Berakhir dah

December 17, 2009 at 9:37 am | In Ikhwanul Fifteen, Imtihan, Sekolahku | Leave a Comment
Tags: , ,

Alhamdulillah, SPM sudah pun berlalu meninggalkan kami semua. Bermula dengan Bahasa Melayu pada tanggal 18 November lalu, sehinggalah Syariah Islamiah pada 16 Disember, SPM berlalu pergi dari kamus kehidupan kami sambil meninggalkan bunga-bunga kenangan yang sukar kulupakan.

Ada hari yang aku rasa seronok, ada yang kadang-kadang aku mengenang kertas yang telah berlalu itu dalam kesedihan. Hemm, itulah fitrah kehidupan. Allah tak akan ciptakan semuanya senang dan mudah buat hambanya supaya kita semua beringat-ingat.

Kiranya, semalam, 16 Disember merupakan hari terakhir aku menyarung seragam sekolah – tudung biru, baju kurung putih, dan kain biru cerah. Selepas ini, semuanya akan kekal menjadi kenangan terindah dalam hidupku. Buat sahabat-sahabatku, aku tak  tahulah bila lagi aku mampu ketemu kalian dalam suasana persekolahan dan peperiksaan lagi. Selamatlah kalian berkelana untuk program eksplorasi.

Buat diriku, ayuh kita sambut Maal Hijrah yang bakal , mendatang ini dengan azam dan semangat yang baru, kerana hakikatnya, Maal Hijrah kali ini turut menyaksikan aku berhijrah ke “alam” yang baru – dari SMI al-Amin ke Darul Quran, JAKIM, InsyaAllah.

Selamat tinggal alam persekolahan yang serba indah dan sarat dengan kenangan. Aku akan mengenang saat-saat ini sebagai salah satu kenangan termanis dalam hayatku.

Ikhwanul 15

Calon SPM 2009 SMIAAG

Biology SPM 2009

Esoknya paper Biology

TAMRIN dan HARI KOKURIKULUM

July 26, 2009 at 2:21 pm | In Citra Kehidupan, Sekolahku | 1 Comment

TAMRIN F2

Alhamdulillah, moga pasca tamrin ini, kita semua akan lebih memaknakan kehidupan kita – sebagai hamba yang taat dan dalam masa yang sama seorang khalifah yang berperanan memakmurkan bumi Allah ini. InsyaAllah, ghuraba’  di akhir zaman menjadi buruan kita bersama.

Buat adik-adik tingkatan 2, akak meminta maaf andai ada tersalah kata, terkasar bahasa, dan segala yang ter… ter… Tujuan kami cuma satu, mahu melihat adik-adik berjaya di dunia dan di akhirat. Hablum minallah, wa hamblum minannas. Manfaatkan ukhuwwah dan potensi yang kalian miliki. Biar kalian lebih maju daripada kami. Biar kalian lebih hebat dari kami memimpin bumi al-Amin dan bumi Allah ini.

Buat adik-adik usrahku, akak amat meminta maaf kerana jarang bersama kalian. Terlalu banyak aralnya…

HARI KOKURIKULUM SRIAAG

Alangkah terharunya apabila melihat adik-adik SRIAAG yang kukira masih kecil ini membicarakan mengenai al-Quds. Al-Quds semakin diancam. Kita di Malaysia bagaimana? Boikot, jihad…Ramai yang mengalirkan air mata. Sungguh sayu meyayat hati mengenangkan nasib saudara kita di sana. Sayu lagi apabila mengenangkan kanak-kanak sekecil ini melafazkan bicara mereka yang tulus mulus mengenai al-Quds. Kita yang dah besar gajah ini bagaimana?

Aku berharap, segala semangat dan ruh al-Quds yang disemai hari ini berkekalan agar ada antara kita membesar menjadi Umar al-Khattab. Membesar menjadi Salahuddin al-Ayyubi. Perjalanan kita masih jauh… Janganlah obor dan bara yang dinyalakan hari ini terpadam sekerat jalan. AMIN YA RABBAL ALAMIN…

SPM Hanya 10 Subjek?

June 3, 2009 at 1:02 pm | In Cetusan Pemikiran, Imtihan, Sekolahku | 8 Comments

Insan yang mula-mula mengkhabarkanku mengenai pengehadan subjek SPM mulai 2010 ini ialah Cg Rosmalena. Ketika itu, aku baru selesai mengambil peperiksaan Perdagangan di Bilik Guru. Aku terpana mendengar berita tersebut. Terkejut. 10 subjek? Sedikitnya… Alangkah majoriti anak-anak al-Amin pun mengambil sebanyak 11 subjek.

Perlukah SPM dihadkan hingga 10 subjek sahaja? Persoalan tersebut berlegar-legar dalam benakku sekian lama. Pulang ke rumah, aku mencari-cari di internet mengenai isu ini.

Rupa-rupanya, menurut Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pelajaran Malaysia, keputusan tersebut dibuat berdasarkan beberapa sebab. Antaranya, ialah kesukaran Kementerian Pelajaran memberikan biasiswa kepada yang layak. Hal ini kerana, SBP hanya membenarkan murid-muridnya mengambil 10 subjek sahaja. Oleh itu, pelajar-pelajar SBP ini semestinya tidak mampu untuk bersaing dengan murid-murid sekolah harian lain yang mana mereka dibenarkan mengambil sebanyak mana subjek yang disukai.

Pada pendapatku, alasan ini tidak adil untuk murid-murid sekolah harian. Umum mengetahui, di SBP, fasilitinya cukup lengkap. Reputasinya juga cukup hebat di persada kebangsaan. Maka, murid-murid sekolah harian ini perlu bersaing dengan murid-murid SBP ini hanya melalui keputusan akademik mereka. Dalam keadaan serba kekurangan, dengan ketiadaan reputasi sehebat SBP, mereka hanya boleh menunjukkan kekuatan mereka melalui kecemerlangan dengan deretan 1A dalam keputusan SPM mereka, barulah mereka menjadi pilihan penaja. Jika tidak, pastinya mereka akan tenggelam jika dibandingkan dengan lepasan SBP yang lain.

Fahamilah, lepasan MRSM umpamanya, sangat-sangat mudah untuk mendapatkan tajaan MARA. Lepasan SBP pula, dengan segala reputasi dan kegemilangan nama sekolah mereka yang dikenali umum di peringkat kebangsaan, akan mudah untuk mendapat tajaan. Lepasan sekolah harian, apa senjata yang mereka ada selain berusaha sedaya mungkin untuk meningkatkan keputusan SPM mereka?

Kemudian, timbul pula isu murid-murid terbeban untuk belajar sehingga tidak mempunyai masa untuk kegiatan kokurikulum dan sebagainya.

Walaupun majoriti kami mengambil 11 subjek ke atas, kami masih berkokurikulum dengan jayanya!

Walaupun majoriti kami mengambil 11 subjek ke atas, kami masih berkokurikulum dengan jayanya!

Bagiku, hal ini bukanlah salah jumlah subjek yang terlalu banyak diambilnya. Insan-insan sebegini ialah yang tak tahu mengurus kehidupan. “Tak tahu menari dikatakan lantai jongkang-jongket.” Lihat sahaja nama-nama pelajar cemerlang yang tersohor di Malaysia, contohnya, Nik Nur Madihah. Beliau bukanlah asyik belajar sampai tak ingat dunia, malahan, beliau merupakan naqib Persatuan Pengawas Sekolah bermula tahun 2007.  Berpersatuan, pertandingan menulis, banyak yang disertai beliau. Membantu keluarga bukan lagi sesuatu yang asing. Walaupun begitu, keputusan akademiknya tetap tak terjejas.

Pembaziran wang untuk ke tuisyen?

Tuisyen tu pilihan. Ada yang tak ambil lebih 10 pun pergi tuisyen juga. Ada yang ambil subjek tambahan tapi tak pun pergi tuisyen. Kesimpulannya, tuisyen itu pilihan sendiri!

Akhirul kalam, pendapatku lagi sekali, murid yang ambil banyak-banyak dalam SPM ini bukannya mahu bertanding kepandaian. Namun, ada benda lagi besar daripada itu. Bagiku, aku mahu menjadi generasi daie yang serba tahu. Bukan sahaja sains dikuasai, bidang perniagaan, syariah, semuanya dapat dihubung jalinkan dengan baik. Kita mahu usia belasan tahun ini dipenuhi dengan pelbagai jenis asas-asas ilmu, supaya tatkala besar-besar nanti, akan lahir dalam kalangan kita klon-klon al-Farabi, Ibn Sina, al-Khawarizmi, Ibn Khaldun, Ibn Nafis, dan sebagainya yang bukan sahaja mahir dalam aspek sains sahaja, namun mahir dalam kesemua bidang kehidupan.

Murid-murid yang mengambil banyak subjek ini, jauh sekali mereka dipaksa untuk berbuat sedemikian. Namun, atas dasar cinta akan ilmu, maka tindakan tersebut diambil…

Pandangan semua dialu-alukan…

Alkisahnya Jari Bertuah

May 14, 2009 at 8:23 pm | In Citra Kehidupan, Ikhwanul Fifteen, Imtihan, Sekolahku | 1 Comment

Tragis. Kelakar. Bercampur baur. Tak terbayang oleh kata-kata.

Hari ini, selesai sahaja berusrah secara solo dengan adik-adik form 2 tanpa kehadiran Nabilah, aku naik semula mendaki tangga menuju ke destinasi idamanku, 5 Saad Abi Waqas. Sampai sahaja di tingkas atas, nampak kelibat Us Hasni mundar mandir.

Wah, Us nampak macam tengah free je. Bolehlah tanya Add Maths kat Ustaz…

Begitu detik hatiku. Namun, letih mendaki tangga menyebabkan aku mengambil keputusan untuk berehat dalam kelas. Lagipun kelas sejuk.

Malangnya, dalam kelas semua banin. Seorang banat pun tak ada. Nak masuk ke dalam, malu pula. Nanti fitnah berleluasa. Tapi, buku Add Maths perlu diambil dalam beg… Nak tak nak, aku masuk ke dalam kelas seorang diri semata-mata kerana mahu mengambil kitab Add Maths kecintaan.

Keluar sahaja daripada kelas, aku meletakkan tanganku di birai pintu sambil mataku liar mencari-cari kasutku. Bukan tak biasa pelajar kelas kami meletakkan tangan di situ. Tapi, dengan izin Allah, nak dijadikan cerita…

Tiga jariku yang kuletakkan di birai pintu tersebut terkepit tatkala banin menutup pintu tersebut. Mula-mula, aku merasa jariku sakit. Otakku terkejut. Lima enam saat kemudian, baru aku terperasan yang jariku terkepit pada pintu tersebut. Wah, sakitnya tak boleh tahan. Suara nak cakap minta banin tersebut tolong bukakan balik pintu tersebut semacam tidak terkeluar. Suaraku lirih sekali.

Dalam masa kurang seminit, baru ada terperasan yang tanganku tersepit. Cepat-cepat pintu dibuka. Banin tersebut terkejut. Perkataan maaf bertali arus diucap. Aku hanya mampu mengangguk. Ah, kalian tak salah. Dah Allah yang takdirkan!

Mula-mula, aku hanya mampu memegang erat tanganku. Darah yang memancut keluar kuhalakan ke lantai. Tanpa dapat dikawal, air mataku mengalir sama. Laju seperti aliran darahku. Tak tahulah mengapa, nak kata sakit sangat, tak pastilah sangat ke tak. Reflex action kot…

Aku mengambil keputusan, pergi ke bilik guru jumpa mana-mana cikgu minta ubat gamat. Sebelum tu, air mata dikesat dahulu. Takut nanti malu…

Kat bawah, terjumpa Cg Wasitah. Minyak gamat diminta. Cikgu bagi dengan plaster-plaster sekali. Tengku tolong sapukan dan balutkan. Sedih tengok kukuku yang kurasa memang akan tertanggal itu.

Lepas itu, aku kembali semula ke 5 Saad. Tidak ada orang. Yang ada hanya aku. Ada baki soalan Mod Maths yang tak habis kulangsaikan tatkala kelas tadi. Almaklumlah banyak bermain. Buat kertas satu yang bulat-bulat tu, aku terasa amat perit tatkala mahu memegang pensel. Waaa, sakit juga ya! Alah, belasahlah! Soalan ini perlu dilangsaikan juga.

Tatkala itu, suasana kurasakan begitu syahdu. Tiba-tiba, air mataku mengalir. Aku teringat akan imtihan yang bakal dihadapi. Sedihnya kalau susah nak tulis… Maknanya, sebelum exam, tidak bolehlah nak wat nota lakar-lakar tu. (Sebelum ini tak buat pun!) Lebih teruk kalau melarat ke waktu periksa. Dahlah mula-mula BM. Subjek BM yang Banyak Menulis (BM!)

Tapi, aku terfikir. Bagaimana dengan kanak-kanak Palestin sana? Tangan, terkepit ni tak ada masalah lah! Kena bom lagi. Lagilah tak boleh menulis. Kenapa aku mesti merungut? Kenapa mereka di sana tak merungut? Kenapa aku baru terasa dan menghargai akan nikmat jari kurniaan Allah ini tatkala Allah telah menariknya daripadaku? Ini baru sahaja ujian kecil yang Allah berikan. Itu pun tak tahan?

Soalan yang jawapannya harus kufikirkan dan kemuhasabahkan!

Debat 2009

April 28, 2009 at 5:50 pm | In Citra Kehidupan, Sekolahku | 4 Comments

Pertandingan Debat Antara Sekolah-Sekolah Malaysia anjuran UIAM sudahpun hampir melabuhkan tirainya. Sedih juga. Almaklumlah ini tahun terakhir saya.

Dengan Maktab Mahmud bersama hakim perdebatan, Abg Daud

Dengan Maktab Mahmud bersama hakim perdebatan, Abg Daud

Dari aspek pencapaiannya, sukar hendak saya kata. Rasanya, tidak ada peningkatan mahupun penurunan jika dibandingkan dengan tahun lepas. Betul-betul statik. Kalau dibandingkan dengan tahun lepas, kami, Team B SMIAAG(Hasif, Saya, Fahrul, dan Nabil) menduduki ranking ke 14 keseluruhan, tahun ini, kami, Team A SMIAAG (Huda, Saya, Diyana, dan Izyan) pun menduduki ranking ke 14 keseluruhan. Kedua-dua tahun ini, apabila kami melangkah ke pusingan Double Octo, kami ditendang keluar. 2008, kami bertemu Team A SMIAAG, kami kalah. 2009, kami bertemu SMAP Labu, kami kalah juga.

Sukar mahu dikomen. Yang jelas, Allah hendak memberitahu kami, bahawa kami belum bersedia untuk pergi lebih jauh. Masih banyak lompongnya. Amalan seharian (rohani), latihan, research, kestabilan emosi, dan sebagainya masih belum cukup.

Debate English pula, pertama kali dapat melangkah ke Double Octo, namun disingkirkan oleh St George.

Semoga segala yang berlalu ini memberi ibrah yang besar kepada kami. Tidak lupa juga kepada SMI Hidayah Johor, selamat maju jaya untuk final kedua-dua kategori, BI dan BM. BI bertemu SMK Greenroad dan BM bertemu Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR). Buktikan SMI mampu menguasai kedua-dua kategori.

Sheikh Ali Jum’ah

April 10, 2009 at 6:03 pm | In Citra Kehidupan, Renungan, Sekolahku | 5 Comments

Hari ini hari yang bersejarah dalam hidupku? Mengapa? Buat pengetahuan semua, hari ini, aku berjaya bertemu dengan seorang lagi alim ulama’ terbilang di serata dunia, iaitu Sheikh Ali Jum’ah, Mufti negara Mesir.

Sheikh Ali Jum'ah

Sheikh Ali Jum'ah

Seoronok bertemu dengan para ulama’  ini. Mereka merupakan antara rahmat-rahmat Allah yang Allah kurniakan buat umat manusia. Kata-kata mereka terasa amat menusuk kalbu, sedap didengar.

Antara seruan-seruan beliau yang masih kekal di ingatanku ialah supaya sekalian anak-anak didik al-Amin yang hadir mendengar tazkirahnya supaya sedar akan tanggungjawab berat yang terbeban di bahu kita. Seawal usia remaja juga, kita perlu mendidik jiwa kita dengan ruh Islam supaya kita mampu menjadi mukmin yang bertaqwa. Jaga segala perilaku kita, sekalipun kita merasakan bahawa kita masih kecil dan tak berguna buat masyarakat!

Beliau juga menyorot kembali sirah-sirah perjuangan yang melibatkan syabab pada zaman Rasulullah. Ternyata amat banyak sahabat-sahabat yang ulung pada zaman tersebut masih merupakan seorang syabab, antaranya Abdullah bin Umar (Ibn Umar), Abdullah bin Masud (Ibn Masud), serta Saidina Ali bin Abi Talib dan lain-lain lagi. Sahabiah juga ramai terdiri dari kalangan banat, seperti Aisyah, Ummu Sulaim, Nusaibah, Khaulah, dan sebagainya.

Maka, seharusnya kita sebagai syabab harus merasakan bahawa peranan kita besar. Kita tidak boleh main-main kerana perjuangan nan besar menanti kita.

Beliau menutup tazkirahnya dengan mengingatkan kita supaya saling menghormati orang lain, dan dalam masa yang sama kita perlu berusaha sedaya mungkin untuk menghafal al-Quran. Ya Allah, berilah aku kemudahan untuk menuruti nasihat beliau, Sheikh Ali Jum’ah.

Namun, yang malangnya, sedih sekali hati ini melihatkan ramai antara warga al-Amin ketika itu yang maklum mengenai majlis ini dan dalam masa yang sama  tidak ada hal-hal lain tidak mengunjungi majlis ini. Padahal, yang menyampaikannya bukan calang-calang orang, ulama’  besar Mesir! Amat rugi sesiapa yang tidak menyertainya. Kalaupun kita rasa malas nak mendengar ilmu yang disampaikan, cukuplah hadir tanda menghormati tetamu.

Oh, saya terlupa, yang anda semua selalu ada peluang menghadiri majlis-majlis ilmu sehebat ini. Jadi tidak perlulah anda bersungguh-sungguh memanfaatkan majlis ini…

Berlalunya Tahfiz

March 18, 2009 at 4:49 pm | In Citra Kehidupan, Sekolahku | 3 Comments

Tiga hari sudah cuti sekolah berlalu. Tiga hari sudah aku hadiri kelas tahfiz di SHAS Mosque. Seronok sangat bila berdampingan dengan rumah Allah, kata-kata Allah. Jiwa terasa tenang. Benarlah kata-kata Allah, “Ala bizikrillahi tatmainnul qulub.”

Seronok program kali ini. Yang paling seronok ialah bila ujian tahfiz dengan pihak UIA dibatalkan. Memang bagus ada ujian, namun dalam keadaan tak bersedia, jadilah tak bagus…

Selesai kelas tahfiz cuti sekolah ini, aku memasang beberapa azam. Pertamanya, aku betul-betul mahu murajaah sungguh-sungguh.Almaklumlah, sekiranya kita terlupa kalamullah yang telah kita hafal, perit dosa dan balasannya. Azam yang lain-lain tu, tidak perlulah dikongsi.

Memandangkan di blog ini telah lama tak diisi gambar yang kami ambil sendiri menggunakan kamera kami, maka kali ini aku berhajat hendak meletakkan beberapa keping gambar kenangan tahfiz 2009. Yang sedihnya, semua gambar yang ada merupakan gambar banin sahaja sebab Abah yang tangkap gambar. Jadi, tak jadilah nak letak, melainkan sekeping sahaja, iaitu gambar Said Rifqi, anakanda Cg Roslina yang sangat comel.

rifqi

Seronok bermain dengan Rifqi. Usianya baru 5 bulan. Tengah seronok untuk dibuat main.

Semoga berakhirnya kelas tahfiz cuti sekolah ini tidak bermakna semangatku untuk bersama al-Quran terus pudar. InsyaAllah, aku akan cuba untuk fokus terhadapmu, wahai Kalamullah, penawarku, kekasihku, tempatku mengadu, dan segala-galanya dalam hidupku.

p/s: Mungkinkah kelas tahfiz cuti sekolah kali ini adalah yang terakhir dalam sejarah cuti sekolahku? Ku harap tidak…

SPM 2008

March 16, 2009 at 7:02 pm | In Ikhwanul Fifteen, Imtihan, Sekolahku | 5 Comments

Tanggal 12 Mac 2009 berlalu. Keputusan SPM diumumkan. Satu sejarah besar lagi tercipta dalam hidup abang-abang dan kakak-kakak yang menduduki SPM tahun 2008.

Bagi kami yang insyaAllah bakal menduduki SPM tahun ini, keputusan SPM 2008 benar-benar membawa debar. Juga memberi perangsang dan motivasi buat kami.

Alhamdulillah, mereka telah membuktikannya bahawa kejayaaan adalah tidak mustahil untuk ditempa. Namun syaratnya, usaha perlu dilakukan, disamping doa dan tawakkal yang tidak putus-putus  kepada Allah.

Alhamdulillah, melihatkan sinar bahagia di mata guru-guru yang telah banyak berjasa mendidik abang-abang dan kakak-kakak Caliph 14 yang lalu, juga yang mendidikku kini, aku terkesima. Bahagia apabila melihat anak-anak murid yang telah disantuninya tahun lalu berjaya dengan cemerlang.

Mampukah kami menghadiahkan sinar kebahagian yang sama tahun hadapan? Ya Allah, berilah kekuatan kepada kami untuk menggapai kejayaan ini, agar maruah Islam kembali tertegak di muka bumi ini, juga buat menghiburkan hati kedua ibu bapa kami, para murobbi kami yang banyak berjasa mendidik kami. Ya Allah, berilah juga kekuatan buat para murobbiku agar mereka terus dikurniakan kesabaran untuk terus mengurniakan ilmu buat kami. Gantikanlah penat lelah mereka dengan damai syurgamu Ya Allah…

Selamat Hari Guru

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum manjadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Nukilan SN Dato Usman Awang

Makalah Itu…

March 11, 2009 at 8:17 pm | In Citra Kehidupan, Sekolahku | 3 Comments

Sedih. Geram. Kecewa. Marah. Entahlah apa sebenarnya yang bersarang di hati ini.

Ceritanya bermula begini. Setelah dua tiga malam bertungkus lumus menyiapkan Lisanul Haq tersebut, setelah banyak keringat disumbangkan untuknya, tiba-tiba hasil akhirnya tidak secantik yang diinginkan. Sedih.

3300-copy

Beginilah ceritanya. Selesai mendapat pengesahan Cikgu Rusyida, Lisanul Haq tersebut diserahkan untuk difotostet. Alhamdulillah, agak lancar urusannya, walaupun makalah tersebut tidak difotostet di kedai yang biasa kupergi. Tidak mengapalah. Janji bendanya siap dan ada.

Keesokan harinya, iaitu hari ini, aku pergilah merantau ke kedai fotostet berdekatan dengan Restoran JiMat tersebut untuk mengambil segala hasil-hasil fotostet yang telah dihantar semalam.

Alhamdulillah, Allah permudahkan urusanku. Dalam hujan renyai-renyai yang turun membasahi bumi, ada insan-insan yang sudi menumpangkanku. =)

Syukran jazilan kepada Mak kepada Azillah dan Azwan yang sudi menumpangkanku ke kedai tersebut. Tidak lupa juga kepada Mak Cik Liner yang baik hati menumpangkanku pulang semula ke sekolah. Mula-mula rasa macam tak nak tumpang, tapi memandangkan hujan yang turun renyai-ranyai, yang kemungkinan besarnya boleh melebat dan membasahkan Lisanul Haq yang kubawa itu, aku pun tumpanglah… (Kasihan Mak Cik, terpaksa pusing balik ke sekolah setelah mengambil Wani dan Hanif. Barakallahu Fi Kum.)

Episod sedih bermula apabila proses melipat makalah tersebut bermula. Aku menyelak-menyelah makalah tersebut. Muka suratnya terbalik! Stepler pula kecil sahaja di tengah-tengah. Tak kemas pula tu.

Allah, sedih betul melihatkan kualiti makalah tersebut setelah difotostet. Rasa cam nak menangis pun ada=) Sudahlah sememangnya muka tengah dalam makalah tersebut telah dirancang kelainannya. Alih-alih, muka surat itu pula yang terbalik cetakannya.  Sedih. Sedih.

Namun, itulah adat kehidupan. Kita yang usaha, Allah yang tentukan. Tak apalah. Inilah ujian yang tentunya ada hikmah di sebaliknya.

Dalam hal ini, aku tak salahkan sesiapa. Namun, ibrahnya jelas terpampang di hadapan mata. Memang geram dan kecewa melihat orang lain buat kerja sambil lewa terhadap hasil usaha penat lelah kita. Oleh itu, lain kali, sekiranya kita tak mahu perkara tersebut berlaku pada saudara-saudara kita yang lain, jangan buat perkara yang sama, kerna ia amat menyakitkan hati!

Diari Semingguku

March 6, 2009 at 9:19 pm | In Citra Kehidupan, Sekolahku, Usrati | 3 Comments

Seminggu ini benar-benar padat dengan aktiviti. Kadang-kala ia meletihkan, namun percayalah itulah tarbiah yang diberi Allah secara tidak langsung.

ISNIN

Lisan Bahasa Melayu. Memang tak dapat dielak. Topik apa ya mahu dibawa? Fikir punya fikir, akhirnya topik berkaitan Palestin menjadi pilihan. Mengapa? Aku sendiri kurang periksa. Malam Isnin, aku cuba-cuba bercakap di hadapan adikku. Alhamdulillah, rasanya boleh kot cakap esok InsyaAllah.

Menjelang paginya, suasana kelam kabut. Aku tertinggal kertas yang mempunyai isi-isi yang bakal kusampaikan sewaktu lisan nanti. Majalah yang mempunyai gambar-gambar untuk kutunjukkan kepada seisi kelas juga turut tertinggal. Rasa cemas menyusup ke dalam jiwaku. Sudahlah tugasanku sebenarnya ialah menerangkan gambar. Perkara fundamental pula tertinggal!

waja

Aku maklumkan kepada Ustaz Idris atas kecuaianku. Alhamdulillah, Ustaz kata tidak mengapa. Yang penting cakap aje.

Jam 2:30 petang, aku dipanggil untuk melaksanakan ujian lisanku. Sedikit gugup di hadapan kelas. Tawakkal sahajalah. Hasilnya, 70% daripada isi-isi dan fakta-fakta yang telah kugariskan malam sebelumnya tidak disampaikan. Sebaliknya, benda-benda lain pula yang keluar. Syukran Ya Allah atas pertolonganMu aku berjaya menyelesaikan ujian ini.

SELASA

Petang ada latihan debat. Masalahnya clash pula dengan kelas Fizik. Aku berada dalam dua persimpangan.

Namun, mengenangkan latihan debat tersebut turut disertai oleh jurulatih luar, aku memilih untuk pergi ke sana. Berdebatlah aku dan rakan-rakan sepasukanku walaupun tidak ada persediaan yang rapi. Almaklumlah, masing-masing tak sempat research tajuk Perpaduan Nasional.

Malam tersebut, bermulalah perjuanganku menyiapkan Lisanul Haq untuk dihantar ke Cikgu Rusyida pada hari Jummat, 6 Mac untuk disemak dan disahkan sebelum diterbitkan untuk Minggu Muhammad Qudwatuna nanti.

chemistry-stuff

Dalam masa yang sama, report Chemistry yang kena hantar esoknya jangan dilupa!

RABU

Perjuangan membuat Lisanul Haq diteruskan. Genting ni. Lagi dua malam termasuk malam ini berbaki untuk makalah ini disiapkan.

klcc2

Dalam kegentingan ini, Abah pula mengajak kami ke KLCC untuk mengambil Mak. Memandangkan perutku berkeroncong, aku menurut sahaja ajakan Abah. Rupa-rupanya, setibanya kami di KLCC, Mak tak habis kerja lagi. Puaslah Abah dan Azhari lepak di kawasan tersebut. Aku pula tidur dalam kereta tak sedarkan diri.

KHAMIS

Malam ni sepatutnya malam kemuncak buat Lisanul Haq. Selalunya, berdasarkan pengalaman-pengalamanku yang lalu, malam sebegini biasanya tension sikit.

Namun, Alhamdulillah, rahmat Allah datang. Ketenangan menjelma. Sambil bersembang dan bertukar cerita dengan keluarga, akhirnya Lisanul Haq ini berjaya kuselesaikan. Alhamdulillah.

IBRAH DI SEBALIKNYA

Kehidupan ini tidak akan sunyi daripada ujian-ujian daripada Allah. Namun ingatlah, di sebalik ujian-ujian tersebut, akan ada hikmah di sebaliknya yang akan mematangkan kita, juga menguji keimanan kita.

Walau apapun yang merentangi kehidupan kita, ingatlah bahawa hanya Allahlah tempat kita bergantung harap. Mintalah pada Allah untuk dipermudahkan. Sesungguhnya di sebalik kesusahan itu, ada kesenangan.

p/s: Minggu depan, jangan lupa cerpen yang wajib hantar hari Selasa, oral English sebelum cuti bermula, report Physics sebelum cuti bermula, ujian Maths, Add Maths, dan Sejarah, uji kaji Chemistry dsb. Allahumma Yassir Wa La Tuassir.

Next Page »

Blog at WordPress.com. | Theme: Pool by Borja Fernandez.
Entries and comments feeds.