Mari Bertarannum dan Upin Ipin

February 26, 2009 at 7:59 pm | Posted in Cetusan Pemikiran, Citra Kehidupan | 4 Comments

Ada orang, masalah utama dalam hidupnya adalah mengawal tabiat suka menonton televisyen. Balik sekolah tv, Sabtu Ahad tv, malam tv, cuti-cuti sekolah tv. Pendek kata, tv benar-benar mengawal individu seperti ini.

Namun Alhamdulillah… Berkat didikan emak dan abah yang sedaya-upaya mendidik kami berdua supaya “tidak bernafsu” di hadapan televisyen, kami sememangnya kurang menonton televisyen. Kartun, drama bersiri, baik yang datang dari seberang laut mahupun buatan tempatan, jarang yang kami tonton. Mak dan Abah tidak melarang kami menonton televisyen secara kekerasan, namun, mereka menunjukkan contoh dengan turut tidak menonton televisyen. Akibatnya, kami pun tidak ada perasaan mahu berteleku di hadapan peti hitam tersebut.

Kadang-kadang, tidak dinafikan, ada kalanya kami semacam rasa jelik menonton drama-drama masa kini. Jelik dengan jalan cerita yang tidak membina minda, aksi-aksi yang keterlaluan, pakaian-pakaian yang seringkali mencolok mata, juga dengan tema ceritanya yang tidak langsung bersifat keIslaman. Usah tema keIslaman yang diminta, tema kemelayuan pun tiada. Yang ada cuma gaya hidup kebaratan yang cuba diselitkan.

Namun, di sebalik rasa tidak senangku pada kebanyakan rancangan televisyen, masih ada rancangan-rancangan yang menarik minatku sehingga jarang aku terlepas menontonnya. Yang paling utama, aku amat meminati rancangan Mari Bertarannum, milik TV9.

Mari Bertarannum

Mari Bertarannum

Sebabnya, bagiku rancangan tersebut merupakan rancangan yang dapat menenangkan mindaku tatkala aku dalam keserabutan. Tenang apabila terdengar alunan tarannum yang mendamaikan. Secara tidak langsung, aku belajar untuk menghargai jenis-jenis tarannum yang ada, walaupun tiada kemampuan untuk mengalunkannya.

Upin dan Ipin

Upin dan Ipin

Rancangan yang tetap menarik hatiku yang lain ialah kartun Upin dan Ipin. Bagiku, kartun ini begitu comel dan jalan ceritanya yang berkisar mengenai kehidupan masyarakat kampung yang tipikal amat kuhargai. Terbayang betapa indahnya kehidupan masyarakat dahulu yang meriah dengan keakraban hubungan persahabatan antara teman-teman sekampung. Tidaklah seperti sekarang, masyarakat hanya tahu berkomunikasi dengan telefon bimbit, playstation, internet, televisyen, dan sebagainya.

Bagiku, menonton tv tak salah. Syaratnya, kita kena kawal tv, bukan tv kawal kita. Ingat, masa yang diberi Allah itu amanah. Andainya kita gagal memanfaatkannya, amanahkah kita?

Nyang… Al-Fatihah

February 20, 2009 at 7:12 pm | Posted in Citra Kehidupan, Renungan, Usrati | 1 Comment

Tahun 2006

Aku masih teringat saat-saat aku berjumpa dengan Nyang aku di Singapura tatkala aku berada di akhir Tingkatan 2. Nyang ketika itu masih sihat. Beliau gemar bercerita mengenai kisah-kisah silamnya yang pernah dilalui. Menurut nenek aku, Nyang aku ini pelik sikit. Sistem memorinya mampu mengingati dengan baik dan jelas kisah-kisah silam namun susah untuk ingat benda-benda yang baru. Contohnya, selama beberapa hari aku bersama dengan Nyang di Singapura, hampir 10 kali beliau bertanyakan siapa aku.

Walau apa-apapun, melayan Nyang memang satu yang menggembirakan.

Tahun 2009, 8 Februari

Kami baru tiba di Malaysia setelah pulang dari mengerjakan umrah. Badan pun terkejut-terkejut lagi dengan perubahan mendadak masa. Almaklumlah,  Saudi lambat 5 jam dari Malaysia.

Tiba-tiba, kami mendapat khabar mengatakan Nyang jatuh ketika sedang menyarung kain batik. Katanya tulang peha dan pinggangnya patah. Jatuhnya pada hari Khamis, 29 Februari yang lalu. Waktu itu, kami masih di Tanah Haram. Tepatnya di Madinah. Terkejut betul. Nyang jarang sakit.

Kami bergegas pulang ke Singapura. Lebih tepatnya, Changi General Hospital. Sedih melihat Nyang terlantar di atas katil hospital. Nyang berada dalam keadaan sedar, namun ingatan beliau macam pelik sedikit. Beliau tidak mahu makan apa-apa. Ubat pun tak mahu ditelannya. Sedih tengok Nyang menjerit-jerit tak mahu disuap makan. Uzur betul Nyang.

Teringat aku pada dialog Nyang:

Nyang: Bungkus Comel (kucing kesayangan Nyang) tu bagi kat Kak Long (nenek aku).

Nenek Syam: Nanti kalau bagi Comel kat Kak Long, mak dah tak ada comel dah lah…

Nyang: Tak apa, comel kan banyak…

Walhal semua orang tahu Comel ada satu je…

Tahun 2008, 9 Februari

Kami mendapat berita sebenarnya usus besar Nyang pecah setelah Nyang mendakwa sakit perut. Nyang dibawa ke bilik pembedahan segera.

Tahun 2008, 14 Februari

Kami melawat Nyang di Changi General Hospital semula. Berbeza dengan dahulu, kali ini Nyang di ICU. Sebak melihat Nyang. Wayar bersepah-sepah. Nyang tak sedar. Hanya ucapan syafakillah mampu kuungkapkan.

Tahun 2008, 20 Februari, 12:30 am

Nenek Simah dah meninggal pukul 12:05 am

Itulah SMS yang diterima oleh abah. Malam jumaat. Innalillahi wa inna ilaihi rajiuun…

Semoga Nyang ditempatkan bersama para anbiya’, syuhada’, serta sekalian hamba-hambamu yang soleh dalam syurgamu Ya Allah… Amin

Al-Fatihah

Homework yang Banyak Mengajarku

February 16, 2009 at 10:50 am | Posted in Cetusan Pemikiran, Citra Kehidupan, Sekolahku | 1 Comment
Tags: ,

Subhanallah, homework banyak. Bertimbun-timbun! Tak terkata. Physics, Add Maths, Maths, Biology, English, Bahasa Melayu, semua berbaris minta dilayan. Tak campur lagi ujian Chemistry… Ya Allah, bagilah aku kelapangan masa…

Alhamdulllah, sedar tak sedar, banyak kerja ini mengajar aku untuk menghargai setiap masa lapang yang telah berlalu, serta yang bakal kutempuhi. Memang benar, masa lapang ini merupakan aset tak ternilai. Mahal harganya. Tak terjual, tak terbeli. Jadi, apabila tiba masanya, syukurilah kehadirannya. “Masa itu seperti pedang, jika kita tidak memotongnya, maka ia akan memotong kita.”

Banyak homework juga mengajar aku untuk menjadi insan yang tidak mudah mengeluh. Apalah sangat kerjaku ini nak dibandingkan dengan jihad saudara-saudaraku di Palestin sana? Jadi, wajarkah aku mengeluh?

Banyak homework juga mengajar aku bahawa bukan mudah untuk menuntut ilmu, perlukan pengorbanan, barulah akan nampak sedikit demi sedikit kejayaan yang bakal ditempa. Itulah adat dunia. Yang susah itulah akhirnya manis natijahnya. Begitu jugalah dengan kehidupan. Susah-susahlah dulu di dunia, barulah kemanisan akan dapat dinikmati di akhirat sana.

Banyak homework juga mengajar aku bahawa keberkatan adalah segalanya dalam hidup ini. Tidur, walaupun sekadar 1 jam, seandainya berkat, pastinya akan hilang segala kepenatan yang dirasai. Begitu juga dengan menuntut ilmu, seandainya proses tersebut diberkati, InsyaAllah akan dimudahkan jalan yang bakal ditempuhi.

Create a free website or blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.