Tag Mahabbah

September 28, 2008 at 8:59 am | Posted in Citra Kehidupan | 2 Comments
Tags:

Alhamdulillah, ana telah di tag oleh Cikgu Arasy dengan tag mahabbah yang cute ni. InsyaAllah, ana akan tag lima orang lagi sahabat-sahabat ana yang bertuah. Paparkanlah gambar cute ini di blog anda. Lima orang sahabat yang bertuah itu ialah:

Nurazah Fathirah (cermin tamsilan diriku)

Aisyah Syakirah (ceria selalu)

Aliyah Syahirah (selalu update blog)

Aimi Hanisah (yang menceriakan kehidupanku)

Syahida (Miss you always!)

Yang lain bukan tak bertuah, tapi tak leh nak pilih dah… =) Eid Mubarak to all…

Mabuk Novel

September 28, 2008 at 8:31 am | Posted in Citra Kehidupan, Renungan | 9 Comments
Tags: ,

Semalam, aku rasa aku bukannya berada dalam dunia realiti. Fikiranku asyik merawang-rawang entah ke mana. Aku tenggelam timbul dibuai novel 1511H Kombat, karya Faisal Tehrani. Mula-mula, adikku asyik mengulit novel tersebut. Katanya best. Timbul keinginanku untuk turut membacanya.

Novel inilah yang membuatkan aku dilanda mabuk.

Novel inilah yang membuatkan aku dilanda mabuk.

Alkisahnya, susai Tarawih, aku duduk terbaring di atas katil. Tanganku memegang novel berwarna biru gelap tersebut. Hajat hati, aku hanya nak membaca seperenggan dua sahaja sebagai muqaddimah, kemudian, aku berazam nak membaca al-Quran kurang-kurang habis sehizb, barulah memulakan ekspedisi menawan novel tersebut.

Lepas seperenggan, seperenggan aku baca. Daripada semuka, berkembang menjadi sehelai, seterusnya habis satu bab, aku terus membaca. Azamku untuk membaca al-Quran sebentar tadi semakin pudar kurasakan. Novel tersebut terus berada di genggamanku. Dan aku terus membacanya.

Fikiranku melayang-layang sama dengan novel yang membicarakan tentang kegemilangan Islam pada masa hadapan ini. Juga menceritakan sedikit sebanyak sejarah Yahudi Laknatullah. Juga mengingatkan kepadaku betapa ilmu adalah penting untuk kita umat Islam menentang pihak kuffar. (Untuk sinopsisnya, tekan di sini). Komander Muhammad Ameen, Emrullah, cyborg, cypher, mikraj, dan sebagainya terbayang-bayang di fikiranku. Terasa seolah-olah aku sedang berjuang menawan Amerika bersama dengan mereka. Pancaran laser dan ledakan bom terasa menujah-nujah ruang fikiranku.

Entah bila aku tertidur, aku tidak pasti. Dalam tidurku, aku turut terbayang-bayang bahawa aku sedang berjuang sepenuh jiwa bagi menawan Amerika yang telah lama menindas umat Islam di serata dunia. (Moga-moga ruh jihadku dalam tidur ini benar-benar menjadi realiti)

Diriku terasa penat walaupun aku sedang tidur. Mungkin kerana fikiranku sedang kacau! Perasaan letih dan lesu menguasai diriku.

Tatkala menjelang pagi, (dalam pukul 3:15 pagi), mak mengejutku untuk bangun qiam. Aduhai, terasa bertanya nak bangun. Di cepu kepalaku, masih terbayang pancaran-pancaran laser dan letusan-letusan bom yang sudah sekian lama menguasai fikiranku. Aku tertidur kembali. Tatkala itu, terasa aku gagal membezakan mana realiti dan mana satu ilusi.

Akhirnya, pukul 3:40, aku kembali dikejut oleh mak. Mak memarahiku atas kelewatan diriku hendak bersiap untuk ke SHAS Mosque bagi melaksanakan qiam jamaie.

Ya Allah, teruknya aku tatkala dilanda mabuk novel. Alhamdulillah, aku sudahpun menawan novel ini. Baru saja tadi. Semoga lepas-lepas ini, aku boleh memberikan seratus peratus tumpuan melipat gandakan ibadah menjelang akhir Ramadhan ini!

Lisanul Haq

September 27, 2008 at 4:16 pm | Posted in Sekolahku | 11 Comments
Tags: ,

Alhamdulillah. Bi iznillah, Lisanul Haq kali ini berjaya dikeluarkan. Selamat berpuasa dan memburu Lailatul Qadr buat semua kakitangan sekolah, guru-guru serta seluruh pelajar SMIAAG.

Lisanul Haq kali ini menyorot kembali, satu demi satu keletah serta perangai warga al-Amin tatkala berhadapan dengan Ramadhan. Ada yang benar-benar berusaha untuk beribadah, dan ada juga yang tidak ada perasaan pun berhadapan dengan bulan penuh keberkatan ini.

Ambillah sebanyak pengiktibaran yang mungkin. Baca, fahami dan amalkan. Ilmu yang sedikit jika diamal lebih baik daripada ilmu setinggi gunung tapi tidak berguna kepada ummah.

Terima kasih kepada saudari Damia, Xephora, Khadeeja, dan Saudara Ibrahim (kesudian menyumbangkan komik. Saudari Nurazah (muka depan), dan saudari Nabilah serta Nurazlina (artikel). Barakallahu Fikum.

Selamat mencerna Lisanul Haq Edisi Khas Ramadhan ini!

Aduhai… Lisanul Haq tanpa editor yang disaluti kekucar-kaciran. Ana selaku wakil MATAN ANDALUS (bukan editor Lisanul Haq) ingin meminta maaf atas segala keributan yang berlaku, khususnya buat ikhwan tingkatan lima kerana keterlanjuran dalam komik Do’s and Dont’s in Ramadhan.

Komik tersebut telah terlanjur disiarkan, tanpa ditapis. Mungkin kerana kami, beberapa orang banat yang menghadap Lisanul Haq tersebut tidak perasan makna dan isi yang terkandung di sebalik lukisan tersebut. Hatta Cikgu Rusyida pun tak perasan tentang perkara tersebut. Mungkin juga sebab kami tak menjiwai dan tak mengambil peduli isu pertelingkahan antara antum ini. Dan juga, mungkin sebab kami membuat Lisanul Haq ini dalam keadaan terkejar-kejar dan tidak berapa sihat (demam dan sakit kepala).

Apa-apapun, terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan Lisanul Haq edisi khas Ramadhan ini. Termasuklah kepada sesiapa yang tolong dapatkan kelulusan Cikgu Rusyida (akh Hasif), hantar fotostet (ukht Azah), tolong lipat (ukht Maryam, Mariah, kak Raby, cikgu Farhah, cikgu Akma, dan akh Zufar) dan tolong tumpangkan kereta ke kedai fotostet (kak Sh Amina). Barakallahu fikum.

p/s: Pesan ana, apabila diulit isu yang agak taboo macam ini, jangan dibesar-besarkan dalam blog. Mungkin ianya akan menjadi muqaddimah kepada fitnah yang lebih besar!

Ramadhan – Adakah Kita Memanfaatkannya?

September 23, 2008 at 1:52 pm | Posted in Cetusan Pemikiran, Renungan, Sekolahku | Leave a comment
Tags: ,

Bulan Ramadhan datang dan pergi setiap tahun. Kedatangan Ramadhan sering disambut penuh kemeriahan oleh orang-orang yang beriman, supaya mereka mencapai takah TAQWA yang dijanjikan Allah buat mereka yang benar-benar menghidupkan Ramadhan.

Begitulah suasana yang penulis rasakan di Sekolah Menengah Islam al-Amin. Alhamdulillah, di sini, Ramadhan sememangnya disambut penuh kemeriahan. Pelbagai program yang bertujuan untuk menghidupkan Ramadhan telah direncana oleh sekalian guru-guru – program tadarus, iktikaf, tazkirah-tazkirah yang sering diberikan oleh guru-guru secara tidak langsung, dan sebagainya benar-benar membuka ruang yang luas buat semua murid untuk mengimarahkan Ramadhan.

RAMADHAN – ADAKAH KITA MEMANFAATKANNYA?

Namun, sejauh manakah kita memanfaatkan peluang yang telah disediakan ini?

Entahlah, menurut pandangan peribadi penulis, penulis masih merasakan bahawa murid-murid al-Amin, secara puratanya, tidak menghargai segala peluang yang telah dihamparkan kepada mereka ini. Lihat sahaja ketika waktu Tadarus, masih ramai antara kita (bukan semua) yang sengaja berjalan lambat-lambat ke surau, terkedek-kedek, ataupun istilah lainnya bagai itik pulang petang! Waktu tadarus selama setengah jam yang diperuntukkan, adakalanya habis 15 minit menanti insan-insan bertuah ini tiba di surau. Tidakkah kalian rasa, perbuatan kalian tersebut merugikan diri kalian dan juga kumpulan tadarus kalian?

TADARUS

Bukankah al-Quran sepatutnya bertakhta di hati kita?

Bukankah al-Quran sepatutnya bertakhta di hati kita?

Ada juga antara kita yang datang untuk tadarus, tapi tidak membawa al-Quran. Sudahlah tidak membawa al-Quran, malas pula hendak mencari al-Quran yang disediakan oleh sekolah di sekeliling surau. Entahlah, secara peribadinya, penulis hairan dengan golongan seperti ini. Kalau kita sudah tanamkan niat nak membaca al-Quran apabila tiba di surau nanti, mengapa tidak kita membawa al-Quran? Seandainya kita tidak membawa al-Quran sendiri, mengapa begitu malas untuk mencari al-Quran yang disediakan oleh pihak sekolah? Akhirnya, golongan seperti ini terpaksa meminjam al-Quran sahabat sehalaqahnya. Tak ke namanya tu menyusahkan sahabat sendiri…

IIKTIKAF

Menyentuh bab iktikaf, penulis berasa sedikit hairan. Walaupun kita tahu bahawa surau itu merupakan rumah Allah, mengapa mulut kita masih bising apabila berada dalam surau? Di mana hilangnya rasa hormat murid-murid SMIAAG kepada rumah Allah tersebut? Tidak rasa berdosakah kita? Mengapa tidak kita gantikan budaya bersembang di rumah Allah tersebut dengan budaya membaca al-Quran? Tidakkah itu lebih mulia di sisi Allah? Ayuh kita renung-renungkan.

DALAM KELAS

Seterusnya, perasaan sedih mengetuk sanubari penulis apabila melihat tidak ramai anak-anak al-Amin yang betul-betul memanfaatkan kedatangan bulan Ramadhan ini. Apabila guru tidak masuk ke kelas, kita lebih gemar untuk bersembang dan bergelak tawa dengan sahabat-sahabat daripada membaca al-Quran. Lebih menyedihkan lagi, ada antara kita yang sering mengumpat sahabat-sahabat lain tatkala tiba masa lapang. Keadaan ini penulis lihat berlaku di mana-mana sahaja, hatta di kelas penulis sendiripun. Mengapa tidak kita manfaatkan setiap picing nan berharga dalam bulan Ramadhan ini untuk membaca al-Quran, atau setidak-tidaknya mendiamkan diri merenung segala dosa-dosa yang telah kita lakukan. Bukankah itu lebih aula daripada asyik bersembang tak tentu pasal?

Akhir kata, ambillah segala teguran yang disampaikan ini untuk menjadi peringatan buat diri kita, termasuklah diri penulis sendiri. Hayatilah setiap detik yang lalu. Jangan kita termasuk dalam golongan-golongan yang rugi menjelang akhir Ramadhan ini!

Di Kuantan

September 20, 2008 at 1:29 pm | Posted in Citra Kehidupan, Usrati | Leave a comment
Tags:

Tatkala sedang sibuk mendengar pengajaran Cikgu Arasy dengan mauduk Dynamic Ecosystem, tumpuanku sedikit teralih. Ada seseorang mengetuk pintu. Pada hematku, yang mengetuk ini pastinya bukannya datang dari kalangan pelajar. Selalunya, Cikgu Arasy pastinya tidak senang seandainya ada pelajar-pelajar lain datang menganggu kelas kami. Namun, kali ini ketukan itu disambut dengan riak penuh mesra.

KE KUANTAN

Rupa-rupanya, yang mengutuk tersebut ialah seorang yang amat kukenali – IBUKU! Aduh, gugup seketika rasanya. Alkisahnya, mak dan abah datang mengambil kami, aku dan Azhari dari sekolah kerana hendak pulang ke Kuantan. Katanya, Nek Long Wok (sepupu atuk) telah meninggal dunia. Allahyarhamah merupakan seorang insan yang agak rapat dengan keluarga kami.

Kami bertolak dari Taman Greenwood lebih kurang pukul 11 pagi. Aku tertidur sepanjang perjalanan – mungkin keletihan selepas iktikaf. (Hahaha, amacam tak letih? Tidur pukul satu lebih, walaupun sepatutnya tidur pukul 11! Tu lah, sembang punya pasal! Individu yang bertanggungjawab terhadap insiden ni, Nabilah dengan Azah. Hahaha…) Tiba di Kuantan lebih kurang pukul dua petang.

DISAMBUT SEPUPU-SEPUPUKU

Wa dan Hafiz. Sepupu-sepupuku yang comel!

Wa dan Hafiz. Sepupu-sepupuku yang comel!

Kami disambut dengan penuh ceria oleh Najwa, sepupuku. Baru berusia lima tahun, tapi sudah belajar berpuasa. Hafiz, juga sepupuku tertidur keletihan di atas sofa. Katanya, penat berpuasa. Seronok melihat ragam comel sepupu-sepupuku berpuasa. Buat seketika, sepanjang bulan Ramadhan ini, tiadalah aktiviti bermain dekat tanah petang-petang. Semuanya melenggok kepenatan. Buat semua sepupu-sepupuku, tahniah ke atas kalian kerana berjaya berpuasa menjelang Ramadhan kali ini!

Setelah baru beberapa ketika tiba di kampungku, kami sekeluarga, Pak Teh, dan Atuk terus bergerak ke Pekan untuk melihat jenazah Allahyarhamah dikebumikan. Di sana, kami bertemu dengan Nenek. Seperti biasa, Atuk menjadi imam yang mengetuai bacaan tahlil. Kagum melihat atukku. Beliau insan yang sangat berilmu, dan dihormati masyarakat kerana ilmunya. Teringin aku untuk menjadi seperti beliau!

Kak Yu

Sebahagian daripada sepupu-sepupuku-Kak Yu, Sarah, dan Wa. Credit gambar: Kak Yu

Selesai majlis pengebumian, kami pulang semula ke Kampung Soi, Kuantan, tempat terletaknya kampung halamanku. Seronok rasanya berbuka bersama-sama sekalian saudara-saudaraku. Tengok kartun Upin dan Ipin bersama. Solat Maghrib, Isya’, dan Tarawih secara berjemaah bersama-sama. Kemanisan ukhuwwah jelas terasa.

Usai bertarawih, kami moreh bersama-sama. Seronok bertukar-tukar cerita. Seronok juga rasanya MEMBULI sepupu-sepupuku, walaupun Hafiz kerap membalas bulianku dengan skill Taekwando yang dipelajarinya.

Melihat sepupu-sepupuku ini, aku terfikir, bagaimana agaknya nasib mereka tatkala besar nanti? Mereka lahir dalam dunia penuh cabaran. Mampukah mereka (termasuk aku) menangkisnya?

Hanya doa mampu kuhulurkan.

Sorotan Sejarah Islam

September 17, 2008 at 12:42 pm | Posted in Renungan | Leave a comment
Tags: ,

Bagi yang mengikuti Kursus Kepimpinan Tingkatan 4 yang lalu, pastinya kalian pernah melihat video ini. Tayangan ini mengisahkan liku-liku kejatuhan institusi khalifah Islam dan kesan-kesan yang terjadi akibat kejatuhan tersebut seperti pepecahan-perpecahan negara-negara Arab dan kehilangan kekuatan perpaduan antara seluruh Umat Islam di muka bumi ini sehingga menyebabkan Islam semakin terus diganyang oleh pihak kuffar.

Hayatilah video ini. Ambillah ibrah yang terselindung di sebalik hikayat ini.

Kemuncup dalam Perjuangan

September 14, 2008 at 4:18 pm | Posted in Cetusan Pemikiran, Renungan | Leave a comment
Tags:
Kemuncup dalam perjuangan

Kemuncup dalam perjuangan

Alhamdulillah, akhirnya aku berjaya juga menghadam buku “Kemuncup dalam Perjuangan” karya Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat. Sebuah karya segar yang membicarakan mengenai 1001 keperitan demi keperitan yang terpaksa dilalui dalam usaha untuk memartabatkan siasah Islam di Malaysia. Karya tepu analogi ini berjaya mencerahkan sedikit sebanyak otakku yang seringkali kelam apabila memikirkan soal siasah kita hari ini.

Banyak ibrah dapat kupungut daripada karya Tuan Guru ini. Buku ini mengajarku bahawa perjuangan untuk memartabatkan Islam ini bukanlah satu jalan yang mudah. Banyak duri dan ranjau yang perlu direntasi dengan penuh kepintaran dan kesabaran. Sememangnya perjalanan ini akan terus menerus ditemani oleh masalah demi masalah yang datang silih berganti, yang akhirnya akan menggamit keresahan.

Namun, walau apapun halangannya, perjuangan tidak perlu kehilangan fokus dek miang kemuncup-kemuncup yang melekat di kaki-kaki kita. Perjuangan yang matang harus boleh mencabut kemuncup-kemuncup itu tatkala kaki terus menghayun langkahan. Siapakah yang perlu menjadi matang itu? Jawapannya, kitalah. Sebagai insan yang diciptakan sebagai khalifah, kitalah yang perlu meneruskan kerja-kerja dakwah yang telah dimulakan oleh Rasulullah hampir 1400 tahun yang lalu.

Pesanan dariku buat diriku…

Wahai diriku, persiapkanlah dirimu untuk menempuh perjuangan yang panjang dan penuh keresahan ini. Cabaran akan datang kepadamu. Cabaran demi cabaran akan mengisi ruang hidupmu. Dan cabaran ini hanya akan dapat kau atasi berbekalkan kepintaranmu menyusun langkah selain doa dan ketentuan Allah yang mengiringi hidup mu. Jangan melatah tatkala ditimpa masalah.

Ingatlah hai diri, hidup di dunia ini tidak semuanya adil. Tidak semuanya berlaku seperti apa yang kau harapkan. Tidak semua usaha membuahkan hasil. Tidak semua perancangan dapat direalisasikan. Tidak semestinya keadilan dapat ditegakkan. Maka hanya di akhirat sahajalah keadilan itu dapat ditegakkan. Hanya di sana sahajalah apa kau harapkan menjadi kenyataan. Hanya di sana sahajalah usaha kau akan diberi ganjaran.

Setelah 14 Hari…

September 14, 2008 at 1:56 am | Posted in Cetusan Pemikiran, Citra Kehidupan, Renungan | 5 Comments
Tags: ,

Setelah 14 hari Ramadhan berlalu, aku terkedu seketika.

Sedih kerana mengenangkan bahawa hampir 16 hari lagi aku akan melepaskan pemergian bulan yang penuh dengan kerahmatan ini.

Gembira kerana tatkala menjelang yaumul eid nanti, aku akan ketemu dengan saudara-maraku yang sudah lama tidak kujumpa.

Berdebar kerana memikirkan berjayakah aku menemukan diriku ini dalam keadaan beribadah kepada Allah tatkala malam Lailatul Qadr yang bakal menjelma.

Takut seandainya aku melepaskan Ramadhan kali ini dalam keadaan aku tidak mendapat sebarang keampunan dan rahmah daripada Allah.

Berjayakah aku memastikan Ramadhan kali ini adalah lebih baik daripada Ramadhan yang sebelum ini? Entahlah. Sukar untuk kujawab buat masa ini.

UPIN DAN IPIN

Sungguh ceria dan riang... Kehidupan fitrah yang tak tercalit dek masalah!
Sungguh ceria dan riang… Kehidupan fitrah yang tak tercalit dek masalah!

Ramadhan kali ini turut diceriakan dengan kedatangan kartun Upin dan Ipin yang benar-benar mencuit perasaanku. Seronok rasanya melihat kartun yang sangat comel ini. Mesej yang hendak disampaikan bisa mengetuk sanubariku.

Perasaan terharu, seronok, dan gembira bercampur-baur dalam sanubariku tatkala melihat gelagat Upin dan Ipin – yang melambangkan kehidupan fitrah kanak-kanak yang jauh daripada sebarang dosa, kefasadan, dan lambakan masalah. Masih teringat saat-saat aku melalui Ramadhan sewaktu aku kecil-kecil dahulu, hampir sepuluh tahun yang lalu. Ramadhan kulalui dengan sangat tenang. Yang menjadi masalah buatku hanyalah untuk menahan diri daripada makan dan minum pada waktu siang.

Namun, sekarang ini, keadaan sudah jauh berubah. Aku meningkat dewasa. Menahan diri daripada makan dan minum pada waktu siang sudah tidak menjadi halanganku yang utama. Yang menghalangku untuk mencapai takah “puasa yang mabrur” ialah sikapku. Aku terpaksa berusaha sekeras daya untuk tidak mengumpat, berbual kosong, menyakitkan hati insan-insan lain, dan segala kekhilafan yang lain.

Wajah-wajah aku tatkala masih fitrah. Gambar ini diambil lebih kuran 10 tahun yang lalu...
Wajah-wajah aku tatkala masih fitrah. Gambar ini diambil lebih kurang 10 tahun yang lalu…
Masa dengan adik kat Bukit Bendera
Masa dengan adik kat Bukit Bendera

Kalau dahulu, sewaktu masih fitrah, aku melalui Ramadhan dengan penuh keceriaan. Kemuncak keceriaanku ialah ketika berbuka, ataupun tatkala mengikut mak dan abah ke Bazar Ramadhan. Fikiranku sentiasa tenang, tidak pernah dilanda masalah memanjang. Namun, sekarang ini, Ramadhan bukan lagi 100% keceriaan. Masalah demi masalah datang silih berganti. Melihat dari rukyah positif, masalah-masalah ini kelak mendewasakanku. Namun, seperti biasa, hendak bergerak ke arah dewasa itu pahit. 1001 kesabaran sememangnya diperlukan, dan aku perlu berusaha bersungguh-sungguh bagi mencapai takah kesabaran yang diperlukan ini.

Ramadhan datang dan pergi. Ramadhan akan datang tidak semestinya menjadi milikku. Entah ditakdirkan tuhan, aku pergi dahulu sebelum berupaya melihat anak bulan Ramadhan akan datang. Oleh itu, wahai diri, berusahalah semaksimanya demi memaknakan Ramadhan ini, agar aku berjaya menjadikan bulan Ramadhan ini bulan rahmah, maghfirah, dan pelepasan daripada naar….

Ya Rabbi…

September 12, 2008 at 12:21 am | Posted in Renungan | 2 Comments
Tags: , , ,
Andai kita mahu bercakap dengan Allah, maka, ayuhlah kita bersolat.
Andai kita mahu Allah berkata-kata dengan kita, dengarkanlah bacaan al-Quran.
Andai kita mengalami kekusutan, mengadulah pada pencipta kita.
“Sesungguhnya, apabila hambaKu bertanya kepadamu tentangKu, maka, katakanlah bahawa Aku dekat dengan mereka…”
Di mana Allah? Allah itu dekat dengan kita...

Di mana Allah? Allah itu dekat dengan kita... (Al-Baqarah : 186)

Prinsip Akaun bersama Ibuku

September 7, 2008 at 9:29 pm | Posted in Citra Kehidupan, Usrati | 3 Comments
Tags:

PRINSIP AKAUN

Melihat rafiq-rafiq sekelasku ralit mengulit madah Prinsip Akaun, aku sedikit terjeda. Hemm… Mereka semua sedang sibuk belajar. Bagaimana dengan aku? Sedangkan, aku juga turut mengambil madah tersebut sebagai madah tambahan untuk imtihan akhir tahun nanti. Seandainya aku tidak bersedia dari sekarang, bagaimana aku mahu menjawab segala soalan-soalan yang ditanya nanti? Persoalan demi persoalan menujahi kalbuku.

Prinsip Akaun. Aku tidak mahu mengecewakan diriku dengan subjek ini. Subjek inilah antara salah satu subjek yang menghadiahkanku butiran A semasa imtihan tengah tahun dulu. Subjek ini juga merupakan antara subjek yang paling kugemari, walaupun hakikatnya aku tidak mempelajari subjek ini secara formal di sekolah. Bagiku, subjek ini ada keistimewaannya yang tersendiri. Mungkin minatku ini diambil daripada ibuku yang juga merupakan seorang akauntan!

Walaupun aku merupakan pelajar Sains Tulen, namun, jangan terkejut sekiranya aku bercita-cita untuk menjadi seorang akauntan!

SABTU

Aku serta seisi keluargaku duduk-duduk di ruang tamu. Masing-masing dengan kerja masing-masing. Abah dan mak dengan kerja pejabatnya, manakala Azhari dan aku sibuk dengan kerja sekolah yang sememangnya tidak pernah langsai.

Mak bersama dengan kakaknya. Ada persamaan tak?

Mak bersama dengan kakaknya. Ada persamaan tak?

Petang itu, aku dan mak duduk menelaah madah Prinsip Akaun yang sememangnya tidak pernah kuusik setelah berakhinya imtihan tengah tahun yang lalu. Banyak rasanya yang seringkali mengelirukan otakku. Pelupusan jentera, peruntukan susut nilai, pengurangan peruntukan hutang ragu, belanja susut nilai…dan sebagainya.

Namun, alhamdulillah. Cara mak mengajar yang mementingkan pemahaman konsep ditambah dengan sikap sabar mak melayan segala karenahku menyebabkan aku mampu menyerap semaksimanya ajaran-ajaran mak. Akhirnya, setelah hampir setengah hari berhempas pulas, (alah, bukan setengah hari solid. Campur dengan pergi Bazaar Ramadhan, lepak-lepak, sembang-sembang bersama adik, dan macam-macam lagi aktiviti, rasanya tinggal kira-kira dua jam je yang belajar betul-betul.) Akhirnya, keseluruhan bab 7 berjaya dihabiskan.

Aku kadang-kadang kagum dengan cara ibuku mendidik kami semua. Tatkala mengajarku subjek Akaun tersebut, ibuku hanya mengajarku konsep asasnya sahaja. Kemudian, terpulanglah kepadaku untuk menerapkannya dalam latihan-latihan yang diberi. Seandainya ada masalah yang sememangnya tidak dapat kuselesaikan sendiri, barulah mak akan menunjukkanku penyelesaiannya. Mak lebih suka seandainya aku menyelesaikan sendiri masalah-masalah tersebut dengan menggunakan lampiran jawapan yang ada sebagai panduan.

Dengan pendekatan sedemikian, kami adik-beradik akan terdidik untuk menjadi lebih berdikari serta tidak terlalu mengharapkan bantuan orang lain, kecuali dalam keadaan yang benar-benar terpaksa.

Ya Allah, beruntungnya aku memperoleh mak dan abah yang sememangnya sentiasa memberikan yang terbaik buat anak-anak mereka. Ya Allah, bantulah aku untuk menjadi seorang anak yang solehah, serta sentiasa memberikan kedamaian dan ketenangan buat bonda dan ayahandaku.

Next Page »

Create a free website or blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.