Syafawi Sem 3

May 16, 2011 at 4:14 pm | Posted in Citra Kehidupan, Imtihan, Sekolahku | Leave a comment
Tags: , ,

Alhamdulillah… Alhamdulillah… Alhamdulillah…

Setelah puas berhari-hari jadi “separuh manusia”, beruzlah kebanyakan masa, akhirnya, imtihan syafawi sem tiga yang ditakuti oleh majoriti ahli-ahli IQRaC (Intellectual Quranic Generation Club) telah aku lalui. Dilalui dengan jayanya atau tidak, itu bukan persoalannya. Bagiku, yang manis untuk dikenang ialah mujahadah dan usaha di sebalik imtihan tersebut.

Menyebut mengenai usaha, bagiku, mujahadah mengulang untuk imtihan kali ini adalah sangat manis untuk dikenang. Kehangatan ukhuwwah itu benar-benar terasa saat ada yang memberi semangat tatkala aku “down”, kejut tatkala tersyahid, menggembirakan tatkala sedang tertekan yang amat, mengingatkan tatkala aku diserang wabak malas, dan pelbagai lagi support yang tak mampu untuk kurakamkan. Syukran semua!

16 Mei 2011
Maktabah DQ

p/s:

Alhamdulillah, offer letter dah boleh download. Tetapkan hati dan pendirianku Ya Allah…

Advertisements

Pilihan-Medic? InsyaAllah

May 12, 2011 at 4:49 pm | Posted in Cetusan Pemikiran, Citra Kehidupan, Imtihan, Sekolahku | 1 Comment

Alhamdulillah.. Blog ini akhirnya diupdate setelah hampir setengah tahun aku mengabaikan blog yang kubina sejak akhir tingkatan 3 ini. Lebih bernostalgia, aku mengupdate blog ini dari komputer di Smartlab, Darul Quran kampus pengajian yang bakal aku tinggalkan dalam tempoh beberapa hari sahaja lagi, InsyaAllah. Ketika ini, kami sedang menunggu offer letter daripada UIAM siap di download…

Jujur, aku agak teruja nak menunggu offer letter tersebut. Aku rasa, offer letter itu akan mengubah perjalanan masa depan hidupku.

Bagi aku, dalam process aku nak decide nak ambil kos apa di UIAM, banyak tarbiah yang aku dapat secara direct daripada Allah. Allah ajar aku, bukan semua benda aku dapat buat dalam satu masa yang sama. Pada mulanya, aku agak berbelah bahagi sama ada nak ambil Medic ataupun Accountancy. Dilema ini aku rasa sedari akhir Tingkatan 3 lagi. Kegagalan aku membuat pilihan untuk diri sendiri membuatkan aku decide untuk mengambil kesemua subjek yang melibatkan kedua-dua bidang ini. Namun, tidak selamanya aku boleh buat keputusan macam tu. Tiba masanya, aku TETAP perlu membuat pilihan. Daripada inilah, keserabutan segala keserabutan mula datang memeningkan kepala. Ditambah lagi dengan keserabutan untuk prepare imtihan 30 juzu’.

Dulu, apabila result SPM diterima, aku tiba-tiba decide untuk ambil Accountancy. Meniru jejak Mak, hehe. Sebenarnya, lebih tepat, aku agak tak yakin untuk ambil Medic memandangkan result Bio aku lah satu-satunya yang ganjil dalam slip keputusan tersebut.

Masa terus berlalu. Alhamdulillah, aku tetap teguh dengan pengajianku di Darul Quran (dan InsyaAllah, aku merasakan itulah yang terbaik buat diriku) walaupun keinginan untuk melanjutkan pelajaran di luar negara agak meluap-luap. InsyaAllah, aku yakin, percaturan Allah itu yang terbaik buat diriku. Hehe, kalau ada rezeki, bila-bila nanti, terbanglah… InsyaAllah.

Lama kelamaan, bila usiapun menginjak 19 (hakikatnya, belum pun cecah angka tu), aku kembali terfikir untuk mengambil Medic. Berbekalkan istikharah dan tawakkal kepada Allah, aku menghantar borang untuk menukar kursus..

Sahabat sahabiah dan semua pengunjung Ana Mukminah, mohon tembakan doa dari semua. Aku takut sangat, mula-mula masuk Matrik nanti, aku ada rasa regret dengan bidang yang kupilih ini. Nauzubillah. Aku juga takut sangat dengan cabaran belajar dan cabaran kerja yang bakal kutempuh nanti.

Aku pernah tanya kak Izzah Che Hasyim, akak dulu tak takut ke ambil Dentistry? Dengan gaya penuh rilek, dia kata, “jangan takut, ramai je yang berjaya. Percaya pada diri sendiri dan kuatkan tawakkal pada Allah. Kita ada Allah!”

“Susah kan nak decide future ni… Kita tak tahu kat mana kebolehan, minat dan kecenderungan kita. Hakikatnya, semua tu adalah rahsia Allah..”
“Tawakkal… Allah knows the best! Be the best in everything we do. Strive for the Ummah!”

Doakan diri ini…

p/s:  Heh, buang masa je pergi smart lab ni. Offer letter sampai ke habis post ni pun tak dapat nak download lagi.
Kepada adik-adik G4squared SMIAAG yang ke IIUM PJ, insyaAllah, kita bertemu di sana~
Tinggal lagi 4 hari nak imtihan syafawi dan tahriri 30 juzu’. Doakan saya najah…

Berakhir dah

December 17, 2009 at 9:37 am | Posted in Ikhwanul Fifteen, Imtihan, Sekolahku | 3 Comments
Tags: , ,

Alhamdulillah, SPM sudah pun berlalu meninggalkan kami semua. Bermula dengan Bahasa Melayu pada tanggal 18 November lalu, sehinggalah Syariah Islamiah pada 16 Disember, SPM berlalu pergi dari kamus kehidupan kami sambil meninggalkan bunga-bunga kenangan yang sukar kulupakan.

Ada hari yang aku rasa seronok, ada yang kadang-kadang aku mengenang kertas yang telah berlalu itu dalam kesedihan. Hemm, itulah fitrah kehidupan. Allah tak akan ciptakan semuanya senang dan mudah buat hambanya supaya kita semua beringat-ingat.

Kiranya, semalam, 16 Disember merupakan hari terakhir aku menyarung seragam sekolah – tudung biru, baju kurung putih, dan kain biru cerah. Selepas ini, semuanya akan kekal menjadi kenangan terindah dalam hidupku. Buat sahabat-sahabatku, aku tak  tahulah bila lagi aku mampu ketemu kalian dalam suasana persekolahan dan peperiksaan lagi. Selamatlah kalian berkelana untuk program eksplorasi.

Buat diriku, ayuh kita sambut Maal Hijrah yang bakal , mendatang ini dengan azam dan semangat yang baru, kerana hakikatnya, Maal Hijrah kali ini turut menyaksikan aku berhijrah ke “alam” yang baru – dari SMI al-Amin ke Darul Quran, JAKIM, InsyaAllah.

Selamat tinggal alam persekolahan yang serba indah dan sarat dengan kenangan. Aku akan mengenang saat-saat ini sebagai salah satu kenangan termanis dalam hayatku.

Ikhwanul 15

Calon SPM 2009 SMIAAG

Di Sebalik Ramadhan…

September 19, 2009 at 5:00 pm | Posted in Citra Kehidupan, Imtihan, Renungan, Usrati | Leave a comment
Tags: ,

Menghitung hari-hari Ramadan, aku punya cerita tersendiri. Tentu sahaja, tatkala Ramadhan menjelma, masing-masing meletakkan target peribadi, berkisar tentang amalan-amalan bagi menghidupkan bulan ini. Almaklumlah, Ramadan, menurut para sahabat, hanya ada tiga amalan utama, iaitu saum, qiam, dan quran.

Dalam merealisasikan target ini, banyak pengalaman baru telah kutempuhi. Alhamdulillah, kesemuanya telah berjaya meluaskan dimensi pemikiranku.

Ramadan-Tarawih dan Iktikaf

Aku belajar untuk bersikap terbuka dan berlapang dada dengan sesiapa sahaja. Misalnya, tatkala solat, aku kadang-kadang sedikit terganggu dan naik berang dengan telatah kakak yang entah dari negara mana entah yang solat sambil memegang Quran, dan dalam masa yang sama mengikut bacaan imam tersebut sambil melafazkannya kuat-kuat. Mula-mula, aku memang bengang juga lah dengan kakak tersebut, almaklumlah perbuatannya menganggu solatku. Namun, apabila difikir-fikirkan kembali, aku tak patut marah dengan kelakuan tersebut. Mungkin ada sebab musabab yang menyebabkannya berbuat demikian. Andai aku berlapang dada, pasti Allah lebih suka. Astaghfirullah…

Aku belajar bahawa teguran secara berhikmah mampu memberikan kesan positif. Sejak dahulu, apabila solat tarawih telah masuk fasa-fasanya yang payah, melibatkan juzu’ 17, 18, dan ke atas yang aku tak masyi’, aku gemar memegang al-Quran ketika solat. Namun, tahun ini, Allah telah memberiku hidayah melalui seorang kakak UIA ini yang telah menegurku dengan sungguh lembut dan berhikmah mengenai tabiat ku ini. Lalu, dia sama-sama mengajakku untuk cuba memahamkan maksud ayat-ayat yang dibaca tanpa merujuk pada al-Quran. Mula-mula, aku merasa ragu-ragu. Mampukah dengan penguasaan Bahasa Arab yang terbatas ini aku berbuat sedemikian? Namun setelah mencubanya, Alhamdulillah, Allah telah membantuku dan kelazatannya cukup nikmat. Aku menghargai teguran tersebut dan dalam diam-diam aku berazam untuk memperkasa Bahasa Arabku bukan sekadar untuk SPM tapi kerana ia merupakan bahasa al-Quran. Terima kasih kak Aishah atas teguran akak! Barakallahu fi ki.

Aku belajar untuk tidak terus-menerus menjadi hamba nafsuku terutamanya dalam hal-hal ibadah. Tatkala solat Isya’, Tarawih, hatta Tahajud dan Subuh yang pagi-pagi buta tu pun, nafsu menjerit-jerit mahukan kipas buat menyejukkan badan dan kononnya menenteramkan jiwa. Dalam hal ini, aku sememangnya tidak terkecuali. Kalau boleh, aku nak cop cepat-cepat kawasan solat yang kena kipas dan kemudian tak nak gerak-gerak dah. Kadang-kadang, apabila dah capai tahap kronik, aku tak nak gerak ke saf hadapan pun walaupun ketika itu saf tersebut kosong semata-mata demi kipas! Namun, apabila semua orang tak nak gerak dek disihir kipas, aku pun geraklah. Mula-mula, hati mengerutu menahan marah sebab terpaksa lepaskan kipas. Tapi, bila diingat-ingat balik, aku solat kerana Allah ke kerana kipas? Astaghfirullah…

Ramadan – Trial SPM

Aku belajar untuk bertanya hatta orang tersebut tidak kukenali dengan mendalam. Alhamdulillah, sikap tak maluku ini memberi manfaat buatku. Dalam hal ini, sekalung penghargaan sekali lagi buat kak Aishah. Asalnya, aku tak kenal pun akak ini, namun, memandangkan esok imtihan Bahasa Arab, dan ada satu soalan yang aku tak faham kenapa jawapannya macam tu, aku nekad menegur kakak yang memakai jaket yang menunjukkan kakak ini datang daripada Kelab Debat BA UIAM. Pada hematku, kakak ini mesti tahu Arab dan boleh menolongku yang terdesak ini. Alhamdulillah, soalanku terjawab. Begitu juga untuk PSI, bab Usul Fiqh tingkatan 5, kakak ini juga yang menolongku. Semoga Allah membalas jasa-jasamu dengan ganjaran-ganjaran yang selayaknya.

Berlalunya Ramadan, aku tak pasti, adakah kemerdekaan yang hakiki, iaitu bebas daripada penjajahan hawa nafsu dan syaitan itu mampu aku gapai atau tidak? Apakah jaminan untuk aku terus istiqamah dengan amalan-amalan yang berjaya dihidupkan sepanjang bulan ini? Adakah Ramadan akan datang menjadi milikku? Jawapannya kita nantikan selepas beberapa bulan Ramadan pergi meninggalkan kita. Kita sendiri menghakimi diri kita.

Sepanjang Ramadhan ini, aku bersyukur kerana masih ditemani oleh keluarga tercinta, buka, sahur, tarawih, iktikaf, semua dibuat secara bersama. Tahun depan, aku pasti akan merindui suasana sebegini andai Allah menetapkanku berkelana jauh dari keluarga kecintaanku. Aku juga bersyukur kerana diberi kesempatan, kemampuan, kesihatan, dan keinginan oleh Allah untuk menghidupkan bulan ini. Aku juga bersyukur kerana dipertemukan oleh Allah dengan insan-insan yang berusaha mengislahkan diriku sepanjang Ramadan ini seperti Kak Aishah dan lain-lain. Aku juga bersyukur kerana diberi Allah kekuatan untuk memahami ayat-ayatmu sedikit sebanyak. Terima kasih ya Allah atas segala nikmatmu. Masukkanlah aku ya Allah ke dalam hamba-hamba mu yang bersyukur dengan kurnian-kurnian mu.

Ramadan, kurang dua jam sahaja lagi engkau akan berlalu meninggalkan ku. Janganlah engkau tinggalkanku dalam keadaan aku kerugian Semoga aku bertemu denganmu tahun hadapan dengan keadaan yang lebih baik dari tahun ini. Amin ya Rabbal Alamin. Eid Mubarak. Taqabbalallahu Minna Wa Minkum!

SPM Lama Lagi Tak?

August 15, 2009 at 3:57 pm | Posted in Ikhwanul Fifteen, Imtihan, Renungan | 1 Comment
Tags: , ,

Aku: Tahu tak SPM lagi 95 hari… Lama ke sekejap tu?
Azhari: Hemm… Tolak bulan puasa dan raya?
Aku: Tinggal 60 hari.
Azhari: Tolak tidur-makan-main?
Aku: Tinggal 30 hari.
Azhari: Tolak MALAS, BUANG MASA, dsb?
Aku: Tinggal 10 hari. Kejap tu….
Azhari: Tak lah, lama lagi…

Wah, sedar-sedar SPM dah makin menghampiri! Apakah perasaan anda? Tentu SERONOK kan!

Doa-doalah semoga kejayaan milik kita semua. Usahlah sia-siakan masa yang ada. Manfaatkanlah semanfaat-manfaatnya. Doalah andai masa yang kita lalui dan bakal hadapi itu diberkati oleh Ilahi. Semoga ruang yang diberi mencukupi untuk kita menyiapkan diri bagi menghadapi imtihan yang besar ini.

Di sebalik SPM, jangan juga kita lupa bahawa kita sebenarnya setiap hari melalui peperiksaan, yang mana noktahnya ialah pada saat kematian, dan natijahnya kita terima pada hari kebangkitan!

Ayuh kita lakukan yang sepatutnya!

SPM Hanya 10 Subjek?

June 3, 2009 at 1:02 pm | Posted in Cetusan Pemikiran, Imtihan, Sekolahku | 8 Comments

Insan yang mula-mula mengkhabarkanku mengenai pengehadan subjek SPM mulai 2010 ini ialah Cg Rosmalena. Ketika itu, aku baru selesai mengambil peperiksaan Perdagangan di Bilik Guru. Aku terpana mendengar berita tersebut. Terkejut. 10 subjek? Sedikitnya… Alangkah majoriti anak-anak al-Amin pun mengambil sebanyak 11 subjek.

Perlukah SPM dihadkan hingga 10 subjek sahaja? Persoalan tersebut berlegar-legar dalam benakku sekian lama. Pulang ke rumah, aku mencari-cari di internet mengenai isu ini.

Rupa-rupanya, menurut Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pelajaran Malaysia, keputusan tersebut dibuat berdasarkan beberapa sebab. Antaranya, ialah kesukaran Kementerian Pelajaran memberikan biasiswa kepada yang layak. Hal ini kerana, SBP hanya membenarkan murid-muridnya mengambil 10 subjek sahaja. Oleh itu, pelajar-pelajar SBP ini semestinya tidak mampu untuk bersaing dengan murid-murid sekolah harian lain yang mana mereka dibenarkan mengambil sebanyak mana subjek yang disukai.

Pada pendapatku, alasan ini tidak adil untuk murid-murid sekolah harian. Umum mengetahui, di SBP, fasilitinya cukup lengkap. Reputasinya juga cukup hebat di persada kebangsaan. Maka, murid-murid sekolah harian ini perlu bersaing dengan murid-murid SBP ini hanya melalui keputusan akademik mereka. Dalam keadaan serba kekurangan, dengan ketiadaan reputasi sehebat SBP, mereka hanya boleh menunjukkan kekuatan mereka melalui kecemerlangan dengan deretan 1A dalam keputusan SPM mereka, barulah mereka menjadi pilihan penaja. Jika tidak, pastinya mereka akan tenggelam jika dibandingkan dengan lepasan SBP yang lain.

Fahamilah, lepasan MRSM umpamanya, sangat-sangat mudah untuk mendapatkan tajaan MARA. Lepasan SBP pula, dengan segala reputasi dan kegemilangan nama sekolah mereka yang dikenali umum di peringkat kebangsaan, akan mudah untuk mendapat tajaan. Lepasan sekolah harian, apa senjata yang mereka ada selain berusaha sedaya mungkin untuk meningkatkan keputusan SPM mereka?

Kemudian, timbul pula isu murid-murid terbeban untuk belajar sehingga tidak mempunyai masa untuk kegiatan kokurikulum dan sebagainya.

Walaupun majoriti kami mengambil 11 subjek ke atas, kami masih berkokurikulum dengan jayanya!

Walaupun majoriti kami mengambil 11 subjek ke atas, kami masih berkokurikulum dengan jayanya!

Bagiku, hal ini bukanlah salah jumlah subjek yang terlalu banyak diambilnya. Insan-insan sebegini ialah yang tak tahu mengurus kehidupan. “Tak tahu menari dikatakan lantai jongkang-jongket.” Lihat sahaja nama-nama pelajar cemerlang yang tersohor di Malaysia, contohnya, Nik Nur Madihah. Beliau bukanlah asyik belajar sampai tak ingat dunia, malahan, beliau merupakan naqib Persatuan Pengawas Sekolah bermula tahun 2007.  Berpersatuan, pertandingan menulis, banyak yang disertai beliau. Membantu keluarga bukan lagi sesuatu yang asing. Walaupun begitu, keputusan akademiknya tetap tak terjejas.

Pembaziran wang untuk ke tuisyen?

Tuisyen tu pilihan. Ada yang tak ambil lebih 10 pun pergi tuisyen juga. Ada yang ambil subjek tambahan tapi tak pun pergi tuisyen. Kesimpulannya, tuisyen itu pilihan sendiri!

Akhirul kalam, pendapatku lagi sekali, murid yang ambil banyak-banyak dalam SPM ini bukannya mahu bertanding kepandaian. Namun, ada benda lagi besar daripada itu. Bagiku, aku mahu menjadi generasi daie yang serba tahu. Bukan sahaja sains dikuasai, bidang perniagaan, syariah, semuanya dapat dihubung jalinkan dengan baik. Kita mahu usia belasan tahun ini dipenuhi dengan pelbagai jenis asas-asas ilmu, supaya tatkala besar-besar nanti, akan lahir dalam kalangan kita klon-klon al-Farabi, Ibn Sina, al-Khawarizmi, Ibn Khaldun, Ibn Nafis, dan sebagainya yang bukan sahaja mahir dalam aspek sains sahaja, namun mahir dalam kesemua bidang kehidupan.

Murid-murid yang mengambil banyak subjek ini, jauh sekali mereka dipaksa untuk berbuat sedemikian. Namun, atas dasar cinta akan ilmu, maka tindakan tersebut diambil…

Pandangan semua dialu-alukan…

Telur di Hujung Tanduk

May 29, 2009 at 11:14 pm | Posted in Imtihan, Renungan | 2 Comments

Berlalu sudah peperiksaan pertengahan tahun 2009. Bermakna, aku masih berpeluang hanya setengah tahun untuk berjihad mendepani SPM. Soalan lazim lepas exam, “Tadi, susah tak?”

Jawapanku:

“Ibarat telur dihujung tanduk…” Takpe… takpe… Nanti kita harap kertas tiga dapat sambutkan telur tu kalau-kalau dia terjatuh…” Sedihnya, selesai jawab kertas tiga, baru perasan, kertas tiga tu bocor pulak…

Kita perlu "dilanyak" dahulu baru boleh berjaya... Cam Abg Zari kena lanyak ngan budak-budak nih...

Kita perlu "dilanyak" dahulu baru boleh berjaya... Cam Abg Zari kena lanyak ngan budak-budak nih...

Cerita mengenai imtihan kali ini, banyak yang mengujakan. Ada hari yang kurasakan riang sekali, ada hari yang kurasakan kesedihan datang menimpa-nimpa. Kecewaan, kegusaran, kesedihan, dan kegembiraan, mewarnai kehidupanku secara berselang seli. Ya, semuanya mendidikku ke arah kedewasaan!

Teringat tatkala malam yang kulalui setelah berakhirnya peperiksaan Biology. Esoknya Physics. Tapi sayang seribu kali sayang, aku dah terlalu “penat” untuk belajar setelah dilanda kecewa yang bertimpa-timpa tatkala menjawab subjek Biology tadi. Bagi menghilangkan rasa tersebut, selesai Asar, aku meluru ke arah katilku dan terus berlayar ke alam mimpi.

Tidur punya tidur, lepas solat Maghrib aku tidur lagi. Dahsyatkan? Lama-lama, dalam pukul 10 malam baru aku terjaga. Solat Isya’. Kemudian, aku mengikut abah mengambil mak di Terminal Putra. Selesai semua aktiviti bersama keluarga, aku pun berhajat untuk sambung pelayaranku di alam mimpi. Tup tap tup tap, aku tak leh nak tidur! Mataku terasa sangat segar.

Yang peliknya, aku pula naik tension sebab tak tidur-tidur lagi. Jam sudah menunjukkan pukul 2:30 pagi. Macammana ni kalau esok waktu exam mengantuk? Nak belajar lagilah tak boleh sebab otak tengah tension memikir ke lain. Lama-lama, hampir pukul 3:30 pagi barulah aku terlelap. Waaaa, puas bergolek-golek….

Lepas habis Physics, aku berazam tak mahu tidur petang dah takut-takut malam nanti tak boleh lelap lagi. Pengalaman semalam cukup menyakitkan. Apa lagi, dalam mamai-mamai, aku selak buku Chemistry, entah apa entah yang kubaca, akhirnya terlelap juga. Tapi Alhamdulillah, malam tersebut aku boleh tidur dengan mudahnya. =)

Kesimpulannya, peperiksaan sememangnya ibarat mimpi ngeri bagi pelajar yang “segalanya hendak dihadam/dibaca/dicerna/dihafal tatkala malam periksa” sepertiku. Ibrahnya, ayuhlah kita sama-sama bersedia dengan lebih awal untuk trial ni. Penting uh untuk melayakkan diri ke Persijilan DQ. Ingat, belajar ini merupakan salah satu cabang jihad. Dan Allah tidaklah memberi kejayaan tersebut tanpa adanya persiapan dari kita. Ingat, Rasulullah berjihad pun penuh berstrategi. Kita, apa lagi? Ayuh, gandakan strategi!!!

p/s: Target cuti kali ini, aku nak cuba habiskan mencatat segala pengalamanku tatkala mengerjakan umrah yang lalu. Kena buat. Kena buat. Takut nanti terlupa… Ya Allah, permudahkanlah aku…

Alkisahnya Jari Bertuah

May 14, 2009 at 8:23 pm | Posted in Citra Kehidupan, Ikhwanul Fifteen, Imtihan, Sekolahku | 1 Comment

Tragis. Kelakar. Bercampur baur. Tak terbayang oleh kata-kata.

Hari ini, selesai sahaja berusrah secara solo dengan adik-adik form 2 tanpa kehadiran Nabilah, aku naik semula mendaki tangga menuju ke destinasi idamanku, 5 Saad Abi Waqas. Sampai sahaja di tingkas atas, nampak kelibat Us Hasni mundar mandir.

Wah, Us nampak macam tengah free je. Bolehlah tanya Add Maths kat Ustaz…

Begitu detik hatiku. Namun, letih mendaki tangga menyebabkan aku mengambil keputusan untuk berehat dalam kelas. Lagipun kelas sejuk.

Malangnya, dalam kelas semua banin. Seorang banat pun tak ada. Nak masuk ke dalam, malu pula. Nanti fitnah berleluasa. Tapi, buku Add Maths perlu diambil dalam beg… Nak tak nak, aku masuk ke dalam kelas seorang diri semata-mata kerana mahu mengambil kitab Add Maths kecintaan.

Keluar sahaja daripada kelas, aku meletakkan tanganku di birai pintu sambil mataku liar mencari-cari kasutku. Bukan tak biasa pelajar kelas kami meletakkan tangan di situ. Tapi, dengan izin Allah, nak dijadikan cerita…

Tiga jariku yang kuletakkan di birai pintu tersebut terkepit tatkala banin menutup pintu tersebut. Mula-mula, aku merasa jariku sakit. Otakku terkejut. Lima enam saat kemudian, baru aku terperasan yang jariku terkepit pada pintu tersebut. Wah, sakitnya tak boleh tahan. Suara nak cakap minta banin tersebut tolong bukakan balik pintu tersebut semacam tidak terkeluar. Suaraku lirih sekali.

Dalam masa kurang seminit, baru ada terperasan yang tanganku tersepit. Cepat-cepat pintu dibuka. Banin tersebut terkejut. Perkataan maaf bertali arus diucap. Aku hanya mampu mengangguk. Ah, kalian tak salah. Dah Allah yang takdirkan!

Mula-mula, aku hanya mampu memegang erat tanganku. Darah yang memancut keluar kuhalakan ke lantai. Tanpa dapat dikawal, air mataku mengalir sama. Laju seperti aliran darahku. Tak tahulah mengapa, nak kata sakit sangat, tak pastilah sangat ke tak. Reflex action kot…

Aku mengambil keputusan, pergi ke bilik guru jumpa mana-mana cikgu minta ubat gamat. Sebelum tu, air mata dikesat dahulu. Takut nanti malu…

Kat bawah, terjumpa Cg Wasitah. Minyak gamat diminta. Cikgu bagi dengan plaster-plaster sekali. Tengku tolong sapukan dan balutkan. Sedih tengok kukuku yang kurasa memang akan tertanggal itu.

Lepas itu, aku kembali semula ke 5 Saad. Tidak ada orang. Yang ada hanya aku. Ada baki soalan Mod Maths yang tak habis kulangsaikan tatkala kelas tadi. Almaklumlah banyak bermain. Buat kertas satu yang bulat-bulat tu, aku terasa amat perit tatkala mahu memegang pensel. Waaa, sakit juga ya! Alah, belasahlah! Soalan ini perlu dilangsaikan juga.

Tatkala itu, suasana kurasakan begitu syahdu. Tiba-tiba, air mataku mengalir. Aku teringat akan imtihan yang bakal dihadapi. Sedihnya kalau susah nak tulis… Maknanya, sebelum exam, tidak bolehlah nak wat nota lakar-lakar tu. (Sebelum ini tak buat pun!) Lebih teruk kalau melarat ke waktu periksa. Dahlah mula-mula BM. Subjek BM yang Banyak Menulis (BM!)

Tapi, aku terfikir. Bagaimana dengan kanak-kanak Palestin sana? Tangan, terkepit ni tak ada masalah lah! Kena bom lagi. Lagilah tak boleh menulis. Kenapa aku mesti merungut? Kenapa mereka di sana tak merungut? Kenapa aku baru terasa dan menghargai akan nikmat jari kurniaan Allah ini tatkala Allah telah menariknya daripadaku? Ini baru sahaja ujian kecil yang Allah berikan. Itu pun tak tahan?

Soalan yang jawapannya harus kufikirkan dan kemuhasabahkan!

SPM 2008

March 16, 2009 at 7:02 pm | Posted in Ikhwanul Fifteen, Imtihan, Sekolahku | 5 Comments

Tanggal 12 Mac 2009 berlalu. Keputusan SPM diumumkan. Satu sejarah besar lagi tercipta dalam hidup abang-abang dan kakak-kakak yang menduduki SPM tahun 2008.

Bagi kami yang insyaAllah bakal menduduki SPM tahun ini, keputusan SPM 2008 benar-benar membawa debar. Juga memberi perangsang dan motivasi buat kami.

Alhamdulillah, mereka telah membuktikannya bahawa kejayaaan adalah tidak mustahil untuk ditempa. Namun syaratnya, usaha perlu dilakukan, disamping doa dan tawakkal yang tidak putus-putus  kepada Allah.

Alhamdulillah, melihatkan sinar bahagia di mata guru-guru yang telah banyak berjasa mendidik abang-abang dan kakak-kakak Caliph 14 yang lalu, juga yang mendidikku kini, aku terkesima. Bahagia apabila melihat anak-anak murid yang telah disantuninya tahun lalu berjaya dengan cemerlang.

Mampukah kami menghadiahkan sinar kebahagian yang sama tahun hadapan? Ya Allah, berilah kekuatan kepada kami untuk menggapai kejayaan ini, agar maruah Islam kembali tertegak di muka bumi ini, juga buat menghiburkan hati kedua ibu bapa kami, para murobbi kami yang banyak berjasa mendidik kami. Ya Allah, berilah juga kekuatan buat para murobbiku agar mereka terus dikurniakan kesabaran untuk terus mengurniakan ilmu buat kami. Gantikanlah penat lelah mereka dengan damai syurgamu Ya Allah…

Selamat Hari Guru

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum manjadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Nukilan SN Dato Usman Awang

Ceritera Imtihan I

October 31, 2008 at 5:01 pm | Posted in Citra Kehidupan, Imtihan | 2 Comments
Tags: , ,

Di kala imtihan hafazan dan tilawah datang menjengah,

Semua jadi rajin tak tentu arah mengiadah,

Agar tatkala disoal tak hilang arah!

Kalau tak ingat, semua tahu, natijahnya parah!

Tirai imtihan rasminya diselak dengan madah bahasa,

BM, BI, BAT, puas kami harungi semuanya,

Dari hari Khamis sehinggalah Selasa,

Buat karangan, aduh, penat benar kami menulisnya!

Madah Tajwid jangan pula dilupa,

Antara madah kesukaan semua,

Bukan apa, dari SRIAA belajar benda yang sama,

Cuma aplikasinya tidak semudah teorinya.

Hari Rabu madah PSI dan PQS pula menjelma,

Dari pagi, tak angkat kepala kami membaca,

Almaklumlah sekiranya buku teks tak dibuka,

Jawabnya, lingkuplah kami semua, tak dapat menjawabnya!

Hari Khamis Add Maths pula datang menjengah,

Dari, pagi jantung kami asyik berdebar tak tentu arah,

Kerna semua tahu madah Add Maths tidaklah mudah,

Hanya yang insan cukup latihan akan rasa tak susah.

Hari ini (Jumaat) madah Sejarah menyusul pula,

Menyebabkan kami dari pagi tak habis bercerita,

Menyusur kembali kegemilangan dan ketamadunan bangsa,

Agar ibrah yang dikutip boleh dikongsi bersama.

Sampai di sini dahulu aku bercerita,

Kerna minggu depan imtihan bertimpa-timpa,

Matematik, Biologi, Fizik, dan Kimia,

Ya Allah, masukkanlah aku dalam golongan yang berjaya!

AMIN YA RABBAL ALAMIN…

Seloka ini ditulis ketika imtihan Sejarah kertas 1, 31 Oktober 2008.


Buat usrahku, syukran jazilan kerana banyak memberi sokongan, memotivasikan, serta mendamaikan sepanjang imtihan ini.

Usrahku...
Next Page »

Blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.