Sebuah Catatan Kosong

October 31, 2007 at 2:52 pm | Posted in Citra Kehidupan | 3 Comments

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Sematkan al-Quran di hati, kelak hidup akan diberkati.

Sematkan al-Quran di hati kelak hidup akan diberkati

Sebenarnya, hari ini aku tidak berhajat untuk menulis panjang-panjang. Ini kerana, hari ini aku agak penat setelah sepetang memaksa otakku untuk mengulang juzu’ 11 yang memang sudah lama kutinggalkan. (Kira-kiranya sudah hampir setahun aku tidak mengulang juzu’ ini. Ini kerana, setelah aku menghafal juzu’ ini pada akhir tahun lepas, aku langsung tidak mengulangnya sampai sekarang! Akibatnya, juzu’ ini telah luput dari ingatanku. Dahsyatkan?) Proses untukku mengulang juzu’ ini tidaklah semudah proses untuk memurajaah juzu’-juzu’ yang lalu. Aktiviti ini amatlah memenatkanku kerana aku seolah-olah terpaksa menghafal juzu’ ini semula.

Apa apalah, doakanlah semoga Allah memberi kekuatan kepadaku untuk terus menghafal dan mengulang juzu’-juzu’ yang telah ku lupakan ini dengan istiqamah. Sesungguhnya melupakan potongan ayat al-Quran yang telah dihafal merupakan salah satu dosa besar. Sabda Nabi SAW:

Sesiapa yang menghafal al-Quran, kemudian dia melupakannya, kelak dia akan bertemu dengan tuhannya dalam keadaan tangannya kudung.

(Riwayat Abu Daud dan at-Tarzmizi)

Kepada sahabat-sahabat seperjuanganku, peliharalah al-Quran di hati kalian. Jangan tinggalkan kalamullah ini walaupun sehari. Al-Quran akan memberikan kedamaian yang hakiki kepada jiwa kita yang sedang berkecamuk ini. Kalamullah yang agung ini juga akan memandu kita dalam menghadapi cabaran-cabaran globalisasi pada masa hadapan yang kebanyakannya akan merosakkan aqidah kita. Firman Allah dalam surah al-Israa’ ayat 82:

“Dan kami turunkan al-Quran sebagai satu penawar dan rahmat bagi orang yang beriman…”

Tanamkanlah al-Quran ke dalam jiwa, nescaya kehidupan kita akan bahagia buat selamanya.

Sebelum itu, saksikanlah kepetahan budak kecil ini menghafal al-Quran. Setiap soalan yang diajukan kepada beliau, beliau akan menjawabnya dengan pantas dan lancar. Sebelum itu, beliau akan menyatakan soalan itu berasal daripada surah mana, bilangan ayat dalam surah tersebut, surah yang keberapa, dan asal surah tersebut, samada surah madaniyyah ataupun surah makiyyah. Semoga video ini akan menjadi motivasi kepada kita dalam usaha untuk menghafal kalamullah ini.

Wassalam.

p/s: Maaflah jika posting hari ini kurang menarik. Hari ini ana benar-benar letih tidak bermaya. Mahu tidak mahu, malam ini ana terpaksa mengulang (atau secara mudahnya menghafal semula) juzu’ 11 untuk “dipersembahkan” kepada cikgu esok. Kepada Een, minta maaflah kerana ana tidak dapat menunaikan permintaan enti malam ini. InsyaAllah, kemudianlah ana tunaikan. Harap maaf.

Advertisements

Kurangnya Komitmen Kerja-Penyebab Keruntuhan Ummah?

October 30, 2007 at 9:16 am | Posted in Citra Kehidupan, Renungan | 4 Comments

Assalamualaikum…

Al-Quran… Hayatilah maknanya!

Tanamkanlah al-Quran dalam hati, nescaya hidup anda sentiasa dinaungi Ilahi…

Hari ini merupakan antara hari yang paling kosong dalam hidupku, seolah-olah hidupku hari ini tidak bermakna langsung! Aku sendiri kurang pasti mengapa keadaan ini berlaku. Namun, itulah hakikatnya yang sudah tidak boleh dipertikaikan lagi.

Sepatutnya hari ini, aku mempunyai kelas al-Quran selama tiga jam, bermula dari pukul lapan pagi sehinggalah pukul sebelas pagi. Namun, aku sendiri tidak tahu mengapa, secara tiba-tiba, tanpa sebarang pemberitahuan, kelas itu telah dibatalkan begitu sahaja. Oleh sebab kelas itu dibatalkan secara tiba-tiba tanpa pengetahuan kami, kami semua masih ternanti-nanti kehadiran cikgu sehinggalah pukul sepuluh pagi. Kami yang kebanyakannya sentiasa “bersemangat” untuk pergi ke kelas tahfiz telah menunggu kelibat cikgu sedari pukul lapan pagi lagi di pondok. (Kami menanti di pondok supaya senang kami lihat ketibaan cikgu.) Namun, ironinya, tunggu punya tunggu, sehingga pukul sepuluh pagi pun bayang cikgu masih belum kelihatan lagi!

Akhirnya, setelah puas kami menunggu, kami pun mengambil keputusan untuk berhenti menanti. Aku telah mengajak Een ke bilik guru untuk berjumpa dengan Us Shahir. Sebenarnya, aku hendak menyerahkan laporan rumah as-Solah yang terpaksa kusiapkan semalam. Setelah beberapa kali kuajak Een, barulah dia berseuju untuk menemaniku. Alhamdulillah, kalau tidak, terpaksalah ku pergi ke bilik guru secara “solo”. Setelah aku menyerahkan laporan tersebut, kami telah berbual dengan rancaknya. Perbualan itu kebanyakannya berkisar tentang ziarah ustaz ke rumah kami pada hari Ahad yang lalu. Syukur ke hadrat Ilahi, setelah beberapa jam aku menanti di sekolah tanpa membuat sesuatu yang berfaedah, akhirnya, tepat pukul satu petang, abah telah datang mengambilku. Thank you, Abah!

Sebenarnya, peristiwa “ketiadaan” kelas tahfiz secara mengejut pada pagi ini telah menyebabkan aku terfikir-fikir mengenai realiti ummah hari ini. Secara jujurnya, terus terang kukatakan bahawa aku sebenarnya amat kecewa dengan sikap sebegini-cancel kelas tanpa sebarang pemberitahuan! Jenuh kami menunggu kedatangan cikgu di pondok sambil ditemani dengan bau sampah yang menyesakkan nafas, namun penantian kami itu sia-sia belaka. Sikap ini sebenarnya melambangkan kurangnya komitmen kerja dalam kalangan tenaga pengajar tahfiz al-Amin (Maaf ye! Bukan semua. Sebahagian sahaja.), yang rata-ratanya terdiri daripada golongan yang belajar dan mendalami ilmu agama.

Situasi ini menyebabkan otakku ligat berfikir. Inikah barisan pendakwah yang bakal menerajui kepimpinan negara? Inikah orangnya yang bakal mengubah pemikiran masyarakat yang kian jauh daripada Islam? Mampukah kita berdakwah kepada masyarakat yang sudah semakin cacamerba ini, sedangkan kita tidak mempunyai komitmen yang tinggi terhadap pekerjaan seharian? Akan terbukakah hati orang kafir untuk memeluk agama Islam jika mereka melihat perangai pendakwah-pendakwah Islam ini yang sentiasa menjalankan tugas yang diamanahkan kepada mereka secara sambil lewa? Jika sikap ini tidak dapat dikikis oleh para pendakwah yang memperjuangkan Islam, nescaya institusi keagamaan di negara ini akan semakin goyah. Ayuh kita lihat kembali Sirah Nabi Muhammad SAW. Jika kita meneliti perjalanan dakwah baginda, kita dapat melihat betapa baginda merupakan seorang insan yang sangat komited dengan tugas yang diamanahkan. Walaupun baginda sering diancam oleh orang kafir, namun baginda tetap komited menjalankan tugas menyampaikan Islam seperti yang diamanahkan tuhan.

Renung-renungkanlah wahai sahabat-sahabat seperjuanganku. Jika habit ini terus diamalkan oleh tenaga pengajar tahfiz al-Amin, tidak hairanlah jika sampai satu masa nanti, program tahfiz yang bermanfaat ini akan menemui ajalnya. Tanpa komitmen yang tulus daripada semua, tidak mustahil perkara ini akan terjadi. Sesebuah organisasi hanya akan berjaya jika semua ahlinya bekerjasama. Pepatah Melayu ada mengatakan, “Kuat akar kerana tunjang, kuat tunjang kerana akar.

Bersamalah kita membanteras sikap ini. Mungkin tulisanku ini akan menyebabkan segelintir individu terasa. Maafkanlah daku. Aku tidak berhasrat untuk mencalarkan perasaan kalian, namun, sedarilah, inilah realiti masyarakat kita sebenarnya. Dalam usaha untuk membentuk ummah dan masyarakat yang berjaya di dunia dan di akhirat, kita perlulah memberikan komitmen yang tinggi di mana sahaja komitmen itu diperlukan. Imam as-Syahid Hassan al-Banna pernah berkata,

Andai diumpamakan Islam seperti sebuah bangunan usang yang hampir roboh, maka aku akan berjalan ke seluruh pelusuk dunia bagi mencari jiwa-jiwa muda. Aku tidak ingin mengutip dengan ramainya bilangan mereka tetapi aku inginkan hati-hati yang ikhlas untuk membantu serta bersama aku membina kembali bangunan usang itu sehingga menjadi sebuah bangunan yang tersergam indah...”

Bersama ini, aku sertakan sebuah video yang memperlihatkan seorang budak membaca al-Quran surah al-Anbiyaa’, ayat 83 sampai 90. Hayatilah kefasihan kanak-kanak ini membaca kalamullah. Lenggok suaranya serta wajahnya yang comel benar-benar memikat hatiku!

Wassalam…

Maknakanlah Syawalmu…

October 29, 2007 at 1:26 pm | Posted in Renungan | 2 Comments

Salam semua!

Alhamdulillah, setelah beberapa hari kutahan nafsuku daripada makan dan minum, hari ini, dapatlah kuhabiskan puasa enamku! Kira-kiranya dah rayalah ni! Walaupun puasa hari ini kujalankan dengan penuh kelesuan, namun, kenikmatan dan kelazatan berpuasa masih dapat kurasakan sepenuhnya. (Macam mana tak lesu? Lari keliling sekolah selepas Een kejar dengan kucing la, blazer ku yang kutinggalkan di pondok dijadikan “tilam” untuk tidur oleh kucing yang sama, dan bermacam-macam lagi aktiviti seharian yang terpaksa kujalankan.)

Kepada semua sahabat-sahabat perjuangan sekalian yang masih belum langsaikan puasa enam yang penuh dengan kelebihan ini, silalah langsaikan dengan segera sebelum bulan Syawal ini berlalu. Sesungguhnya, jika kita tidak sempat untuk menunaikan ibadah sunat yang sangat-sangat dituntut ini, kitalah insan yang rugi! Sabda nabi junjungan mulia SAW:

 

Sesiapa berpuasa di bulan Ramadan dan diikuti dengan puasa enam hari dalam bulan Syawal, maka ia adalah seperti berpuasa selama setahun.

(Riwayat Muslim dan Imam Ahmad).

Oleh itu, sebagai seorang insan yang sentiasa mendambakan rahmat dan maghfirah Ilahi, sewajarnya kita sama-sama bersegera dalam menunaikan ibadah sunat ini sebelum masanya berlalu. Rahmat yang cukup besar seperti yang telah dijanjikan Ilahi ini perlulah direbut dengan segera oleh semua hambaNya yang benar-benar mengharapkan keredaanNya.

Buat sahabat-sahabatku yang masih belum manamatkan puasa enam, teruskanlah berusaha. Jangan kalah sebelum lelah! Moga usaha jihad kita mengekang hawa nafsu ini akan mendapat ganjaran yang setimpal daripada Ilahi.

“Bersamalah kita memaknakan Syawal yang bakal berlalu…”

Wallahualam…

Wassalam.

 

 

Ziarah-Peranannya dalam Menyemarakkan Ukhuwwah

October 28, 2007 at 12:28 pm | Posted in Citra Kehidupan, Renungan | 12 Comments

Assalamualaikum…

Hari ini banyak betul aktiviti telah aku lakukan… (Ceewaah! Perasan semacam!) Bermula dari pagi lagi, aku dan Een telah bersama-sama “bertukang” di dapur untuk membuat kuih cornflakes. (Ni memang trade mark kami setiap kali merdeka daripada imtihan. Eh, silaplah! Een merdeka dah ke? Hahaha, siapa suruh hang ponteng?) Yang harunya, tatkala aku sedang sibuk mengacau cornflakes itu supaya sebati, Een sibuk “curi-curi” makan adunan tersebut. Katanya, hendak “testing” sahaja. Yang aku pelik, Een bukannya “curi-curi” makan dengan kadar yang sedikit, malah, boleh kukatakan sampai pada tahap melantak! Sekali-sekala kulihat tingkah lakunya memang betul-betul melambangkan sifat keanak-anakannya. (Hisy, cakap orang, aku pun sama! Hehehe… Jangan marah ye Een…)

Tengah hari ini, kami menerima kunjungan “tetamu istimewa”. Hahaha… tetamu ini bolehlah kukatakan istimewa kerana kami terpaksa menunggu dari pukul 11 sehinggalah pukul 12:30 tengah hari bagi menanti ketibaannya. (Hahaha, sampai Een tertidur. Jangan marah ye! Kelewatan kalian berdua sebenarnya merupakan rahmat buat kami sekeluarga. Kalau ziarah kalian diawalkan, nescaya kalian akan lihat betapa bersepahnya rumah kami yang tidak berapa luas ini-meja yang masih separuh siap dipasang, dapur yang masih berkecah, ruang tamu yang masih belum berkemas. Jadi jangan terasa. Semua yang berlaku ada hikmah disebaliknya.)

Mula-mula, aku dan Een terasa malu hendak berhadapan dengan para tetamu. Entahlah apa puncanya. Mungkin kerana kami ini pemalu belaka! Hahaha… Inilah penyebab yang paling tidak boleh diterima oleh akal yang masih waras berfikir! Sebab, kami ini memang sering digelar “tak malu” oleh individu-individu yang mengenali hati budi kami. Setelah hampir setengah jam berlalu, barulah kurasakan jurang itu semakin berkurangan. Aku sudah boleh berbual seperti biasa, walaupun perasaan segan itu masih menguasai diri. Sebenarnya, itulah diriku. Aku memang seorang yang “lambat panas” dalam pergaulan, tidak kiralah dengan sesiapa pun. Aku sukar hendak bermesra dengan seseorang dalam jangka masa pendek. Tapi, apabila aku sudah rapat dengan seseorang, memang kamcing betul lah! Itulah perangaiku semenjak ku kecil.

Ziarah terus berjalan dengan lancar. Pelbagai cerita terus dikongsi bersama. Bermula dengan cerita mengenai perangai kami yang suka membuta semasa imtihan berjalan, perbualan terus dirancakkan dengan peristiwa “semalam” yang telah berlaku di luar dugaan kami. (Maaf banyak-banyak andai peristiwa ini benar-benar mencalarkan hati kalian berdua. Memang kami yang bersalah. Sebenarnya peristiwa yang sengaja kami sengajakan ini benar-benar banyak memberi pengajaran kepada kami. Maaf banyak-banyak ye!)

Selepas sahaja selesai solat zuhur, kami terus pergi ke rumah Een untuk tujuan berziarah dan menghantar Een pulang. Biasalah, raya-raya ini kita mengeratkan ukhuwwah dengan cara berziarah! Aku dan Een pergi dahulu menaiki kereta bersama dengan “tetamu istimewa” yang sememangnya mahu ke destinasi yang sama, manakala mak dan abah akan menyusul kemudian. (Terima kasih kepada kalian berdua kerana sudi menumpangkan kami berdua. Syukran jazilan kerana sudi melayan karenah kami yang “banyak mulut” di sepanjang perjalanan. Mungkin perangai kami yang “banyak mulut” ini menganggu ketenteraman kalian dalam kereta. Maaf banyak-banyak kupinta. Syukran juga untuk “fulus raya” yang kalian hulurkan. Moga jasa kalian akan mendapat balasan yang setimpal daripada Ilahi. Barakallahu fi kum)

Tidak berapa lama setelah kami tiba di rumah Een, anak saudara kembarnya yang berusia dalam lingkungan setahun setengah telah datang ke rumahnya. Aku yang sememangnya suka akan kanak-kanak (terutamanya yang berusia antara 5 bulan hingga 5 tahun) terus pergi “mengacau” budak kembar tersebut. Syukur Alhamdulillah, si Adik mahu bermain denganku setelah kudukungnya, manakala si Abang masih malu-mungkin kerana tidak biasa denganku. Aku terus bermain dengan si Adik sehinggalah aku pulang.

Sepanjang perjalanan pulang, aku telah berfikir tentang betapa agungnya jasa seorang pendidik. Mereka bukan hanya mengajar tapi mendidik sahsiah manusia agar menjadi insan yang berguna di dunia dan di akhirat. Tidak kisahlah apa jua cara yang digunakan bagi mendidik manusia-menasihat, memberi semangat, membesit, mencubit semuanya dilakukan atas dasar untuk melihat agar manusia yang dididiknya menjadi insan yang benar-benar berguna kepada masyarakat, negara, dan yang paling penting kepada agama. Itulah sebenarnya nilai seorang guru yang sudah semakin dipandang enteng oleh masyarakat. Ramai antara kita yang berpendapat tugas guru hanyalah mengajar ilmu-ilmu yang bersifat akademik. Tanggapan itu sebenarnya tidak benar. Tugas guru sebenarnya amat besar dalam usaha untuk membina kembali daulah islamiyyah yang suatu masa dahulu pernah menggemparkan dunia. Nabi junjungan mulia pernah bersabda dalam satu hadis baginda, “hampir-hampir seorang guru itu menjadi rasul.

Bercakap tentang guru, aku terasa begitu murninya hati seorang guru dalam usaha untuk melihat anak didiknya berjaya dalam kehidupan. Situasi ini pernah kualami sendiri dalam kehidupanku sebagai pelajar tingkatan tiga ini. Jika diingat-ingat kembali, suatu ketika, tatkala kami sedang dalam kekalutan hendak menghadapi imtihan PMR yang sudah semakin hampir, pernah aku “memaksa” seorang guruku untuk membuatkan nota berkaitan dengan kegunaan imbuhan untukku. Bagi memenuhi kehendakku itu, guruku itu telah bertungkus-lumus menyiapkan nota tersebut. Setelah nota tersebut diberi, aku masih gagal untuk memahami bab tersebut. Dengan penuh kesabaran, guru tersebut telah mengajar anak muridnya yang tidak mengerti apa-apa ini dengan penuh perhatian sehingga aku betul-betul faham. Aku benar-benar menghargai pengorbanan yang kalian lakukan dalam usaha untuk memaknakan kehidupanku. Kadang-kadang, aku terfikir, mampukah aku membalas jasa-jasa yang kalian telah taburkan ini walaupun sedikit?

Setelah kulihat kembali realiti kehidupanku, aku merasakan bahawa diri ini masih tidak mampu untuk membalas jasa-jasa kalian. Pernah suatu ketika (tak silapku pada 3 Oktober), ada antara kalian yang telah meminta kami resipi untuk membuat kek batik. Aku mengatakan kepada beliau jawapan standard ku, “nanti jap.” Namun, selepas itu, kami semua terlupa hendak memberi resipi tersebut. Sudah hampir sebulan berlalu, namun, beliau masih gagal untuk mendapatkan resipi itu. Terukkan kami? Berbeza betul perangai kami dengan sikap kalian yang sentiasa bergegas memenuhi permintaan anak murid. Itukah cara kami membalas jasa kalian? InsyaAllah, selepas ini kami akan cuba berubah. Maafkanlah kami berkaitan dengan resipi tersebut. Tapi, itulah perbezaan antara sikap seorang guru terhadap anak murid dengan sikap seorang anak murid kepada guru.

Alhamdulillah, secara keseluruhannya, ziarah yang tidak seberapa ini sebenarnya mampu membuatkan kita saling mengenali, bertukar-tukar fikiran tentang masalah umat Islam mutakhir ini, dan yang lebih penting, ziarah yang tidak seberapa ini dapat menyemarakkan ukhuwwah antara kita. Hukama’ pernah berkata, “Ziarahlah sekali-sekala, nescaya ia akan menyemai kasih sayang antara kita.

Wallahualam…

Wassalam

p/s: Andai ada yang tidak kena di mata sepanjang ziarah ini-layanan yang tidak memuaskan, perangai yang tidak menampakkan kematangan, kata-kata yang menghiris perasaan, dan sebagainya yang sukar ku ungkapkan, maafkanlah kami . Sesungguhnya kami insan biasa yang tak terlepas daripada kekhilafan… Semoga ukhuwwah yang sudah mula mekar ini akan berkekalan selamanya. Syukran jazilan kerana kalian sudi berkunjung ke teratak buruk wa sempit kami. Barakallahu fi kum. Eid Mubarak. Taqabbalallahu Minna Wa Minkum…

Antara Manakala dengan Mana Colour…

October 27, 2007 at 7:23 am | Posted in Citra Kehidupan, Usrati | 2 Comments

Salam semua…

Semalam, ketika kami sekeluarga sedang makan malam bersama-sama, adikku Azhari telah bertanya kepadaku satu soalan yang bunyinya lebih kurang begini…

“Kak Lina, muallimah Azhari kan tak bagi guna perkataan manakala dalam peperiksaan. Katanya salah… Kenapa ah?”

Aku yang sedang enak menikmati santapan makan malam hanya mendengar soalan itu samar-samar sahaja. Tanpa usul periksa, aku terus menjawab dengan penuh keyakinan, “entahlah, mana Kak Lina tau korang. Kalau kitorang, boleh je pakai colour pencil. Asal jangan pakai warna merah sudah la…”

Tatkala aku menjawab soalan itu sebegitu, semua mata memandang ke arahku dengan penuh tanda tanya. Emak, Abah, dan Azhari saling berpandangan. Aku yang sedang enak menyantap makanan terus makan dengan tenang. Memang “peel” ku kalau berhadapan dengan makanan… Semua sudah tidak kuambil pusing lagi! Emak kelihatan benar-benar terkejut dengan jawapanku. Beliau terus bertanya kepadaku dengan nada hairan,”apasal tiba-tiba warna-warna pulak nih? Cuba Azhari ulang balik soalan. Dengar elok-elok.”

Aku yang sedang “tekun” menjamu selera benar-benar tidak memahami apa yang sedang berlaku. “Kenapa nak kena ulang soalan? Betul lah apa yang kujawab. Warna merah memang tak boleh pakai dalam peperiksaan sebab cikgu-cikgu menanda dengan pen merah. Nanti terkeliru,” desisku dalam hati.

“Orang cakap pasal manakala lah… MANAKALA… Bukan MANA COLOUR… Kenapa lah Kak Lina nih… Meraban entah ke mana,” tukas adikku.

Tidak lama selepas itu, barulah aku faham situasi yang berlaku. Semua ahli keluargaku menggelakkan ku. Aku pun tergelak sama bagi menghilangkan perasaan malu yang amat membara.

Itulah tabiatku kalau berhadapan dengan MAKANAN. Semua sudah tidak kupedulikan lagi! Apa-apalah… Pertanyaan ke, perbualan ke… Minta maaf je la… Susah hendak ku layan. Kita kena makan dengan penuh tumpuan… Barulah kesedapan makanan itu dapat dinikmati semaksimanya…

Ada sesiapa tak selain diriku yang menghadapi masalah ini? Terlalu khusyu’ kalau bab berdepan dengan makanan???

Wassalam…

Warna Warni Kehidupan

October 26, 2007 at 3:00 pm | Posted in Citra Kehidupan, Imtihan | 9 Comments

Salam semua!

Setelah segala tumpuan telah diberikan untuk menghadapi imtihan (hehe, poyo je! Mana ada tumpuan, asyik main je sepanjang masa…), hari ini, alhamdulillah merdekalah ana daripada peperiksaan yang sentiasa mencengkam diri. Walau apa pun keputusannya nanti, insyaAllah ana akan cuba menerimanya dengan hati yang terbuka. Sekarang, kita hanya mampu bertawakkal kepada Allah sementara menanti keputusan diberikan. Cuma, ana mengharapkan kalian supaya sentiasa mendoakan ana supaya memperoleh keputusan yang cemerlang. Ingat, doa merupakan senjata orang mukmin! Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 186, “dan aku mengabulkan permintaan hambaku apabila mereka berdoa kepadaKu

Hari ini, ana agak kecewa dengan prestasi yang ana tunjukkan semasa ujian hafazan berjalan pagi tadi. Kekecewaan ini mungkin berpunca daripada sikap ana yang sentiasa culas hendak mengulang al-Quran. Walaupun soalan yang diajukan agak senang, namun ana gagal menjawab dengan sempurna. Ada saja terkhilaf di sana sini. Soalan pertama, aku diminta untuk membaca surah al-A’la. Entah kenapa, pada pertengahan surah, bacaan ana sudah mula tersangkut-sangkut. Keadaan ini mungkin berpunca daripada sikap ana yang memang memandang enteng akan juz 30 ini. Hah, padan muka! Itulah balasannya kalau memandang ringan ayat Allah kan? Jika dilihat secara keseluruhan, soalan yang ana dapat kuasai dengan baik hanyalah soalan yang berkaitan dengan surah al-Baqarah dan al-Mudathir. Bagi surah as-Sajadah dan surah al-Mujadalah, masih terdapat beberapa kesalahan pada bacaan yang ana lakukan di luar kesedaran. Secara keseluruhannya, ana agak berpuas hati dengan pencapaian yang tidak seberapa ini. Namun, sebenarnya, banyak lagi ruang-ruang yang perlu diperbaiki.

Ana akui, sejak akhir-akhir ini (lebih kurang sewaktu PUI PMR dimulakan), hubungan ana dengan al-Quran sudah semakin renggang, tidak seperti dahulu. Entah apa masalahnya, ana sendiri kurang pasti. Keadaan ini secara tidak langsung telah menjejaskan ingatan ana terhadap juzu’-juzu’ yang telah ana hafal, sehinggakan juzu’ 2 pun sudah tidak berapa lancar. MasyaAllah, apa hendak jadi??? Bukankah melupakan Kalamullah yang telah dihafal merupakan satu dosa yang boleh dikatakan sebagai dosa besar? Sabda junjungan mulia Rasulullah SAW dalam satu hadis baginda, “sesiapa yang menghafal al-Quran, kemudian dia melupakannya, kelak dia akan bertemu dengan tuhannya dalam keadaan tangannya kudung.” (Riwayat Abu Daud dan at-Tarzmizi) Isy…isy…isy… Ighfirly Ya Allah… Ighfirly Ya Allah! Berilah kekuatan kepadaku untuk ‘iadah!

Selepas selesai sahaja ujian hafazan, ana terus sahaja menelefon abah untuk pulang. Namun, kerana ada sedikit hal yang tidak dapat dielakkan, terpaksalah ana menunggu abah mengambil ana pada pukul 11 nanti. Sementara sedang bosan menunggu kedatangan abah, ana mengambil kesempatan untuk berbual-bual dengan dua orang kanak-kanak perempuan, berusia lebih kurang 5 ke 6 tahun yang sedang menunggu kedatangan teksi mereka untuk ke tadika. Ana lalu menyapa mereka dengan ramah (memang fitrah ana suka mengacau budak-budak).

“Ai, asal pakai baju kurung warna-warni pergi sekolah? Mana pergi baju sekolah?” Sapaku kepada mereka.

“Ala, hari ni ada jamuan raya la! Sebab tu pakai baju raya. Tengok ni, siap bawa makanan lagi. Nina bawa keropok, Aqilah pula bawa mihun goreng. Ummi dia masak. Hehe, cuba akak teka lagu apa Nina nyanyi waktu ihtifal hari tu?” Jawab salah seorang daripada mereka yang bernama Nina.

“Entahlah, mana akak tahu. Nina jawablah…” Jawabku sekilas.

“Nina nyanyi lagu ni…”

Selepas itu Nina dan Aqilah terus nyanyi lagu itu bersama-sama. Ana benar-benar tertarik pada lirik nasyid yang mereka lakukan. Antara liriknya yang sempat kutangkap ialah…

O when you feel bad,

O when you feel sad,

Say lailahaillah…

Only Allah, only Allah

Only Allah will help you,

He is here, he is here,

Do not fear, do not fear,

Only Allah will help you…

Kalau diteliti, lirik nasyid ini amat simple, namun begitu mendalam maksudnya. Jika kita benar-benar hayati, ia akan benar-benar mengubah gaya kehidupan kita. Nasyid ini amat sesuai diajar kepada kanak-kanak. InsyaAllah, semoga kalian berdua dewasa dalam keimanan dan ketakwaan! Amin…

Sekian,

Wassalam.

Moga Kejayaan Milik Kalian

October 25, 2007 at 3:20 pm | Posted in Imtihan | 1 Comment

Assalamualaikum!

Alhamdulillah, hari ini tamatlah sudah peperiksaan PMRI bagi subjek Tajwid dan Tasawwur Islami. Secara keseluruhannya, ana rasa agak terkilan dalam kedua-dua subjek ini. Bukannya apa, cuma setelah ana nilai kembali diri ana, sebenarnya, ana rasa bahawa sebenarnya ana tak cukup persediaan lagi untuk menghadapi kedua-dua subjek ini, terutamanya Tasawwur. Namun, apa yang mampu ana lakukan? Berundur kembali ke belakang? Tak apalah, yang sudah berlalu, kita biarkan ia berlalu. Jangan diulangi lagi kesilapan yang sama. Baiklah kita kembali bermuhasabah diri agar sentiasa dinaungi rahmat dari Ilahi.

Setelah diselidiki, masalah kurang persediaan sebelum imtihan ini bukan berpunca daripada kekangan masa. Namun, inilah sebenarnya masalah diri ana! Entah mengapa, ana sentiasa malas hendak membaca buku… Penyakit ini sudah lama bersarang dalam jiwa ana. Ana rasa virus ini berpunca daripada kelemahan iman ana-sehinggakan sanggup tunduk kepada nafsu. Isy..isy…isy… Tak tahulah apa nak jadi… Kalau sesiapa ada cara untuk mengawal nafsu yang satu ini, bolehlah kita kongsi bersama ye…

Apa-apa pun, good luck kepada semua kakak-kakak dan abang-abang tingkatan 4 yang sedang berjihad dalam imtihan. Kepada adik-adik tingkatan 1 dan 2, persiapkanlah diri anda dengan ilmu yang secukupnya sebelum kalian pergi berjuang dalam peperiksaan akhir tahun yang bakal mendatang. Manfaatkanlah masa yang dikurniakan dengan bijaksana. Moga kejayaan milik kalian! Fi Amanillah…

Bittaufiq Wa Mannajah!

Happy Yaumul Milad…

October 25, 2007 at 3:00 pm | Posted in Usrati | Leave a comment

Assalamualaikum semua!

Apa khabar? Moga hari ini lebih baik daripada semalam…

Semalam, 13 Syawal merupakan tanggal yang amat bermakna buat kami sekeluarga, terutamanya, adik ana, Azhari Azizi. Hari ini merupakan hari ulang tahun kelahiran beliau mengikut kalender hijrah. Bermakna, kalau dikira-kira, beliau kini sudah menginjak masuk ke usia 11 tahun! (kalau dikira melalui kalender hijrah la) Wau, dah besar dah ye! Betapa cepatnya masa berlalu!

Buat Azhari, Kak Lina harap Azhari akan menjadi seorang insan yang berguna kepada ummah pada masa hadapan. Sesungguhnya ummah perlukan kita semua! Kutiplah sebanyak mungkin ilmu yang bermanfaat sementara peluang masih terbuka luas. Jangan culas. Ketahuilah, peluang jihad akan terbuka seluas-luasnya jika kita benar-benar seorang insan yang mempunyai banyak pengetahuan. Semoga Azhari membesar dalam Iman!

Wassalam…

Menjelang PMRI Tasawwur Kertas 1…

October 24, 2007 at 3:01 am | Posted in Imtihan | 6 Comments

Assalamualaikum Kullukum Jamian…

Alhamdulillah, setelah lama aku menanam impian hendak membuat blog sendiri, hari ini, setelah sehari peperiksaan PMRI Tasawwur Islami Kertas 1 berlalu, harapan itu termakbul juga – bi iznillah. Sebenarnya, blog ini didirikan sebagai kesinambungan kepada blog Friendsterku yang pernah kuusahakan sebelum ini. Kepada sesiapa yang ingin membaca tulisanku sebelum ini, bolehlah kalian layari URL ini.

http://nurazlina_azizi.blogs.friendster.com/my_blog/

Semalam, setelah aku menduduki peperiksaan PMRI Tasawwur Islami Kertas 1 yang membincangkan tentang Ulumul Quran, Hadis, dan Tafsir, kepalaku terasa begitu berat. Almaklumlah, semua soalan yang ditanya dalam peperiksaan yang berlangsung selama dua jam itu benar-benar menguji tahap pemikiranku. Hampir kesemuanya menguji sejauh mana kefahaman kita tentang Islam. Antara soalan yang masih kuingat:

  1. Huraikan pernyataan al-Quran sebagai mukjizat.
  2. Buktikan mengapa al-Quran bukan tulisan Nabi Muhammad SAW.
  3. Untuk apa al-Quran diturunkan.
  4. Bilakah al-Quran diturunkan?
  5. Berpandukan ayat 47 surah an-Nur, mengapa orang munafiq tak boleh masuk syurga?
  6. Huraikan hukum meninggalkan solat.
  7. Tuliskan surah al-Kauthar berserta terjemahan dengan lengkap.

Antara soalan yang paling sukar untuk kujawab ialah soalan yang menyuruhku menghuraikan hukum meninggalkan solat. Entah mengapa, aku rasa sebenarnya soalan ini amat mudah, cuma ketika itu, aku seolah-olah sudah kuhabisan idea untuk menjawabnya. Tanpa berfikir panjang, aku terus mengatakan hukumnya haram di sisi syara’ kerana telah mengabaikan salah satu tuntutan agama yang wajib dilaksanakan. Dalam Islam, ibadah solat amat dititik beratkan, sehinggakan tatkala kita sakit pun, ibadah ini diwajibkan. Selain itu, solat ini juga merupakan salah satu daripada lima tuntutan Rukun Islam. Aku sertakan tiga buah dalil, dua daripadanya aku ambil daripada al-Quran (surah an-Nur dan al-Baqarah), manakala lagi satu, aku mengambil hadis nabi yang mengatakan bahawa solat itu tiang agama. Aku pun tidak tahu mengapa aku menjawab soalan ini sedemikian rupa. Aku tidak pasti sama ada jawapan ku ini betul ataupun tidak.

Lagi satu, bagi soalan yang menanyakan tentang bilakah al-Quran diturunkan, aku tidak pasti apa jawapannya. Soalan ini memang sudah lama menghantuiku. Bukankah jika menurut surah al-Qadr serta surah ad-Dukhan ayat 3, al-Quran diturunkan pada Lailatul Qadr? Bagaimana pula dengan tarikh Nuzul Quran yang disambut pada 17 Ramadan? Dalam surah al-Anfal, ayat 41, Allah berfirman, “dan apa yang kami turunkan kepada hamba kami (Muhammad) pada hari bertemunya dua pasukan…” Melalui ayat ini, Allah telah mengisyaratkan bahawa al-Quran diturunkan pada hari peperangan Badr, iaitu 17 Ramadan. Tapi, bukankah al-Quran telah turun sebelum hijrah lagi? Entahlah, aku sendiri kurang pasti apa jawapannya. Jadi, kepada sesiapa yang tahu akan jawapannya, silalah jawab pertanyaan ini….

Akhirul kalam, doakan kejayaanku dalam kehidupanku selalu, tidak kiralah di dunia dan di akhirat. InsyaAllah, esok, aku bakal melalui dua kertas lagi, Tasawwur Islami Kertas 2 dan Tajweed. Doakan ye semoga aku beroleh mumtaz dalam kedua-dua paper!

Waallahu ‘Alam…

Allahumma Thabbit Qulubana Ala Deenik….

Create a free website or blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.