Berlalunya Tahfiz

March 18, 2009 at 4:49 pm | Posted in Citra Kehidupan, Sekolahku | 3 Comments

Tiga hari sudah cuti sekolah berlalu. Tiga hari sudah aku hadiri kelas tahfiz di SHAS Mosque. Seronok sangat bila berdampingan dengan rumah Allah, kata-kata Allah. Jiwa terasa tenang. Benarlah kata-kata Allah, “Ala bizikrillahi tatmainnul qulub.”

Seronok program kali ini. Yang paling seronok ialah bila ujian tahfiz dengan pihak UIA dibatalkan. Memang bagus ada ujian, namun dalam keadaan tak bersedia, jadilah tak bagus…

Selesai kelas tahfiz cuti sekolah ini, aku memasang beberapa azam. Pertamanya, aku betul-betul mahu murajaah sungguh-sungguh.Almaklumlah, sekiranya kita terlupa kalamullah yang telah kita hafal, perit dosa dan balasannya. Azam yang lain-lain tu, tidak perlulah dikongsi.

Memandangkan di blog ini telah lama tak diisi gambar yang kami ambil sendiri menggunakan kamera kami, maka kali ini aku berhajat hendak meletakkan beberapa keping gambar kenangan tahfiz 2009. Yang sedihnya, semua gambar yang ada merupakan gambar banin sahaja sebab Abah yang tangkap gambar. Jadi, tak jadilah nak letak, melainkan sekeping sahaja, iaitu gambar Said Rifqi, anakanda Cg Roslina yang sangat comel.

rifqi

Seronok bermain dengan Rifqi. Usianya baru 5 bulan. Tengah seronok untuk dibuat main.

Semoga berakhirnya kelas tahfiz cuti sekolah ini tidak bermakna semangatku untuk bersama al-Quran terus pudar. InsyaAllah, aku akan cuba untuk fokus terhadapmu, wahai Kalamullah, penawarku, kekasihku, tempatku mengadu, dan segala-galanya dalam hidupku.

p/s: Mungkinkah kelas tahfiz cuti sekolah kali ini adalah yang terakhir dalam sejarah cuti sekolahku? Ku harap tidak…

SPM 2008

March 16, 2009 at 7:02 pm | Posted in Ikhwanul Fifteen, Imtihan, Sekolahku | 5 Comments

Tanggal 12 Mac 2009 berlalu. Keputusan SPM diumumkan. Satu sejarah besar lagi tercipta dalam hidup abang-abang dan kakak-kakak yang menduduki SPM tahun 2008.

Bagi kami yang insyaAllah bakal menduduki SPM tahun ini, keputusan SPM 2008 benar-benar membawa debar. Juga memberi perangsang dan motivasi buat kami.

Alhamdulillah, mereka telah membuktikannya bahawa kejayaaan adalah tidak mustahil untuk ditempa. Namun syaratnya, usaha perlu dilakukan, disamping doa dan tawakkal yang tidak putus-putus  kepada Allah.

Alhamdulillah, melihatkan sinar bahagia di mata guru-guru yang telah banyak berjasa mendidik abang-abang dan kakak-kakak Caliph 14 yang lalu, juga yang mendidikku kini, aku terkesima. Bahagia apabila melihat anak-anak murid yang telah disantuninya tahun lalu berjaya dengan cemerlang.

Mampukah kami menghadiahkan sinar kebahagian yang sama tahun hadapan? Ya Allah, berilah kekuatan kepada kami untuk menggapai kejayaan ini, agar maruah Islam kembali tertegak di muka bumi ini, juga buat menghiburkan hati kedua ibu bapa kami, para murobbi kami yang banyak berjasa mendidik kami. Ya Allah, berilah juga kekuatan buat para murobbiku agar mereka terus dikurniakan kesabaran untuk terus mengurniakan ilmu buat kami. Gantikanlah penat lelah mereka dengan damai syurgamu Ya Allah…

Selamat Hari Guru

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum manjadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Nukilan SN Dato Usman Awang

Makalah Itu…

March 11, 2009 at 8:17 pm | Posted in Citra Kehidupan, Sekolahku | 3 Comments

Sedih. Geram. Kecewa. Marah. Entahlah apa sebenarnya yang bersarang di hati ini.

Ceritanya bermula begini. Setelah dua tiga malam bertungkus lumus menyiapkan Lisanul Haq tersebut, setelah banyak keringat disumbangkan untuknya, tiba-tiba hasil akhirnya tidak secantik yang diinginkan. Sedih.

3300-copy

Beginilah ceritanya. Selesai mendapat pengesahan Cikgu Rusyida, Lisanul Haq tersebut diserahkan untuk difotostet. Alhamdulillah, agak lancar urusannya, walaupun makalah tersebut tidak difotostet di kedai yang biasa kupergi. Tidak mengapalah. Janji bendanya siap dan ada.

Keesokan harinya, iaitu hari ini, aku pergilah merantau ke kedai fotostet berdekatan dengan Restoran JiMat tersebut untuk mengambil segala hasil-hasil fotostet yang telah dihantar semalam.

Alhamdulillah, Allah permudahkan urusanku. Dalam hujan renyai-renyai yang turun membasahi bumi, ada insan-insan yang sudi menumpangkanku. =)

Syukran jazilan kepada Mak kepada Azillah dan Azwan yang sudi menumpangkanku ke kedai tersebut. Tidak lupa juga kepada Mak Cik Liner yang baik hati menumpangkanku pulang semula ke sekolah. Mula-mula rasa macam tak nak tumpang, tapi memandangkan hujan yang turun renyai-ranyai, yang kemungkinan besarnya boleh melebat dan membasahkan Lisanul Haq yang kubawa itu, aku pun tumpanglah… (Kasihan Mak Cik, terpaksa pusing balik ke sekolah setelah mengambil Wani dan Hanif. Barakallahu Fi Kum.)

Episod sedih bermula apabila proses melipat makalah tersebut bermula. Aku menyelak-menyelah makalah tersebut. Muka suratnya terbalik! Stepler pula kecil sahaja di tengah-tengah. Tak kemas pula tu.

Allah, sedih betul melihatkan kualiti makalah tersebut setelah difotostet. Rasa cam nak menangis pun ada=) Sudahlah sememangnya muka tengah dalam makalah tersebut telah dirancang kelainannya. Alih-alih, muka surat itu pula yang terbalik cetakannya.  Sedih. Sedih.

Namun, itulah adat kehidupan. Kita yang usaha, Allah yang tentukan. Tak apalah. Inilah ujian yang tentunya ada hikmah di sebaliknya.

Dalam hal ini, aku tak salahkan sesiapa. Namun, ibrahnya jelas terpampang di hadapan mata. Memang geram dan kecewa melihat orang lain buat kerja sambil lewa terhadap hasil usaha penat lelah kita. Oleh itu, lain kali, sekiranya kita tak mahu perkara tersebut berlaku pada saudara-saudara kita yang lain, jangan buat perkara yang sama, kerna ia amat menyakitkan hati!

Diari Semingguku

March 6, 2009 at 9:19 pm | Posted in Citra Kehidupan, Sekolahku, Usrati | 3 Comments

Seminggu ini benar-benar padat dengan aktiviti. Kadang-kala ia meletihkan, namun percayalah itulah tarbiah yang diberi Allah secara tidak langsung.

ISNIN

Lisan Bahasa Melayu. Memang tak dapat dielak. Topik apa ya mahu dibawa? Fikir punya fikir, akhirnya topik berkaitan Palestin menjadi pilihan. Mengapa? Aku sendiri kurang periksa. Malam Isnin, aku cuba-cuba bercakap di hadapan adikku. Alhamdulillah, rasanya boleh kot cakap esok InsyaAllah.

Menjelang paginya, suasana kelam kabut. Aku tertinggal kertas yang mempunyai isi-isi yang bakal kusampaikan sewaktu lisan nanti. Majalah yang mempunyai gambar-gambar untuk kutunjukkan kepada seisi kelas juga turut tertinggal. Rasa cemas menyusup ke dalam jiwaku. Sudahlah tugasanku sebenarnya ialah menerangkan gambar. Perkara fundamental pula tertinggal!

waja

Aku maklumkan kepada Ustaz Idris atas kecuaianku. Alhamdulillah, Ustaz kata tidak mengapa. Yang penting cakap aje.

Jam 2:30 petang, aku dipanggil untuk melaksanakan ujian lisanku. Sedikit gugup di hadapan kelas. Tawakkal sahajalah. Hasilnya, 70% daripada isi-isi dan fakta-fakta yang telah kugariskan malam sebelumnya tidak disampaikan. Sebaliknya, benda-benda lain pula yang keluar. Syukran Ya Allah atas pertolonganMu aku berjaya menyelesaikan ujian ini.

SELASA

Petang ada latihan debat. Masalahnya clash pula dengan kelas Fizik. Aku berada dalam dua persimpangan.

Namun, mengenangkan latihan debat tersebut turut disertai oleh jurulatih luar, aku memilih untuk pergi ke sana. Berdebatlah aku dan rakan-rakan sepasukanku walaupun tidak ada persediaan yang rapi. Almaklumlah, masing-masing tak sempat research tajuk Perpaduan Nasional.

Malam tersebut, bermulalah perjuanganku menyiapkan Lisanul Haq untuk dihantar ke Cikgu Rusyida pada hari Jummat, 6 Mac untuk disemak dan disahkan sebelum diterbitkan untuk Minggu Muhammad Qudwatuna nanti.

chemistry-stuff

Dalam masa yang sama, report Chemistry yang kena hantar esoknya jangan dilupa!

RABU

Perjuangan membuat Lisanul Haq diteruskan. Genting ni. Lagi dua malam termasuk malam ini berbaki untuk makalah ini disiapkan.

klcc2

Dalam kegentingan ini, Abah pula mengajak kami ke KLCC untuk mengambil Mak. Memandangkan perutku berkeroncong, aku menurut sahaja ajakan Abah. Rupa-rupanya, setibanya kami di KLCC, Mak tak habis kerja lagi. Puaslah Abah dan Azhari lepak di kawasan tersebut. Aku pula tidur dalam kereta tak sedarkan diri.

KHAMIS

Malam ni sepatutnya malam kemuncak buat Lisanul Haq. Selalunya, berdasarkan pengalaman-pengalamanku yang lalu, malam sebegini biasanya tension sikit.

Namun, Alhamdulillah, rahmat Allah datang. Ketenangan menjelma. Sambil bersembang dan bertukar cerita dengan keluarga, akhirnya Lisanul Haq ini berjaya kuselesaikan. Alhamdulillah.

IBRAH DI SEBALIKNYA

Kehidupan ini tidak akan sunyi daripada ujian-ujian daripada Allah. Namun ingatlah, di sebalik ujian-ujian tersebut, akan ada hikmah di sebaliknya yang akan mematangkan kita, juga menguji keimanan kita.

Walau apapun yang merentangi kehidupan kita, ingatlah bahawa hanya Allahlah tempat kita bergantung harap. Mintalah pada Allah untuk dipermudahkan. Sesungguhnya di sebalik kesusahan itu, ada kesenangan.

p/s: Minggu depan, jangan lupa cerpen yang wajib hantar hari Selasa, oral English sebelum cuti bermula, report Physics sebelum cuti bermula, ujian Maths, Add Maths, dan Sejarah, uji kaji Chemistry dsb. Allahumma Yassir Wa La Tuassir.

Create a free website or blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.