Beragama Tanpa Agama?

January 22, 2008 at 10:01 pm | Posted in Cetusan Pemikiran, Renungan | Leave a comment
Tags: ,

Beragama tanpa agama?

Islam

Entah mengapa, sejak kebelakangan ini, aku amat gemar berfikir mengenai soalan ini. Beragama tanpa agama, inikah realiti kita hari ini?

Sukar untuk kuungkapkan, namun, jauh di sudut hati, aku rasa jawapannya benar. Situasi ini benar-benar menghantui masyarakat kita. Realitinya hari ini, makin ramai antara kita yang mahu, ataupun terpaksa mendalami Islam, sama ada melalui silibus pembelajaran yang diamalkan di sekolah-sekolah mahupun di universiti, usrah yang diikuti dengan hati yang terbuka, program-program serta ceramah-ceramah yang dihadiri, segalanya mampu menambahkan kefahaman kita tentang ad-Deen yang sebenarnya bertakhta di hati ini. Semakin hari, semakin bertambah ilmu kita mengenai Islam. Namun, adakah dengan bertambahnya ilmu ini, kita mampu menjadi insan yang benar-benar beragama? Adakah dengan faham sahaja, kita mampu berubah menjadi muslim sejati? Semudah itukah caranya?

Ramai antara kita hari ini yang “mengaku” beragama, dan merasakan diri mereka benar-benar beragama, tapi hakikatnya, jauh daripada tuntutan syariat yang telah digariskan ad-deen yang tercinta.

AQ

Masih ramai antara kita yang begitu sibuk membaca dan menghafal teks-teks aturan agama, bagi menambahkan kefahaman mengenai ad-Deen tercinta. Tapi, adakah sebenarnya kita menghayati apa yang cuba difahami? Tidak, sebenarnya kita hanya memahami, tanpa cuba untuk menghayati dan menamsilkannya dalam kehidupan sehari-hari!

Itulah kita. Agama hanya menjadi ritual, tidak lebih dari itu. Roh agama sudah lenyap entah ke mana.

Andai kita benar-benar beragama dengan agama yang kita imani, tidak akan wujudnya generasi yang hanya pandai berselindung di sebalik nama agama, tetapi sebenarnya jika dihalusi, akhlak mereka jauh daripada apa yang dituntut oleh al-Quran dan as-Sunnah! Cakapnya kasar tidak berhemah, kalamnya adakalanya benar, adakalanya tidak…sehinggakan sukar untuk dibuktikan kesahihannya. Keadaan ini bertambah parah apabila wujudnya kepentingan kepada diri setiap individu itu. Apabila motif keduniaan ini dijadikan kiblat, maka rosaklah semuanya!

Di alam maya ini pula, golongan ini terus mencipta masalah. Lihat sahaja di laman-laman web yang menawarkan diskusi Islam, semestinya tidak boleh lari daripada terlihat komen-komen yang menyakitkan hati. Ramai antara kita yang “mengaku” beragama ini memberikan komen-komen tajam, ultra, ekstrim, penuh unsur “tidak kisah”, sehingga benar-benar menyebabkan hati ini terluka. Hari-hari, golongan Salafi dihentam, tabligh disembelih, dan tidak terkecuali, gerakan-gerakan Islam juga turut menerima panahannya. Yang sedihnya, kebiadaban mereka ini tersarung disebalik jenama Islam yang ditaja. Atas tujuan memurnikan Aqidah, atas tujuan memperjuangkan Sunnah, atas tujuan membanteras Bidaah, akhirnya, Akhlak dijadikan mangsa. Seterusnya, perpaduan ummah ini juga yang akan menerima padahnya.

Inikah kita hari ini?

Lupakah kita pada hadis nabi yang bermaksud,

Akan tiba satu zaman, di mana ketika itu tiada yang tinggal daripada Islam kecuali namanya sahaja, tidak ada yang tinggal daripada al-Quran melainkan tulisannya sahaja, Masjid-masjidnya indah dan mewah, tapi jauh daripada hidayah Allah, dan ulama’-ulama’ di zaman itu merupakan sejahat-jahat manusia, dari mereka keluarnya fitnah, dan akan kembali fitnah tersebut kepada mereka.
(Riwayat Baihaqi)

Inginkah kita menjadi sejahat-jahat manusia seperti yang telah disebut oleh Baginda Nabi SAW?

Walau sedalam manapun ilmu agama yang ditimba, itu semua tidak akan berguna selagi kita tidak mampu mempraktikkannya dalam kehidupan seharian. Tidak ada manfaatnya ijazah yang diraih jika kita hanya mampu berteori sahaja, tak lebih dari itu. Ingat, akhlak itu bukannya permainan yang boleh dibiarkan terbuang begitu sahaja. Tapi, akhlak itulah cerminan diri seseorang insan.

Ingat, dalam ilmu fiqh, kita dibenarkan berkhilaf. Tapi, wujudkah khilaf dalam akhlak?

 

Wassalam

Leave a Comment »

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.

%d bloggers like this: