PMRI Diabaikan?

November 1, 2007 at 8:09 am | Posted in Imtihan, Renungan, Sekolahku | 8 Comments

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Al-Amin… Apa nak jadi???

Al-Amin… Apa nak jadi???

Sebagai salah seorang calon PMRI 2007, aku rasa terpanggil untuk meluahkan sedikit rasa kecewaku terhadap sistem peperiksaan PMRI yang dijalankan buat masa ini. Secara peribadi, aku agak kecewa apabila melihat situasi hari ini, di mana ramai antara kita, tidak kiralah golongan ibu bapa, pelajar-pelajar, mahupun para guru, seolah-olah tidak mengambil endah terhadap sistem peperiksaan yang telah dijalankan di al-Amin sejak zaman berzaman itu, sehinggakan tidak keterlaluan untuk kukatakan bahawa peperiksaan PMRI ini diadakan semata-mata untuk memenuhi keperluan takwim sekolah sahaja!

Seperti yang telah diketahui umum, terdapat segelintir ibu bapa (bukan semua!) yang langsung tidak mengendahkan peperiksaan PMRI ini. Lebih memeritkan lagi apabila ada antara mereka yang secara terang-terangan membenarkan serta menyokong tindakan anak mereka yang enggan menduduki peperiksaan ini. Keadaan ini amat mengecewakan diriku. Memanglah diakui bahawa peperiksaan PMRI ini tidaklah sepenting peperiksaan PMR yang telah dianjurkan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia lewat Oktober lalu, namun, sebenarnya peperiksaan inilah yang mendorong para pelajar untuk lebih menghayati dan memahami subjek-subjek diniyyah yang telah dipelajari sejak di tingkatan satu lagi, terutamanya subjek Tasawwur Islami. Selain itu, peperiksaan ini juga merupakan salah satu “keeistimewaan” yang ada pada al-Amin. Pembelajaran subjek-subjek inilah yang membezakan antara sekolah kita dengan sekolah-sekolah kebangsaan yang lain. Oleh itu, sepatutnya, subjek-subjek PMRI ini perlu diambil berat oleh semua pihak yang bergelar warga al-Amin. Kita tidak boleh memandang enteng subjek-subjek ini kerana subjek-subjek ini merupakan salah satu nilai yang masih ada untuk dibanggakan oleh al-Amin!

Aku berasa sangat kecewa dengan sikap sesetengah pelajar yang tidak mengambil pusing peperiksaan PMRI ini. Keadaan ini dapat dilihat dengan jelas semasa PUI (Program Ulangkaji Intensif) PMRI yang berlangsung selama tiga hari sedang dijalankan. Tidak ramai pelajar yang hadir ke sekolah untuk mengikuti PUI PMRI yang sedang dilangsungkan. (Boleh dikatakan hampir separuh pelajar tingkatan 3 tidak hadir.) Fenomena ini amatlah mengecewakan diriku. (Aku rasa, antara insan yang turut berkongsi kekecewaan denganku ialah guru-guru yang mengajar matapelajaran yang terlibat.) Sepatutnya, sebagai seorang pelajar yang ikhlas melangkah ke sekolah, amatlah tidak wajar tindakan memonteng sekolah saat para guru sedang sibuk melakukan PUI. Keadaan kelas yang lengang seakan-akan tidak berpenghuni ini akan menyebabkan semangat para guru untuk menaburkan ilmu semakin luntur. Fenomena ini juga mungkin sedikit sebanyak akan mencalarkan hati guru-guru. (Ye la, mana tidak marah kalau penat-penat masuk ke kelas anak murid tiada!)

Selain itu, dalam hal ini juga, kita tidak boleh menyalahkan para pelajar seratus peratus. Pihak sekolah juga perlu mengubah sikap mereka terhadap peperiksaan ini. Semasa PUI PMRI sedang dijalankan, para pelajar tidak dapat memberi tumpuan sepenuhnya. Ini kerana, para guru yang mengajar terpaksa meninggalkan kelas kami sekiranya kelas kami bertembung dengan jadual mengajar mereka. Keadaan ini menyebabkan kadang-kadang (pada setiap hari sebenarnya) kelas kami ditinggalkan begitu sahaja tanpa adanya guru yang mengawasi kami. Keadaan ini telah menyebabkan suasana kelas menjadi hingar-bingar sehingga menganggu beberapa orang pelajar yang hendak menelaah pelajaran. Masalah ini tidak sepatutnya berlaku. Pihak sekolah perlu menukar jadual para guru supaya tidak berlakunya pertembungan kelas. Jika usaha itu tidak dapat dilaksanakan, memadailah dengan mencarikan kami guru ganti untuk mengisi kekosongan yang wujud supaya keadaan tidak menjadi tak tentu arah.

Dalam pada itu, sebelum imtihan PMRI ini dijalankan, aku dapat melihat beberapa perkara yang kurasakan tidak sepatutnya berlaku. Sebagai contoh, jadual peperiksaan tidak pernah tetap-asyik berubah-ubah sahaja. Keadaan ini memperlihatkan betapa peperiksaan PMRI ini tidak dirancang dengan baik dan teratur. Perkara ini sudah tentu akan menimbulkan kecelaruan kepada para pelajar. Perkara ini diburukkan lagi dengan ketiadaan jadual periksa untuk diberikan kepada ibu bapa. Oleh sebab peperiksaan PMRI ini dikatakan setaraf dengan PMR, pihak sekolah sepatutnya mengeluarkan jadual peperiksaan yang lebih formal untuk diberikan kepada ibu bapa, bukannya setakat memberitahu jadual imtihan secara lisan.

Tatkala peperiksaan sedang berjalan pula, aku dapat melihat beberapa perkara yang mengecewakanku. Salah satunya ialah, ketika aku khusyu’ menjawab soalan (Kertas Tasawwur Islami 2 yang diadakan pada hari Khamis, 25 Oktober), aku telah mengangkat tangan untuk meminta borang jawapan lebih. Pengawas peperiksaan yang sedang menjaga kami ketika itu telah menghulurkan kertas kajang biasa kepadaku sebagai borang jawapan. Bila kutanyakan kenapa, beliau menjawab bahawa borang jawapan sudah habis, jadi gantilah dengan kertas kajang ini. Fenomena ini memanglah kelihatan kecil sahaja, namun ia memperlihatkan betapa peperiksaan PMRI ini tidak diuruskan dengan teliti.

Secara keseluruhannya, aku berasa amat kecewa dengan sikap sebahagian warga al-Amin (bukan semua!) yang seolah-olah tidak mengambil berat terhadap peperiksaan PMRI ini. Sebenarnya, dalam usaha untuk melahirkan generasi soleh wa musleh, semua pihak perlulah kembali memperkasakan sistem peperiksaan PMRI ini sehingga peperiksaan ini akan kembali dimartabatkan di al-Amin. Kepada pihak sekolah yang bertanggungjawab menyediakan peperiksaan ini, perbaikilah segala kekurangan yang ada. Jangan diulangi lagi kesilapan yang lalu. Apa lagi yang mampu dibanggakan tentang al-Amin dari sudut akademik jika peperiksaan PMRI ini terus dipandang ringan? Bukankah peperiksaan PMRI ini juga merupakan salah satu wasilah yang boleh digunakan untuk merealisasikan cita-cita melahirkan generasi soleh wa musleh? Buat ibu bapa, jangan memandang enteng silibus diniyyah ini kerana silibus ini merupakan salah satu keistimewaan al-Amin jika dibandingkan dengan sekolah-sekolah kebangsaan biasa. Cubalah muhasabah diri kita kembali, “mengapa aku memilih untuk menghantar anakku ke sekolah swasta ini? Apa perlunya aku bersusah payah mengeluarkan ratusan ringgit sebulan jika aku hanya mengharap anakku untuk mendapat 9A dalam PMR, sedangkan mereka kekurangan ilmu pengetahuan tentang ad-Deen yang tercinta?” Kepada rakan-rakan seperjuanganku pula, hayatilah persoalan ini. “Bila lagi aku mahu meningkatkan kefahamanku kepada Islam jika aku asyik mengabaikan subjek-subjek diniyyah ini? Ke mana hilangnya keikhlasanku melangkah ke sekolah jika hanya 9A yang diburu?”

Renung-renungkanlah. Ayuh kita kembali bermuhasabah diri. Kalau kita kata kita semua sudah mengambil berat terhadap PMRI dan subjek diniyyah ini, mengapa masih ramai pelajar al-Amin yang gagal menghafal juz 29 menjelang tingkatan 3 (kadang-kadang juz 30 pun masih belum langsai), sedangkan kita sudah tiga tahun berada dalam tarbiyyah al-Amin (pelajar yang masih baru bolehlah dimaafkan)? Mengapa masih ada pelajar yang ponteng PUI? Mengapa jadual PMRI tidak tetap, asyik berubah-ubah sesuka hati? Mengapa masih ada yang tak mampu membaca al-Quran dengan baik sedangkan pihak sekolah ada menawarkan kelas tajwid dan tilawah? Mengapa dan mengapa???

Sebelum aku mengundur diri, aku memohon seribu kemaafan jika post kali ini sedikit sebanyak mencalarkan hati sesiapa. Namun, itulah hakikat pahit yang terpaksa ditelan. Kuharapkan semoga tulisan ku yang tidak seberapa ini akan berjaya memperkasakan proses terbiyyah di al-Amin. Jangan kerana sikap kita yang enggan mengambil berat terhadap PMRI dan subjek-subjek diniyyah ini akan menyebabkan misi yang telah kita gariskan sejak awal penubuhan al-Amin ini menjadi retorik semata. Semoga lebih ramai pendakwah yang bakal mengembalikan kegemilangan Islam akan dilahirkan oleh al-Amin pada masa akan datang! Jika kita semua bersatu hati dalam melaksanakan tugas tarbiyyah ini, InsyaAllah cita-cita  untuk melahirkan pelajar Soleh wa Musleh ini akan terlaksana. Semoga komitmen yang telah kita curahkan dalam bidang tarbiyyah ini akan mendapat ganjaran yang sebaik-baiknya daripada Ilahi. Amin.

Wassalam.

8 Comments »

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

  1. Salam

    Wah, keras jugak ye? Mungkin itulah masalah yang kita hadapi di sana – tak tahulah apa yang kita inginkan sebenarnya. Mungkin keterlaluan, tetapi mungkin PMRI dipandang sepi oleh warga al-Amin lantaran kerana tiada nilai ‘ekonomi’ (pandangan sempit sesetengah pihak) – Sebenarnya penyakit ini berakar umbi dan melibatkan semua pihak dan perlu ditangani juga oleh semua pihak. Buat enti, jangan mudah putus asa dengan kekangan yang ada, sesungguhnya jalan untuk mencari redha Allah dan jalan ke syurga itu memang tidak mudah serta tetap berliku. Terus istiqomah, do’a dan tawwakal. Allah Hu Akbar!

  2. Subhanallah, sebak hati saya membaca posting ini. Insyaallah saya akan terus memantau anak saya dalam usaha melahirkan anak2 yg Soleh wa Musleh dari al-amin.

    Teruskan menimba ilmu dan jangan mudah patah hati. Assalaamualaikum.

  3. Jazakalllah untuk semua insan yang sudi memberi response terhadap artikel ini. Maaflah jika artikel ini sedikit keras, namun, itulah hakikatnya yang sukar untuk kusembunyikan. Proses pentarbiyyahan di al-Amin ini perlu diislahkan kembali supaya tarbiyyah yang diberi benar-benar releven dengan kehendak ummah.
    Semoga semua pihak yang terlibat akan sentiasa mengambil berat tentang proses pentarbiyyahan ini, agar misi dan visi sekolah yang dijunjung selama ini tidak akan menjadi retorik belaka.
    Kepada sesiapa yang mempunyai pandangan/jawapan/persoalan tentang masalah ini bolehlah menyampaikannya di ruangan komen ini. InsyaAllah ana akan cuba menjawabnya selagi terdaya.

  4. Assalamualaikum,
    Cikgu terpanggil untuk memberi komen pada apa yang telah enti tulis. Hanya untuk menjelaskan beberapa perkara kerana cikgu rasa, dari perspektif enti, enti mungkin tidak tahu apa perkara yang sebenar telah berlaku dari perspektif sekolah .
    Untuk menyatakan yang PMRI telah tidak diurus/dirancang dengan teliti oleh pihak sekolah adalah kurang tepat. Enti ingat lagi tak bagaimana sekolah telah pun mengadakan PUI PMRI sejak dari awal tahun lagi? Pihak sekolah telah merancang semuanya dari awal lagi. Dan kami sangat mementingkan peperiksaan ini sehinggakan sesiapa yang tidak lulus PMRI, mereka tidak boleh menyambung ke Ting 4 di Al Amin! Berbanding jika mereka gagal subjek lain….

    Perubahan jadual PMRI pada saat akhir ialah kerana sekolah hendak memastikan kehadiran maksimum pelajar Ting 3. Walau pun enti dan ramai lagi yang sangat mengambil berat dan hendak hadir, ramai lagi yang buat tak kisah dan memberitahu malas nak hadir. Jadi kami ubah jadual tersebut.
    Tentang kertas jawapan yang tiada logo Al Amin tu, memang kebetulan kertas itu dah habis dan walau pun oder telah dibuat awal, pihak printing masih lambat menghantarnya ke sekolah. Peperiksaan F4 pun terpaksa menggunakan kertas biasa sebagai sebahagian kertas jawapan mereka. Pihak sekolah memohon maaf sekiranya perkara ini mengecewakan enti dan rakan2.
    Cuma cikgu hairan mengapa pelajar tidak kisah dengan PUI PMRI sedangkan mereka tahu kepentingan peperiksaan ini. Adakah ibu bapa juga tidak peduli?

    Cikgu akui, memang kita tidak menyediakan program khusus untuk pelajar T3 selepas PMR. Tahun2 lepas biasanya KKT3 ada program untuk T3 seperti pergi riadhah atau trip. Mungkin di tahun hadapan kami boleh merancang dengan lebih baik untuk T3. Cikgu ingat kalau tak silap last year lepas PMR masih puasa jadi pelajar terus cuti untuk raya.
    Sebenarnya this year pun sekolah membenarkan pelajar terus bercuti. Kelonggaran diberi kerana F3 ada program hari perpisahan T5. Ada juuga pelajar yang merayu untuk datang juga kerana tidak seronok duduk seorang di rumah, jadi sekolah benarkan dengan syarat mereka ikut peraturan sekolah. Walau pun dah diingatkan, masih ada pelajar yang melanggar peraturan. Yang hadir berpakaian biasa tu, cuma sehari saja waktu mereka hendak pergi ke Ampang point bermain futsal. Cikgu tak benarkan mereka pakai uniform takut mereka ditangkap pulak bila keluar sekolah.

    Akhir kata, cikgu harap sedikit sebanyak enti dapat penjelasan tentang perkara yang sebenar. Terima kasih atas luahan yang sebenarnya amat berguna bagi diri cikgu di peringkat pengurusan sekolah, agar dapat kita sama-sama perbaiki untuk kemajuan Al Amin sekarang dan akan datang, insyaAllah.

    Wassalam,
    Cgu Alia

  5. Waalaikumussalam Warahmatullah.
    Alhamdulillah, akhirnya ada juga wakil daripada pihak sekolah yang tampil memberikan jawapan terhadap tulisan ini setelah hampir seminggu (6 hari sebenarnya) makalah ini dipublishkan. Syukran Jazilan ya Cikgu Alia kerana jawapan yang cikgu berikan. Sebenarnya, inilah yang ana hendak dengar-jawapan bertulis daripada pihak sekolah bagi menjelaskan keadaan yang berlaku. Memang ana akui, ana tidak tahu perkara sebenar yang berlaku kepada pihak sekolah, namun sebagai pelajar, ana hanya mengatakan apa yang telah berlaku berdasarkan perspektif ana-seorang pelajar yang sememangnya tidak tahu masalah dalaman sekolah. (Ye la, sebagai pelajar, apalah hak ana nak tahu masalah dalaman sekolah!)

    Berkaitan PUI PMRI yang diadakan sejak awal tahun, memang masih segar di ingatan ana. Namun, kelas PUI yang diadakan sejam selepas solat Jumaat itu sebenarnya boleh juga ana katakan tak dirancang dengan baik. Sebenarnya, sepanjang tempoh PUI sejam tersebut, masih ada guru yang tidak boleh hadir ke kelas tersebut, dan secara automatik, kelas tersebut telah dibatalkan begitu sahaja. Tetapi, situasi ini tidak berlaku dengan kerap sehingga menjejaskan prestasi pelajar. Oleh sebab itu, ana rasa tak sesuai kalau ana nak masukkan sekali dalam tulisan kali ini. Tapi, secara keseluruhannya, sememangnya kelas PUI selama sejam yang dijalankan atas permintaan dan kelolaan pihak Kelab Kelas Tingkatan Tiga itu amat membantu kami untuk menghabiskan silibus PMRI yang sememangnya berlambak itu, terutamanya bagi subjek Tasawwur Islami.

    Namun, ironinya, kelas PUI pada hari Jumaat ini hanya diadakan untuk subjek Tajwid, Tasawwur, dan Bahasa Arab sahaja. Bagaimana pula dengan al-Quran? (Hafazan dan Tilawah) Bukankah kedua-dua subjek ini termasuk dalam silibus PMRI juga? Bukankah subjek-subjek ini juga sama pentingnya dengan subjek-subjek yang lain? Mengapa kedua-dua subjek ini dipinggirkan daripada PUI? Bukankah tidak wajar tindakan kita meminggirkan kedua-dua subjek yang amat penting ini? (Bagi ana, kedua-dua subjek ini amat penting kerana ia berkaitan dengan Kalamullah.) Impaknya dapat kita saksikan sekarang. Masih ramai (bukan semua) pelajar tingkatan tiga yang tidak dapat menguasai kehendak silibus hafazan yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah, tidak kiralah sama ada pelajar tersebut mengikuti kelas tilawah ataupun kelas hafazan. Sewajarnya, pihak sekolah perlulah meniti kembali tindakan mereka menyusun program PUI PMRI untuk pelajar-pelajar tingkatan 3. Jangan sampai ada pelajaran yang tak diambil perhatian langsung oleh pihak sekolah. Sebenarnya, agak memalukan bagi pelajar al-Amin yang telah tiga tahun ditarbiah di sini, namun masih tidak lancar membaca juzu’ 30 dan surah-surah pilihan.
    InsyaAllah, ana akan menyambung lagi koman yang tergantung ini pada sebelah malam nanti.

  6. Assalamualaikum,
    Memang betul kata enti yang Al Quran tidak boleh dipinggirkan. Cikgu sangat setuju. Namun masa yang terhad di sekolah menghadkan kemampuan kita untuk memasukkan semua di dalam PUI.
    Hafazan dan Tilawatul Quran sepatutnya pelajar Al Amin teruskan di rumah mengulangkaji setiap hari. Tidak kiralah untuk peperiksaan atau tidak. Cikgu rasa di sini pelajar Al Amin mesti mendisiplinkan diri untuk membaca dan menghafal setiap hari dengan pantauan ibu bapa. Kita tidak boleh mengharapkan semuanya berlaku di sekolah dengan bantuan guru. Malangnya Al Quran rata-rata dipandang sepi dan dianggap tidak penting oleh pelajar. Guru-guru hanya boleh mengingatkan sahaja. Cikgu selalu berpesan kepada anak usrah membaca Al Quran setiap hari terutamanya selepas solat Maghrib sementara menunggu Isya’. Jika amalan ini dilakukan oleh setiap pelajar Al Amin, cikgu tak nampak ada masalah dalam subjek ini.
    Anak-anak cikgu, memang cikgu pastikan membaca dan menghafal setiap hari. Selepas Al Quran barulah boleh buat homework dan kerja lain.
    Cukup menyedihkan bila pelajar Al Amin tiada kesedaran ini.
    Cikgu amat berharap ibu bapa memberi sokongan kepada anak-anak dan memastikan mereka mementingkannya. Bukan akademik sahaja..

    Wassalam

  7. […] Setelah beberapa hari aku tidak dapat ketemu kalian dalam blog ini, Alhamdulillah, Allah masih lagi memberi aku kesempatan untuk terus mengupdate blog ini. InsyaAllah, pada hari ini, aku akan mengutarakan jawapan yang telah diberikan oleh wakil pihak sekolah, Cikgu Alia mengenai post ku seminggu yang lalu, PMRI Diabaikan? […]

  8. […] Islam (PMRI) yang dijalankan oleh pihak SMIAAG dipolimikkan oleh pelbagai pihak di ruang maya ini (PMRI Diabaikan? dan Jawapan Pihak Sekolah Mengenai Isu PMRI), aku masih gagal melihat keberkesanannya. Keadaan […]


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.

%d bloggers like this: