Eksplorasi Aidilfitri

September 24, 2009 at 9:57 am | Posted in Citra Kehidupan, Usrati | 1 Comment

Datangnya Syawal, berlalunya trial SPM. Rasa seronok tak terhingga kerana bebanan trial dah diangkat. Selain pulang ke kampung bertemu saudara mara, aku juga seronok membantu nenek di dapur. Di sebalik kenikmatan menziarahi saudara-mara yang telah lama tidak ketemu, aku juga sedih memikirkan kebiasaan kami mengira wang zakat fitrah yang dikutip oleh atuk untuk dibankkan. Ya, itu hanya tinggal kenangan apabila atuk dijemput bertemu Ilahi sebelum sempat bertemu dengan Ramadhan 1430H.

Aktiviti mengira duit zakat fitrah... (Gambar tahun lepas)

Aktiviti mengira duit zakat fitrah... (Gambar tahun lepas)

Raya kali ini turut diceriakan dengan buku-buku yang menjadi tempat aku melepaskan nafsu yang telah lama kutahan-tahan tatkala trial SPM yang telah berlalu.

1. Palestin Tak Pernah Gentar! Fatwa Kontemporari dan Penyelesaiannya

Palestin Tak Pernah Gentar

Palestin Tak Pernah Gentar

Buku ini tersangatlah menarik kerana berjaya menambahkan pengetahuanku tentang gelora yang sentiasa menghambat bumi al-Aqsa tercinta.

2. Hulagu Khan Khabar Hitam dari Timur

Hulagu Khan Khabar Hitam Dari Timur

Hulagu Khan Khabar Hitam Dari Timur

Buku ini menarik kerana menceritakan sejarah kejatuhan khilafah Abbasiyah yang sangat menjelikkan dek kerana penyakit “wahan”, cintakan dunia dan takutkan kematian yang dialami oleh khalifah-khalifahnya. Akhirnya, khilafah Abbasiyah yang mahsyur dek kegemilangan ilmunya runtuh di tangan tentera monggol yang buta huruf. Sungguh, kisah ini ibrah buat kita semua!

3. Rahsia Islam di China, Gemilang di Sebalik Tembok Besar China

Rahsia Islam di China

Rahsia Islam di China

Buku ini menceritakan tentang perjuangan masyarakat Islam China, bermula dengan kegemilangannya, sehinggalah ke saat ini, di mana mereka ditindas dengan sangat kejam. Pembunuhan berlaku di mana-mana, terutamanya wilayah yang majoriti penduduknya Islam seperti di Xinjiang, namun masyarakat di sana masih mempertahankan kemurnian aqidah mereka.

4. Travelog Haji Merentasi Sempadan Iman

Travelog Haji Mengubah Sempadan Iman

Travelog Haji Mengubah Sempadan Iman

Kisah dan pengalaman Prof Muhd Kamil Ibrahim mengerjakan haji yang diceritakan dengan penuh tawadduk. Banyak ibrah dapat dikutip daripada coretan penuh bermakna beliau.

5. Laskar Pelangi

Laskar Pelangi

Laskar Pelangi

Karya Andrea Hirata yang mencengkam kalbu. Membacanya ada kala gembira, teruja, tak kurang juga babak-babak sedih dan menyebabkan aku terkilan. Novel yang menyedarkanku betapa berharganya pendidikan yang kulalui, dan betapa masih ramai anak-anak genius di luar sana yang terpaksa menggadaikan pendidikan dan masa hadapan mereka demi menyara keluarga yang lebih memerlukan mereka.

Raya kali ini juga, aku berjaya download:

1. Doa Khatam Quran Ramadhan 1430H di Makkah dan Madinah

2. Takbir Raya di Masjidil Haram.

Sesiapa nak mendapatkannya, boleh pergi ke http://www.haramainrecordings.com

Raya kali ini juga, aku pergi menziarahi sepupuku, Nabiil Ahmadi yang terpaksa menyambut Eid di Hospital Serdang. Nabiil dimasukkan ke hospital pada malam 26 Ramadhan kerana mengadu sakit dada. Beliau disahkan mengalami pneumonia. Rupa-rupanya, sejak lahir, sebelah paru-parunya tidak tumbuh seiring dengan peningkatan usia. Selama ini, beliau hanya gunakan paru-parunya sebelah sahaja, iaitu bahagian yang sihat. Apabila bahagian yang sihat itu terkena jangkitan kuman, paru-paru tersebut tidak dapat bertahan.

Nabiil - Kat depan sekali pakai baju warna kuning-hitam-merah

Nabiil - Kat depan sekali pakai baju warna kuning-hitam-merah

Kasihan Nabiil, usianya baru 7 tahun, tapi dah diuji Allah sebegini berat sekali. Syafakallah, sepupuku.

Raya ke-4, kami juga pergi ke Melaka, menziarahi nenek saudaraku (adik ipar nenek) yang disahkan mengidap kanser usus. Beliau dimasukkan ke Hospital Melaka. Syafakillah.

Di Sebalik Ramadhan…

September 19, 2009 at 5:00 pm | Posted in Citra Kehidupan, Imtihan, Renungan, Usrati | Leave a comment
Tags: ,

Menghitung hari-hari Ramadan, aku punya cerita tersendiri. Tentu sahaja, tatkala Ramadhan menjelma, masing-masing meletakkan target peribadi, berkisar tentang amalan-amalan bagi menghidupkan bulan ini. Almaklumlah, Ramadan, menurut para sahabat, hanya ada tiga amalan utama, iaitu saum, qiam, dan quran.

Dalam merealisasikan target ini, banyak pengalaman baru telah kutempuhi. Alhamdulillah, kesemuanya telah berjaya meluaskan dimensi pemikiranku.

Ramadan-Tarawih dan Iktikaf

Aku belajar untuk bersikap terbuka dan berlapang dada dengan sesiapa sahaja. Misalnya, tatkala solat, aku kadang-kadang sedikit terganggu dan naik berang dengan telatah kakak yang entah dari negara mana entah yang solat sambil memegang Quran, dan dalam masa yang sama mengikut bacaan imam tersebut sambil melafazkannya kuat-kuat. Mula-mula, aku memang bengang juga lah dengan kakak tersebut, almaklumlah perbuatannya menganggu solatku. Namun, apabila difikir-fikirkan kembali, aku tak patut marah dengan kelakuan tersebut. Mungkin ada sebab musabab yang menyebabkannya berbuat demikian. Andai aku berlapang dada, pasti Allah lebih suka. Astaghfirullah…

Aku belajar bahawa teguran secara berhikmah mampu memberikan kesan positif. Sejak dahulu, apabila solat tarawih telah masuk fasa-fasanya yang payah, melibatkan juzu’ 17, 18, dan ke atas yang aku tak masyi’, aku gemar memegang al-Quran ketika solat. Namun, tahun ini, Allah telah memberiku hidayah melalui seorang kakak UIA ini yang telah menegurku dengan sungguh lembut dan berhikmah mengenai tabiat ku ini. Lalu, dia sama-sama mengajakku untuk cuba memahamkan maksud ayat-ayat yang dibaca tanpa merujuk pada al-Quran. Mula-mula, aku merasa ragu-ragu. Mampukah dengan penguasaan Bahasa Arab yang terbatas ini aku berbuat sedemikian? Namun setelah mencubanya, Alhamdulillah, Allah telah membantuku dan kelazatannya cukup nikmat. Aku menghargai teguran tersebut dan dalam diam-diam aku berazam untuk memperkasa Bahasa Arabku bukan sekadar untuk SPM tapi kerana ia merupakan bahasa al-Quran. Terima kasih kak Aishah atas teguran akak! Barakallahu fi ki.

Aku belajar untuk tidak terus-menerus menjadi hamba nafsuku terutamanya dalam hal-hal ibadah. Tatkala solat Isya’, Tarawih, hatta Tahajud dan Subuh yang pagi-pagi buta tu pun, nafsu menjerit-jerit mahukan kipas buat menyejukkan badan dan kononnya menenteramkan jiwa. Dalam hal ini, aku sememangnya tidak terkecuali. Kalau boleh, aku nak cop cepat-cepat kawasan solat yang kena kipas dan kemudian tak nak gerak-gerak dah. Kadang-kadang, apabila dah capai tahap kronik, aku tak nak gerak ke saf hadapan pun walaupun ketika itu saf tersebut kosong semata-mata demi kipas! Namun, apabila semua orang tak nak gerak dek disihir kipas, aku pun geraklah. Mula-mula, hati mengerutu menahan marah sebab terpaksa lepaskan kipas. Tapi, bila diingat-ingat balik, aku solat kerana Allah ke kerana kipas? Astaghfirullah…

Ramadan – Trial SPM

Aku belajar untuk bertanya hatta orang tersebut tidak kukenali dengan mendalam. Alhamdulillah, sikap tak maluku ini memberi manfaat buatku. Dalam hal ini, sekalung penghargaan sekali lagi buat kak Aishah. Asalnya, aku tak kenal pun akak ini, namun, memandangkan esok imtihan Bahasa Arab, dan ada satu soalan yang aku tak faham kenapa jawapannya macam tu, aku nekad menegur kakak yang memakai jaket yang menunjukkan kakak ini datang daripada Kelab Debat BA UIAM. Pada hematku, kakak ini mesti tahu Arab dan boleh menolongku yang terdesak ini. Alhamdulillah, soalanku terjawab. Begitu juga untuk PSI, bab Usul Fiqh tingkatan 5, kakak ini juga yang menolongku. Semoga Allah membalas jasa-jasamu dengan ganjaran-ganjaran yang selayaknya.

Berlalunya Ramadan, aku tak pasti, adakah kemerdekaan yang hakiki, iaitu bebas daripada penjajahan hawa nafsu dan syaitan itu mampu aku gapai atau tidak? Apakah jaminan untuk aku terus istiqamah dengan amalan-amalan yang berjaya dihidupkan sepanjang bulan ini? Adakah Ramadan akan datang menjadi milikku? Jawapannya kita nantikan selepas beberapa bulan Ramadan pergi meninggalkan kita. Kita sendiri menghakimi diri kita.

Sepanjang Ramadhan ini, aku bersyukur kerana masih ditemani oleh keluarga tercinta, buka, sahur, tarawih, iktikaf, semua dibuat secara bersama. Tahun depan, aku pasti akan merindui suasana sebegini andai Allah menetapkanku berkelana jauh dari keluarga kecintaanku. Aku juga bersyukur kerana diberi kesempatan, kemampuan, kesihatan, dan keinginan oleh Allah untuk menghidupkan bulan ini. Aku juga bersyukur kerana dipertemukan oleh Allah dengan insan-insan yang berusaha mengislahkan diriku sepanjang Ramadan ini seperti Kak Aishah dan lain-lain. Aku juga bersyukur kerana diberi Allah kekuatan untuk memahami ayat-ayatmu sedikit sebanyak. Terima kasih ya Allah atas segala nikmatmu. Masukkanlah aku ya Allah ke dalam hamba-hamba mu yang bersyukur dengan kurnian-kurnian mu.

Ramadan, kurang dua jam sahaja lagi engkau akan berlalu meninggalkan ku. Janganlah engkau tinggalkanku dalam keadaan aku kerugian Semoga aku bertemu denganmu tahun hadapan dengan keadaan yang lebih baik dari tahun ini. Amin ya Rabbal Alamin. Eid Mubarak. Taqabbalallahu Minna Wa Minkum!

Create a free website or blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.