebab musabab yang menyebabkannya berbuat demikian. Andai aku berlapang dada, pasti Allah lebih suka. Astaghfirullah…

Aku belajar bahawa teguran secara berhikmah mampu memberikan kesan positif. Sejak dahulu, apabila solat tarawih telah masuk fasa-fasanya yang payah, melibatkan juzu’ 17, 18, dan ke atas yang aku tak masyi’, aku gemar memegang al-Quran ketika solat. Namun, tahun ini, Allah telah memberiku hidayah melalui seorang kakak UIA ini yang telah menegurku dengan sungguh lembut dan berhikmah mengenai tabiat ku ini. Lalu, dia sama-sama mengajakku untuk cuba memahamkan maksud ayat-ayat yang dibaca tanpa merujuk pada al-Quran. Mula-mula, aku merasa ragu-ragu. Mampukah dengan penguasaan Bahasa Arab yang terbatas ini aku berbuat sedemikian? Namun setelah mencubanya, Alhamdulillah, Allah telah membantuku dan kelazatannya cukup nikmat. Aku menghargai teguran tersebut dan dalam diam-diam aku berazam untuk memperkasa Bahasa Arabku bukan sekadar untuk SPM tapi kerana ia merupakan bahasa al-Quran. Terima kasih kak Aishah atas teguran akak! Barakallahu fi ki.

Aku belajar untuk tidak terus-menerus menjadi hamba nafsuku terutamanya dalam hal-hal ibadah. Tatkala solat Isya’, Tarawih, hatta Tahajud dan Subuh yang pagi-pagi buta tu pun, nafsu menjerit-jerit mahukan kipas buat menyejukkan badan dan kononnya menenteramkan jiwa. Dalam hal ini, aku sememangnya tidak terkecuali. Kalau boleh, aku nak cop cepat-cepat kawasan solat yang kena kipas dan kemudian tak nak gerak-gerak dah. Kadang-kadang, apabila dah capai tahap kronik, aku tak nak gerak ke saf hadapan pun walaupun ketika itu saf tersebut kosong semata-mata demi kipas! Namun, apabila semua orang tak nak gerak dek disihir kipas, aku pun geraklah. Mula-mula, hati mengerutu menahan marah sebab terpaksa lepaskan kipas. Tapi, bila diingat-ingat balik, aku solat kerana Allah ke kerana kipas? Astaghfirullah…

Ramadan – Trial SPM

Aku belajar untuk bertanya hatta orang tersebut tidak kukenali dengan mendalam. Alhamdulillah, sikap tak maluku ini memberi manfaat buatku. Dalam hal ini, sekalung penghargaan sekali lagi buat kak Aishah. Asalnya, aku tak kenal pun akak ini, namun, memandangkan esok imtihan Bahasa Arab, dan ada satu soalan yang aku tak faham kenapa jawapannya macam tu, aku nekad menegur kakak yang memakai jaket yang menunjukkan kakak ini datang daripada Kelab Debat BA UIAM. Pada hematku, kakak ini mesti tahu Arab dan boleh menolongku yang terdesak ini. Alhamdulillah, soalanku terjawab. Begitu juga untuk PSI, bab Usul Fiqh tingkatan 5, kakak ini juga yang menolongku. Semoga Allah membalas jasa-jasamu dengan ganjaran-ganjaran yang selayaknya.

Berlalunya Ramadan, aku tak pasti, adakah kemerdekaan yang hakiki, iaitu bebas daripada penjajahan hawa nafsu dan syaitan itu mampu aku gapai atau tidak? Apakah jaminan untuk aku terus istiqamah dengan amalan-amalan yang berjaya dihidupkan sepanjang bulan ini? Adakah Ramadan akan datang menjadi milikku? Jawapannya kita nantikan selepas beberapa bulan Ramadan pergi meninggalkan kita. Kita sendiri menghakimi diri kita.

Sepanjang Ramadhan ini, aku bersyukur kerana masih ditemani oleh keluarga tercinta, buka, sahur, tarawih, iktikaf, semua dibuat secara bersama. Tahun depan, aku pasti akan merindui suasana sebegini andai Allah menetapkanku berkelana jauh dari keluarga kecintaanku. Aku juga bersyukur kerana diberi kesempatan, kemampuan, kesihatan, dan keinginan oleh Allah untuk menghidupkan bulan ini. Aku juga bersyukur kerana dipertemukan oleh Allah dengan insan-insan yang berusaha mengislahkan diriku sepanjang Ramadan ini seperti Kak Aishah dan lain-lain. Aku juga bersyukur kerana diberi Allah kekuatan untuk memahami ayat-ayatmu sedikit sebanyak. Terima kasih ya Allah atas segala nikmatmu. Masukkanlah aku ya Allah ke dalam hamba-hamba mu yang bersyukur dengan kurnian-kurnian mu.

Ramadan, kurang dua jam sahaja lagi engkau akan berlalu meninggalkan ku. Janganlah engkau tinggalkanku dalam keadaan aku kerugian Semoga aku bertemu denganmu tahun hadapan dengan keadaan yang lebih baik dari tahun ini. Amin ya Rabbal Alamin. Eid Mubarak. Taqabbalallahu Minna Wa Minkum!

Tangkak

June 14, 2009 at 4:55 pm | Posted in Citra Kehidupan, Usrati | 1 Comment

Sekali-sekala balik ke Tangkak memang menyeronokkan. Semalam, kami ke Tangkak sebab ada wedding sepupu. Sebetulnya, kami tak pergi pun wedding yang sebenarnya. Yang kami pergi tu party bersama family malam sebelum berlangsungnya majlis perkahwinan.

Party depan rumah...

Party depan rumah...

Seperti biasa, kalau ke Tangkak, kamilah VIP secara tak rasmi. Sebabnya, kami tak makan makanan yang tetamu lain makan tatkala menghadiri party tersebut. Almaklumlah, susah nak dipastikan halalnya. Jadi makanan kami SPECIAL.

Pertemuan yang tak selalu ini menjadi medan untuk kami bertanya khabar dan bertukar-tukar kisah. Namun, ada satu masalah besar yang kami hadapi. Masalahnya, kami tak tahu dan tak faham berbahasa cina. Hal ini menyebabkan komunikasi terbatas. Tambah-tambah lagi ada yang tak tahu langsung cakap Melayu. Hal ini menyebabkan aku ada menanam cita-cita untuk menguasai bahasa ini.

Antara adik-beradik perempuan mak. Mak yang second bongsu daripada 17 adik-beradik seibu sebapa.

Antara adik-beradik perempuan mak. Mak yang second bongsu daripada 17 adik-beradik seibu sebapa.

Bersembang dengan Ah Huan, sepupuku. Seorang SPM 2009, seorang STPM 2009. Semoga dua-dua berjaya.

Bersembang dengan Ah Huan, sepupuku. Seorang SPM 2009, seorang STPM 2009. Semoga dua-dua berjaya.

Azhari dengan salah seorang sepupu yang kami tak tahu nama. Sama tak muka?

Azhari dengan salah seorang sepupu yang kami tak tahu nama. Sama tak muka?

Pulang ke Tangkak, aku selalu terfikir akan besarnya tanggungjawab aku dan Azhari untuk memastikan hubungan antara keluarga sebelah ibuku ini terus tererat apabila kami talah dewasa nanti.

8 Jun 2009

June 8, 2009 at 11:45 pm | Posted in Usrati | Leave a comment

Muhammad Hafizuddin Muhammad Asri

Muhammad Hafizuddin Muhammad Asri

Dialah yang selalu menjadi mangsa buli ku tatkala menjejakkan kaki di Kampung Sungai Soi. Insan yang teramat ceria, namun dalam ceria dan kadang-kala nakalnya, dia juga mempunyai hati yang amat lembut…

Malam semalam, tatkala selesai bacaan tahlil buat arwah atuk, ada majlis potong-potong kek bagi meraikan hari jadinya yang kesembilan. Semua orang teruja nak makan kek tu terutamanya Majedi. Sampai nangis-nangis dia nak makan kek punya pasal!

Eid Milaad Saeed, Muhammad Hafizuddin… Selamat melangkah ke alam 9 tahun…

Dialog semalam:

Kak Lina: Hafiz, apa perasaan dah makan kek ni? Besar dah ye…
Hafiz: Seronok sangat…
Kak Lina: Dah besar kena rajin-rajin. Solat tak boleh tinggal dah. Belajar lagilah kena rajin…
Hafiz: Kak Lina nih=)

Atuk Dalam Kenangan…

June 1, 2009 at 2:10 pm | Posted in Renungan, Usrati | 2 Comments

Menganali Atuk sememangnya indah. Berdamping dengan Atuk lagilah indah.

Itulah yang tergambar di cepu kepalaku apabila nama Atuk disebut. Atuk, insan yang sempoi, santai, dan jarang sekali mengekspresikan kemarahannya. Bicaranya tidak ada yang menyakitkan hati insan lain kerana Atuk jarang berbicara kecuali apabila adanya keperluan.  Hari-hari tuanya banyak dihabiskan dengan zikrillah, membaca al-Quran, buku-buku agama, mendengar “Bicara Mufti” di televisyen saban pagi, menjadi imam di Masjid Kg Sg Soi, tolong sembelih kambing dan lembu di sana sini, menghadiri kenduri, dan tak lupa berkebun di belakang rumah.

Atuk 1

Di KLIA (atas). Dalam kapal terbang (bawah) ketika pergi menunaikan umrah akhir Januari yang lalu

Di KLIA (atas). Dalam kapal terbang (bawah) ketika pergi menunaikan umrah akhir Januari yang lalu

Gambar terakhir bersama Atuk ketika kami pulang ke kampung. Atuk kelihatan ceria. Ya, aku rindukan suasana seperti ini.

Gambar terakhir bersama Atuk ketika kami pulang ke kampung. Atuk kelihatan ceria. Ya, aku rindukan suasana seperti ini.

Teringat kenangan ketika aku sedang menolak Atuk di atas kerusi rodanya keluar daripada Masjidil Haram menuju ke arah Hotel Hijaz yang ditumpangi kami.

Biasanya, Azhari atau Abah yang menolak Atuk tiap kali waktu solat kerana mereka sebilik. Satu hari, selesai Solat Zohor, aku terserempak dengan Atuk dan Azhari di hadapan Bab Malik Abdul Aziz.

Aku: Azhari, Kak Lina lak nak tolak Atuk. Asyik awak je…
Azhari: Ha, tolaklah…

Kerusi roda bertukar tangan. Ketika mahu turun dari Bab Malik Abd Aziz tersebut, aku tak perasan lantainya tak rata. Almaklumluh, aku tak biasa menolak.

Tetiba je, tak sempat Atuk nak bagi warning, aku terus tolak Atuk kat lantai yang tak rata tu. Apa lagi, Atuk pun terjatuhlah… Terjelopok jatuh tas lantai marmar nan putih tu… Orang kiri kanan tengok aku semacam je. Semua orang tengok aku macam aku salah. Hakikatnya memang pun kan?

TINGGAL KENANGAN

Namun, semua iu hanya tinggal kenangan… Atuk pergi dijemput Ilahi tanggal 31 Mei 2009 yang lalu jam 8:30 pagi. Pemergiannya tak kami duga, dalam keadaan tak sakit apa-apa, dalam keadaan sungguh tenang.

Alfatihah

Diari Semingguku

March 6, 2009 at 9:19 pm | Posted in Citra Kehidupan, Sekolahku, Usrati | 3 Comments

Seminggu ini benar-benar padat dengan aktiviti. Kadang-kala ia meletihkan, namun percayalah itulah tarbiah yang diberi Allah secara tidak langsung.

ISNIN

Lisan Bahasa Melayu. Memang tak dapat dielak. Topik apa ya mahu dibawa? Fikir punya fikir, akhirnya topik berkaitan Palestin menjadi pilihan. Mengapa? Aku sendiri kurang periksa. Malam Isnin, aku cuba-cuba bercakap di hadapan adikku. Alhamdulillah, rasanya boleh kot cakap esok InsyaAllah.

Menjelang paginya, suasana kelam kabut. Aku tertinggal kertas yang mempunyai isi-isi yang bakal kusampaikan sewaktu lisan nanti. Majalah yang mempunyai gambar-gambar untuk kutunjukkan kepada seisi kelas juga turut tertinggal. Rasa cemas menyusup ke dalam jiwaku. Sudahlah tugasanku sebenarnya ialah menerangkan gambar. Perkara fundamental pula tertinggal!

waja

Aku maklumkan kepada Ustaz Idris atas kecuaianku. Alhamdulillah, Ustaz kata tidak mengapa. Yang penting cakap aje.

Jam 2:30 petang, aku dipanggil untuk melaksanakan ujian lisanku. Sedikit gugup di hadapan kelas. Tawakkal sahajalah. Hasilnya, 70% daripada isi-isi dan fakta-fakta yang telah kugariskan malam sebelumnya tidak disampaikan. Sebaliknya, benda-benda lain pula yang keluar. Syukran Ya Allah atas pertolonganMu aku berjaya menyelesaikan ujian ini.

SELASA

Petang ada latihan debat. Masalahnya clash pula dengan kelas Fizik. Aku berada dalam dua persimpangan.

Namun, mengenangkan latihan debat tersebut turut disertai oleh jurulatih luar, aku memilih untuk pergi ke sana. Berdebatlah aku dan rakan-rakan sepasukanku walaupun tidak ada persediaan yang rapi. Almaklumlah, masing-masing tak sempat research tajuk Perpaduan Nasional.

Malam tersebut, bermulalah perjuanganku menyiapkan Lisanul Haq untuk dihantar ke Cikgu Rusyida pada hari Jummat, 6 Mac untuk disemak dan disahkan sebelum diterbitkan untuk Minggu Muhammad Qudwatuna nanti.

chemistry-stuff

Dalam masa yang sama, report Chemistry yang kena hantar esoknya jangan dilupa!

RABU

Perjuangan membuat Lisanul Haq diteruskan. Genting ni. Lagi dua malam termasuk malam ini berbaki untuk makalah ini disiapkan.

klcc2

Dalam kegentingan ini, Abah pula mengajak kami ke KLCC untuk mengambil Mak. Memandangkan perutku berkeroncong, aku menurut sahaja ajakan Abah. Rupa-rupanya, setibanya kami di KLCC, Mak tak habis kerja lagi. Puaslah Abah dan Azhari lepak di kawasan tersebut. Aku pula tidur dalam kereta tak sedarkan diri.

KHAMIS

Malam ni sepatutnya malam kemuncak buat Lisanul Haq. Selalunya, berdasarkan pengalaman-pengalamanku yang lalu, malam sebegini biasanya tension sikit.

Namun, Alhamdulillah, rahmat Allah datang. Ketenangan menjelma. Sambil bersembang dan bertukar cerita dengan keluarga, akhirnya Lisanul Haq ini berjaya kuselesaikan. Alhamdulillah.

IBRAH DI SEBALIKNYA

Kehidupan ini tidak akan sunyi daripada ujian-ujian daripada Allah. Namun ingatlah, di sebalik ujian-ujian tersebut, akan ada hikmah di sebaliknya yang akan mematangkan kita, juga menguji keimanan kita.

Walau apapun yang merentangi kehidupan kita, ingatlah bahawa hanya Allahlah tempat kita bergantung harap. Mintalah pada Allah untuk dipermudahkan. Sesungguhnya di sebalik kesusahan itu, ada kesenangan.

p/s: Minggu depan, jangan lupa cerpen yang wajib hantar hari Selasa, oral English sebelum cuti bermula, report Physics sebelum cuti bermula, ujian Maths, Add Maths, dan Sejarah, uji kaji Chemistry dsb. Allahumma Yassir Wa La Tuassir.

Nyang… Al-Fatihah

February 20, 2009 at 7:12 pm | Posted in Citra Kehidupan, Renungan, Usrati | 1 Comment

Tahun 2006

Aku masih teringat saat-saat aku berjumpa dengan Nyang aku di Singapura tatkala aku berada di akhir Tingkatan 2. Nyang ketika itu masih sihat. Beliau gemar bercerita mengenai kisah-kisah silamnya yang pernah dilalui. Menurut nenek aku, Nyang aku ini pelik sikit. Sistem memorinya mampu mengingati dengan baik dan jelas kisah-kisah silam namun susah untuk ingat benda-benda yang baru. Contohnya, selama beberapa hari aku bersama dengan Nyang di Singapura, hampir 10 kali beliau bertanyakan siapa aku.

Walau apa-apapun, melayan Nyang memang satu yang menggembirakan.

Tahun 2009, 8 Februari

Kami baru tiba di Malaysia setelah pulang dari mengerjakan umrah. Badan pun terkejut-terkejut lagi dengan perubahan mendadak masa. Almaklumlah,  Saudi lambat 5 jam dari Malaysia.

Tiba-tiba, kami mendapat khabar mengatakan Nyang jatuh ketika sedang menyarung kain batik. Katanya tulang peha dan pinggangnya patah. Jatuhnya pada hari Khamis, 29 Februari yang lalu. Waktu itu, kami masih di Tanah Haram. Tepatnya di Madinah. Terkejut betul. Nyang jarang sakit.

Kami bergegas pulang ke Singapura. Lebih tepatnya, Changi General Hospital. Sedih melihat Nyang terlantar di atas katil hospital. Nyang berada dalam keadaan sedar, namun ingatan beliau macam pelik sedikit. Beliau tidak mahu makan apa-apa. Ubat pun tak mahu ditelannya. Sedih tengok Nyang menjerit-jerit tak mahu disuap makan. Uzur betul Nyang.

Teringat aku pada dialog Nyang:

Nyang: Bungkus Comel (kucing kesayangan Nyang) tu bagi kat Kak Long (nenek aku).

Nenek Syam: Nanti kalau bagi Comel kat Kak Long, mak dah tak ada comel dah lah…

Nyang: Tak apa, comel kan banyak…

Walhal semua orang tahu Comel ada satu je…

Tahun 2008, 9 Februari

Kami mendapat berita sebenarnya usus besar Nyang pecah setelah Nyang mendakwa sakit perut. Nyang dibawa ke bilik pembedahan segera.

Tahun 2008, 14 Februari

Kami melawat Nyang di Changi General Hospital semula. Berbeza dengan dahulu, kali ini Nyang di ICU. Sebak melihat Nyang. Wayar bersepah-sepah. Nyang tak sedar. Hanya ucapan syafakillah mampu kuungkapkan.

Tahun 2008, 20 Februari, 12:30 am

Nenek Simah dah meninggal pukul 12:05 am

Itulah SMS yang diterima oleh abah. Malam jumaat. Innalillahi wa inna ilaihi rajiuun…

Semoga Nyang ditempatkan bersama para anbiya’, syuhada’, serta sekalian hamba-hambamu yang soleh dalam syurgamu Ya Allah… Amin

Al-Fatihah

KL-KTN-KT-KTN-KL

December 26, 2008 at 4:41 pm | Posted in Citra Kehidupan, Usrati | Leave a comment
Tags: , ,

Tiba di Taman Greenwood tepat jam 6:00 pagi, setelah puas berjalan jauh, dari teratak usangku di Greenwood, kemudian ke Kuantan. Singgah sebentar di Kg Soi mengambil atuk, nenek, dan busu, kemudian teruskan musafir ke Kuala Terengganu. Misi utamanya adalah untuk mengubati leher atuk yang retak setelah terjatuh katil. Khabarnya di sana adalah seorang tabib ni yang agak terkenal bab-bab mengubat tulang ni.

Setelah misi mengubat atuk selesai, kami pulang semula ke Kuantan. Sampai di Kuantan, hantar busu, atuk, dan nenek, kami teruskan misi kami seterusnya pulang ke Greenwood. Hemm, jauhkan langkah kami semalam?

Jauh perjalanan luas pemandangan. Banyak juga yang dapat aku saksikan sepanjang perjalanan tersebut. Antaranya aku dapat melihat gelora Laut China Selatan tatkala musim tenkujuh ini. Fuh… Geloranya menggerunkan! Lagi menggerunkan daripada gelora Pantai Sepat yang ada di Kuantan tu.

Di tepi pantai menuju ke Kuala Terengganu...

Di tepi pantai menuju ke Kuala Terengganu...

Gelora...

Gelora...

Jauh perjalanan, lagi lama masa dalam kenderaan, lagi banyaklah masa nak pot pet pot pet bersama keluarga. Secara tak langsungnya, silaturrahim dapat diperkukuh. Banyak yang kami bualkan. Antara yang kekal melekap di ingatanku ialah:

Nenek : Na, telefon busu canggih kan?

Aku : Canggih canggih canggih. Kawan-kawan Na punya telefon ada lagi canggih daripada ni… Tapi Na tak minat sangat…

Busu : Kalau busu bagi telefon yang canggih tu nak tak?

Aku : Erkk…

Jauh perjalanan, dapat juga kami ketemu dengan saudara-saudara yang tercampak jauh di negeri Darul Iman ini. Sekali sekala ketemu, hubungan mampu terjalin dengan penuh mesra…

Bertemu keluarga Tok Cik Ani yang selalu susah nak jumpa sebab jauh...

Bertemu keluarga Tok Cik Ani yang selalu susah nak jumpa sebab jauh...

Natijah perjalanan, kami kepenatan, terutamanya abah yang memandu. Itulah sebabnya mengapa aku tak mampu menghadirkan diri ke mesyuarat orientasi hari ini…

Malam ini, insyaAllah kami akan bertolak semula ke Kuantan, keesokan harinya ke Kuala Terengganu semula. Atuk kecintaanku memerlukan rawatan susulan…

Aidiladha 1429H

December 9, 2008 at 5:25 pm | Posted in Citra Kehidupan, Usrati | Leave a comment
Tags: ,

Alhamdulillah, Aidiladha 149H menjelma lagi! Eid Mubarak to All. Moga Aidiladha kali ini membawa kita mengenang kembali apakah itu erti pengorbanan yang dibuat ayahanda Nabi Ibrahim. Sanggupkah kita berkorban seperti itu juga?

Aidiladha itu sendirinya memang indah, namun yang lebih menceriakan Aidiladha kami ialah pulang ke kampung, jumpa sepupu sepapat, mak cik pak cik, nenek atuk, dan segala-galanya… Semuanya menceriakan apabila sudah duduk bersama… Cerita itu, cerita ini, sakat sana, sakat sini, sememangnya merapatkan silaturrahim.

Aidiladha dimeriahkan lagi dengan suasana persiapannya. Kalau Aidilfitri, waktu persiapan, kena berdisiplin, tak leh makan sebab puasa. Tapi, waktu Aidiladha ni, rendang tengah menggelegak atas kuali pun boleh cedok makan! Hehehe =)

Sewaktu persiapan…

Anyam ye anyam... Jangan culas nanti tak dapat makan!

Anyam ye anyam... Jangan culas nanti tak dapat makan!

Hah, inilah hasilnya! Salah satu ketupat terbesar raya kali ini!

Hah, inilah hasilnya! Salah satu ketupat terbesar raya kali ini!

Langkah seterusnya, isi beras...

Langkah seterusnya, isi beras...

Sewaktu mengisi beras…

“Ketupat sape ni bocor?” tanya Acik.

“Azhari…” Jawabku selamba mengenakan adikku.

“Ketupat yang terlebih keras tu Na yang buat. Yang terlebih lembik pun Na yang buat…” Usik Acik lagi.

“Aik, Na pulak yang kena…” Balasku. Tawa pecah berderai~~

Pagi Raya

Raya kali ini agak suram kerana hujan tak henti-henti turun ke bumi. Semua orang malas keluar rumah, kecuali untuk Solat Raya, dan melapah daging korban. Orang datang ziarah pun tak ramai sebab hujan.

Petang raya, kami keluar ke pantai. Saja rindu tengok ombak mengganas di musim tengkujuh. Dek kerana ombak ganas, cabaranku kepada adik-adik sepupu menyuruh mereka pergi mandi pantai tak disahut. Tak ada siapa yang berani menongkah ombak dikala ombak sedang tinggi!

Berlatar belakangkan Pantai Sepat yang sentiasa jauh di mata dekat di hati~

Berlatar belakangkan Pantai Sepat yang sentiasa jauh di mata dekat di hati~

Panjangnya Semalamku, 181108!

November 19, 2008 at 3:27 pm | Posted in Citra Kehidupan, Usrati | Leave a comment
Tags: ,

Pagi

Mengantuk, namun demi tanggungjawabku sebagai seorang abdullah, aku menggagahkan diri untuk bangun menunaikan Solat Subuh. Nak solat jemaah dengan atuk, huh, dah terlepas! Astaghfirullah, teruknya diri ini… Kami seusrah bersarapan di Kafe Mesra Ria, Sri Gombak. Rancangannya, hari ini, Azhari seperti biasa ke UIAM untuk tahfiz, aku ke sekolah menghadiri kelas Biology, dan emak, abah, atuk, dan nenek akan ke Hospital Ampang Puteri. Mak seperti biasa ada appointment manakala atuk akan melakukan pemeriksaan ketarak matanya. Mengikut rancangannya, atuk akan menghadapi minor surgery bagi membuang ketarak di matanya dalam masa terdekat ini.

Usai bersarapan, aku dihantar ke sekolah dan Azhari ke UIAM. Terasa berpusing juga otakku untuk memahamkan konsep berkaitan dengan Human’s Defence Mechanism dan Immunity. Alhamdulillah, kebesaran Allah makin terasa di hatiku memandangkan betapa telitinya Allah mencipta manusia. Itu baru sebahagian rahsia Allah yang disingkap buat hambanya. Masih banyak lagi yang tak diketahui. Subhanallah, benarlah firman Allah dalam surah al-Khafi, ayat terakhir sekali yang mengatakan bahawa seandainya lautan yang luas dijadikan tinta untuk menulis segala ilmu Allah, maka akan keringlah lautan tersebut, sedangkan ilmu Allah tak habis lagi ditulis. Subhanallah…

Tengah Hari

Berakhirnya kelas Biology tepat jam 12:00 tengah hari, abah mengambilku pulang. Huh, rupa-rupanya pembedahan membuang ketarak pada mata atuk ditunda ke hari Rabu 26 Nov 2008. Lama lagi tu!

Abah mengambil keputusan meghantar nenek dan atuk pulang ke Kuantan. Kami bertolak ke Kuantan setelah selesai melakukan Solat Zuhur. Perjalanan tak lah jauh, lebih kurang 3 jam sahaja. Hehehe, memanglah, penatnya bukan kami penumpang yang rasa. Hanya abah yang bertindak sebagai pemandu yang terasa!

Petang

Tiba di Kuantan pada jam 5:45 petang. Bersalaman dengan sepupu-sepupuku serta makcik pakcikku yang berada di rumah. Kami berbual-bual mengenai markah imtihan masing-masing. Masing-masing sibuk bercerita. Ada yang dapat no 2, 13, 15, dan macam-macam lagilah. Ahamdulillah, cucu atuk ni semua pandai-pandai belaka! Semoga kepandaian itu diserikan lagi dengan keimanan dan ketaqwaan. Amin…

Walaupun balik hanya seketika, namun kami masih sempat menjamu air nyiur muda. Entah mengapa, tiba-tiba Pak Teh rajin pula nak mengambilnya di pokok dan membelahnya. Rasanya, fuh, sedap, segar, dan lazat!

Malam

Selepas Maghrib, dalam pukul 8:00 malam, kami bertolak pulang ke Kuala Lumpur tanpa atuk dan nenek. Sunyi rasanya.

Tiba di KL pukul 11:30 malam. Mata terasa amat berat, namun aku masih perlu iadah untuk dipersembahkan esok. Kalau tak, padahlah jawabnya! Iadah punya iadah, tak sampai 10 minit aku rasa aku sudah dibuai mimpi!

Buat Hafiz dan Hakim, sepupu-sepupuku yang sering mengundang keceriaan, good luck untuk khatan esok! Hehehe, lepas ni dah kena malu dah! Tak boleh lagi ada free show!

p/s: Gambar tak leh upload. Nanti la yer… Siaran tertunda…

Next Page »

Create a free website or blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.