Layang-layang dan Kehidupan

December 30, 2007 at 5:20 pm | Posted in Citra Kehidupan, Renungan, Usrati | 1 Comment
Tags: ,

Assalamualaikum Warahmatullah…

Taman Metropolitan Kepong

Suasana di Taman Metropolitan Kepong yang sentiasa sesak dengan pengunjung yang lazimnya hendak beriadah dan bermain layang-layang.

Seronok rasanya bermain layang-layang bersama seisi keluarga di Taman Metropolitan Kepong petang tadi. Memang sejak akhir-akhir ini, kami sekeluarga gemar menghabiskan masa petang yang terluang dengan bermain layang-layang. Selain untuk tujuan riadah, aktiviti ini juga dapat mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga. Keseronokan bermain dengan layang-layang ini sukar hendak digambarkan dengan kata-kata, walaupun selalunya banyak rintangan kecil yang perlu dilalui bersama – tali layang-layang terbelit sesama sendiri, tiada angin, layang-layang tersangkut pada pokok, dan seribu satu mehnah lagi yang kadang-kadang benar-benar mencabar kesabaran!

Tetapi, bila direnung-renungkan balik, begitulah sebenarnya kehidupan yang sedang kita lalui sehari-hari. Kehidupan ini tak akan berlalu dengan mudah tanpa banyak halangan dan cabaran yang perlu dilalui dengan penuh kesabaran dan kebijaksanaan. Halangan-halangan yang terpaksa ditempuh inilah yang bakal mematangkan pemikiran dan melahirkan insan yang cekal dan tabah dalam setiap keadaan. 

Tatkala sedang sibuk mengawal layang-layang yang sudah mula meluncur tinggi di udara, fikiranku sudah mula melayang ke sana ke mari. Ya, layang-layang yang sedang terbang tinggi itu melambangkan cita-citaku untuk menjadi khalifah dan abdullah di muka bumi ini, manakala tali yang mengawal layang-layang itu daripada terus “hanyut” ibarat ad-Deen yang sedang mengemudi cita-citaku ini daripada tersasar dari arah tujunya yang sebenar. Pokok-pokok yang kadang kala menyebabkan layang-layang tersangkut dan keadaan angin yang “kejap ada, kejap tak ada” pulu mewakili cabaran-cabaran yang mewarnai perjalananku untuk merealisasikan cita-cita murni ini.

Memang benar. Dalam usaha untuk merealisasikan cita-cita ini, sememangnya banyak halangan yang terpaksa ditempuhi dengan sabar. Banyak pengorbanan yang perlu dilakukan. Kadang-kadang, kita terpaksa menelan erti pahitnya perpisahan apabila kita terpaksa berpisah dengan insan-insan yang paling kita hargai dalam kehidupan seharian. Apa lagi yang boleh kita lakukan selain bersabar? Bertemu dan berpisah… Itukan sunnah? Itukan tarbiah? Dalamnya insyaAllah terkandung banyak ibrah dan hikmah. Mungkin ketentuan Allah itulah yang terbaik buat kita. Bukankah Allah telah berfirman dalam surah al-Insyirah, ayat 6, bahawa, “sesungguhnya di sebalik kesusahan itu pasti ada kesenangan.

Layang-layang

Layang-layang: Perlu hikmah dalam mengendalikannya!

 

Sememangnya segala cabaran ini begitu pahit untuk ditelan. Hanya kesabaran, ketaqwaan, dan kebijaksanaan yang dapat menjadi penawarnya. Sudah aku katakan, kehidupan ini ibarat layang-layang yang memerlukan kebijaksanaan tatkala mengendalikannya. Kejap perlu ditarik talinya, kemudian dilepaskan tatkala tiba masanya yang sesuai. Apabila betul cara yang digunakan bagi mengemudinya, insyaAllah, cita-cita yang diimpikan bersama itu tidak akan jatuh menyembah bumi, seterusnya, menjadi khayalan semata-mata.

Itulah realitinya hidup ini, tak sunyi daripada cabaran, tak lekang daripada kesusahan, tapi, percayalah, elemen-elemen inilah yang bakal mamatangkan pemikiran, seterusnya mendewasakan setiap insan! Itukan janji Allah dalam surah Ali Imran, ayat 140, “dan demikianlah keadaan hari-hari (kejayaan dan kesedihan) Kami pergilirkan antara manusia (supaya menjadi pengajaran).”

Salam Aidiladha

December 19, 2007 at 6:53 am | Posted in Renungan | Leave a comment
Tags:

Salam Aidiladha semua…

Eid Adha

Semoga Aidiladha yang bakal berlalu ini akan dihayati sepenuhnya, bukan hanya dengan aktiviti-aktiviti yang sudah menjadi ritual dalam kalangan masyarakat sejagat. Laksanakanlah ibadah korban, solat sunat Aidiladha, ziarah menziarahi, dan sebagainya dengan penuh ruh penghayatan. Barulah kemanisan Aidiladha ini akan dapat dihayati.

Maaf

Andai ada yang tak kena sepanjang usia perkenalan ini sama ada yang dilakukan dengan sedar mahupun di luar kesedaran – posting yang ada kalanya menghiris perasaan, komen-komen yang kadang kala tidak dilayan, kata-kata yang sering kali mencetuskan kemarahan, dan sebagainya yang sukar kuungkapkan, aku memohon sejuta kemaafan. Almaklumlah, aku insan biasa yang tak sunyi daripada kekhilafan. Syukran jazilan kerana sudi berkunjung.

Fi Amanillah

Buat kalian, kullu am waantum bikhair. Eid Mubarak ku ucapkan. Taqabbalallahu Minna Wa Minkum.

 

 

Salam ukhuwwah buat semua,

Nurazlina bt Azizi

Tahfiz Cuti Sekolah 2007 – Satu Catatan

December 16, 2007 at 9:51 am | Posted in Citra Kehidupan, Sekolahku | 11 Comments
Tags: , , ,

Salam,

Alhamdulillah, pada tanggal 14 Disember yang lalu, kelas tahfiz yang diadakan di sekolah telah melabuhkan tirai 2007 secara rasmi setelah 33 hari (bagi tingkatan 3 sahaja, tingkatan-tingkatan lain kurang 5 hari) kelas tahfiz musim cuti sekolah dijalankan selama empat jam. Program tahfiz semasa cuti sekolah kali ini telah banyak mendatangkan manfaat buat kami, khususnya dalam usaha untuk menambah hafalan sebanyak mungkin. Inilah sedikit sebanyak catatan yang dapat dikongsi bersama. Catatan ini dibuat berdasarkan pemerhatian ana selama tahfiz ini berjalan.

7:30 am

Pelajar-pelajar mula datang ke sekolah seawal ini untuk mengikuti kelas yang dijadualkan bermula pukul 7:30 pagi. Banyak pengorbanan perlu dilakukan untuk menghadiri kelas tahfiz ini – mencari modal untuk dipersembahkan di hadapan cikgu sebanyak mungkin, meninggalkan lambaian bantal tercinta, rancangan-rancangan kartun di televisyen, dan sebagainya. Di kelas kami…

Cg Roslina

Cikgu Roslina, mudir tahfiz kami, merangkap guru kumpulan tahfiz kami.

Cikgu  : Aik, mana Een ni? Dah pukul 7:35 pagi ni! Kenapa tak muncul-muncul   lagi?

Lina     : Sabar. Kejap lagi, muncul lah tu…

Cikgu  : Ye la. Cepat baca Quran ni. Jangan main. Nanti, tak sempat nak habis target yang cikgu tetapkan.

Tak lama kemudian, Een pun muncul.

Cikgu  : Kenapa lambat?

Een      : Hehehe, maaf banyak-banyak. Terbangun lambat la tadi.

Cikgu  : Esok, jangan datang lewat lagi. Kalau tak, balik lewat! Nak tak?

Kelas berjalan seperti biasa. Kami tetap membaca al-Quran walaupun kadang kala diselangi dengan perbualan.Tetapi, seperti biasa, kedai kopi yang baru hendak mula rancak itu akan mati dengan sendirinya apabila cikgu mula jeling-jeling terhadap kami. “Ala cikgu, cakap sikit je. Tak pe, jangan risau, nanti kami tasmi’…” Begitulah selalunya alasan kami. (Memang benar pun! Tak lama lepas tu, datanglah seorang demi seorang ke depan untuk tasmi’.)

Selepas setengah jam kelas bermula, kami pun mula tasmi’ dengan cikgu. Ada yang datang dengan rela hati, ada yang datang setelah dipanggil. Ah, macam-macam karenahnya. Selamat cikgu sabar melayan. Kalau tak…

Tasmi’

Ayuh tasmi’! Pastikan perjuangan merebut 30 juzu’ itu akan tercapai!

10:20 am

Lagi sepuluh minit masa rehat akan tiba! Seperti biasa, kelas kami akan turun lebih awal untuk menyiapkan hidangan yang telah ditempah dengan caterer yang juga merupakan salah seorang parents tahfiz.

Cikgu : Cepat! Kita kena turun siapkan makanan. Nanti terlambat!

Kami  : Menurut perintah, tuanku!

Begitulah kami. Biasanya, cikgu, ana, Meme, Ili, dengan Dena akan menguruskan makanan, manakala Een, Aizul, dan Nah, akan berkerjasama menguruskan bahagian minuman. (Hehe, kiranya, setelah berminggu-minggu kami berlatih menyediakan makanan, layak kot jadi caterer?)

10:30 am

Alhamdulillah, rehat telah tiba! Masa untuk bersantap jasmani pula, setelah puas rohani disuap dengan zikrullah sebentar tadi! Eh, hari ni lauk apa ye?

Fenomena waktu rehat ini benar-benar membuatkan ana gembira. (Ana gembira bukan sebab waktu rehat ialah waktu kami menyantap hidangan, tapi, situasinya.) Ya, situasinya memang benar-benar mendamaikan jiwa! Terpesona jiwa ini tatkala melihat hubungan yang begitu intim antara guru-guru tahfiz dengan anak-anak muridnya.

Us Usman

Ustaz

Cikgu

Sebahagian daripada Guru-guru Tahfiz yang gigih mencurahkan khidmat bakti.

Kebanyakan guru-guru yang akan menghabiskan waktu rehat ini bersama-sama dengan anak muridnya. Semua dibuat secara bersama – berkongsi meja yang sama, makanan yang sama, minuman yang sama, perbualan yang sama, mengemas kantin bersama-sama, dan sebagainya. Semuanya secara berjemaah. Tidak ada jurang yang ketara antara anak murid dengan guru-guru. Guru mengenali anak murid mereka sedalam-dalamnya. Anak-anak murid juga mengenali guru-guru mereka dengan sedalam-dalamnya. Inilah yang mencetuskan kemeriahan dalam program tahfiz ini. Suasana ini akan menyemai kasih sayang antara seorang guru dengan anak-anak muridnya yang bermacam itu. Sedihnya, situasi ini jarang dilihat di sekolah pada waktu persekolahan biasa. Ya, jarang sekali.

persekolahan biasa. Ya, jarang sekali.

Pelajar banin 1 : Cikgu, nak tambah boleh?

Cikgu              : Boleh. Ambil lah sendiri. Siapa lagi nak tambah??? Makanan banyak lebih ni…

Kami               : Hehe, cikgu. Bab makan, kami tak akan tolak punya.

Cikgu              : Ye la. Tapi, lepas makan, pastikan kemas. Sampah jangan buang dalam tong sampah sekolah, buang dalam plastik yang disediakan tau! Ingat!

Masa rehat yang berbaki digunakan secara optimumnya oleh pelajar-pelajar, terutamanya banin untuk bermain apa-apa sahaja permainan di gelanggang dan dihadapan pondok jaga. Ye la, selepas perut kenyang, kita riadah pula. Baru bertenaga untuk teruskan perjuangan sehingga pukul 12:30 nanti. Tak gitu?

11:00 am

Rehat sudah habis. Pelajar-pelajar lain sudah masuk ke kelas. Tinggallah kami di kantin ini, mengemas kantin yang selalunya agak kelam-kabut setelah berakhirnya rehat. Angkat kerusi, lap mej, kutip sisa-sisa makanan yang ditinggalkan, dan sebagainya. Selepas semuanya siap, barulah kami akan kembali ke kelas bagi meneruskan perjuangan yang masih bersisa.

12:30 pm

Masa untuk pulang! Cepat, cepat! Nak balik. Game, bantal, komputer, semuanya menanti di rumah. Tapi, bersabarlah. Tunggu dulu cikgu bagi balik ataupun tidak.

Pelajar-pelajar sekolah rendah             : 10, 9, 8, 7, 6, 5, 4, 3, 2, 1! Cikgu dah pukul 12:30 tepat! Kami balik ye… Assalamualaikum.

Cikgu                                                  : Aik, cepatnya salam. Siapa bagi balik? Tunggu dulu. Lagi lima minit baru boleh keluar. Tapi, Azhari, Hanafi, Hud, tak boleh balik lagi. Azhari dengan Hanafi habiskan murajaah dulu. Ha, Hud, mana hutang? Yasin tu habiskan dulu. Baru balik.

Hud                                                     : Ala cikgu…

Azhari                                                 : Kena ulang dulu ke? Isk…isk…

Cikgu                                                  : Lina pun sama. Ulang dengan Aizul dulu. Sekurang-kurangnya satu maqra’, baru balik.

Lina                                                     : Ok..ok…

Begitulah situasinya. Selagi tak habis tugas harian yang telah ditetapkan cikgu, tak balik lah jawabnya, kecuali kalau hari tu cikgu ada kelas di UIA. Terpaksa balik cepat. Selamatlah sikit… Tapi, tunggulah esok… Hukuman tertangguh! Aduh, lagi dahsyat la jawabnya…

Itulah sedikit sebanyak yang dapat ana kongsikan bersama. Semoga kelas tahfiz yang dijalankan semasa musim cuti sekolah ini akan dapat menggegarkan bangunan al-Amin dengan ayat-ayat al-Quran, seterusnya menberikan rahmah buat semua. (Ye la, macam mana tak bergegar bangunan, kami ini, terutamanya adik-adik sekolah rendah, kalau dah mula menghafal, memang kuat bacaannya. Dari tangga lagi dah mula kedengaran.) Jangan marah adik-adikku. Kalianlah sebenarnya yang telah mencetuskan biah al-Quran tatkala kelas sedang berjalan.

Teruskanlah usaha kita menggegarkan bangunan usang ini dengan cahaya al-Quran. Semoga segala kegembiraan yang dikongsi bersama sepanjang kelas ini berjalan akan dapat memberi suntikan semangat untuk terus mengejar impian yang sememangnya sudah lama tersemat di jiwa – menjadi huffazul Quran!

Sekian,
Wassalam.

P/s: Gambar-gambar ini diambil daripada weblog ATACE. Sebarang pertanyaan mengenai program tahfiz yang dijalankan ini, kalian bolehlah merujuk di sini.

Sejarah Kita

December 5, 2007 at 9:28 am | Posted in Cetusan Pemikiran, Renungan | 2 Comments
Tags: ,

Assalamualaikum Warahmatullah…

Alhamdulillah, setelah beberapa hari ana gagal untuk mencoretkan apa-apa dalam blog ini, akhirnya, dapat juga kita bertemu lagi. Almaklumlah, walaupun zahirnya sekolah masih bercuti, namun masih banyak yang perlu ana langsaikan – memberikan tumpuan penuh kepada kelas tahfiz yang diadakan semasa cuti sekolah ini, aktiviti-aktiviti bersama keluarga, menghadiri walimah saudara-mara, dan sebagainya. Walaupun hakikatnya ana sedikit sibuk semasa cuti kali ini, namun jauh di sudut hati, ana bersyukur kerana di sebalik kesibukan yang terpaksa dihadapi, InsyaAllah, masa yang sangat berharga ini tak akan terbuang begitu sahaja.

Teks Sejarah Tingkatan 4

BUKU SEJARAH

Sebagai persediaan untuk menuntut di tingkatan 4 kelak, ana sering membelek-belek Buku Teks Sejarah Tingkatan 4 untuk mendapatkan gambaran sebenar mengenai apa yang bakal dipelajari. (Isy, baca bukan untuk peperiksaan sebenarnya, saja baca untuk pengetahuan. Lagipun, ana memang minat subjek Sejarah, walaupun hakikatnya masih mendapat B lewat Trial PMR dahulu. =( )

Secara keseluruhannya, ana amat berminat dengan topik-topik yang bakal dipelajari tahun hadapan, terutamanya tiga topik yang awal, iaitu yang berkaitan dengan tamadun awal, atau dalam bahasa Inggerisnya disebut sebagai Ancient Civilization. Banyak yang dapat kita jadikan pengajaran apabila kita meneliti kegigihan yang telah dilakukan oleh manusia zaman dahulu untuk membaiki kehidupan mereka.Tanpa kegigihan dan usaha keras yang telah dilakukan oleh ilmuwan dahulu kala seperti Pythagoras yang telah memperkenalkan Teorem Pythagoras, Archimedes yang telah memperkenalkan Teori Archimedes, Socrates yang telah berjuang keras bagi memperkenalkan ilmu falsafah yang diterokainya, tak mungkin hari ini kita boleh hidup dengan sebegini selesa.

Mungkin kerana gaya hidup kita yang menerima ilmu secara ”mudah” ini telah menyebabkan sebilangan besar generasi hari ini hanya mampu menerima pencerahan yang telah dibuat oleh tokoh ilmuwan dahulu kala tanpa ada rasa untuk menghargainya.

ADA YANG KURANG

Setelah sekian lama membelek-belek buku setebal 284 muka surat ini, ana mula rasa ada ”sesuatu” yang kurang. Mengikut silibus yang dipelajari, daripada bab satu sehinggalah bab yang kesepuluh, hampir semuanya membincangkan tentang peningkatan dan sumbangan yang telah berjaya dicapai oleh sesebuah tamadun atau bangsa. Bermula daripada peningkatan dan kemajuan tamadun-tamadun awal, sumbangan yang telah ditaburkan oleh kerajaan-kerajaan Islam, perkembangan di Eropah, dan akhirnya kesan dasar British terhadap ekonomi negara, kesemuanya hanya membicarakan tentang peningkatan dan sumbangan. Mungkin pendekatan ini diambil oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dengan harapan generasi muda hari ini dapat mengambil pengajaran dan mencontohi kegigihan yang telah ditunjukkan oleh manusia zaman dahulu sehingga mereka mampu mengubah kehidupan mereka ke arah yang lebih baik.

Memang diakui banyak pengajaran dapat diambil daripada peningkatan dan sumbangan yang telah diberi oleh tamadun-tamadun awal. Namun, dalam satu masa yang sama, tidak dinafikan bahawa sebab-sebab kejatuhan sesebuah tamadun itu juga penting untuk dipelajari. Dalam situasi hari ini – kemajuan telah berjaya dicapai, namun kecelaruan terus menguasai rakyat, kita perlu memberi penekanan terhadap sebab-sebab yang boleh membawa kepada runtuhnya tamadun.

Sebagai contoh, bagaimanakah sebuah tamadun yang mempunyai pengaruh dan ilmu pengetahuan yang tinggi seperti Tamadun Yunani mampu runtuh? Tamadun yang kaya dengan kesusasteraan, seni berpidato, membaca, dan menulis ini merupakan sebuah tamadun yang sangat utuh dari segi IQ. Ini dibuktikan dengan kewujudan tokoh-tokoh seperti sejarawan seperti Thucydides dan Herodotus, tokoh-tokoh dalam bidang sains dan teknologi seperti Anaximander, Anaxagoras, dan Thales, tokoh-tokoh dalam bidang falsafah seperti Socrates, Aristotle, dan Plato, dan sebagainya yang memang cukup berjasa buat Tamadun Yunani. Namun, dengan kemajuan yang telah dicapai, mengapakan tamadun ini tetap menemui ajalnya?

Antara penyebabnya ialah kerana tamadun itu mengalami masalah keruntuhan moral. Renungi kenyataan ini: (Di ambil daripada Saifulislam.Com)

“If there is one lesson which history has taught us, it is the fundamental importance of will power, as much as for nations as for individuals, and in every circumstance of life, great or small. Greek Civilization ended in failure, not because of the lack of intelligence, but because of the lack of character, of morality…” [Introduction to the History of Science from Homer to Omar Khayyam oleh George Sarton, muka surat 10)

Tidakkah keadaan ini tidak jauh bezanya dengan kita? Apa kurangnya kita? Adakah kita sebenarnya sedang menempah tiket untuk bersama-sama ke arah kehancuran seperti yang telah menimpa Tamadun Yunani?

Mungkin demi kemaslahatan bersama, silibus Sejarah ini perlu diubah. Penekanan perlu diberikan terhadap faktor keruntuhan ummah, bukan setakat kegemilangannya sahaja. Mungkin dengan adanya penekanan terhadap punca keruntuhan sesebuah tamadun ini, lebih banyak ibrah dapat dikutip!

Tidak ada manfaatnya jika kita asyik terpesona dengan kehebatan Andalusia jika kita gagal mengambil ibrah daripada penyebab keruntuhannya.

Tidak ada manfaatnya jika kita mengagumi kehebatan Daulah Uthmaniyyah yang mampu bertahan selama hampir 600 tahun jika kita masih tidak mengambil iktibar daripada punca keruntuhannya.

Renung-renungkanlah…

George Santayana, seorang ahli falsafah yang mahsyur pada zamannya pernah berkata bahawa,

Those who cannot remember the past are condemned to repeat it.

Wassalam

P/s: Isy, kecut perut dengar kata-kata George Santayana ini. Adakah kita menuju ke arah itu?

Boikot Barangan Yahudi

December 1, 2007 at 7:59 am | Posted in Uncategorized | 21 Comments
Tags: ,

Assalamualaikum,

Boycott Yahudi

Boikot barangan Yahudi!
Syeikh al-Azhar, Mufti Mesir, Mufti Pakistan, Mufti Arab Saudi, Persatuan Ulama Pakistan, Dr Yusof al-Qaradhawi, dan majoriti ulama’ dari seluruh dunia memfatwakan wajib bagi seluruh umat Islam memboikot barangan Israel, menjalinkan hubungan dagang dengan mereka, dan juga memberikan apa-apa bekalan kepada mereka. Fatwa ini dikeluarkan setelah mengambil kira kekejaman yang telah mereka lakukan terhadap umat Islam. Para ulama’ ini juga telah menyeru agar kita semua memboikot barangan Amerika yang merupakan sekutu utama yang sering menyalurkan bantuan kepada Israel terutamanya dalam aspek persenjataan.

Dr Yusuf al-Qaradhawi telah mengatakan, “Satu riyal (ringgit) yang digunakan untuk membeli barangan Amerika adalah bersamaan dengan sebutir peluru yang akan digunakan oleh tentera-tentera Zionis untuk membunuh anak-anak kecil di Palestin.”

Senarai barangan boikot akan dimasukkan kemudian.

Wassalam.

Blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.