Inikah Bahasa Kita?

November 27, 2007 at 8:33 am | Posted in Citra Kehidupan, Renungan | 15 Comments
Tags: , ,

Assalamualaikum Warahmatullah…

Utamakan Bahasa Melayu

Bahasa Jiwa Bangsa

“salam lina??
hohoo..xtau plak awk ade fs..
so, cne da abes pmr??
feel relief..
ke
takot nk msk
f4??
da besa da korang sme an??
hahaha..
xsangke..
hikhik..jahat x??”

“pihak skola juga dpt tau bahawa dengar cerita kelab kelas f3 sendiri nk buat something atau prgm ape tah utk korg ni..tp mcm xde ape2 pon..n skola waktu tu maybe terpaksa focus pd exam..serta guru2 tarbiyah termasuk ana juga ketika itu sehinggalah skrg ni sedang sibuk merencanakan perancangan prgm trbyh utk thn dpn..jd kami pon xterpikirkn mengenai ntum..lagipon…”

MasyaAllah, sakit betul mata ana memandang coretan sebegini. (Coretan pertama diambil daripada Friendster ana, manakala tulisan kedua diambil daripada ruang komen di blog ana sendiri.) Semuanya dipendek-pendekkan sehingga sukar hendak dibaca. Kalau tidak dipendekkan pun, ejaan-ejaan kalimah tersebut diubah-ubah supaya bunyinya selari dengan gaya percakapan. (Perlu diingatkan ye, gaya percakapan sudah tentulah tidak sama dengan gaya penulisan.) Tidak cukup dengan pendek, Bahasa Melayu yang sememangnya sudah sedia indah itu dicampur adukkan pula dengan Bahasa Inggeris. Akibatnya, terciptalah bahasa rojak yang kian digunakan secara meluas mutakhir ini terutamanya dalam kalangan generasi muda. (Bukan ana hendak menafikan kepentingan menguasai bahasa lain selain bahasa ibunda, namun, tidak perlulah dicampur adukkan sehingga menjadi cacamerba.)

Secara asasnya, ana tidaklah begitu kisah sekiranya yang dipendekkan itu cuma beberapa perkataan sahaja seperti yang menjadi yg, seperti menjadi spt, sekolah menjadi sek, dan sebagainya yang sudah diketahui umum. Tetapi, jika keseluruhan tulisan dipendek-pendekkan dan dirojakkan bahasanya, perasaan jelak tatkala membaca akan muncul juga.

Jika di SMS, dapatlah ana fahami rasionalnya mengapa kalimah-kalimah disingkatkan ejaannya. Jumlah huruf yang dihadkan untuk satu SMS adalah terhad (sekitar 160 karakter), jadi dapatlah ana fahami mengapa ejaan-ejaan itu perlu dipendekkan. Tetapi, jika keadaan terbawa-bawa ke tulisan-tulisan biasa yang tidak mengambil kira jumlah kalimah, ana masih tidak dapat memahami rasionalnya mengapa kalimah tersebut perlu dipendekkan.

Pelik ana mengenangkan budaya baru yang sedang menghantui kehidupan masyarakat kita hari ini! Secara peribadinya, ana memang tidak menyenangi fenomena ini. Bagi ana, tulisan-tulisan sebegini hanya melambangkan keperibadiaan seseorang yang kurang bertanggungjawab, tidak beradab, tidak teliti, serta tidak menghargai keindahan bahasa. Generasi baru ini seolah-olah sudah tidak sayang akan kemurniaan bahasa ibunda kita.

Mungkin ada yang beranggapan bahawa sikap ana terhadap tulisan yang disingkat-singkatkan ini sebagai skema, poyo, perasan bagus, dan sebagainya. Bagi mereka yang beranggapan sedemikian, andalah yang perlu bermuhasabah diri. Walau apapun alasan yang anda berikan, keharmonian bahasa perlulah dipelihara sebaik-baiknya. Memang tidak dapat ana nafikan bahawa tulisan ana sendiri tidaklah sebagus mana, masih terdapat banyak kecacatan, cuma, ana sendiri sentiasa berhati-hati dalam penulisan agar keharmonian bahasa tetap terpelihara – tidak ada singkatan-singkatan ejaan yang menyesakkan dada serta campuran-campuran bahasa dari luar yang menyakitkan jiwa.

Lihat sahaja Kalamullah yang diturunkan sebagai panduan hidup kita. Ayat-ayatnya sangat indah tidak kiralah dari sudut bahasanya, ungkapannya, rima akhirnya, semuanya menenangkan dan mendamaikan jiwa. Tidak wujud singkatan-singkatan ejaan dan campuran-campuran bahasa yang memeningkan kepala.

Saranan ana buat semua, peliharalah bahasa kita. Sesungguhnya, cara kita berbahasa akan melambangkan jati diri dan perilaku kita.

Ingatlah, “bahasa jiwa bangsa. Rosak bahasa, rosaklah bangsa.”

Sekian,

Wassalam

Blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.