Terlebih Air?

June 14, 2015 at 10:45 am | Posted in Life as a Medical Student, Renungan | Leave a comment
Tags: ,

فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ

Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?

🌹🌹🌹🌹🌹🌹🌹🌹🌹🌹

“Pakcik, kenapa pakcik datang hospital ni?”

“Sesak nafas. Air penuh dalam paru-paru doktor kat kecemasan kata…” jawab pakcik tersebut. Pakcik yang berada dalam lingkungan 60an tersebut tetap ceria di sebalik oxygen mask yang dipakainya.

“Pakcik kamu ni haa. Doktor tak bagi minum air banyak. Maximum satu botol kecik ni je (500 ml) sehari, tapi dia tak dengar. Nak minum banyak jugak. Puas dah kami anak-anak cakap, dia buat tak endah je.” Panjang leteran si anak yang menjaga ayahnya itu.

“Lah, tengok dalam TV tu iklan kesihatan. Kata musim panas kene minum banyak air… pakcik minum laa. Mana laa tahan musim panas ni nak minum air sikit nak oi.” Jawab pakcik tersebut sambil ketawa.

“Laa.. iklan tu bukan untuk orang-orang special yang Allah uji macam pakcik…”

Berderai tawa pakcik tersebut dengan anaknya.

“Pakcik, kalau rasa panas, kemam ais dalam mulut. InsyaAllah hilang sikit rasa haus tu…”

Pakcik tersebut mengangguk-angguk.

Memang pakcik ni jenis ceria, getus hatiku. Walaupun di katil acute, nafas masih semput, high flow mask masih di muka, tetap boleh bergelak ketawa. Pakcik ini dikejarkan ke jabatan kecemasan disebabkan terlebih air dalam badan “fluid overload” kerana melanggar pantang air yang diberikan oleh doktor, “restriction of fluid” (ROF). Beliau mengidap masalah kerosakan buah pinggang, komplikasi daripada penyakit kencing manis beliau yang tidak terkawal.

image

Restriction of fluid (ROF).

Ini bermakna, dalam tempoh 24 jam, pesakit hanya boleh mengambil air mengikut sukatan yang telah diberi oleh doktor. Ada yang 500 ml sehari, ada juga yang 800 ml sehari. Kalau terlebih air, pesakit boleh mendapat symptom-symptom “fluid overload” seperti susah bernafas dan kaki bengkak.

Kebiasaannya, ROF ini untuk pesakit-pesakit lemah jantung dan juga pasakit yang mengalami kerosakan buah pinggang yang kronik (tahap 4, tahap 5, atau yang sedang melalui dialisis).

Badan manusia yang normal, sebanyak manapun air yang kita ambil, ia akan mampu diproses oleh buah pinggang dan jantung dengan baik. Lagi banyak air yang kita ambil, lagi banyak air kencing akan dihasilkan.

Rasa haus, secara spontan kita meneguk air.

Nikmat untuk minum air adalah nikmat yang jarang kita syukuri.

Kemampuan badan kita untuk memproses air tersebut juga merupakan nikmat yang selalu kita ambil ringan.

Alhamdulillah atas nikmat kesihatan yang Allah berikan pada kita. Sejauh mana telah benar-benar kita syukuri?

Semoga Ramadhan yang bakal mendatang ini, menyedarkan kita akan erti syukur.

“Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?”

Ramadhan – Adakah Kita Memanfaatkannya?

September 23, 2008 at 1:52 pm | Posted in Cetusan Pemikiran, Renungan, Sekolahku | Leave a comment
Tags: ,

Bulan Ramadhan datang dan pergi setiap tahun. Kedatangan Ramadhan sering disambut penuh kemeriahan oleh orang-orang yang beriman, supaya mereka mencapai takah TAQWA yang dijanjikan Allah buat mereka yang benar-benar menghidupkan Ramadhan.

Begitulah suasana yang penulis rasakan di Sekolah Menengah Islam al-Amin. Alhamdulillah, di sini, Ramadhan sememangnya disambut penuh kemeriahan. Pelbagai program yang bertujuan untuk menghidupkan Ramadhan telah direncana oleh sekalian guru-guru – program tadarus, iktikaf, tazkirah-tazkirah yang sering diberikan oleh guru-guru secara tidak langsung, dan sebagainya benar-benar membuka ruang yang luas buat semua murid untuk mengimarahkan Ramadhan.

RAMADHAN – ADAKAH KITA MEMANFAATKANNYA?

Namun, sejauh manakah kita memanfaatkan peluang yang telah disediakan ini?

Entahlah, menurut pandangan peribadi penulis, penulis masih merasakan bahawa murid-murid al-Amin, secara puratanya, tidak menghargai segala peluang yang telah dihamparkan kepada mereka ini. Lihat sahaja ketika waktu Tadarus, masih ramai antara kita (bukan semua) yang sengaja berjalan lambat-lambat ke surau, terkedek-kedek, ataupun istilah lainnya bagai itik pulang petang! Waktu tadarus selama setengah jam yang diperuntukkan, adakalanya habis 15 minit menanti insan-insan bertuah ini tiba di surau. Tidakkah kalian rasa, perbuatan kalian tersebut merugikan diri kalian dan juga kumpulan tadarus kalian?

TADARUS

Bukankah al-Quran sepatutnya bertakhta di hati kita?

Bukankah al-Quran sepatutnya bertakhta di hati kita?

Ada juga antara kita yang datang untuk tadarus, tapi tidak membawa al-Quran. Sudahlah tidak membawa al-Quran, malas pula hendak mencari al-Quran yang disediakan oleh sekolah di sekeliling surau. Entahlah, secara peribadinya, penulis hairan dengan golongan seperti ini. Kalau kita sudah tanamkan niat nak membaca al-Quran apabila tiba di surau nanti, mengapa tidak kita membawa al-Quran? Seandainya kita tidak membawa al-Quran sendiri, mengapa begitu malas untuk mencari al-Quran yang disediakan oleh pihak sekolah? Akhirnya, golongan seperti ini terpaksa meminjam al-Quran sahabat sehalaqahnya. Tak ke namanya tu menyusahkan sahabat sendiri…

IIKTIKAF

Menyentuh bab iktikaf, penulis berasa sedikit hairan. Walaupun kita tahu bahawa surau itu merupakan rumah Allah, mengapa mulut kita masih bising apabila berada dalam surau? Di mana hilangnya rasa hormat murid-murid SMIAAG kepada rumah Allah tersebut? Tidak rasa berdosakah kita? Mengapa tidak kita gantikan budaya bersembang di rumah Allah tersebut dengan budaya membaca al-Quran? Tidakkah itu lebih mulia di sisi Allah? Ayuh kita renung-renungkan.

DALAM KELAS

Seterusnya, perasaan sedih mengetuk sanubari penulis apabila melihat tidak ramai anak-anak al-Amin yang betul-betul memanfaatkan kedatangan bulan Ramadhan ini. Apabila guru tidak masuk ke kelas, kita lebih gemar untuk bersembang dan bergelak tawa dengan sahabat-sahabat daripada membaca al-Quran. Lebih menyedihkan lagi, ada antara kita yang sering mengumpat sahabat-sahabat lain tatkala tiba masa lapang. Keadaan ini penulis lihat berlaku di mana-mana sahaja, hatta di kelas penulis sendiripun. Mengapa tidak kita manfaatkan setiap picing nan berharga dalam bulan Ramadhan ini untuk membaca al-Quran, atau setidak-tidaknya mendiamkan diri merenung segala dosa-dosa yang telah kita lakukan. Bukankah itu lebih aula daripada asyik bersembang tak tentu pasal?

Akhir kata, ambillah segala teguran yang disampaikan ini untuk menjadi peringatan buat diri kita, termasuklah diri penulis sendiri. Hayatilah setiap detik yang lalu. Jangan kita termasuk dalam golongan-golongan yang rugi menjelang akhir Ramadhan ini!

Di Kuantan

September 20, 2008 at 1:29 pm | Posted in Citra Kehidupan, Usrati | Leave a comment
Tags:

Tatkala sedang sibuk mendengar pengajaran Cikgu Arasy dengan mauduk Dynamic Ecosystem, tumpuanku sedikit teralih. Ada seseorang mengetuk pintu. Pada hematku, yang mengetuk ini pastinya bukannya datang dari kalangan pelajar. Selalunya, Cikgu Arasy pastinya tidak senang seandainya ada pelajar-pelajar lain datang menganggu kelas kami. Namun, kali ini ketukan itu disambut dengan riak penuh mesra.

KE KUANTAN

Rupa-rupanya, yang mengutuk tersebut ialah seorang yang amat kukenali – IBUKU! Aduh, gugup seketika rasanya. Alkisahnya, mak dan abah datang mengambil kami, aku dan Azhari dari sekolah kerana hendak pulang ke Kuantan. Katanya, Nek Long Wok (sepupu atuk) telah meninggal dunia. Allahyarhamah merupakan seorang insan yang agak rapat dengan keluarga kami.

Kami bertolak dari Taman Greenwood lebih kurang pukul 11 pagi. Aku tertidur sepanjang perjalanan – mungkin keletihan selepas iktikaf. (Hahaha, amacam tak letih? Tidur pukul satu lebih, walaupun sepatutnya tidur pukul 11! Tu lah, sembang punya pasal! Individu yang bertanggungjawab terhadap insiden ni, Nabilah dengan Azah. Hahaha…) Tiba di Kuantan lebih kurang pukul dua petang.

DISAMBUT SEPUPU-SEPUPUKU

Wa dan Hafiz. Sepupu-sepupuku yang comel!

Wa dan Hafiz. Sepupu-sepupuku yang comel!

Kami disambut dengan penuh ceria oleh Najwa, sepupuku. Baru berusia lima tahun, tapi sudah belajar berpuasa. Hafiz, juga sepupuku tertidur keletihan di atas sofa. Katanya, penat berpuasa. Seronok melihat ragam comel sepupu-sepupuku berpuasa. Buat seketika, sepanjang bulan Ramadhan ini, tiadalah aktiviti bermain dekat tanah petang-petang. Semuanya melenggok kepenatan. Buat semua sepupu-sepupuku, tahniah ke atas kalian kerana berjaya berpuasa menjelang Ramadhan kali ini!

Setelah baru beberapa ketika tiba di kampungku, kami sekeluarga, Pak Teh, dan Atuk terus bergerak ke Pekan untuk melihat jenazah Allahyarhamah dikebumikan. Di sana, kami bertemu dengan Nenek. Seperti biasa, Atuk menjadi imam yang mengetuai bacaan tahlil. Kagum melihat atukku. Beliau insan yang sangat berilmu, dan dihormati masyarakat kerana ilmunya. Teringin aku untuk menjadi seperti beliau!

Kak Yu

Sebahagian daripada sepupu-sepupuku-Kak Yu, Sarah, dan Wa. Credit gambar: Kak Yu

Selesai majlis pengebumian, kami pulang semula ke Kampung Soi, Kuantan, tempat terletaknya kampung halamanku. Seronok rasanya berbuka bersama-sama sekalian saudara-saudaraku. Tengok kartun Upin dan Ipin bersama. Solat Maghrib, Isya’, dan Tarawih secara berjemaah bersama-sama. Kemanisan ukhuwwah jelas terasa.

Usai bertarawih, kami moreh bersama-sama. Seronok bertukar-tukar cerita. Seronok juga rasanya MEMBULI sepupu-sepupuku, walaupun Hafiz kerap membalas bulianku dengan skill Taekwando yang dipelajarinya.

Melihat sepupu-sepupuku ini, aku terfikir, bagaimana agaknya nasib mereka tatkala besar nanti? Mereka lahir dalam dunia penuh cabaran. Mampukah mereka (termasuk aku) menangkisnya?

Hanya doa mampu kuhulurkan.

Setelah 14 Hari…

September 14, 2008 at 1:56 am | Posted in Cetusan Pemikiran, Citra Kehidupan, Renungan | 5 Comments
Tags: ,

Setelah 14 hari Ramadhan berlalu, aku terkedu seketika.

Sedih kerana mengenangkan bahawa hampir 16 hari lagi aku akan melepaskan pemergian bulan yang penuh dengan kerahmatan ini.

Gembira kerana tatkala menjelang yaumul eid nanti, aku akan ketemu dengan saudara-maraku yang sudah lama tidak kujumpa.

Berdebar kerana memikirkan berjayakah aku menemukan diriku ini dalam keadaan beribadah kepada Allah tatkala malam Lailatul Qadr yang bakal menjelma.

Takut seandainya aku melepaskan Ramadhan kali ini dalam keadaan aku tidak mendapat sebarang keampunan dan rahmah daripada Allah.

Berjayakah aku memastikan Ramadhan kali ini adalah lebih baik daripada Ramadhan yang sebelum ini? Entahlah. Sukar untuk kujawab buat masa ini.

UPIN DAN IPIN

Sungguh ceria dan riang... Kehidupan fitrah yang tak tercalit dek masalah!
Sungguh ceria dan riang… Kehidupan fitrah yang tak tercalit dek masalah!

Ramadhan kali ini turut diceriakan dengan kedatangan kartun Upin dan Ipin yang benar-benar mencuit perasaanku. Seronok rasanya melihat kartun yang sangat comel ini. Mesej yang hendak disampaikan bisa mengetuk sanubariku.

Perasaan terharu, seronok, dan gembira bercampur-baur dalam sanubariku tatkala melihat gelagat Upin dan Ipin – yang melambangkan kehidupan fitrah kanak-kanak yang jauh daripada sebarang dosa, kefasadan, dan lambakan masalah. Masih teringat saat-saat aku melalui Ramadhan sewaktu aku kecil-kecil dahulu, hampir sepuluh tahun yang lalu. Ramadhan kulalui dengan sangat tenang. Yang menjadi masalah buatku hanyalah untuk menahan diri daripada makan dan minum pada waktu siang.

Namun, sekarang ini, keadaan sudah jauh berubah. Aku meningkat dewasa. Menahan diri daripada makan dan minum pada waktu siang sudah tidak menjadi halanganku yang utama. Yang menghalangku untuk mencapai takah “puasa yang mabrur” ialah sikapku. Aku terpaksa berusaha sekeras daya untuk tidak mengumpat, berbual kosong, menyakitkan hati insan-insan lain, dan segala kekhilafan yang lain.

Wajah-wajah aku tatkala masih fitrah. Gambar ini diambil lebih kuran 10 tahun yang lalu...
Wajah-wajah aku tatkala masih fitrah. Gambar ini diambil lebih kurang 10 tahun yang lalu…
Masa dengan adik kat Bukit Bendera
Masa dengan adik kat Bukit Bendera

Kalau dahulu, sewaktu masih fitrah, aku melalui Ramadhan dengan penuh keceriaan. Kemuncak keceriaanku ialah ketika berbuka, ataupun tatkala mengikut mak dan abah ke Bazar Ramadhan. Fikiranku sentiasa tenang, tidak pernah dilanda masalah memanjang. Namun, sekarang ini, Ramadhan bukan lagi 100% keceriaan. Masalah demi masalah datang silih berganti. Melihat dari rukyah positif, masalah-masalah ini kelak mendewasakanku. Namun, seperti biasa, hendak bergerak ke arah dewasa itu pahit. 1001 kesabaran sememangnya diperlukan, dan aku perlu berusaha bersungguh-sungguh bagi mencapai takah kesabaran yang diperlukan ini.

Ramadhan datang dan pergi. Ramadhan akan datang tidak semestinya menjadi milikku. Entah ditakdirkan tuhan, aku pergi dahulu sebelum berupaya melihat anak bulan Ramadhan akan datang. Oleh itu, wahai diri, berusahalah semaksimanya demi memaknakan Ramadhan ini, agar aku berjaya menjadikan bulan Ramadhan ini bulan rahmah, maghfirah, dan pelepasan daripada naar….

Ya Rabbi…

September 12, 2008 at 12:21 am | Posted in Renungan | 2 Comments
Tags: , , ,
Andai kita mahu bercakap dengan Allah, maka, ayuhlah kita bersolat.
Andai kita mahu Allah berkata-kata dengan kita, dengarkanlah bacaan al-Quran.
Andai kita mengalami kekusutan, mengadulah pada pencipta kita.
“Sesungguhnya, apabila hambaKu bertanya kepadamu tentangKu, maka, katakanlah bahawa Aku dekat dengan mereka…”
Di mana Allah? Allah itu dekat dengan kita...

Di mana Allah? Allah itu dekat dengan kita... (Al-Baqarah : 186)

Ceritera Malam Pertama Ramadhan

September 1, 2008 at 3:26 pm | Posted in Citra Kehidupan, Renungan, Usrati | Leave a comment
Tags: ,

Alhamdulillah… Syukur kehadratmu ya Allah kerana Engkau masih mengurniakanku Ramadhan yang keenam belas buatku. Kegembiraan benar-benar bersarang di benakku tatkala berkumandangnya azan Maghrib semalam. Tapi, di sebalik kegembiraan itu, hatiku tertanya-tanya, sudah benar-benar kebalkah persiapanku untuk melalui kursus pemantapan ibadah yang dikurniakan Allah selama sebulan ini?

TARAWIH

SHAS Mosque, IIUM

SHAS Mosque, IIUM

Malam pertama tarawih kami jalankan di SHAS Mosque, IIUM. Subhanallah, betapa aku teruja mendengar bacaan yang dilontarkan oleh kedua-dua imam yang mengepalai jemaah semalam. Sebelum tarawih, kami diberitahu, ada empat imam telah ditugaskan untuk membawa jemaah tatkala solat Tarawih dan Tahajud. Keempat-empatnya berasal dari luar negara, iaitu Algeria, Nigeria, Bangladesh, dan Morocco. Tiga daripadanya merupakan pelajar UIAM dan satu lagi merupakan tenaga pengajar UIAM.

Bacaan mereka, Ya Allah, mahsyuk.. Semalam, kedua-duanya membawa Qiraat Hamzah dalam bacaan mereka. Minatku untuk mendengar bacaan penuh bertajwid mereka menjadi berkobar-kobar. Andai aku diberikan peluang, akan aku cuba untuk mempelajari dan mendalami cabang-cabang ilmu al-Quran yang benar-benar menampakkan kebenaran al-Quran sebagai salah satu mukjizat Allah.

TARAWIH DI MAKKAH

Aku sememangnya teringin untuk melihat siaran langsung Tarawih di Makkah. Aku menyemak jadual siaran TV di surat khabar. Alhamdulillah, siarannya di bawa secara langsung oleh TV 1 pada jam 1:15 pagi. Tapi, masalahnya, terlalu lewat untukku. Mataku sudah terlalu berat untuk kubuka. Akhirnya, dalam pukul 12:30, aku sudahpun tertidur…

Menjelang jam 1:30, adikku mengejutkanku supaya bangun, sekiranya aku hendak melihat rancangan tersebut. Hatiku sememangnya mahu melihat rancangan tersebut, namun mataku tidak mampu kubuka. Akhirnya, impianku melihat Tarawih malam pertama di Makkah secara langsung musnah begitu sahaja.

HARAMAIN SALAAT RECORDINGS

Namun kekecewaanku untuk melihat Tarawih di Masjidil Haram secara langsung sedikit terubat apabila aku masih dapat melihatnya secara penuh di laman web http://www.haramainrecordings.com setelah puas menanti video tersebut habis di download.

Bagaimana Agaknya Ramadhan di Bumi al-Quds Sana?

Bagaimana Agaknya Ramadhan di Bumi al-Quds Sana?

Sayu rasanya jiwa mengenangkan, bila masanya aku mampu solat Tarawih dengan aman tanpa gangguan Zionis di Masjidil Aqsa? Agaknya, bagaimana Ramadhan di Palestin? Mampukah mereka solat dengan Aman sepertimana kita solat? Cukupkah agaknya makanan untuk mereka berbuka puasa? Subhanallah… Allahummansur Ikhwananal Mujahidina fi Falastin wa fi kulli makan…

Kursus Kepimpinan Ogos 2008

August 31, 2008 at 4:50 pm | Posted in Citra Kehidupan, Renungan, Sekolahku | 11 Comments
Tags: , ,

KURSUS KEPIMPINAN (Ogos 2008)

Kursus Kepimpinan khas buat Qiyadah Ikhwanul Fifteen (nama baru yang sengaja kugubah bagi Kursus Kepimpinan Tingkatan 4 2008) telah selamat kulalui. Alhamdulillah, walaupun aku sememangnya agak kelelahan selepas menjalani Minggu al-Quds, namun, kursus tersebut tetap berjaya menyuntik ria di hatiku, seterusnya memberikan kesedaran buat diriku. Ya Allah, rupa-rupanya, setelah hampir tiga tahun memegang amanah sebagai pengawas di SMIAAG, masih banyak lagi elemen-elemen kepimpinan yang masih kurang dalam diriku.

Palestin Fi Qulubina Abadan Abada

Palestin Fi Qulubina Abadan Abada

Alangkah berdosanya aku kerana gagal menyempurnakan amanah yang kugalas di bahuku! Ya Allah, Engkau berilah aku kekuatan untuk mengubah sikap dan mentalitiku ini. Semoga kepemergianku ke kursus ini berjaya mengubah akhlakku ke arah yang lebih sempurna.

TERJATUH KERUSI

Entah bagaimana, tatkala khusyu’ (khusyu’? Ye ke, bukan tengah bercakap dengan Azah ke?) mendengar ceramah Us Hasni berkaitan dengan kepimpinan, fail ku tiba-tiba terjatuh ke bahagian tepi kerusiku. Tanpa berfikir panjang, ditambahnya dengan sikap malasku, aku pun terus mencuba untuk mencapai fail tersebut tanpa bangun daripada kerusi. Fail tersebut terjatuh agak jauh daripada kerusiku.

Dengan izin Allah, secara tidak semena-mena, disebabkan tanganku terlalu berusaha untuk mencapai fail tersebut, aku hilang imbangan. Tanpa boleh kukawal, aku serta kerusi yang kududuki terjatuh ke tepi. Sudahlah aku duduk di barisan paling hadapan. Sudahlah di tepiku (agak jauh) merupakan kawasan duduk buat ikhwan. Ya Allah, malunya usah kukira. Aku hanya mampu tergelak sahaja bagi mengusir perasaan maluku itu. Tidak sanggup rasanya untuk kutentang mata-mata yang menyaksikan kejadian tersebut. Ceramah terberhenti seketika. Puas akhawat-akhawat menggelakkanku. Alhamdulillah Ikhwan agak thiqah, tidak langsung mentertawakanku. Apa-apapun, aku tidak kisah pun digelakkan oleh sahabat-sahabatku. Bagiku, itulah indahnya persahabatan!

MENJELANG MALAM

Aku dijadualkan untuk hirasah pada pukul 12:45 malam. Bosannya hirasah. 45 minit, aduh… Lamanya… Tidak tahu apa yang perlu kubuat. Nabilah dan Azah tak habis-habis membuka kedai kopi. Nak masuk campur, malas rasanya. Apa lagi, aku mengambil keputusan untuk iadah Quran. Tamam sejuzuk, perasaan malas mula menguasai diriku. Akhirnya, aku turut mengikuti bisnes Azah dan Nabilah.

Tak lama selepas itu, Kak Fathy datang ke arah kami. Ya Allah, Kak Fathy pun tak tidur lagi! Khabarnya ada meeting tadi. Apa lagi, kami terus berbual-bual berempat. Rancak juga perbualan kami. Setelah hampir jam 3:15 pagi, barulah bisnes kami dibubarkan. Alahai, tinggal sejam je lagi untuk tidur! Pukul 4:30 semua digesa bangun untuk qiam.

Mataku terus kupejamkan. Ya Allah, kurniakanlah keberkatan dalam tidurku yang sedikit ini…

AHAD

Alhamdulillah, kursus ini berjaya kutamatkan dengan penuh penghayatan.

Alhamdulillah, malam ini, bulan penuh kerahmatan bakal menjelma. Moga kita mengambil ibrah daripadanya. Ahlan Wasahlan ya Ramadhan!!!

Ramadhan oh Ramadhan!

August 23, 2008 at 7:30 pm | Posted in Citra Kehidupan, Renungan | 4 Comments
Tags: ,

Alhamdulillah, tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum Ramadhan menjengah! Tak percaya rasanya. Terasa baru sangat Ramadhan yang lalu berlalu pergi. Tak sempat rasanya proses pengislahan diri nak berlangsung, dah hampir dijengah Ramadhan 1429… Ya Allah, alangkah laghanya diriku ini!

SHAS Mosque, UIAM

Ramadhan yang lalu sememangnya istimewa buatku. Banyak kenangan-kenangan serta memori-memori manis yang masih segar dalam ingatanku.  Rasanya baru seketika aku berkejar-kejaran dengan Azhari hampir saban malam di halaman SHAS Mosque, UIAM tatkala menanti imam melaungkan azan Isya’. Masih kedengaran di telingaku suara merdu Adik Muhammad bin Ahmad Zahid, si Hafiz cilik yang pernah memimpin jemaah tatkala solat Tarawih.

Teringat kenangan tatkala aku dan Een beriktikaf di Masjid SHAS, UIAM. Hemm, dah jumpa berdua, tak jadi kerjalah jawabnya. Tapi Alhamdulillah, walaupun kami hampir-hampir nak tertidur mati tak sedar (waktu tu, imam dah pun angkat takbir nak solat Tahajud), Allah tetap mengizinkan kami untuk mengikuti jemaah pada Subuh yang hening itu. Terkocoh-kocoh kami berlari menuruni anak tangga untuk mengambil wudhu’. Akhirnya, kami masih sempat mengikut jamaah, walaupun hakikatnya kami tetap masbuk!

Imtihan PMR 2007

Ramadhan yang lalu turut diisi dengan imtihan PMR ku. Alhamdulillah PMR 2007 dijalankan masa bulan puasa. Taklah aku terlalu tertekan memikirkan mengenainya kerana tumpuanku ketika itu lebih terjerumus kepada kemeriahan bulan Ramadhan. Imtihan PMR kujalankan dalam keadaan sama seperti PUI, banyak main-main. Entah mengapa, otakku tak boleh nak fokus. Hemm, mungkin sebab dah lali tengok kertas peperiksaan kot.. Setelah hampir 3 bulan bergelut dengan PUI!

Ramadhan dan Usrahku

Saban tahun, kedatangan Ramadhan berjaya merapatkan silaturrahim dalam keluarga kami. Perasaan mahabbah jelas terasa tatkala kami berbuka puasa bersama-sama, bertadarus bersama-sama, pergi tarawih bersama-sama… Pendek kata, semuanya dilakukan secara bersama-sama. Itulah yang menyebabkan ikatan mahabbah antara kami berjaya dieratkan!

Sungguh kutak sabar menanti kedatangan Ramadhan kali ini. Namun, hatiku tetap dipalu debar, mampukah Ramadhan kali ini kujalani dengan lebih baik berbanding Ramadhan lalu? Sudah bersediakah aku untuk melangkah masuk dalam bulan penuh rahmat dan maghfirah ini – secara fizikal, mental, dan rohaninya? Ya Allah, berilah aku sepenuh kekuatan untuk memperbaiki diriku nan lemah ini…

ALLAHUMMA BARIKLANA FI RAJAB, WA FI SYAABAN, WA BALIGHNA RAMADHAN…

Create a free website or blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.