Selamat Berkelana, Sahabat-sahabatku!

February 17, 2008 at 11:34 pm | Posted in Citra Kehidupan, Sekolahku | 1 Comment
Tags: ,

Sedih rasanya mengenangkan sahabat-sahabat seperjuanganku yang bakal berkelana ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) esok, bagi meneruskan jihad yang sememangnya menuntut seribu pengorbanan ini. Sememangnya perasaan sedihku sukar digambarkan. Apatah lagi kalian sememangnya sudah bersama denganku sejak dari tingkatan satu lagi, malah ada yang sudah kukenali sejak dari darjah satu lagi! Ah, betapa banyaknya pengalaman yang telah kita rasai bersama-sama. Bila dikenang-kenang kembali, semuanya manis dan indah belaka, tak kurang juga yang melucukan apabila kembali dihayati. Betapa indahnya kenangan-kenangan silam – Tamrin Ukhuwwah Tingkatan 1, Perkhemahan Asas Tingkatan 1, ekspedisi Gunung Hijau, PUI PMR dan PMRI yang telah kita lalui bersama-sama, semuanya untukku coretkan dalam tulisan seringkas ini.

Buat sahabat-sahabatku yang bakal meninggalkan “bumi emas” ini, khususnya saudara Muhd Jabrullah Johari, saudari Ummu Ammarah Faisal, dan saudari Khadeeja Ameruddin, aku mengharapkan kalian terus maju menjulang kalimah Lailahaillallah, walau di mana sekalipun kalian berada. Kitalah permata buat umat yang kian nazak ini! Peliharalah iman kalian. Jadikan al-Quran dan al-Hadits sebagai pegangan. Tidak dilupakan juga, teruskanlah jihad menuntut ilmu ini dengan penuh dedikasi dan kesabaran! Jangan kalian turut sama hanyut diterjah badai kehancuran yang sememangnya sedang menggila di luar sana. Duhai sahabatku, gelombang inilah yang paling kutakuti bakal menimpa kita semua! Tetapi, jangan risau. Akan ku selusuri pemergian kalian dengan kiriman doa, InsyaAllah.

Sekali lagi buat semua, pada kesempatan ini, aku memohan seribu kemaafan andai sepanjang perkenalan kita, banyak perlakuanku yang tak kena di mata, tak enak di rasa, sama ada dilakukan di bawah sedar mahupun sebaliknya. Sememangnya banyak kekurangan yang ada pada diriku ini.

Akhir sekali, aku tinggalkan kalian dengan sebuah pesanan, buat renungan kita bersama.

Andai kehidupan ini diibaratkan sebagai sebuah bahtera yang sedang dalam pelayaran, jadikanlah iman sebagai sauh yang bakal menentukan keselamatan dalam pelayaran yang sedang dilalui. Lautan yang sedang diredah tidak selalunya akan tenang, kerana begitulah kehidupan, tidak pernah tenang, pasti ada cabaran dan dugaan yang saling mewarnai kita semua. Namun begitu, jika kita mempunyai keimanan yang utuh pada Ilahi, nescaya sahabat-sahabatku, kita tidak akan sekali-kali hanyut dibawa gelombang kehidupan, meski apa pun yang mendatang!

Salam rindu di bawa angin lalu….

p/s: Rajin-rajinlah datang ke “bumi emas” ini andai adanya kesempatan. Sesungguhnya kalian semua sentiasa dialu-alukan.

Raya Cina di Tangkak… 080208

February 9, 2008 at 1:07 am | Posted in Renungan, Usrati | 7 Comments
Tags: , ,

Penat menyambut tahun baru cina bersama dengan keluarga semalam masih lagi dapat kurasakan bahananya. (Ceewah, macamlah aku yang bawa kereta!) Apa tak penatnya, hampir enam jam rasanya kami bersilat dalam kereta, baru sampai ke destinasi yang dituju, Tangkak dalam pukul 6:30 petang. Lambat benar kami sampai tahun ini, sehingga terlepas tarian singa yang biasanya diadakan dari rumah ke rumah. Hakikatnya, perjalanan biasa hanya mengambil masa selama tiga jam setengah, (tu pun kalau yang bawanya Abah, yang sememangnya slow and steady. Takpe, pandu cermat jiwa selamat kan?) namun, apa terdaya, jalan terlalu sesak entah kenapa. Mungkin terlalu ramai warga kota yang berhasrat untuk pulang ke desa bagi bertemu dengan keluarga tercinta. Almaklumlah, cuti kali ini agak panjang!

Namun, setibanya di Tangkak, kepenatan kami mengharungi perjalanan yang sungguh meletihkan itu benar-benar terubat setelah bertemu dengan saudara-mara yang sememangnya agak jarang berjumpa. Sampai di rumah mendiang atuk (sekarang ini rumah pak cik 2) aku dan Azhari terus “melantak” hidangan limau dan air kotak teh bunga yang dihidangkan. Almaklumlah, sememangnya kami agak kehausan setelah enam jam terperuk dalam kereta di bawah sinaran matahari yang memancar terik!

RayaDari rumah mendiang atuk, kami bergerak pula ke arah rumah mak cik 4 yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah mendiang atuk. Kami terus berbual-bual sesama sendiri. Suasana sememangnya meriah. Apa taknya, dengan bilangan adik-beradik mak yang seramai 17 orang itu, keadaan memang sentiasa riuh. Walaupun tidak semua fasih berbahasa Melayu, namun ikatan persaudaraan tetap kukuh. Yelah, dah namanya adik-beradik. Bak kata pepatah, air dicencang tidak akan putus.

makan sepupu

Bersama dengan sepupu-sepupu

Menjelang malam, kami beramai-ramai bergerak ke kedai makan Melayu yang berhampiran untuk makan malam bersama-sama. Meriah sungguh suasana! Untuk kami sekeluarga sahaja, rasanya sudah hampir separuh kedai penuh. Nasi Lemak serta sate ayam yang dihidangkan benar-benar mengenyangkan kami semua.

usrah

Alhamdulillah, secara keseluruhannya, kurasakan kepulangan kami kali ini untuk menyambut tahun baru Cina di Tangkak benar-benar membuahkan “sesuatu” yang amat berharga serta bernilai buat kami, sehingga sukar untuk kuungkap dalam tulisan sesingkat ini. Sebenarnya, aku sungguh terharu akan layanan yang kalian hulurkan buat kami. Walaupun kita berlainan agama, namun kita tetap belajar untuk saling memahami, dan seterusnya saling menghormati sesama sendiri. Sikap inilah yang akhirnya mewujudkan keharmonian.

  • mak
    Ha, ada persamaan tak? Kakak sulung dengan adik bongsu?

Sepanjang perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, aku seringkali terfikir mengenai perananku mengeratkan ikatan kekeluargaan apabila aku telah dewasa nanti. Mampukah agaknya aku mengekalkan ikatan kekeluargaan ini? Atau, generasi seterusnya akan terputus hubungan persaudaraan, atau semakin tidak mengenali antara satu sama lain? Bagiku, inilah pentingnya kita membina hubungan yang rapat antara keluarga supaya, apabila kita sudah dewasa kelak, kita akan tetap mampu menjaga ikatan yang telah terbina ini. Sewaktu usia kita masih remaja ini, kenallah sebanyak mungkin saudara-mara. Belajarlah untuk menghargai keluarga. Jangan sombong dengan mereka. Buat ibu bapa pula, ajar anak-anak anda untuk mengenali kaum keluarga mereka sejak kecil lagi. Takut nanti, apabila mereka telah dewasa, mereka semakin lupa akan kaum kerabat, susur galur keturunan mereka! Inilah sebenarnya perkara yang amat merugikan kita semua – apabila ikatan kekeluargaan tidak dipelihara.

Renung-renungkanlah bersama.

Create a free website or blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.