Berakhir dah

December 17, 2009 at 9:37 am | Posted in Ikhwanul Fifteen, Imtihan, Sekolahku | 3 Comments
Tags: , ,

Alhamdulillah, SPM sudah pun berlalu meninggalkan kami semua. Bermula dengan Bahasa Melayu pada tanggal 18 November lalu, sehinggalah Syariah Islamiah pada 16 Disember, SPM berlalu pergi dari kamus kehidupan kami sambil meninggalkan bunga-bunga kenangan yang sukar kulupakan.

Ada hari yang aku rasa seronok, ada yang kadang-kadang aku mengenang kertas yang telah berlalu itu dalam kesedihan. Hemm, itulah fitrah kehidupan. Allah tak akan ciptakan semuanya senang dan mudah buat hambanya supaya kita semua beringat-ingat.

Kiranya, semalam, 16 Disember merupakan hari terakhir aku menyarung seragam sekolah – tudung biru, baju kurung putih, dan kain biru cerah. Selepas ini, semuanya akan kekal menjadi kenangan terindah dalam hidupku. Buat sahabat-sahabatku, aku takĀ  tahulah bila lagi aku mampu ketemu kalian dalam suasana persekolahan dan peperiksaan lagi. Selamatlah kalian berkelana untuk program eksplorasi.

Buat diriku, ayuh kita sambut Maal Hijrah yang bakal , mendatang ini dengan azam dan semangat yang baru, kerana hakikatnya, Maal Hijrah kali ini turut menyaksikan aku berhijrah ke “alam” yang baru – dari SMI al-Amin ke Darul Quran, JAKIM, InsyaAllah.

Selamat tinggal alam persekolahan yang serba indah dan sarat dengan kenangan. Aku akan mengenang saat-saat ini sebagai salah satu kenangan termanis dalam hayatku.

Ikhwanul 15

Calon SPM 2009 SMIAAG

Blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.