Pilihan-Medic? InsyaAllah

May 12, 2011 at 4:49 pm | Posted in Cetusan Pemikiran, Citra Kehidupan, Imtihan, Sekolahku | 1 Comment

Alhamdulillah.. Blog ini akhirnya diupdate setelah hampir setengah tahun aku mengabaikan blog yang kubina sejak akhir tingkatan 3 ini. Lebih bernostalgia, aku mengupdate blog ini dari komputer di Smartlab, Darul Quran kampus pengajian yang bakal aku tinggalkan dalam tempoh beberapa hari sahaja lagi, InsyaAllah. Ketika ini, kami sedang menunggu offer letter daripada UIAM siap di download…

Jujur, aku agak teruja nak menunggu offer letter tersebut. Aku rasa, offer letter itu akan mengubah perjalanan masa depan hidupku.

Bagi aku, dalam process aku nak decide nak ambil kos apa di UIAM, banyak tarbiah yang aku dapat secara direct daripada Allah. Allah ajar aku, bukan semua benda aku dapat buat dalam satu masa yang sama. Pada mulanya, aku agak berbelah bahagi sama ada nak ambil Medic ataupun Accountancy. Dilema ini aku rasa sedari akhir Tingkatan 3 lagi. Kegagalan aku membuat pilihan untuk diri sendiri membuatkan aku decide untuk mengambil kesemua subjek yang melibatkan kedua-dua bidang ini. Namun, tidak selamanya aku boleh buat keputusan macam tu. Tiba masanya, aku TETAP perlu membuat pilihan. Daripada inilah, keserabutan segala keserabutan mula datang memeningkan kepala. Ditambah lagi dengan keserabutan untuk prepare imtihan 30 juzu’.

Dulu, apabila result SPM diterima, aku tiba-tiba decide untuk ambil Accountancy. Meniru jejak Mak, hehe. Sebenarnya, lebih tepat, aku agak tak yakin untuk ambil Medic memandangkan result Bio aku lah satu-satunya yang ganjil dalam slip keputusan tersebut.

Masa terus berlalu. Alhamdulillah, aku tetap teguh dengan pengajianku di Darul Quran (dan InsyaAllah, aku merasakan itulah yang terbaik buat diriku) walaupun keinginan untuk melanjutkan pelajaran di luar negara agak meluap-luap. InsyaAllah, aku yakin, percaturan Allah itu yang terbaik buat diriku. Hehe, kalau ada rezeki, bila-bila nanti, terbanglah… InsyaAllah.

Lama kelamaan, bila usiapun menginjak 19 (hakikatnya, belum pun cecah angka tu), aku kembali terfikir untuk mengambil Medic. Berbekalkan istikharah dan tawakkal kepada Allah, aku menghantar borang untuk menukar kursus..

Sahabat sahabiah dan semua pengunjung Ana Mukminah, mohon tembakan doa dari semua. Aku takut sangat, mula-mula masuk Matrik nanti, aku ada rasa regret dengan bidang yang kupilih ini. Nauzubillah. Aku juga takut sangat dengan cabaran belajar dan cabaran kerja yang bakal kutempuh nanti.

Aku pernah tanya kak Izzah Che Hasyim, akak dulu tak takut ke ambil Dentistry? Dengan gaya penuh rilek, dia kata, “jangan takut, ramai je yang berjaya. Percaya pada diri sendiri dan kuatkan tawakkal pada Allah. Kita ada Allah!”

“Susah kan nak decide future ni… Kita tak tahu kat mana kebolehan, minat dan kecenderungan kita. Hakikatnya, semua tu adalah rahsia Allah..”
“Tawakkal… Allah knows the best! Be the best in everything we do. Strive for the Ummah!”

Doakan diri ini…

p/s:  Heh, buang masa je pergi smart lab ni. Offer letter sampai ke habis post ni pun tak dapat nak download lagi.
Kepada adik-adik G4squared SMIAAG yang ke IIUM PJ, insyaAllah, kita bertemu di sana~
Tinggal lagi 4 hari nak imtihan syafawi dan tahriri 30 juzu’. Doakan saya najah…

Advertisements

Diriku

September 7, 2010 at 10:32 am | Posted in Citra Kehidupan, Renungan | 1 Comment

Aku tahu, mengenali diri adalah asas bagi seorang daie. Daie harus kenal diri sendiri.

Ini adalah usaha-usaha untuk aku mengenali diri ini~

Islah, muhasabah, kedua-dua perlu diteruskan.

FPYC Personal Profile for Lina

FPYC temperament type: IITU – Intellectual, rational, inquisitive, accurate, systems developer, critical, creative thinker, independent.

Dominant intelligences: Logical Mathematical, Linguistic, Intrapersonal, Interpersonal and Naturalist.

Dominant abilities: Scientific, Mathematical, Self Discipline, Self Awareness, Verbal Language and Logical.

Fields of Work: Healthcare practitioner and technical, Media and Computer and mathematical science.

Knowledge worker status: Level 1 Knowledge Worker – Knowledge User.

Knowledge age skills:

Team Work – Room for improvement
Computer – Strong
Learning – Strong
Communication – Reasonable
Adaptability – Strong
Business – Strong

Pisah~

August 27, 2010 at 11:41 am | Posted in Citra Kehidupan, Renungan, Sekolahku | Leave a comment
Tags: ,

26/8/2010
Tarikh keramat bagiku. Satu tarikh yang menggembirakanku kerana menandakan bermulanya cuti mid sem 2, juga tarikh yang memilukan buatku kerana aku terpaksa berdepan dengan realiti kehidupan – perpisahan.

“Salam. DQ dah keluarkan result. Anjang tak boleh stay…”

Waktu itu, aku baru sahaja menjejakkan kaki ke rumah. Sungguh, aku terkejut dengan sms yang baru kuterima. Terbayang saat-saat terakhir di Darul Quran yang kita lalui bersama-sama. Iftar, buat kad untuk ayong, tidur sama-sama, sembang, usaha untuk rayuan, dan sebagainya sememangnya manis.

Aku redha dengan perpisahan ini.

Aku benar-benar terkesan dengan tarbiah Allah untukku di Darul Quran ini. Satu persatu individu yang rapat denganku dijauhkan Allah daripadaku. Sahabat-sahabat yang banyak berkongsi luka, rasa dan rahsia denganku – Ukht Khadijah, Ukht Shafiah, Ukht Atifah Basri, Ukht Adibah, Ukht Atifah Suad, Ukht Humairak, seorang demi seorang Allah takdirkan berhijrah dari DQ. Benar-benar Allah ingin mentarbiahku agar aku lebih matang dalam mengemudi kehidupanku di bumi DQ ini.

Aku redha. Aku belajar untuk redha dengan segala percaturanmu. Pasti, akan ada sejuta hikmah di sebalik apa yang berlaku. Hakikatnya, kita tidak berpisah. Kita hanya dijauhkan secara zahirnya. Tapi, jangan lupa, hati kita terikat. Terikat dengan ikatan rabitah, terikat dengan kebersamaan peranan sebagai khalifah Allah, sebagai daie, hamba allah, dan sebagainya.

Sahabiah-sahabiahku, selamatlah bertebaran di muka bumi Allah ini! Walau di mana sekalipun kita berada, kebersamaan peranan yang dikongsi bersama itulah yang menyatukan kita. Teruskan perjuangan, peliharalah al-Quran. Ukhuwwah tu bukan pada kerapnya pertemuan, tapi pada ingatan seseorang pada temannya dalam doanya. Sayang antunna kerana Allah!

p/s: Anjang, minta maaf sangat-sangat. Tak sangka perkara ini akan berlaku. Bukan tak nak cari anjang untuk bersalam sebelum balik semalam, tapi memang dah set dalam kepala yang kita akan berjumpa lagi selepas ini seperti biasa. Tapi, nak buat macam mana, taqdir sentiasa mengatasi tadbir. Allah knows better~
Seronok sangat selama kita kenal, anjang. Betul-betul terkesan dengan ketabahan dan kekuatan anjang. Doakan kita sama-sama kuat ye.
Acik, anje, alang, anjang, nanti bila-bila free, kita plan untuk rehlah@jaulah gi mana-mana ye. Alang, selamat berangkat ke ardhul kinanah 6 Syawal ni. Jaulah ke Mesir nak?

Perang

June 18, 2010 at 12:23 am | Posted in Cetusan Pemikiran, Renungan | Leave a comment
Tags: , ,

Pernah suatu ketika, saat ana masih kecil-kecil lagi, ana pernah dilanda rasa kesal yang amat sangat, mengapa Malaysia tidak diserang secara fizikal oleh negara kuffar. Seingat ana, antara kezaliman yang melanda umat Islam yang mula-mula menarik perhatian ana ialah peristiwa penindasan umat Islam di Kosovo. Waktu itu, ana masih berada di darjah 1. Gambar-gambar umat Islam yang syahid dibunuh menjadi bahan tatapan ana. Ketika itu, mula terdetik di hati ana, betapa beruntungnya mereka kerana dapat merasai nikmat gugur sebagai syuhada’! Masuk ke syurga tanpa hisab, bidadari-bidadari yang sedia menanti… Subhanallah, betapa beruntungnya para syuhada’ yang telah menginfakkan jiwanya buat Islam.!

Apabila usia ana terus meningkat, pemikiran ana juga turut berubah. Ana mula faham mengapa Allah tidak mentakdirkan kita di Malaysia untuk berperang dengan kuffar secara terang-terangan. Kita masih belum cukup kuat. Hakikatnya, kita semua sedang berperang dengan kuffar. Peperangan fikiran sedang berlangsung dengan rancaknya. Impaknya sememangnya dahsyat. Susah untuk dikawal. Bom-bom halus yang dilemparkan susah untuk dikesan, kecuali oleh insan-insan yang menilai sesuatu dengan mata hatinya. Andai berjaya dikesan pun, ramai yang sukar untuk mengelakkannya.

Ambil contoh negara Mesir, negara yang cukup terkenal dengan keilmuannya melalui Universiti al-Azhar, namun dalam masa yang sama, juga terkenal dengan kekejamannya terhadap aktivis Ikhwanul Muslimin, kebusukan pemerintah-pemerintahnya, keakrabannya yang luar biasa dengan Israel, dan pelbagai perkara yang pelik-pelik lagi. Apabila meletusnya Perang 6 hari pada 5-10 Jun 1967, mengapa pakatan Arab yang jauh lebih ramai daripada Israel mampu kalah dengan mudahnya? Mengapa pakatan Arab yang ketika itu dibekalkan dengan senjata moden dari Rusia akhirnya lumpuh dalam masa 6 hari? Mengapa dalam banyak-banyak pertempuran yang berlaku, hanya Sinai mampu dirampas kembali daripada Israel? Bukankah Allah telah menjanjikan kemenangan buat umat Islam?

Ayuh kita lihat keadaan tentera Islam yang menyertai peperangan ini. Kebanyakan tentera Islam berasal dari Mesir. Bagaimana keadaan majoriti umat Islam pada ketika itu? Di bawah pimpinan presiden Gamal Abd Nasser, kebanyakan umat Islam Mesir telah lari jauh daripada agama. Gamal diagung-agungkan, Islam ditinggalkan. Pemimpin-pemimpin IM ditangkap dan diseksa di dalam penjara. Tentera Islam sudah terlalu leka. Tahajjud tiada. Semuanya cintakan dunia. Malahan ada yang menyertai perang demi kemuliaan Gamal Abd Nasser. Malamnya dihidupkan dengan konsert-konsert nyanyian dan tarian, disulami dengan tegukan-tegukan arak. Majoritinya bangkit lewat pada siang harinya. Subuhnya entah ke mana. Sehinggakan tentera yang telah hilang arah tujuan ini dikalahkan dengan mudahnya apabila Israel menyerang mereka pada waktu pagi. Ketika itu, tentera Islam langsung tidak bersedia. Kebanyakannya sedang bercanda sambil menimati sarapan pagi.

Mengapa Sinai berjaya dirampas kembali? Jawapannya mudah sahaja. Ketika itu, tentera Islam yang menjaga kawasan tersebut merupakan insan-insan yang telah melalui tarbiah IM. Menegakkan kalimah Allah adalah cita-cita mereka. Syahid adalah impian mereka. Subhanallah, Allah benar-benar menolong hamba-hambanya yang memberikan sepenuh ketaatan kepadaNya. Sinai berjaya dirampas daripada penguasaan Israel. Andai dilihat daripada segi bilangan dan kelengkapan, tentera Islam tidaklah seberapa. Namun, jangan dilupa, sebagai umat Islam, kita ada banyak senjata halimunan – doa, tahajud, solat, puasa, quran, dan sebagainya.

Oleh itu, andai kita benar-benar impikan syahid fi sabilillah, ubahlah diri kita dulu. Insan yang macam kita ini, andai dihantar ke Palestin pun, belum tentu lulus untuk menjadi mujahidin di sana. Hanya insan yang benar-benar jelas kefahamannya sahaja diangkat menjadi mujahidin. Andai yang kecil-kecil seperti boikot dan menjauhi agenda Yahudi pun tidak mampu untuk kita laksanakan, hemm… Satu persoalan untuk kita sama-sama renung dan fikirkan!

Kem Kembara Quran 2010

June 14, 2010 at 10:52 am | Posted in Citra Kehidupan, Renungan, Sekolahku | 3 Comments
Tags: , ,

Perkara ini sering menghantui diri ana.

Pernah orang bertanya pada ana, apakah perkara yang paling ana sesali semasa di sekolah menengah dahulu? Satu perkataan terus muncul dalam fikiran ana. TAHFIZ. AL-QURAN.

Ana selalu terfikir, andailah ana diberi peluang untuk meniti kembali hari-hari sekolah menengah ana, ana akan buat tahfiz ana sebaik-baiknya, sepenuh-penuh hati. Ana tak nak buat “hantu”, main-main. Ana benar-benar sesali saat-saat ana hafal main-main. Percaya tak, dulu, ana hafal,ana aim memang setakat tasmik sahaja. Tidak lebih dari itu. Lepas tasmik 90% dah tak ingat apa yang nak dihafal. Murajaah al-Quran langsung tak ada dalam diari hidup ana.

Dulu, ana betul-betul banyak bazirkan masa ana. Ana masih ingat betapa kejamnya kami pada Us Rushdi, Us Khalid, Us Zaki, dan sebagainya. Bila dikenang balik, Us Rushdi tak bersalah pun. Kami yang perasan. Us Khalid lagi lah tak salah. Garangnya dia adalah untuk kebaikan anak muridnya juga. Us Zaki lagi kesian. Setiap hari kami “pau” us RM 5, untuk beli air kat JiMat. Inilah kami semasa Tingkatan 1. Tidak serius dalam hafazan, kesannya kami rasa dan tanggung hingga ke hari ini.

Tapi nak buat macam mana, baru sekarang ana sedar akan kesilapan ana. Atas sebab ini, ana selalu pesan kat generasi tahfiz yang baru, tolong pelihara al-Quran antum. Ana tak nak benda yang sama berulang kat individu-individu lain, terutama adik-adik tahfiz SMIAAG. Ana tak nak antum jadi sama macam ana. Ini juga sebagai peringatan buat diri ana, supaya ana tak jatuh ke dalam lubang yang sama buat kali yang kedua.

Perkara ini jugalah ana tekankan kepada adik-adik sepanjang ana menghadiri Kem Kembara Quran 2010.

Bagi ana, sungguh kem ini merupakan kenangan terindah. Macam-macam benda ana kagum – kagum tengok antum sanggup tahan ngantuk hafal surah an-Nahl muka surat 274, kagum tengok antum lahap BBQ, kagum tengok keseronokan antum main sungai, kagum tengok kebernasan idea antum dalam memberi kesimpulan, kagum tengok usaha-usaha antum menjayakan setiap modul, dan pelbagai kekaguman lagi lah.

Pak Cik Isa ni, ada-ada saja kejutan dia=)Coklat buatan Pak Cik Isa. Memang mengujakan!

Ambil wudhu' untuk solat Dhuha

Balancing pipe

Balancing pipe. Awal-awal banin nampak gempak, alih-alih, banat juga yang siap dulu!

Setelah berpeluh dan berpenat lelah tahap gaban, setelah banat dah sampai dewan makan, akhirnya, masuk juga bola pingpong tu!

Bertukar profession kejap, jadi AJK Basuh Pinggan=)

Eh, eh, Azhari. Kaki anda tidak sepatutnya berada di luar surat khabar. Kantoi. Kantoi.

Wah, sungguh ana kagum dengan yang membakar. Kagum juga yang memakan, terutama kumpulan al-Mukminun. Ana masih ingat bukit tulang ayam! Antum memang hebat!

Bila Us Jumadi dah penat, ayam menjadi mangsa. Thanks a lot for your advices!

Pagi-pagi buta terjun sungai...

Baki ayam BBQ yang telah dihangatkan. Sungguh cantik warna ayam-ayam tersebut. Tak kisahlah, legam-legam pun, licin gak!

Kagum tengok antum beria-ria ngaji dan tasmik lepas Subuh, walaupun tilam dan sungai memanggil-manggil kalian. Inilah yang dikatakan Quran First!

Harap benar agar kita sama-sama dapat meletakkan Quran First, The Rest Follows dalam kehidupan seharian kita.

Liku-liku Semester 1 DQ

June 9, 2010 at 1:06 pm | Posted in Citra Kehidupan, Renungan, Sekolahku | Leave a comment
Tags: ,

Alhamdulillah, sedar tak sedar, sudah 1 semester ana lalui di Darul Quran. Sungguh, dalam tempoh masa lebih kurang lima bulan ini, kehidupan yang ana lalui benar-benar dirasakan berliku. Tapi tidak mengapa, semua ini proses untuk menjadikan kita lebih matang dalam berfikir dan mengambil keputusan. Liku-liku inilah merupakan cara halus Allah untuk mentarbiah diri kita.

Sedar tak sedar, sepanjang ana di DQ ini, Allah didik ana untuk lebih menghargai al-Quran. Ana pernah melalui satu fasa kehidupan yang gelap lagi menyakitkan, iaitu menghafal al-Quran tanpa mengingatinya! Hafal dan tasmi’ sahaja, tanpa iadah ataupun murajaah hafalan lama. Sepanjang tempoh tersebut, Allah mengazab ana dengan rasa bersalah. Hati ana tak tenang, sentiasa rasa gusar dan gelisah. Ya Allah, sepanjang tempoh tersebut, betapa berdosanya ana sebab sengaja meninggalkan kalamMu. Ana selalu terfikir, kalau ana mati, macam mana agaknya? Hatta tatkala SPM pun, hati ana tak tenang teringatkan bebanan al-Quran yang tak terulang!

Alhamdulillah, Allah bagi ana peluang kedua untuk kembali menghafal dan mengingati al-Quran. Ketika ini, Allah tegur ana, bahawa menghafal al-Quran ini bukan mudah seperti yang disangka. Untuk menjadi Hamalatul Quran, kita memerlukan sejuta pengorbanan.Pengorbanan itu pelbagai – masa, tenaga, keinginan, dan sebagainya. Untuk ana, ana belajar untuk redha melihat sahabat-sahabat ana “fly” ke sana ke sini. Ana belajar untuk lihat ibrah di sebalik suasana di DQ. Ana belajar untuk mendisiplinkan diri iadah al-Quran setiap hari tanpa paksaan daripada mana-mana pihak. Ana belajar untuk tidak mensia-siakan peluang kedua yang Allah beri! Ya Allah, bantulah aku ya Allah, agar aku terus komited dengan kalamMu.

Namun, telah dijanjikan Allah, di sebalik kesulitan pasti ada kesenangan. Dan Alhamdulillah, ana bertemu dengan kesenangan tersebut.

Sekalung penghargaan buat kakak-kakak DQ-MGBSIM yang telah banyak bantu ana, sejak hari pertama ana melangkah ke DQ.
Kak Nabilah, akak yang selalu meniupkan semangat untuk ana ulang Quran. Teringat kenangan kita ngaji sama-sama kat masjid.
Kak Syafiqah, dengan akak sentiasa ceria, walaupun hakikatnya, waktu sekolah dulu, ana paling takut dengan akak.
Kak Afifah, thanks tebuk ana malam-malam sebelum syafawi, tengokkan tahriri dan tajwid ana, dan macam-macam lagi.
Kak Jannah-Kak Syakirah-Kak Faizah-Kak Maisarah-Kak Fadhilah- Kak Farhana-Kak Ain. Selamat datang juga buat set-set DQ-MGBSIM Diploma sem 1 yang baru. Moga kita terus tabah.

Alhamdulillah, dan syukur  padaMu ya Allah, atas segala nikmat telah diberikan.

Cuti Mid Sem DQ

March 8, 2010 at 11:08 am | Posted in Cetusan Pemikiran, Renungan, Sekolahku | 2 Comments
Tags: ,

Alhamdulillah, akhirnya, Allah masih mempertemukanku dengan cuti mid sem selama seminggu. Pulang ke rumah, Ya Allah, rasa seronoknya sememangnya meluap-luap. Gembira kerana dapat bertemu dengan keluarga tercinta. Gembira juga kerana setidak-tidaknya dapatlah juga menghilangkan stress semasa di Darul Quran.

Suasana di Darul Quran, kalau dilihat secara fizikalnya sememangnya mendamaikan dan menenangkan. Namun, hakikatnya hidup di sana memang stress. Untuk menghafal sehari 2 maqra’ (lebih kurang 5-6 muka surat), itu sudah mendatangkan sedikit tekanan. Tapi, yang lebih tertekan ialah apabila mengenangkan betapa banyaknya ayat al-Quran yang telah aku lupa. Tertekan mengenangkan tanggungjawab yang sepatutnya sebagai hamalatul quran. Terbayang dosa-dosa dan kecaman yang Allah janjikan. Dalam masa yang sama juga, terbayang kemanisan-kemanisan yang telah Allah sebutkan. Hemm, hendak kejar ganjaran yang banyak, bukan sedikit usaha dan mujahadah yang diperlukan!

Apabila kaki sudah dijejakkan ke rumah, stress pun hilang. Bukan hilang sebab semua masalah dah selesai, tapi sebab banyak sangat benda yang nak dibuat. Internet, lepak, sembang, bergurau, family, kawan-kawan, semuanya menuntut tenaga kita. Bila nafsu dah tak terkawal, Quran pun jadi tertinggal. Inilah masalah yang aku rasa sekarang ni.

Dulu, aku tak lah rasa macam ni sangat. Pertama kali , aku menghafal al-Quran, aku menghafal di rumah. Waktu tu alhamdulillah, aku tak rasa pun perasaan “tak leh ngaji kat rumah”. Namun, sekarang ni, bila keluar je daripada Darul Quran, perasaan nak melepaskan nafsu buat benda-benda yang tak boleh buat kat DQ seperti main internet jadi susah nak dikawal. Sindrom susah nak ngaji kat rumah terus menghantuiku. Hemm, rupa-rupanya menghafal di environment yang too condusive pun banyak cabarannya. Tu belum lagi fikir mengenai nak jaga hafalan dekat UIA sampai pada saat kematian kita nanti.

Seronok tengok perkembangan semasa program tahfiz di al-Amin. Nampak semakin tersusun. Alhamdulillah. Nampak ramai yang berpotensi dan berpeluang cerah untuk menamatkan hafalan. Moga-moga, adik-adik dapat menamatkan dan mengingat 30 juzu al-Quran sebelum melangkah keluar daripada al-Amin. Waktu sekolah ni lah nak rebut hafal banyak-banyak. Dah habis sekolah nanti tak pasti ada peluang tak nak menghafal. Peluang yang ada sekarang baik gunakan dengan bersungguh-sungguh.

Terima kasih buat semua yang memberiku semangat untuk hidup di Darul Quran. Bila aku rasa lemah, aku mohon pertolongan daripada Allah, lalu Allah hadiahkan kalian yang sentiasa memotivasikanku~ Syukran semua.

Balik Juga Akhirnya…

February 12, 2010 at 5:53 pm | Posted in Citra Kehidupan, Sekolahku | 2 Comments
Tags:

Minggu-minggu awal di Darul Quran sememangnya melelahkan. Pelbagai program disajikan buat kami. Yang syadid, yang santai, yang sarat dengan ilmu, yang…hemm,macam-macam gaya dan jenis lah. Alhamdulillah, inilah yang merapatkan jurang antara kami. Daripada tidak pernah kenal sampailah kepada saling memahami.

20 Dis 2009, Pendaftaran
Aku mendaftarkan diri di Darul Quran. Waktu itu, perasaanku bercampur baur. Syukur mengenangkan impianku untuk bergelar pelajar Darul Quran yang ditanam sedari tingkatan satu akhirnya dimakbulkan Allah. Sedih mengenangkan sahabat-sahabatku yang tidak dapat berada bersamaku dalam program ini. Takut dan berdebar juga apabila membayangkan apa yang akan terjadi nanti di DQ.
Alhamdulillah, pendaftaran berjalan dengan lancar walaupun aku tak dapat nak download satu keping borang pun daripada internet memandangkan aku gagal untuk membuka laman webnya.
Rasmilah aku bergelar pelajar persijilan DQ-UIAM ses 2010/2011, Alhamdulillah.

20-24 Dis 2009, Minggu Haluan Siswa
Orientasi pun bermula. Yang menariknya, orientasi ini dibuat oleh para pensyarah. Syadid sungguh program ini. Almaklumlah, nama pun orientasi.
Pelbagai aktiviti dijalankan. Yang paling seronok tentulah aktiviti kembara. Denda, kena marah, kena provoke, dan yang seangkatan dengannya benar-benar menjadi kenangan manis buat kami. Bermula daripada program inilah kami mula berkenal-kenalan dengan rakan-rakan satu batch, para pensyarah, dan kakak-kakak senior. Kami juga didedahkan dengan environment di DQ.

25-27 Dis 2009, Mafatihul Mahabbah
Yang ini sungguh-sungguh syadid. Dianjurkan oleh PERKEMAT. Syadid, tapi bagi aku seronok. Kebanyakan masa, aku blur je. Kena marah, kena denda, kena provoke, aku tetap blur. Hehehe.
Hanya yang dah merasai je boleh menjiwai keadaannya.

28 Dis 2009, Hari Kuliah yang pertama.
Ustazah tasmi’ku Ustazah Amnah binti Abdullah. Mula-mula lembut dan steady je. Lama-lama, makin syadid. Sampai sejuk-sejuk tangan aku setiap kali tasmi’. Air mata, debar-debar, dan yang seangkatan dengannya terus menghantui kami. Tapi, kami tahu, tu memang adat kalau nak menghafal. Ustazah buat semuanya untuk kebaikan kami…

15-17 Jan 2010, The FAITH.
Dianjurkan oleh IQRAC. Bertujuan untuk menambahkan kefahaman kami tentang Islam. Kebanyakannya mengupas buku Maza Ya’ni karya Fathi Yakan. Yang betul-betul seronok bagiku ialah ketika slot ceramah yang disampaikan oleh Us Hasrizal Abd Jamil. Alhamdulillah, Allah tetap memberiku peluang untuk mendengar ustaz Hasrizal ceramah walaupun aku tak dapat mengikuti Bengkel Tinta Daie yang dianjurkan pada 16 Jan.

22-24 Jan 2010, Pulang ke rumah.
Aku, Djah, Aishah, dan Shafiah dibenarkan pulang ke rumah bagi menyelesaikan urusan berkaitan dengan Yayasan Pahang.
Alhamdulillah, sempat aku mengikuti Kursus Kepimpinan Pengawas SRIAAG. Seronok melihat adik-adik yang masih kecil ini bersemangat mengikuti program.

30 Jan 2010, KOBANNA
Pergi ke UNITEN, untuk Konvensyen Pemikiran Hassan al-Banna. Sayangnya, entah mengapa, most of the time, aku tertidur sewaktu pembentangan kertas kerja dijalankan. Jadinya, rugi…rugi…

5-7 Feb 2010, INTERFAME
Inter-famiy Games anjuran PERKEMAT diadakan khas buat semester 1. Main, ngaji, main, ngaji… Seronok lah juga. Tapi waktu tu tak lah seronok sangat mengenangkan tarikh 11 Feb dah dekat, huhuhu…

11 Feb 2010, Majlis Menghafaz al-Quran peringkat Hulu Selangor
Yang ini kelakar sungguh. Maklumat awal yang kami dapat, pertandingannya pada 19 Feb. Alih-alih, Isnin, 8 Feb, baru kami dapat tahu tarikh sebenarnya 11 Feb. Apa lagi, kelam kabut dibuatnya.
Keseluruhannya, Alhamdulillah…

12 Feb 2010, Pulang
Finally, BALIK!!!
Sejak pagi, waktu kelas Tasmi’, kami dah macam cacing kepanasan. Mengaji jadi tak fokus, tasmi’ sikit…dan bermacam-macam lagi penyakit nak balik rumah. Alhamdulillah Ustazah faham keadaan kami.
Aku lagi jelas semangat nak baliknya. Pergi kelas pukul 8 dah bawa siap-siap beg balik kampung! Habis kena perli dengan ustazah sepanjang kelas.
Tak sabar nak beraya Cina. Tahun lepas dah lah tak balik…

Berakhir dah

December 17, 2009 at 9:37 am | Posted in Ikhwanul Fifteen, Imtihan, Sekolahku | 3 Comments
Tags: , ,

Alhamdulillah, SPM sudah pun berlalu meninggalkan kami semua. Bermula dengan Bahasa Melayu pada tanggal 18 November lalu, sehinggalah Syariah Islamiah pada 16 Disember, SPM berlalu pergi dari kamus kehidupan kami sambil meninggalkan bunga-bunga kenangan yang sukar kulupakan.

Ada hari yang aku rasa seronok, ada yang kadang-kadang aku mengenang kertas yang telah berlalu itu dalam kesedihan. Hemm, itulah fitrah kehidupan. Allah tak akan ciptakan semuanya senang dan mudah buat hambanya supaya kita semua beringat-ingat.

Kiranya, semalam, 16 Disember merupakan hari terakhir aku menyarung seragam sekolah – tudung biru, baju kurung putih, dan kain biru cerah. Selepas ini, semuanya akan kekal menjadi kenangan terindah dalam hidupku. Buat sahabat-sahabatku, aku tak  tahulah bila lagi aku mampu ketemu kalian dalam suasana persekolahan dan peperiksaan lagi. Selamatlah kalian berkelana untuk program eksplorasi.

Buat diriku, ayuh kita sambut Maal Hijrah yang bakal , mendatang ini dengan azam dan semangat yang baru, kerana hakikatnya, Maal Hijrah kali ini turut menyaksikan aku berhijrah ke “alam” yang baru – dari SMI al-Amin ke Darul Quran, JAKIM, InsyaAllah.

Selamat tinggal alam persekolahan yang serba indah dan sarat dengan kenangan. Aku akan mengenang saat-saat ini sebagai salah satu kenangan termanis dalam hayatku.

Ikhwanul 15

Calon SPM 2009 SMIAAG

Hijrah dan SPM

October 6, 2009 at 6:00 pm | Posted in Citra Kehidupan, Ikhwanul Fifteen, Renungan | 3 Comments

Hari demi hari makin berlalu. Ajal dan maut makin mendekati. SPM juga makin menghampiri. Hai diri, janganlah asyik bersenang-senang hati sahaja seandainya tak bersiap sedia lagi untuk berhadapan dengan kedua-dua ini, terutamanya yang pertama tu.

Seminggu dua ini, aku dikejutkan dengan banyak perkara. Pertamanya, perpindahan ustaz Azhan dan ustaz Shahrul. Kedua, result trial. Seterusnya, hal-hal berkaitan Darul Quran yang selalunya memang mengejutkan. Baru nak enjoy dengan cuti PMR, terkejut pula dengan gred A+ dalam SPM.

Us Azhan dengan Us Shahrul

Us Azhan dengan Us Shahrul

Ustaz Azhan mengajarku Ekonomi Asas manakala ustaz Shahrul mengajarku Add Maths. Perpindahan kedua-duanya benar-benar mengejutkan. Teringat semasa perhimpunan tatkala Us Shahrul mengumumkan perpindahan mereka berdua. Ketika itu, aku duduk di barisan hadapan bersama dengan Husna. Waktu Us Shahrul umumkan, aku memandang Husna. Husna pun pandang aku. Memang sedih ah! Aku kata kat Husna, “Jangan la nangis Husna…” Hahaha, hakikatnya sama-sama dah nak nangis dah.

Sedih campur lawak terkenangkan betapa JAHATNYA kami kat Us Shahrul waktu us mula-mula ajar kami Maths dan Add Maths. Tidur dalam kelas, merungut kena salin nota, mengumpat ustaz, dan sebagainya. Hai zaman jahiliyyah dulu… Dalam kami jahat-jahat kat ustaz, lama-lama kami makin rapat dengan ustaz, terhibur dengan lawak-lawak ustaz, terdidik dengan hadis-hadis yang ustaz bacakan, dan lama-kelamaan, kami kagum dengan ustaz! Ingat kata-kata ustaz waktu jaga paper 3 Chemistry trial hari tu. Paper tersebut masanya melewati azan Zohor. Ustaz kata kat kami, “Ha, Zohor dah masuk dah. Kamu tak nak solat ke? Karang mati, tak sempat solat, macam mana?” Kami senyap je. Almaklumlah periksa, mana boleh cakap-cakap. Lepas dah habis paper ustaz pesan, “Jangan lupa solat Zohor…” Moga ustaz terus berjaya menjadi usahawan muslim berjaya.

Dulu waktu form 4, aku memang seram teramat dengan Us Azhan. Entah, tengok muka ustaz pun seram semacam. Nak ambil exam Perdagangan/Ekon dengan ustaz pun takut-takut. Tapi, bila masuk form 5, Allah takdirkan aku kelas hafazan dengan ustaz. Mula-mula takut, lama-lama perasaan takut tersebut berubah menjadi mesra. Bersembang dengan ustaz, merapu-rapu, tanya-tanya pasal Ekonomi, semuanya bisa dilakukan. Moga ustaz terus sukses melangsaikan pHD.

Tentang result Trial SPM, aku bersyukur dengan pemberian Allah seadanya. Berkaitan Darul Quran, Ya Allah, kau permudahkanlah Azlina untuk masuk ke program persijilan DQ bagi sesi 2010/2011. SPM dan sistem gred A+ pula, ayuh kawan-kawanku, lipat gandakan usaha kita. Ayuh kita buktikan bahawa Islam mampu menguasai dunia dengan ilmu pengetahuan yang membara!

« Previous PageNext Page »

Blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.