Datang Sekolah Hanya untuk Peperiksaan?

November 3, 2007 at 9:31 am | Posted in Renungan, Sekolahku | 18 Comments

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh…

Al-Amin

Semoga al-Amin terus maju dalam semua bidang!

Sebagai seorang pelajar tingkatan tiga yang baru selesai menjalani peperiksaan PMR dan PMRI, aku rasa diriku sekali lagi terpanggil untuk meluahkan sedikit rasa kesalku terhadap sikap pihak sekolah yang seolah-olah sudah tidak mempedulikan lagi kami pasca peperiksaan PMR dan PMRI yang telah dijalankan lewat bulan Oktober lalu.

Fenomena ini dapat disaksikan dengan jelas apabila kehadiran kami ke sekolah sudah tidak lagi dicatat, tidak ada aktiviti yang khusus untuk dilakukan (selain perbincangan untuk mengadakan Majlis Perpisahan tingkatan 5), disiplin serta peraturan sekolah bebas dilanggar sewenang-wenangnya – ramai banin yang datang tidak berkopiah, ada yang tidak memakai pakaian seragam sekolah, boleh keluar masuk ke kawasan sekolah sesuka hati pada bila-bila masa tanpa sebarang kekangan, malah, ada juga yang sudah berani membawa hand phone dan pelbagai barang larangan lain ke sekolah! Kekosongan yang berlaku ini menyebabkan tidak ramai pelajar tingkatan tiga hadir ke sekolah, sebaik-baik sahaja tamat peperiksaan PMR dan PMRI. (Kalau datang pun, ramai yang hanya melepak dan berbual-bual kosong bersama rakan-rakan. Tidak kurang juga yang leka membuat word search dan sudoku bagi mengisi waktu yang kosong.) Fenomena ini bertambah teruk apabila ada beberapa orang guru yang berpendapat bahawa, “lebih baik antum duduk di rumah, daripada datang ke sekolah membuat kacau!”

Senario yang sedang berlaku di al-Amin ini amatlah menyedihkan diriku. Aku rasa, situasi ini tidak sepatutnya berlaku di sekolah yang amat mementingkan pentarbiahan secara menyeluruh ini. Ini kerana, situasi yang berlaku ini menggambarkan seolah-olah al-Amin hanya mementingkan pendidikan untuk berjaya dalam peperiksaan sahaja –jadi, selepas peperiksaan, tidak perlu lagi datang ke sekolah untuk menimba pengetahuan!

Sebenarnya sistem yang diamalkan ini amatlah bertentangan dengan misi al-Amin yang telah ditetapkan seawal penubuhannya, iaitu ingin melahirkan pelajar yang soleh wa musleh. Al-Amin tidak akan mampu merealisasikan cita-citanya selagi sikap ini tidak diubah sepenuhnya. Sepatutnya, jika kita benar-benar ingin memberikan pendidikan yang menyeluruh serta mencakupi semua bidang, kita perlu memanfaatkan masa lapang yang wujud selepas imtihan PMR dan PMRI selesai dijalankan dengan pelbagai aktiviti yang mampu mengisi minda dan rohani para pelajar seperti usrah yang lebih kerap, pendidikan kerohanian yang bertujuan untuk memantapkan kefahaman pelajar-pelajar tentang isu semasa berkaitan Islam, gotong-royong untuk membersihkan dan menceriakan kawasan sekolah, dan banyak lagi.

Jika ada aktiviti-aktiviti sebegini yang dijalankan selepas berakhirnya imtihan PMR dan PMRI, para pelajar akan dapat memantapkan sahsiah dan kefahaman mereka tentang ad-deen yang tercinta. Kefahaman yang mantap tentang ad-deen ini amat penting dalam usaha untuk membina ketahanan para pelajar dalam menghadapi cabaran globalisasi hari ini yang amat berbahaya, seterusnya membolehkan mereka lahir sebagai generasi yang soleh wa musleh pada masa akan datang.

Secara keseluruhannya, aku berasa amat kecewa dengan sikap pihak-pihak yang terlibat terhadap kami, pelajar tingkatan tiga sebaik sahaja tamat peperiksaan PMR dan PMRI. Dalam hal ini, semua pihak yang bergelar warga al-Amin, khususnya pihak sekolah perlu mengisi kembali kekosongan yang wujud dalam proses pentarbiahan di al-Amin ini. Mungkin pembaharuan ini tidak dapat dijalankan untuk tahun ini, namun, setidak-tidaknya, generasi tingkatan tiga tahun hadapan tidak akan mengalami nasib yang serupa seperti kami. Dalam usaha untuk menjadi sebuah pusat pendidikan Islam yang sentiasa mengikuti peredaran zaman, usaha pengislahan ini perlu dilakukan dari semasa ke semasa supaya tarbiah yang diberi sesuai dengan kehendak ummah. Jika tiadanya pengislahan dalam proses pentarbiahan ini, tidak hairanlah misi dan visi sekolah yang telah dirangka sejak dahulu lagi akan menjadi retorik semata.

Sebelum aku mengundur diri, ingin kupohon seribu kemaafan andai ada yang terasa dengan tulisanku yang agak keras ini. Maafkanlah daku. Namun, itulah realitinya yang terpaksa kita ubah demi kemaslahatan bersama. Jauh di lubuk hati, kuharap agar al-Amin akan sentiasa berada di mercu kejayaan dalam semua bidang, tidak kiralah bidang sahsiah mahupun akademik. Semoga al-Amin terus komited dengan tugasnya untuk melahirkan lebih ramai daie yang bakal mengubah masa depan Islam di dunia ini. Kuharap juga agar cita-cita al-Amin untuk melahirkan insan yang soleh wa musleh ini tidak akan tersasar jauh dari landasannya. Ingat, kitalah permata yang berkilau di celah-celah kegelapan malam yang bakal mengubah nasib ummah ini pada masa hadapan! Semoga segala jerih payah yang telah kita curahkan dalam bidang yang mulia ini akan sentiasa mendapat keredhaan Ilahi.

Semoga al-Amin terus maju dalam usaha untuk melahirkan insan soleh wa musleh!

Wassalam…

p/s: Kepada sesiapa yang mempunyai pandangan/jawapan/persoalan/kritikan terhadap tulisan ini bolehlah menyampaikannya di ruangan komen ini. InsyaAllah ana akan cuba menjawabnya selagi terdaya.

18 Comments »

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

  1. Salam,

    Syabas kerana dapat luah perasaan dan kekecewaan dengan satu nukilan yang sungguh baik.

    Some quote to share
    The great aim of education is not knowledge but action.
    Herbert Spencer
    English philosopher (1820 – 1903)

    Insyaallah, sama-sama kita usahakan sesuatu yang lebih baik untuk Al Amin.

    Wassalam

  2. Salam

    Mungkin enti kecewa dengan situasi yang berlaku – sabar banyak2 kerana itulah cabaran dalam menuntut sesuatu yang lebih baik. Komen yang keras? Tiada yang keras – katakanlah yang benar walaupun ia sepahit jadam. Kepada yang terasa, berlapang dada dan usahakanlah sesuatu sesuai dengan tanggungjawab kita. Kritikan yang enti berikan sebenarnya tidak bersifat meruntuh sekadar tanda prihatin terhadap apa yang berlaku. Sabar, usaha, doa’lah agar yang baik itu berkekalan dan yang kurang elok itu kita hindarkan.

    Allah Hu Akbar!

  3. Waalaikumussalam Warahmatullah.
    Syukran atas semua comments yang telah anda nukilkan. Semoga apa yang kita sama-sama harapkan ini akan menjadi kenyataan.
    Ingat, kitalah permata yang berkilau di sebalik kepekatan malam. Kitalah insan yang bakal menggegarkan ummah yang kian lemah ini pada masa hadapan.
    InsyaAllah. Amin…

  4. asalamualaikum…hebatla karangan nti….
    tapi ana nak tanye satu je…
    adakah nti memberikan seratus peratus tenaga nti untuk majlis perpisahan tersebut???
    bak kata orang biar habes nasi dipinggan barulah tambah dipinggan yang lain..
    sekian terima kaseh..
    sila jawab yer saudariku

  5. jgn ckp org..
    nti mcm xpnah balek awal lak ha..
    nti ade tolong ke majlis perpisahan..
    jgn jd mcm bak kata paku dulang,paku serpih,
    mengate orang die yang lebih..

  6. Asslamualaikum semua,
    saya nih bukanlah apa, saya cuma amat sedih apabila membaca kisah ini,
    mmg bagus kamu menulis semua ini, tapi bagi saya lagi bagus kalau kamu sendiri menegur kawan kawan kamu secara dpn dpn trg trgn kerana kalau hanya diluah dlm tmpt ini, hanya sia sia . setiap luahan perlulah kita sertakan dgn tindakan , kalau hanya luahan tidak memadai. oleh itu, adalah lebih baik saudari menasihati rakan rakan saudari secara depan depan, kerana luahan di sini tidak ramai yg mengetahui (kalau ade menasihati takpe la)…..igtlah apabila kita nmpk kemungkaran , kita perlu cegah. kita juga perlu berusaha untuk lebih menyeru kepada kebaikan dan cegah kemungkaran……IGT tegurlah depan depan jgn blkg blkg…..krn blkg blkg mgkin org x nmpk, x tau, x dengar, dan juga samar samar……
    jadi, berusahalah ya

    -mgkin saya tersalah masok website-

  7. salam..

    slps membaca nukilan nti..ana terasa terpanggil untuk memberikan sedikit gambaran kpd nti yg mungkin kurang faham keadaan semasa ketika itu..sblmtu..kire nyer..mcmana terasa ar about this..so ana maafkn dulu ape yg dh nti tuleskn tu..

    sbnrnyer ana cukup terkejut ada juga org yg berasakan perlu diisi oleh sesuatu pada ketikamana mereka merasakan sudah “merdeka”..semangat seperti inilah yg amat susah utk dicari..ana harap..semangat ini akan tersemai juga pada hati2 warga al-Amin yang lain..

    slps membaca nukilan nti..berbagai2 perasan bermain dhati ana..terkejut..simpati..kecewa..dan terkeliru..tapi biarlah ana cube menjawab beberapa persoalan yg nti kemukakan dlm nukilan nti tu..antaranya..knapa tidak diisi oleh prgm tarbiyah atau ape yer?

    utk pengetahuan nti..ketika mana katibah f3 yg korg nk buat sblm pmr tu..xdpt kelulusan oleh pihak skola..kami(pihak sekolah) telah menasihatkan kepada penanjur(dikalangan korg gak) utk buat prgm slps PMR..dan mrk juga bersetuju n berharap nk buat bende tu..bkn kami tidak mahu buat utk korg..tp..time tu dh sibuk dgn exam..sape yg nk tlg focuskn psl bende ni..maybe ana sendiri xterpikir mengenai cadangan nti ni..tapi..sangat menarik kalo kita dpt mengisi para pelajar dgn sebarang prgm tarbiyah atau apa2 pun..asalkn mrk x membuang masa mrk di skola..sbrnnyer..kami juga amat menyesali sbb ntum xdpt ikuti prgm palestin yg kami anjurkan..tp insya Allah..utk thn dpn..mungkin ape yg nti nukilkan ni..akan ana cube untuk merealisasikannya..

    pihak skola juga dpt tau bahawa dengar cerita kelab kelas f3 sendiri nk buat something atau prgm ape tah utk korg ni..tp mcm xde ape2 pon..n skola waktu tu maybe terpaksa focus pd exam..serta guru2 tarbiyah termasuk ana juga ketika itu sehinggalah skrg ni sedang sibuk merencanakan perancangan prgm trbyh utk thn dpn..jd kami pon xterpikirkn mengenai ntum..lagipon..penah kami terfikir utk mengumpulkn ntum dlm prgm daurah..tapi..berapa ramai jer yg dtg..?klo dtg pon..mule2 sibuk kt meeting ler..pastu rakam video ler..mcm2 la..

    jd..sbb tu ler cegu memberi pluang pd ntum ketika itu..utk balik rumah..klo xsilap ana..ust hasni ade kata..yg dia dh bitau kt ntum or parents ntum yg f3 xyah dtg skola pon xpe..sbb xde ape2 dh lps abes jer exam pmri korg..jd mcmtu ler..terpulang ler sape2 yg dtg tu..siapkn ape yg patut..antaranyer..melihat segelintir dr korg ade yg berhempas-pulas kt mjls perpisahan f5 tu..tp ade plak yg mcm xamik kesah..

    tp ape2 hal pon..ana sgt tertarik dgn kata2 perangsang nti serta ajakan nti kpd para pembaca utk kita sama2 concern(amik berat) pd skola alamin ni..mudah2an..semangat ini akan trus berkekalan walaupon nti dh abes blaja di alamin..ana takut..kite ni yg bncng psl al-Amin di sini..mungkin hangat perkatakan ttg tarbiyah al-Amin la ape la..tp..nnti lps korg dh abes blaja kt al-Amin ni..are u still concern about us?or just dtg ziarah2 jer..?ana ni bekas pelajar al-Amin gak..dulu time skola..ramai kwn2 ana yg slalu bncng psl skola..masalah ini la..masalah itu la..tp..bile dh abes skola..hilang..ntah mane kehangatan ttg masalah2 skola kite ni..?

    jadi ana harap..semangat nti akan terus berkekalan utk merealisasikan misi dan visi skola..serta menjadi aset al-Amin yg dibanggakan..menjadi pemimpin pada masa akan dtg..menjadi daie sepenuh masa..hidup dan matinya hanya lah krn Allah Taala..dan lakukan segala yg dibuat oleh Rasulullah s.a.w…

    ana rasa..sekian shj replies ana terhadap nukilan nti ni..skali lagi..ana ingin katakan..”kalaulah sume warga al-Amin berfikiran mcm nti..nescaya warga al-Amin tidak kenal akan maksud cuti/rehat/berhenti”..ana harapkan..nti trus kekal di al-Amin dan membawa semangat ini sbg azimat pd seluruh warga al-Amin utk merealisasikan visi dan misi kita serta menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini..ana berharap nti dapat bersabar dengan segala kekurangan yang ada di sekolah tercinta kita ini..dan ana juga ingin meminta maaf sekiranya comment ana ni ada yg menyakitkan hati nti plak..

    terima kasih ana ucapkan atas luahan perasaan nti..dan skali lagi ana memohon kemaafan sekirannya ana ade kesalahan2 di dlm tulisan ana ini..biasalah..manusia no perfect..mesti buat salahnyer..tp cube utk perbaiki diri..

    sekian shj dr ana..
    wslm..

  8. Waalaikumussalam Warahmatullah.

    Saudara Arif Najmi, Syukran Jazilan atas komen yang telah anda catatkan. InsyaAllah, ana akan penuhi permintaan anta sepenuhnya.

    BALIK AWAL
    Untuk pengetahuan anta, ana BUKAN menulis artikel ini untuk memarahi insan-insan yang balik awal waktu minggu tu. Artikel ini bukannya ditujukan kepada pelajar, tapi lebih dikhususkan kepada pihak sekolah, kelab kelas tingkatan 3, dan ibu bapa. Isu balik awal ini sebenarnya memang diluluskan oleh pihak sekolah. (Us Hafis memang membenarkan pelajar-pelajar balik awal.) Ana mempersoalkan kewajaran tindakan pihak sekolah tersebut, bukannya menjatuhkan hukuman salah kepada mereka yang balik awal, termasuk diriku ini. Sememangnya, tindakan itu diredhai pihak sekolah, bukan dikira melanggar disiplin. (Walaupun hakikatnya melanggar disiplin pada hari-hari biasa.)
    Balik awal memang dibenarkan, cuma, handphone, dan barangan larangan lain tetap diharamkan di sekolah ketika itu. (Sumber: Jabatan Hal Ehwal Murid SMIAA)

    MAJLIS PERPISAHAN TINGKATAN 5
    Ana sedikit terkilan dengan kata-kata anta di atas. Sebenarnya, dapatkah kita menilai seseorang melalui mata kasar kurnian Allah kepada kita dengan tepat? Memang secara kasarnya anta tak nampak ana menghadiri meeting, tapi, tahukah anta apa sebabnya? “Learn to understand if you want to be understood” Sebenarnya, ketika meeting 22/10, ana ada ujian hafazan serentak dengan tarikh meeting, dan selepas tarikh ini, kami pelajar-pelajar tahfiz terus didera dengan kelas tahfiz selama empat jam sehari (walaupun ana tahu ada yang keluar tahfiz sekejap sebab nak uruskan pasal majlis perpisahan ini, sebenarnya, kalau ikut Fiqh Awlawiyyat, mana lebih aula? Fikir-fikirkanlah sendiri.)
    Walaupun tak mengikuti meeting, namun ana tetap memberi sumbangan idea, meskipun tak diterima. (Contoh: Ubah konsep mesyuarat. Kenapa perlu semua orang berbincang? Kenapa tidak perlu ketua dan penolong sahaja yang berbincang supaya suasana tak menjadi tegang sehingga menganggu imtihan F4? Itulah antara idea yang diketengahkan…) Ana tetap membantu sedikit sebanyak hiasan pentas petang sebelum majlis tersebut dimulakan keesokan harinya.
    Secara kasarnya, memang tak adalah seratus peratus tenaga ana disumbangkan kepada majlis tersebut, kerana ana perlu membahagikannya kepada banyak tempat lagi, tahfiz, blog, aktiviti kekeluargaan, ziarah aidilfitri, dan banyak lagi…

    BUAT ANTA
    Ana hargai komen serta nasihat yang diberi. Cuma nasihat ana, cuba anta teliti balik keseluruhan perbahasan artikel ini. Kepada siapa tulisan ini ditujukan? Apakah maksud sebenar tulisan ini…? Ana harap anta mendapat sedikit sebanyak gambaran tentang apa yang ana perkatakan. Jangan komen sampai terlari topik yang dibincangkan. Seribu kemaafan kupohonkan andai penjelasan ini mencalarkan hati anta. Itu bukan niat sebenar ana.
    Jangan serik menulis komen, anta tetap dialu-alukan!

  9. Waalaikumussalam, Saudara Hitik Makrof.

    Syukran Jazilan kerana sudi memberikan komen anda terhadap pos ini. Untuk pengetahuan anta, blog ini, ada ana linkkan dengan yahoo group SMIAAG dan SRIAAG untuk disampaikan kepada golongan ibu bapa dan juga pihak sekolah secara terus. Bukan setakat cakap belakang.
    Perlu diingatkan, kadang-kadang, tulisan ini lebih berkesan daripada kata-kata. Mutakhir ini, blog2 berteraskan islamik seperti Saifulislam.com terus bercambah dengan rancak atas dasar untuk berdakwah! Jangan sempitkan pemikiran anta bahawa tindakan dan dakwah semestinya perbuatan yang boleh dilihat secara zahir.
    Dalam menghadapi dunia yang semakin mencabar ini, kita perlulah lebih kreatif mengatur tindakan, bukan hanya menggunakan cara lama yang telah dipraktikkan zaman berzaman! Firman Allah dalam surah an-Nahl,
    “Serulah ke jalan Allah dengan kebijaksanaan….”

    Semoga anta terus maju mengorak langkah tak kiralah dengan apa jua cara sekalipun demi memastikan bahawa ad-Deen ini terus dimartabatkan di seluruh dunia. Islam Pasti Gemilang!

    Wassalam.

  10. Assalamualaikum Warahmatullah,

    Buat Abg Sarep,
    Syukran Jazilan atas komen-komen serta buah fikiran yang telah anda nukilkan. Seronok membacanya. InsyaAllah komen-komen abang Sarep akan ana jawab kemudian. Malam sudah terlalu tua… Maaflah ana atas kelewatan yang tidak disengajakan ini.

    Wassalam.

  11. terima kasih saudari,
    sbnrnya saya juga bekas peljr sebuah sekolah islam,
    dan ada juga rakan saya yang melakukan seperti saudari ini ( meluahkan dalam internet) tetapi yang menyedihkan, rakan saya ini hanya meluahkan saja tanpa mengambil tindakan, lagipun pada masa kini, tidak ramai yang meminati artikel artikel seperti ini, jika nmpk sja tulisan pnjg pnjg terus ditutup (kbykn), jadi, saya tidak lah mahu saudari menjadi seperti rakan saya. pengunaan internet ini memang sudah bijak, tetapi adalah lebih baik saudari sertakan dengan tindakan. mula mula saudari perlulah membina satu kumpulan yang boleh backup apabila membuat amar makrof nahi mungkar, bila dah ada group baru boleh menasihati rkn rkn, jgn buat sorang sorang sbb lazimnya org yg membuat kesalahan selalu meninmbulkan alasan dan menghentam kita, jadi kalau ade group sekurang kurang nye ade lah backup tuh….
    jadik , x salah saudari buat wordpress nih, tapi dulu rakan saya ada ckp
    “alah ckp kt internet je baik x yah, penakut sgt nk ckp depan depan”(luahan bekas rakan saya la ) lgpon skrg ini ramai yg lebih gemar chatting, downloading, main games daripada membaca artikel artikel…hmm pemikiran remaja skrg memang lalai dgn hiburan sehingga lupa tanggungjwb kpd Allah.

    maaflah kalau tersalah bahsa, marilah kita bersama sama menegakkan syi’ar islam yang semakin luntur terutama dalam kalangan remaja…..
    TAKBIR!!!! ALLAHUAKBAR!!!!

  12. hurm,
    mungkin blog ini dijadikan tempat luahan perasaan nti,
    jadi nti nak luahkan perasaan silelah,
    asal jgn sampai terhantuk baru terngaga mulot sudahlah ye kak oi…

    p/s:kritikan nti utk skola mmg membina….
    semoga nti meruskan perjuangan mengembalikan kedaulatan islam dimuka bumi ini..TAKBIR!!!

  13. salam..

    rasa malu pula kalau ada orang yang bukan ahli dalam sekolah al-amin membaca tentang perkara ini..

    seperti saudara hitik makrof yang membaca serta memberi respon tentang penulisan serta penghujahan tentang kelemahan sekolah..

    apa daya sekolah yang serba kekurangan ini..segala kesulitan..nampak sahaja..tetapi segala jasa..hanya sekadar sejarah sahaja..

    ana sangat kesal..segala usaha umpama dipersia-sia sahaja setelah dibahaskan diruangan ini..

  14. Salam semua,

    Kepada abgsarep, komen no 13, tak ada apa yang perlu dimalukan. Sedih memikirkan mentaliti ini. Sampai bila kita mahu berbangga dengan kejayaan dan jasa kita? Kalau asyik disebut tentang jasa-jasa yang telah ditaburkan oleh al-Amin, memang tak akan habis-habis ceritanya. Semuanya indah dan manis untuk dikenang. Tapi, natijahnya, tak akan ke mana jadinya kita! Dok terperap bawah tu juga. Sememangnya segala jasa dan kejayaan perlulah dikenang, namun, AWAS, jangan sampai kita terlalu ingat jasa yang ditaburkan sampai lupa akan kelemahan yang masih wujud!

    Memang realitinya kita tak akan terlepas daripada kelemahan, namun, sampai bila kita nak pertahankan kelemahan tu? Kelemahan perlulah diatasi dan diubati sebelum keadaannya bertambah parah! Kalau ada orang menulis tentang kelemahan sesuatu pentadbiran, ini bermakna individu tersebut mahukan perubahan, bukannya setakat kesalan yang tak sudah-sudah! Sepatutnya, individu yang terlibat dengan pentadbiran sekolah memandang serius isu ini, bukan setakat cemuhan yang memanjang. “Eleeh, setakat dalam blog je! Budak pun baru tingkatan 3, memberontak lah tu!” Ini lagi satu masalah mentaliti. Asalkan remaja yang menulis, semuanya dilabel sebagai rebel, seterusnya dicemuh dan dibakul sampahkan! Realitinya, pendapat pelajar perlulah diambil berat kerana merekalah insan yang merasai sendiri suasana yang wujud di sekolah. Oleh itu, selalunya, luahan yang berikan tentang sekolah adalah benar dari perspektif mereka, walaupun hakikatnya mereka tidak memahami masalah dalaman sekolah.

    Kepada pihak sekolah pula, jangan jadikan masalah dalaman sekolah sebagai alasan untuk menghalalkan kelemahan yang wujud. Perlu diingatkan, kalau orang luar datang ke sekolah, seperti pegawai PPD, tetamu-tetamu dari luar, mahupun ibu bapa sekalipun, mereka tidak akan menilai masalah dalaman sekolah, tetapi mereka akan menilai suasana persekitaran yang wujud! Tidak kiralah apa jua “masalah dalamannya”, outputnya juga akan dinilai oleh orang luar!

    Lagi satu, jangan jadikan kedhaifan sekolah sebagai alasan untuk menghalalkan kelemahan yang wujud. Sepatutnya, dengan kekurangan yang wujud ini, pihak al-Amin perlulah berusaha mengatasinya. Bukan hanya menjadikannya sebagai kekangan!

    Akhirul kalam, maaflah andai komen ini panjang-panjang dan meleret-leret. Namun, sebagai insan yang prihatin, saya menyeru agar mentaliti ini diubah oleh semua individu yang begelar warga al-Amin, terutamanya pihak pentadbir! (Jangan terasa ye, individu yang terlibat! Kalau nak maju, kita kena tahan dengar kritikan! Tapi, jangan setakat dengar je ye… Perubahan tu perlu) Kalau boleh, saya tak mahu lihat sekolah-sekolah agama swasta yang sememangnya jauh daripada bantuan kerajaan ini dok asyik diulit masalah mentaliti yang tak berkesudah. Pelajar-pelajar yang bersekolah agama seperti inilah yang diharapkan untuk menerajui pucuk kepimpinan negara ini.

    Perlu diingatkan, tanpa pengislahan, al-Amin tak akan berkembang, tetap dok kat takuk tu, merenungi jasa-jasa dan kecemerlangannya yang lalu!

    Wassalam.

  15. Assalamualaikum wbrt

    Kepada AbgSarep ni, saya harap pendekatan dan perspektif saudara menangani isu kritikan membangun terhadap sekolah, tidak kiralah daripada seorang pelajar hingusan Tingkatan Tiga, bukan membayangkan perspektif sebenar pengurusan sekolah.

    Saya cadang AbgSarep rujuk Peta Strategi PPAA. Saya dapat satu salinan peta strategi tersebut apabila Ust Zubir hebahkan kepada ibubapa dalam ucapannya dan terbitkan di dalam buku cenderahati semasa Majlis Takrim SRIAAG 2007 baru-baru ini.

    Ia memaparkan peta strategi menyeluruh untuk menjadikan Al-Amin sebuah Institusi Pendidikan Islam Bersepadu Pilihan. Ia sungguh unggul dan tentunya memakan masa yang lama dibahas dan dibincangkan sebelum diterbitkan untuk tatapan umum. Perlaksanaannya akan lebih mencabar lagi; ia perlu dihayati sepenuhnya oleh semua pihak yang terlibat sehingga menghasilkan mentaliti kolektif yang sesuai dan kongruen dengan objektif peta strategi tersebut.

    Antaranya, untuk sampai kepada destinasi seperti yang dilakarkan oleh peta strategi ini, kita perlu bersifat terbuka dan proaktif. Jika kita bersikap tersipu-sipu malu, merendah diri, saya rasa peta strategi ini hanya akan menjadi hiasan seni abstrak yang cantik dan boleh dimaktubkan ke dalam sejarah Al-Amin sebagai satu percubaan yang gagal.

    Wassalam.

  16. Salam semua.

    rasa malu pula kalau ada orang yang bukan ahli dalam sekolah al-amin membaca tentang perkara ini..

    (Komen abgsarep, no 13)

    Terus terang ana katakan, tak perlu malu… Sepatutnya, kita perlu lebih malu jika kritikan-kritikan dan komentar yang diberi tak diambil pusing oleh pihak pentadbir sekolah. Tugas kita sekarang ni, perbaikilah apa-apa yang perlu diperbaiki. Jangan jadikan semua komentar-komentar sama ada yang terdapat dalam blog ini, mahupun yahoo groups SRIAAG dan SMIAAG sebagai perhiasan sahaja. Timbanglah semua teguran itu. Jangan berkeras kepala. Seperti yang pernah ana katakan dahulu, semua orang yang mengkritik sistem yang diamalkan oleh pihak sekolah sememangnya mempunyai satu tujuan yang sama – mahu memantapkan sistem pendidikan yang wujud di al-Amin. Mungkin cara yang digunakan sahaja berbeza. Sebagai sebuah institusi pendidikan yang benar-benar komited dengan visi dan misinya, kritikan ini perlu diambil kira. Jangan hanya dibakul sampahkan! Perlu diingatkan, kita akan lebih malu sekiranya komen-komen yang diberikan gagal dimanfaatkan oleh pihak sekolah!

    apa daya sekolah yang serba kekurangan ini..segala kesulitan..nampak sahaja..tetapi segala jasa..hanya sekadar sejarah sahaja..

    Perlu ditegaskan, apa perlunya ana menulis panjang lebar untuk memberitahu tentang jasa dan kejayaan yang telah dicapai oleh sekolah. Kalau kita tak habis-habis bercerita tentang jasa, sampai ke sudah kita tak dapat melihat ke mana wujudnya kelemahan dan kekurangan. Situasi ini akan membawa kita terus kepada kehancuran. Tak salah kita mengenang kejayaan yang telah berjaya ditempa, namun tak perlulah sampai terlebih-lebih sehingga menyebabkan kita gagal melihat segala kelemahan dan kekurangan. Ringkasnya, muhasabahlah kekurangan yang wujud, segala jasa yang telah ditaburkan itu, simpanlah dalam lipatan sejarah untuk diteliti kembali ibrah yang tersembunyi. Semoga sekolah yang realitinya serba kekurangan dari segi infrastruktur ini tak akan kekurangan dari sudut mentaliti dan tarbiah yang diberi.

    ana sangat kesal..segala usaha umpama dipersia-sia sahaja setelah dibahaskan diruangan ini..

    Kepada Abg Sarep, ana mohon penjelasan daripada pihak anda mengenai baris-baris ini. Ana kurang faham akan maksud yang cuba disampaikan…

    Syukran kepada semua yang sudi menghulurkan buah fikiran anda dalam usaha untuk membangunkan sekolah al-Amin ini yang sememangnya memerlukan lebih banyak pengislahan lagi. Semoga ruang untuk kita berdiskusi ini akan sentiasa meriah dengan pelbagai komen-komen dan idea yang membina. Kepada Abg Sarep dan semua individu-individu yang bergelar warga al-Amin, sudi-sudilah kiranya kalian menatap Peta Strategi PPAA (seperti yang dicadangkan oleh Your Abi). Moga-moga manfaatnya mampi dikongsi bersama…

    Wassalam

  17. Emm,
    Makin hangat nampaknya.. Cikgu menulis ni bukan sebagai wakil pihak pentadbir, tapi sebagai seorang individu warga Al Amin yang terlibat dalam mentadbir sekolah. Ramadhan yang lalu genap setahun cikgu berada dalam kedudukan cikgu sebagai sebahagian dari pentadbir. Iaitu sebagai Ketua Jbtn Ilmu Utama yang mana tugas utama cikgu ialah memantau perjalanan kurikulum sekolah. Bila saja cikgu ambil tugas ini, seperti satu bebanan yang amat besar diletakkan di bahu. Cikgu masih ingat saat saat disuruh menggantikan Ketua Jabatan sebelum ini yang berhenti secara tiba-tiba. Memang tak boleh nak lupa. Sampaikan seorang akhawat guru yang sangat rapat dengan cikgu bertanya ‘ kenapa muka you pucat je, ada bad news ke?’
    Dari perspektif seorang guru biasa masuk jd pentadbir, mulanya memang nampak banyak yang perlu diperbaiki. Semakin lama cikgu berada di dalam tugas ini, bertambah-tambah banyak nampaknya perlu ditingkatkan lagi. Kalau cikgu senarai di sini, memang banyak dan tak mungkin cikgu rasa orang lain boleh faham sepenuhnya.
    Cuma cikgu nak ringkaskan di sini, perjalanan cikgu masih jauh. Cikgu tahu tak semua boleh dibuat serentak. Doa cikgu setiap hari agar sentiasa terbuka hati orang orang di sekeliling cikgu untuk terus membantu dan bersama-sama memajukan sekolah yang disayang ini. Baik pentadbir lain, guru-guru, ibu bapa dan para pelajar sendiri.
    Cikgu bersyukur kepada Allah kerana sentiasa memberi kekuatan pada diri cikgu. Bersyukur kepadanya kerana kalau tak kerana ujian2 yang diberi pada cikgu di awal kehidupan cikgu dulu, mungkin cikgu tak akan kuat begini.
    Insyaallah, secara personal, memang cikgu sedang berusaha untuk memperbaiki Al Amin. Dari segala segi walau pun cabarannya bertambah besar setiap tahun. Banyak kali (cikgu ulang-banyak kali) cikgu rasa nak berhenti dari menjadi guru di sini. Cukup penat rasanya bila banyak benda kita kena buat serentak…Namun, penat lelah rasanya berbaloi jugak bila tengok anak murid berjaya, akademik dan juga yang lainnya.
    Doakan cikgu…

  18. rindu 2007! hehe


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.

%d bloggers like this: