Beragama Tanpa Agama?

January 22, 2008 at 10:01 pm | Posted in Cetusan Pemikiran, Renungan | Leave a comment
Tags: ,

Beragama tanpa agama?

Islam

Entah mengapa, sejak kebelakangan ini, aku amat gemar berfikir mengenai soalan ini. Beragama tanpa agama, inikah realiti kita hari ini?

Sukar untuk kuungkapkan, namun, jauh di sudut hati, aku rasa jawapannya benar. Situasi ini benar-benar menghantui masyarakat kita. Realitinya hari ini, makin ramai antara kita yang mahu, ataupun terpaksa mendalami Islam, sama ada melalui silibus pembelajaran yang diamalkan di sekolah-sekolah mahupun di universiti, usrah yang diikuti dengan hati yang terbuka, program-program serta ceramah-ceramah yang dihadiri, segalanya mampu menambahkan kefahaman kita tentang ad-Deen yang sebenarnya bertakhta di hati ini. Semakin hari, semakin bertambah ilmu kita mengenai Islam. Namun, adakah dengan bertambahnya ilmu ini, kita mampu menjadi insan yang benar-benar beragama? Adakah dengan faham sahaja, kita mampu berubah menjadi muslim sejati? Semudah itukah caranya?

Ramai antara kita hari ini yang “mengaku” beragama, dan merasakan diri mereka benar-benar beragama, tapi hakikatnya, jauh daripada tuntutan syariat yang telah digariskan ad-deen yang tercinta.

AQ

Masih ramai antara kita yang begitu sibuk membaca dan menghafal teks-teks aturan agama, bagi menambahkan kefahaman mengenai ad-Deen tercinta. Tapi, adakah sebenarnya kita menghayati apa yang cuba difahami? Tidak, sebenarnya kita hanya memahami, tanpa cuba untuk menghayati dan menamsilkannya dalam kehidupan sehari-hari!

Itulah kita. Agama hanya menjadi ritual, tidak lebih dari itu. Roh agama sudah lenyap entah ke mana.

Andai kita benar-benar beragama dengan agama yang kita imani, tidak akan wujudnya generasi yang hanya pandai berselindung di sebalik nama agama, tetapi sebenarnya jika dihalusi, akhlak mereka jauh daripada apa yang dituntut oleh al-Quran dan as-Sunnah! Cakapnya kasar tidak berhemah, kalamnya adakalanya benar, adakalanya tidak…sehinggakan sukar untuk dibuktikan kesahihannya. Keadaan ini bertambah parah apabila wujudnya kepentingan kepada diri setiap individu itu. Apabila motif keduniaan ini dijadikan kiblat, maka rosaklah semuanya!

Di alam maya ini pula, golongan ini terus mencipta masalah. Lihat sahaja di laman-laman web yang menawarkan diskusi Islam, semestinya tidak boleh lari daripada terlihat komen-komen yang menyakitkan hati. Ramai antara kita yang “mengaku” beragama ini memberikan komen-komen tajam, ultra, ekstrim, penuh unsur “tidak kisah”, sehingga benar-benar menyebabkan hati ini terluka. Hari-hari, golongan Salafi dihentam, tabligh disembelih, dan tidak terkecuali, gerakan-gerakan Islam juga turut menerima panahannya. Yang sedihnya, kebiadaban mereka ini tersarung disebalik jenama Islam yang ditaja. Atas tujuan memurnikan Aqidah, atas tujuan memperjuangkan Sunnah, atas tujuan membanteras Bidaah, akhirnya, Akhlak dijadikan mangsa. Seterusnya, perpaduan ummah ini juga yang akan menerima padahnya.

Inikah kita hari ini?

Lupakah kita pada hadis nabi yang bermaksud,

Akan tiba satu zaman, di mana ketika itu tiada yang tinggal daripada Islam kecuali namanya sahaja, tidak ada yang tinggal daripada al-Quran melainkan tulisannya sahaja, Masjid-masjidnya indah dan mewah, tapi jauh daripada hidayah Allah, dan ulama’-ulama’ di zaman itu merupakan sejahat-jahat manusia, dari mereka keluarnya fitnah, dan akan kembali fitnah tersebut kepada mereka.
(Riwayat Baihaqi)

Inginkah kita menjadi sejahat-jahat manusia seperti yang telah disebut oleh Baginda Nabi SAW?

Walau sedalam manapun ilmu agama yang ditimba, itu semua tidak akan berguna selagi kita tidak mampu mempraktikkannya dalam kehidupan seharian. Tidak ada manfaatnya ijazah yang diraih jika kita hanya mampu berteori sahaja, tak lebih dari itu. Ingat, akhlak itu bukannya permainan yang boleh dibiarkan terbuang begitu sahaja. Tapi, akhlak itulah cerminan diri seseorang insan.

Ingat, dalam ilmu fiqh, kita dibenarkan berkhilaf. Tapi, wujudkah khilaf dalam akhlak?

 

Wassalam

Alahai PMRI…

January 2, 2008 at 12:22 pm | Posted in Imtihan, Renungan, Sekolahku | 12 Comments
Tags: ,

Assalamualaikum Warahmatullah.

Setelah hampir dua bulan tulisanku mengenai kredibiliti Penilaian Menengah Rendah Islam (PMRI) yang dijalankan oleh pihak SMIAAG dipolimikkan oleh pelbagai pihak di ruang maya ini (PMRI Diabaikan? dan Jawapan Pihak Sekolah Mengenai Isu PMRI), aku masih gagal melihat keberkesanannya. Keadaan tetap tidak berubah! Sehingga kini, aku masih boleh menyimpulkan bahawa sistem penilaian yang telah dijalankan oleh al-Amin sejak zaman berzaman ini masih lagi diabaikan!

Ketika keputusan PMR dan PMRI diumumkan pada tanggal 27 Disember 2007 yang lalu, aku melihat masih ramai ibu bapa dan para pelajar yang tidak mengendahkan keputusan PMRI yang turut diletakkan bersama dalam sampul surat yang diberi. (Bukan semua, aku tidak menafikan keprihatinan sebahagian ibu bapa dan pelajar yang terhadap imtihan PMRI ini! Syukran. Sikap terpuji kalian amatlah bernilai buat institusi pendidikan yang kian diancam oleh pelbagai masalah ini.) Suasana ini diburukkan lagi dengan tindakan pihak sekolah yang tidak menampal keputusan PMRI di papan kenyataan sekolah. Hanya slip keputusan PMR yang telah dikeluarkan oleh pihak kementerian sahaja yang ditampal. Mungkin pihak sekolah memang tidak menyediakan keputusan PMRI tersebut. Namun, sebagai sebuah sekolah rangkaian Musleh yang penubuhannya berlandaskan kepada Falsafah Pendidikan Islam, keadaan ini tidak sepatutnya berlaku. Sikap pihak sekolah yang memandang ringan akan peperiksaan PMRI ini hanya akan membantutkan cita-cita murni yang telah didokongi bersama sejak zaman berzaman iaitu “melahirkan pelajar yang Soleh dan Musleh.”

Mungkin bagi pihak sekolah, masalah ini bukanlah masalah yang besar. Namun, bagi ibu bapa yang prihatin, kegagalan pihak sekolah mempamerkan keputusan PMRI tersebut di papan kenyataan sekolah bersekali dengan keputusan PMR benar-benar mencerminkan sikap pihak sekolah yang memandang enteng terhadap sistem penilaian ini. Bukankah imtihan PMRI ini keduduannya sama dengan PMR? Malah, menurut pihak sekolah, imtihan PMRI ini lebih penting daripada PMR. Ini kerana, sesiapa yang tidak lulus PMRI tidak boleh menyambung tingkatan 4 di sekolah ini. (Rujuk kenyataan Cikgu Alia, komen no 4.) Oleh itu, pihak sekolah sepatutnya berusaha “menampakkan” kepada ibu bapa dan para pelajar bahawa PMRI itu penting! Jika pihak sekolah masih bersikap begini, tidak hairanlah kalau ibu bapa pun tak ambil pusing isu PMRI ini. Mana mungkin ibu bapa akan menitik beratkan imtihan ini kepada anak-anak mereka jika mereka melihat pihak sekolah pun hanya bersikap “hangat-hangat tahi ayam” sahaja terhadap PMRI ini.

Mustahil pihak sekolah tidak mengetahui bahawa papan kenyataan yang mempamerkan keputusan PMR itu sentiasa menjadi rujukan sekalian warga al-Amin yang hendak mengetahui apa kesudahannya PMR dan PMRI 2007. Malangnya, mereka yang melihat papan itu hanya akan mengetahui keputusan PMR sahaja. Keadaan ini menyebabkan ramai ibu bapa yang tertanya-tanya, “berapa orang sebenarnya yang dapat Mumtaz dalam PMRI? Keputusan tak tampal pun. Yang ada keputusan PMR je…” Pernah seorang guru sekolah rendah bertanya kepadaku, “berapa orang yang dapat 9A dan Mumtaz sekaligus?” Aku yang sememangnya tidak tahu tentang fakta sebenar hanya menggelengkan kepala.

Secara keseluruhannya, aku benar-benar kecewa dengan sikap pihak sekolah yang seolah-olah hanya memandang enteng imtihan PMRI ini. Sudah berkali-kali kukatakan, hanya subjek-subjek Syariah ini merupakan keistimewaan yang wujud di al-Amin jika hendak dibandingkan dengan sekolah-sekolah kebangsaan biasa. Setakat hendak mencapai keputusan PMR 9A, masih banyak sekolah kebangsaan yang menawarkan khidmat tersebut. Kalau pihak sekolah sendiripun sudah tidak mempedulikan lagi imtihan ini, nampaknya, al-Amin akan kehilangan keistimewannya lagi, seterusnya akan menjadi pusat pendidikan yang setara dengan sekolah kebangsaan yang dimiliki oleh kerajaan!

Beberapa hari yang lepas, keluarlah analisis keputusan PMR 2007 yang dihebahkan melalui internet. Yang anehnya, di mana perginya analisis keputusan PMRI 2007? Ataupun, memang PMRI 2007 tidak akan dianalisiskan? Ini tandanya kita menitik beratkan PMRI? Ini tandanya PMRI lebih penting daripada PMR? Ayuhlah kita bermuhasabah. Kita serahkanlah kepada pihak sekolah untuk menjawabnya…

Wassalam.

Blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.