Layang-layang dan Kehidupan

December 30, 2007 at 5:20 pm | Posted in Citra Kehidupan, Renungan, Usrati | 1 Comment
Tags: ,

Assalamualaikum Warahmatullah…

Taman Metropolitan Kepong

Suasana di Taman Metropolitan Kepong yang sentiasa sesak dengan pengunjung yang lazimnya hendak beriadah dan bermain layang-layang.

Seronok rasanya bermain layang-layang bersama seisi keluarga di Taman Metropolitan Kepong petang tadi. Memang sejak akhir-akhir ini, kami sekeluarga gemar menghabiskan masa petang yang terluang dengan bermain layang-layang. Selain untuk tujuan riadah, aktiviti ini juga dapat mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga. Keseronokan bermain dengan layang-layang ini sukar hendak digambarkan dengan kata-kata, walaupun selalunya banyak rintangan kecil yang perlu dilalui bersama – tali layang-layang terbelit sesama sendiri, tiada angin, layang-layang tersangkut pada pokok, dan seribu satu mehnah lagi yang kadang-kadang benar-benar mencabar kesabaran!

Tetapi, bila direnung-renungkan balik, begitulah sebenarnya kehidupan yang sedang kita lalui sehari-hari. Kehidupan ini tak akan berlalu dengan mudah tanpa banyak halangan dan cabaran yang perlu dilalui dengan penuh kesabaran dan kebijaksanaan. Halangan-halangan yang terpaksa ditempuh inilah yang bakal mematangkan pemikiran dan melahirkan insan yang cekal dan tabah dalam setiap keadaan. 

Tatkala sedang sibuk mengawal layang-layang yang sudah mula meluncur tinggi di udara, fikiranku sudah mula melayang ke sana ke mari. Ya, layang-layang yang sedang terbang tinggi itu melambangkan cita-citaku untuk menjadi khalifah dan abdullah di muka bumi ini, manakala tali yang mengawal layang-layang itu daripada terus “hanyut” ibarat ad-Deen yang sedang mengemudi cita-citaku ini daripada tersasar dari arah tujunya yang sebenar. Pokok-pokok yang kadang kala menyebabkan layang-layang tersangkut dan keadaan angin yang “kejap ada, kejap tak ada” pulu mewakili cabaran-cabaran yang mewarnai perjalananku untuk merealisasikan cita-cita murni ini.

Memang benar. Dalam usaha untuk merealisasikan cita-cita ini, sememangnya banyak halangan yang terpaksa ditempuhi dengan sabar. Banyak pengorbanan yang perlu dilakukan. Kadang-kadang, kita terpaksa menelan erti pahitnya perpisahan apabila kita terpaksa berpisah dengan insan-insan yang paling kita hargai dalam kehidupan seharian. Apa lagi yang boleh kita lakukan selain bersabar? Bertemu dan berpisah… Itukan sunnah? Itukan tarbiah? Dalamnya insyaAllah terkandung banyak ibrah dan hikmah. Mungkin ketentuan Allah itulah yang terbaik buat kita. Bukankah Allah telah berfirman dalam surah al-Insyirah, ayat 6, bahawa, “sesungguhnya di sebalik kesusahan itu pasti ada kesenangan.

Layang-layang

Layang-layang: Perlu hikmah dalam mengendalikannya!

 

Sememangnya segala cabaran ini begitu pahit untuk ditelan. Hanya kesabaran, ketaqwaan, dan kebijaksanaan yang dapat menjadi penawarnya. Sudah aku katakan, kehidupan ini ibarat layang-layang yang memerlukan kebijaksanaan tatkala mengendalikannya. Kejap perlu ditarik talinya, kemudian dilepaskan tatkala tiba masanya yang sesuai. Apabila betul cara yang digunakan bagi mengemudinya, insyaAllah, cita-cita yang diimpikan bersama itu tidak akan jatuh menyembah bumi, seterusnya, menjadi khayalan semata-mata.

Itulah realitinya hidup ini, tak sunyi daripada cabaran, tak lekang daripada kesusahan, tapi, percayalah, elemen-elemen inilah yang bakal mamatangkan pemikiran, seterusnya mendewasakan setiap insan! Itukan janji Allah dalam surah Ali Imran, ayat 140, “dan demikianlah keadaan hari-hari (kejayaan dan kesedihan) Kami pergilirkan antara manusia (supaya menjadi pengajaran).”

1 Comment »

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

  1. asmlkm….


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.

%d bloggers like this: