Hikmah & Hemah – Wajib bagi Pendakwah

May 27, 2011 at 9:15 am | Posted in Cetusan Pemikiran, Renungan | 1 Comment
Tags: , ,

Tersebutlah sebuah kisah di antara dua cucu Rasulullah, Saidina Hassan dan Hussin…

Alkisahnya begini, di suatu ketika, dua orang cucu Rasulullah yang amat tersohor lagi terbilang itu mengambil wudhu’ bersama-sama di suatu tempat. Ketika itu mereka masih kecil. Tiba-tiba, datang seseorang yang sudah berumur mengambil wudhu’ di kawasan yang sama. Nak dijadikan cerita, wudhu’ orang tua tersebut agak kurang sempurna. Hassan dan Hussin kebingungan memikirkan bagaimana harus ditegurnya perbuatan tersebut. Lalu mereka mengambil keputusan untuk bertanding wudhu’ siapakah yang paling sempurna, dengan menjadikan orang tua tersebut sebagai hakim. Akhirnya, orang tua tersebut perasan yang sebenarnya wudhu’ dialah yang tidak sempurna.

Sangat berhikmahkan Hassan dan Hussin menegur?

Tidak ada perasaan yang tersinggung,  maruah yang tercalar, aib yang terbuka… Masing-masing dapat menerima dengan positif.

“Serulah manusia ke jalan tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik…”

(An-Nahl:125)

Persoalan hikmah dan hemah ditekan dalam al-Quran, menunjukkan bahawa ia sangat dititik beratkan dalam Islam.

Dalam kita berdakwah, melaksanakan amar maaruf nahi munkar, sejauh mana hikmah dan hemah ini diaplikasikan dalam kehidupan kita? Kadang-kadang, sebagai generasi muda yang sangat kuat didorong oleh emosi serta semangat, bak kata orang tua-tua, berdarah panas, kita sering terlepas pandang persoalan adab ini. Umar at-Timilsani sering berpesan,

“Hikmah Asy-Syuyukh, fi hamasati As-Syabab”

yang bermaksud “Hikmah orang tua, berada dalam semangat orang muda.”

Kecenderungan untuk Merungut, Bukan Memulakan.

Status kawan-kawan aku kat FB ni merepek-repek. Tak membina langsung.
Daripada kita asyik merungut tanda tak meredhai perbuatan tersebut, mengapa tidak kita yang memulakan biah yang solehah (status yang islami, comment yang membina, chat benda yang bermanfaat buat umat) di FB kita?

Posting dalam blog (yang di share ramai-ramai) atau group FB ni merapu-rapu. Tak langsung menonjolkan keizzahan sebagai duat ataupun huffaz.
Daripada kita asyik mengomen tak habis-habis, mengapa tidak kita yang post benda-benda yang kita rasakan bermanfaat? Mengapa tidak kita yang mencetuskan?

Sematkanlah dalam diri kita, kalau kita lihat sesuatu yang tidak cocok di mata, kita yang perlu mengubahnya, bukan setakat merungut dan mengomen-ngomen di belakang. Kita yang perlu mulakan. TEGURAN DAN TINDAKAN PERLU SEIRING.

Kadang-kadang, kita lebih cenderung untuk menegur individu yang kita rasakan bersalah secara terang-terangan. Adakalanya teguran itu kasar bunyinya, tapi kita tidak perasan. Kita kurang berfikir tentang implikasi daripada tindakan yang kita lakukan. Kita sering menganggap semua orang “tidak ada perasaan”. Tidak dinafikan, teguran itu suatu keperluan, namun hikmah dan hemah itu satu kemestian. Sifat menghormati madu’ tidak boleh diketepikan. Perlu juga diingat, manusia itu fitrahnya amat menyukai kelembutan.

Daripada kita asyik mengatakan itu salah, ini tidak betul, yang ini lagha, “huffaz tak sepatutnya begitu”, “hampa ni dok mengaghot apa? ” lagi elok kalau kita yang tunjukkan caranya. Kita yang mulakan. Tunjukkan yang tak lagha tu bagaimana, yang tak mengarut tu macam mana. Be proactive. Madu’ yang ditegur akan faham sendiri, InsyaAllah.

Oh lagi satu, dalam kita menegur (terutamanya di blog dan chatbox, FB dan terang-terangan kita kenal siapa orangnya) tonjolkan sahaja identiti kita. Jangan berselindung di sebalik nama. InsyaAllah, kalau kita kenal siapa orang yang  prihatin untuk membetulkan kita yang sudah terbengkok ini, izzah teguran itu lebih terasa. Kita juga lebih terasa bertanggungjawab dengan setiap patah kata yang kita nukilkan.

Duhai Daie, jangan sesekali kita memandang enteng isu hikmah ini. Penerimaan masyarakat terhadap dakwah kita sangat bergantung dengan cara kita menzahirkannya kepada mereka. Sekiranya kurang berhikmah, percayalah, diri daie dan apa yang disampaikannya akan terfitnah.

Sebab itulah Allah selalu menggunakan ungkapan “Inna Allaha ‘Alimun Hakim”. Tidak semua orang yang berilmu itu bijaksana.

Mungkin ini sahaja yang kita hendak luahkan pada sahabat kita, namun, caranya perlu berhikmah agar teguran itu mampu melekap dalam jiwanya.

Renungan bersama buat diri aku terutamanya…

p/s: Ini hanya pandangan, terbuka kepada perbincangan.

Create a free website or blog at WordPress.com. | The Pool Theme.
Entries and comments feeds.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.