Cinta Sepenuh Jiwa!

March 28, 2008 at 9:16 pm | Posted in Renungan | Leave a comment
Tags: ,

Rasulullah

Tatkala Makkah sedang dalam kegawatan akibat diserang oleh tentera bergajah yang diketuai oleh Abrahah, lahirlah seorang bayi lelaki yang diberi nama Muhammad. Lahirnya sudah dalam keadaan bersih – telah siap dikhatankan dan tali pusatnya juga telah dikerat sudah. Kelahiran insan yang bakal menggegarkan dunia ini telah disertakan dengan beberapa buah peristiwa yang sememangnya sangat aneh jika diteliti kembali – Istana Kisra runtuh disebabkan gempa bumi, api sembahan Majusi di Parsi yang telah menyala beribu tahun lamanya padam secara tiba-tiba, berhala-berhala dirian manusia di seluruh dunia juga tertunduk kepalanya kerana malu kepada bayi yang baru dilahirkan itu, dan tidak semena-mena, istana Kota Basrah di Syria juga telah dipancari cahaya putih yang datang dari langit. Tanpa manusia ketika itu sedari, insiden-insiden ajaib inilah sebenarnya petanda bahawa telah lahirnya seorang insan yang bakal membawa rahmat kepada seluruh alam ciptaan Ilahi.

Sememangnya tuhan telah mentarbiah Rasulullah SAW dengan pelbagai cabaran sejak kecil lagi supaya kelak baginda menjadi seorang insan yang cekal. Ayahanda tercintanya telah meninggal dunia saat baginda masih di dalam rahim ibunya lagi. Tidak lama kemudian, ibunya, Aminah juga telah menemui ajalnya tatkala sedang dalam perjalanan menziarahi maqam ayahanda baginda. Dua tahun selepas itu, nenda kesayangannya pula telah pergi dijemput Ilahi. Tinggallah baginda keseorangan mengharungi kepayahan hidup bersama dengan bapa saudaranya, Abu Talib yang sanggup membelanya walaupun beliau sendiri berada dalam kesempitan hidup. Bagi merengankan beban bapa sandaranya, junjungan mulia SAW sanggup melakukan kerja-kerja sampingan seperti mengembala kambing dan berniaga. Di sinilah sebenarnya baginda belajar erti ketabahan dalam kehidupan yang sebenar.

Setelah berumur 40 tahun, bermulalah episod baru dalam kehidupan baginda. Malam tatkala baginda sedang beruzlah dalam Gua Hira’ di pinggir Kota Makkah, baginda telah didatangi oleh Malaikat Jibril yang datang memeluk baginda dan menurunkan wahyu pertama dalam Islam, iaitu surah al-Alaq, ayat satu hingga lima. Baginda yang ketika itu berada dalam ketakutan terus berlari pulang ke rumah. Dengan penuh kelembutan, Khadijah, selaku sayap kiri dalam perjuangan baginda terus menenangkan baginda. Tubuh mulianya diselimutkan dan baginda diminta supaya berehat. Keesokannya baginda telah dibawa berjumpa dengan bapa saudara Khadijah, Waraqah, seorang pendeta yang banyak menelaah kitab-kitab lama. Setelah berbicara dengan baginda, Waraqah dapat melihat dengan jelas tanda kenabian baginda. “Engkau pasti diusir oleh kaummu!” Itulah antara peringatan yang diberikan oleh Waraqah.

Nyata, kata-kata Waraqah itu bukanlah retorik belaka. Setelah proses dakwah dijalankan ke seluruh Kota Makkah yang ketika itu dipenuhi dengan berhala-berhala sembahan kufffar, baginda memang telah diperlakukan dengan teruk. Macam-macam Nabi dikata dan dikeji – Tukang tilik, ahli sihir, orang gila, dan sebagainya, namun baginda tetap bersabar dan berhikmah terhadap semua, sehingga akhirnya Islam semakin tersebar luas ke serata dunia dalam tempoh masa yang amat singkat, 23 tahun. Perjuangan baginda yang sememangnya penuh dengan cabaran ini telah menyebabkan baginda dinobatkan sebagai lelaki paling berpengaruh di dunia oleh sejarawan Kristian, Micheal H. Hart dalam bukunya “The Hundred Most Influential Men in History.”

Wahai sahabat-sahabat seperjuangan sekalian, ingatlah, kerana sabar dan hikmahnya nabi, kita masih dapat merasai nikmat Iman dan Islam pada hari ini. Oleh itu, wajar sekiranya kita mencintai nabi. Para sahabat sanggup mempertahankan Nabi walaupun terpaksa merelakan jasad mereka dihujani panahan pihak kuffar demi memastikan keselamatan nabi terjamin. Adakah kita berbuat demikian pada hari ini, mempertahankan Nabi kala baginda dihina? Lihat sahaja buktinya dalam TAZANS yang bakal diterbitkan esok! )

*Artikel ini telah diterbitkan dalam TAZANS, Tazkirah Andalus edisi 1. Cuma yang ini tak diedit lagi…

Solat Jemaah Perisai Umat Islam

March 8, 2008 at 7:01 pm | Posted in Renungan | 1 Comment
Tags: ,

Salam…

Solat

Solat Hajat

Ya Allah… Terharu rasanya melihatkan umat Islam ramai-ramai solat berjemaah bersama-sama. Tak cukup dengan terharu, gentar pun ada! Bayangkan, jika inilah fenomena umat Islam hari-hari, pasti kita akan semakin digentari oleh pihak kuffar! Pasti mereka tak akan berani untuk mempermainkan junjungan mulia Rasulullah dengan lukisan karikatur hinanya, mempermainkan syiar azan yang sememangnya lambang kekuatan umat Islam, menyembelih saudara-mara seislam kita di serata dunia, dan seribu satu macam lagi penghinaan yang tidak sempat kucoretkan.

Oleh itu duhai sahabat-sahabat seperjuangan sekalian, rajin-rajinkan lah diri kalian untuk sentiasa mengikuti jemaah di masjid-masjid, terutamanya tatkala solat Subuh. Manfaatkanlah musim cuti sekolah yang baru bermula ini untuk sama-sama beristiqamah berjemaah di masjid. Ingat, umat Islam tak akan berjaya sekiranya kita semua culas untuk meredah dingin pagi melangkah ke masjid. Jangan lupa, kitalah generasi Islam yang bakal menggegarkan dunia! Kalau kita tak mampu nak kembali gemilangkan Islam, siapa lagi?

Sirru ala barakatillah!!!

Rasulullah – Benarkah dicintai Sepenuh Hati?

March 7, 2008 at 10:23 am | Posted in Renungan | Leave a comment
Tags:

Menyingkap tirai perbincangan Minggu Muhammad Qudwatuna ini, mari kita kembali bermuhasabah diri. Benarkah kita ini mencintai Rasulullah sepenuh jiwa? Cukupkah jika kita menyatakan perasaan cinta kita kepada baginda hanya ketika menyambut Maulidur Rasul? Benarkah kita dikatakan sebagai umat Rasulullah sekiranya kita hanya mengingati baginda tatkala sambutan Maal Hijrah dan Isra’ Mikraj? Ayuh sahabat seperjuangan, bermuhasabahlah…

Masih ingatkah kita terhadap isu karikatur Nabi Muhammad yang benar-benar melambangkan penghinaan buat umat Islam sedunia? Pada tahun 2005 yang lalu, akhbar Jyllands-Posten yang berpusat di Denmark telah menyiarkan sebuah karikatur yang didakwa sebagai Nabi Muhammad SAW. Karikatur yang dilukis seakan-seakan orang Arab yang memakai serban, dan diserbannya terselit sebutir bom itu benar-benar meruntun emosi kita semua. Tidak cukup dengan itu, pada Januari 2006, karikatur itu telah diterbitkan oleh akhbar-akhbar utama di sekitar Perancis. Semua ini dilakukan oleh pihak kuffar bagi mempermainkan Rasulullah SAW. Malangnya, majoriti umat Islam di Malaysia ini masih gagal untuk mengambil pengiktibaran daripada peristiwa ini.

Isu karikatur ini berlarutan sehinggalah pada tanggal 13 Feb 2008 yang lalu. Pada tanggal ini, karikatur yang menimbulkan polimik ini terus dicetak oleh sebelas buah syarikat akhbar-akhbar utama di Denmark. Stesyen-stesyen television juga tidak melepaskan peluang mereka untuk menyiarkan lukisan pihak kuffar tersebut. Fenomena ini benar-benar menaikkan ammarah sebahagian umat Islam yang peduli. Apabila mereka disoal mengenai tindakan keji itu, dengan sombongnya mereka menjawab,

Dengan karikatur ini, saya hanya ingin menunjukkan betapa fanatiknya umat Islam (yang disebut sebagai terorist semasa ucapannya) menggunakan agama sebagai spiritual dalam melaksanakan keganasan.

(Ucapan Kurt Westergaard, pelukis karikatur tersebut kepada sidang media pada hari Rabu, 13 Feb 2008)

Kami tidak akan meminta maaf kepada umat Islam kerana ini merupakan kebebasan bersuara

(Ucapan Soevndal, pemimpin Parti Rakyat Sosialis kepada sidang media pada hari Ahad, 17 Feb 2008)

Lihatlah betapa dahsyatnya umat Islam diperkotak-katikkan oleh pihak kuffar! Apakah yang boleh kita lakukan? Menurut Sheikh Yusuf al-Qardhawi, sebagai umat Islam yang prihatin, kita perlu memulakan kempen memboikot barangan Denmark. Mungkin ada antara kita yang bersungut tentang larangan ini. Tapi, ketahuilah, inilah cara terbaik buat kita semua. Lihat sahaja usaha pemboikotan yang telah dijalankan pada tahun 2006, Denmark telah kerugian sebanyak 4.6 juta USD. Tidakkah aktiviti ini berkesan?

Buat sahabat-sahabat seperjuanganku sekalian, renungilah diri ini. Di manakah kita tatkala junjungan mulia kita dihina bertalu-talu oleh Barat? Adakah kita bangkit mempertahankan martabat baginda sebagai kekasih Allah, ataupun kita terus leka dengan kemewahan dunia sehingga tidak mengambil pusing hal-hal begini? Mungkin antara kita ramai yang beranggapan bahawa isu ini terlalu “berat” untuk dicerna oleh diri ini yang masih bergelar pelajar, namun berfikirlah dengan matang! Kalau bukan kita generasi Soleh wa Musleh yang mahu mengambil peduli tentang isu ini, siapa lagi yang bakal peduli? Ayuhlah kita bermuhasabah. Mentaliti “aku tidak peduli” ini wajar dihapuskan secepat mungkin. Kalau tidak, kitalah yang akan terus menerima bahananya!

Blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.