Hijrah dan SPM

October 6, 2009 at 6:00 pm | In Citra Kehidupan, Ikhwanul Fifteen, Renungan | 2 Comments

Hari demi hari makin berlalu. Ajal dan maut makin mendekati. SPM juga makin menghampiri. Hai diri, janganlah asyik bersenang-senang hati sahaja seandainya tak bersiap sedia lagi untuk berhadapan dengan kedua-dua ini, terutamanya yang pertama tu.

Seminggu dua ini, aku dikejutkan dengan banyak perkara. Pertamanya, perpindahan ustaz Azhan dan ustaz Shahrul. Kedua, result trial. Seterusnya, hal-hal berkaitan Darul Quran yang selalunya memang mengejutkan. Baru nak enjoy dengan cuti PMR, terkejut pula dengan gred A+ dalam SPM.

Us Azhan dengan Us Shahrul

Us Azhan dengan Us Shahrul

Ustaz Azhan mengajarku Ekonomi Asas manakala ustaz Shahrul mengajarku Add Maths. Perpindahan kedua-duanya benar-benar mengejutkan. Teringat semasa perhimpunan tatkala Us Shahrul mengumumkan perpindahan mereka berdua. Ketika itu, aku duduk di barisan hadapan bersama dengan Husna. Waktu Us Shahrul umumkan, aku memandang Husna. Husna pun pandang aku. Memang sedih ah! Aku kata kat Husna, “Jangan la nangis Husna…” Hahaha, hakikatnya sama-sama dah nak nangis dah.

Sedih campur lawak terkenangkan betapa JAHATNYA kami kat Us Shahrul waktu us mula-mula ajar kami Maths dan Add Maths. Tidur dalam kelas, merungut kena salin nota, mengumpat ustaz, dan sebagainya. Hai zaman jahiliyyah dulu… Dalam kami jahat-jahat kat ustaz, lama-lama kami makin rapat dengan ustaz, terhibur dengan lawak-lawak ustaz, terdidik dengan hadis-hadis yang ustaz bacakan, dan lama-kelamaan, kami kagum dengan ustaz! Ingat kata-kata ustaz waktu jaga paper 3 Chemistry trial hari tu. Paper tersebut masanya melewati azan Zohor. Ustaz kata kat kami, “Ha, Zohor dah masuk dah. Kamu tak nak solat ke? Karang mati, tak sempat solat, macam mana?” Kami senyap je. Almaklumlah periksa, mana boleh cakap-cakap. Lepas dah habis paper ustaz pesan, “Jangan lupa solat Zohor…” Moga ustaz terus berjaya menjadi usahawan muslim berjaya.

Dulu waktu form 4, aku memang seram teramat dengan Us Azhan. Entah, tengok muka ustaz pun seram semacam. Nak ambil exam Perdagangan/Ekon dengan ustaz pun takut-takut. Tapi, bila masuk form 5, Allah takdirkan aku kelas hafazan dengan ustaz. Mula-mula takut, lama-lama perasaan takut tersebut berubah menjadi mesra. Bersembang dengan ustaz, merapu-rapu, tanya-tanya pasal Ekonomi, semuanya bisa dilakukan. Moga ustaz terus sukses melangsaikan pHD.

Tentang result Trial SPM, aku bersyukur dengan pemberian Allah seadanya. Berkaitan Darul Quran, Ya Allah, kau permudahkanlah Azlina untuk masuk ke program persijilan DQ bagi sesi 2010/2011. SPM dan sistem gred A+ pula, ayuh kawan-kawanku, lipat gandakan usaha kita. Ayuh kita buktikan bahawa Islam mampu menguasai dunia dengan ilmu pengetahuan yang membara!

Eksplorasi Aidilfitri

September 24, 2009 at 9:57 am | In Citra Kehidupan, Usrati | Leave a Comment

Datangnya Syawal, berlalunya trial SPM. Rasa seronok tak terhingga kerana bebanan trial dah diangkat. Selain pulang ke kampung bertemu saudara mara, aku juga seronok membantu nenek di dapur. Di sebalik kenikmatan menziarahi saudara-mara yang telah lama tidak ketemu, aku juga sedih memikirkan kebiasaan kami mengira wang zakat fitrah yang dikutip oleh atuk untuk dibankkan. Ya, itu hanya tinggal kenangan apabila atuk dijemput bertemu Ilahi sebelum sempat bertemu dengan Ramadhan 1430H.

Aktiviti mengira duit zakat fitrah... (Gambar tahun lepas)

Aktiviti mengira duit zakat fitrah... (Gambar tahun lepas)

Raya kali ini turut diceriakan dengan buku-buku yang menjadi tempat aku melepaskan nafsu yang telah lama kutahan-tahan tatkala trial SPM yang telah berlalu.

1. Palestin Tak Pernah Gentar! Fatwa Kontemporari dan Penyelesaiannya

Palestin Tak Pernah Gentar

Palestin Tak Pernah Gentar

Buku ini tersangatlah menarik kerana berjaya menambahkan pengetahuanku tentang gelora yang sentiasa menghambat bumi al-Aqsa tercinta.

2. Hulagu Khan Khabar Hitam dari Timur

Hulagu Khan Khabar Hitam Dari Timur

Hulagu Khan Khabar Hitam Dari Timur

Buku ini menarik kerana menceritakan sejarah kejatuhan khilafah Abbasiyah yang sangat menjelikkan dek kerana penyakit “wahan”, cintakan dunia dan takutkan kematian yang dialami oleh khalifah-khalifahnya. Akhirnya, khilafah Abbasiyah yang mahsyur dek kegemilangan ilmunya runtuh di tangan tentera monggol yang buta huruf. Sungguh, kisah ini ibrah buat kita semua!

3. Rahsia Islam di China, Gemilang di Sebalik Tembok Besar China

Rahsia Islam di China

Rahsia Islam di China

Buku ini menceritakan tentang perjuangan masyarakat Islam China, bermula dengan kegemilangannya, sehinggalah ke saat ini, di mana mereka ditindas dengan sangat kejam. Pembunuhan berlaku di mana-mana, terutamanya wilayah yang majoriti penduduknya Islam seperti di Xinjiang, namun masyarakat di sana masih mempertahankan kemurnian aqidah mereka.

4. Travelog Haji Merentasi Sempadan Iman

Travelog Haji Mengubah Sempadan Iman

Travelog Haji Mengubah Sempadan Iman

Kisah dan pengalaman Prof Muhd Kamil Ibrahim mengerjakan haji yang diceritakan dengan penuh tawadduk. Banyak ibrah dapat dikutip daripada coretan penuh bermakna beliau.

5. Laskar Pelangi

Laskar Pelangi

Laskar Pelangi

Karya Andrea Hirata yang mencengkam kalbu. Membacanya ada kala gembira, teruja, tak kurang juga babak-babak sedih dan menyebabkan aku terkilan. Novel yang menyedarkanku betapa berharganya pendidikan yang kulalui, dan betapa masih ramai anak-anak genius di luar sana yang terpaksa menggadaikan pendidikan dan masa hadapan mereka demi menyara keluarga yang lebih memerlukan mereka.

Raya kali ini juga, aku berjaya download:

1. Doa Khatam Quran Ramadhan 1430H di Makkah dan Madinah

2. Takbir Raya di Masjidil Haram.

Sesiapa nak mendapatkannya, boleh pergi ke www.haramainrecordings.com

Raya kali ini juga, aku pergi menziarahi sepupuku, Nabiil Ahmadi yang terpaksa menyambut Eid di Hospital Serdang. Nabiil dimasukkan ke hospital pada malam 26 Ramadhan kerana mengadu sakit dada. Beliau disahkan mengalami pneumonia. Rupa-rupanya, sejak lahir, sebelah paru-parunya tidak tumbuh seiring dengan peningkatan usia. Selama ini, beliau hanya gunakan paru-parunya sebelah sahaja, iaitu bahagian yang sihat. Apabila bahagian yang sihat itu terkena jangkitan kuman, paru-paru tersebut tidak dapat bertahan.

Nabiil - Kat depan sekali pakai baju warna kuning-hitam-merah

Nabiil - Kat depan sekali pakai baju warna kuning-hitam-merah

Kasihan Nabiil, usianya baru 7 tahun, tapi dah diuji Allah sebegini berat sekali. Syafakallah, sepupuku.

Raya ke-4, kami juga pergi ke Melaka, menziarahi nenek saudaraku (adik ipar nenek) yang disahkan mengidap kanser usus. Beliau dimasukkan ke Hospital Melaka. Syafakillah.

Di Sebalik Ramadhan…

September 19, 2009 at 5:00 pm | In Citra Kehidupan, Imtihan, Renungan, Usrati | Leave a Comment
Tags: ,

Menghitung hari-hari Ramadan, aku punya cerita tersendiri. Tentu sahaja, tatkala Ramadhan menjelma, masing-masing meletakkan target peribadi, berkisar tentang amalan-amalan bagi menghidupkan bulan ini. Almaklumlah, Ramadan, menurut para sahabat, hanya ada tiga amalan utama, iaitu saum, qiam, dan quran.

Dalam merealisasikan target ini, banyak pengalaman baru telah kutempuhi. Alhamdulillah, kesemuanya telah berjaya meluaskan dimensi pemikiranku.

Ramadan-Tarawih dan Iktikaf

Aku belajar untuk bersikap terbuka dan berlapang dada dengan sesiapa sahaja. Misalnya, tatkala solat, aku kadang-kadang sedikit terganggu dan naik berang dengan telatah kakak yang entah dari negara mana entah yang solat sambil memegang Quran, dan dalam masa yang sama mengikut bacaan imam tersebut sambil melafazkannya kuat-kuat. Mula-mula, aku memang bengang juga lah dengan kakak tersebut, almaklumlah perbuatannya menganggu solatku. Namun, apabila difikir-fikirkan kembali, aku tak patut marah dengan kelakuan tersebut. Mungkin ada sebab musabab yang menyebabkannya berbuat demikian. Andai aku berlapang dada, pasti Allah lebih suka. Astaghfirullah…

Aku belajar bahawa teguran secara berhikmah mampu memberikan kesan positif. Sejak dahulu, apabila solat tarawih telah masuk fasa-fasanya yang payah, melibatkan juzu’ 17, 18, dan ke atas yang aku tak masyi’, aku gemar memegang al-Quran ketika solat. Namun, tahun ini, Allah telah memberiku hidayah melalui seorang kakak UIA ini yang telah menegurku dengan sungguh lembut dan berhikmah mengenai tabiat ku ini. Lalu, dia sama-sama mengajakku untuk cuba memahamkan maksud ayat-ayat yang dibaca tanpa merujuk pada al-Quran. Mula-mula, aku merasa ragu-ragu. Mampukah dengan penguasaan Bahasa Arab yang terbatas ini aku berbuat sedemikian? Namun setelah mencubanya, Alhamdulillah, Allah telah membantuku dan kelazatannya cukup nikmat. Aku menghargai teguran tersebut dan dalam diam-diam aku berazam untuk memperkasa Bahasa Arabku bukan sekadar untuk SPM tapi kerana ia merupakan bahasa al-Quran. Terima kasih kak Aishah atas teguran akak! Barakallahu fi ki.

Aku belajar untuk tidak terus-menerus menjadi hamba nafsuku terutamanya dalam hal-hal ibadah. Tatkala solat Isya’, Tarawih, hatta Tahajud dan Subuh yang pagi-pagi buta tu pun, nafsu menjerit-jerit mahukan kipas buat menyejukkan badan dan kononnya menenteramkan jiwa. Dalam hal ini, aku sememangnya tidak terkecuali. Kalau boleh, aku nak cop cepat-cepat kawasan solat yang kena kipas dan kemudian tak nak gerak-gerak dah. Kadang-kadang, apabila dah capai tahap kronik, aku tak nak gerak ke saf hadapan pun walaupun ketika itu saf tersebut kosong semata-mata demi kipas! Namun, apabila semua orang tak nak gerak dek disihir kipas, aku pun geraklah. Mula-mula, hati mengerutu menahan marah sebab terpaksa lepaskan kipas. Tapi, bila diingat-ingat balik, aku solat kerana Allah ke kerana kipas? Astaghfirullah…

Ramadan – Trial SPM

Aku belajar untuk bertanya hatta orang tersebut tidak kukenali dengan mendalam. Alhamdulillah, sikap tak maluku ini memberi manfaat buatku. Dalam hal ini, sekalung penghargaan sekali lagi buat kak Aishah. Asalnya, aku tak kenal pun akak ini, namun, memandangkan esok imtihan Bahasa Arab, dan ada satu soalan yang aku tak faham kenapa jawapannya macam tu, aku nekad menegur kakak yang memakai jaket yang menunjukkan kakak ini datang daripada Kelab Debat BA UIAM. Pada hematku, kakak ini mesti tahu Arab dan boleh menolongku yang terdesak ini. Alhamdulillah, soalanku terjawab. Begitu juga untuk PSI, bab Usul Fiqh tingkatan 5, kakak ini juga yang menolongku. Semoga Allah membalas jasa-jasamu dengan ganjaran-ganjaran yang selayaknya.

Berlalunya Ramadan, aku tak pasti, adakah kemerdekaan yang hakiki, iaitu bebas daripada penjajahan hawa nafsu dan syaitan itu mampu aku gapai atau tidak? Apakah jaminan untuk aku terus istiqamah dengan amalan-amalan yang berjaya dihidupkan sepanjang bulan ini? Adakah Ramadan akan datang menjadi milikku? Jawapannya kita nantikan selepas beberapa bulan Ramadan pergi meninggalkan kita. Kita sendiri menghakimi diri kita.

Sepanjang Ramadhan ini, aku bersyukur kerana masih ditemani oleh keluarga tercinta, buka, sahur, tarawih, iktikaf, semua dibuat secara bersama. Tahun depan, aku pasti akan merindui suasana sebegini andai Allah menetapkanku berkelana jauh dari keluarga kecintaanku. Aku juga bersyukur kerana diberi kesempatan, kemampuan, kesihatan, dan keinginan oleh Allah untuk menghidupkan bulan ini. Aku juga bersyukur kerana dipertemukan oleh Allah dengan insan-insan yang berusaha mengislahkan diriku sepanjang Ramadan ini seperti Kak Aishah dan lain-lain. Aku juga bersyukur kerana diberi Allah kekuatan untuk memahami ayat-ayatmu sedikit sebanyak. Terima kasih ya Allah atas segala nikmatmu. Masukkanlah aku ya Allah ke dalam hamba-hamba mu yang bersyukur dengan kurnian-kurnian mu.

Ramadan, kurang dua jam sahaja lagi engkau akan berlalu meninggalkan ku. Janganlah engkau tinggalkanku dalam keadaan aku kerugian Semoga aku bertemu denganmu tahun hadapan dengan keadaan yang lebih baik dari tahun ini. Amin ya Rabbal Alamin. Eid Mubarak. Taqabbalallahu Minna Wa Minkum!

SPM Lama Lagi Tak?

August 15, 2009 at 3:57 pm | In Ikhwanul Fifteen, Imtihan, Renungan | 1 Comment
Tags: , ,

Aku: Tahu tak SPM lagi 95 hari… Lama ke sekejap tu?
Azhari: Hemm… Tolak bulan puasa dan raya?
Aku: Tinggal 60 hari.
Azhari: Tolak tidur-makan-main?
Aku: Tinggal 30 hari.
Azhari: Tolak MALAS, BUANG MASA, dsb?
Aku: Tinggal 10 hari. Kejap tu….
Azhari: Tak lah, lama lagi…

Wah, sedar-sedar SPM dah makin menghampiri! Apakah perasaan anda? Tentu SERONOK kan!

Doa-doalah semoga kejayaan milik kita semua. Usahlah sia-siakan masa yang ada. Manfaatkanlah semanfaat-manfaatnya. Doalah andai masa yang kita lalui dan bakal hadapi itu diberkati oleh Ilahi. Semoga ruang yang diberi mencukupi untuk kita menyiapkan diri bagi menghadapi imtihan yang besar ini.

Di sebalik SPM, jangan juga kita lupa bahawa kita sebenarnya setiap hari melalui peperiksaan, yang mana noktahnya ialah pada saat kematian, dan natijahnya kita terima pada hari kebangkitan!

Ayuh kita lakukan yang sepatutnya!

Dewan Masyarakat 1989

August 1, 2009 at 11:40 pm | In Renungan | 3 Comments

Minggu lepas, waktu PUI Add Maths, aku dan Aqilah “memencilkan diri” di perpustakaan. Bukan lari dari PUI ye… Buktinya, kami telah meminta kebenaran, redha, serta restu Cikgu Hawa dahulu.

Mula-mulanya, kami berdua menghabiskan waktu rehat dalam perpustakaan. Tatkala aku sibuk meneliti satu persatu rak buku yang tersusun rapi itu, mataku terlihat akan sebuah buku yang penulisnya sememangnya menjadi buruanku. Berkali-kali kurenung buku tersebut. Buku tersebut merupakan sebuah biografi seorang tokoh politik terkenal tanah air yang dikarang oleh Fatini Yaakob. Aku sememangnya tercari-cari akan tulisan beliau terutamannya mengenai Natrah (Dewan Masyarakat, Feb-Apr 1989) dan Shamsiah Faqeh (Dewan Masyarakat 1991).

Buku tersebut membuatkan aku nekad mahu mencari makalah tulisannya yang disiarkan dalam Dewan Masyarakat. Malangnya, masa rehat sudah habis. Lalu, kami meminta izin pada cikgu untuk beruzlah dalam perpustakaan yang kecil ini. Cikgu tidak ada halangan memandangkan sepanjang PUI kami hanya perlu membuat latihan.

Cari punya cari, akhirnya aku terjumpa komplikasi Dewan Masyarakat tahun 1988 sehingga 2003 yang telah dibukukan. Dengan perasaan sangat gembira, aku cuba menyelak-nyelak majalah tersebut. Tiba-tiba, perasaan berdosa datang menerjah. Kami sepatutnya membuat latihan yang diamanahkan, bukannya merapu-rapu tak tentu pasal. Lalu, kertas SPM 2005 pun dilangsaikan.

Tamat masa sekolah, aku yang sememangnya pulang lewat setiap hari pun terus berusaha menggeledah Dewan Masyarakat tersebut. Malangnya, tiga buah majalah Dewan Masyarakat bulan Feb sehingga April 1989 yang kudamba itu tidak ada dalam komplikasi tersebut.

Sedid, sedih teramat. Aku mahu membaca makalah tersebut, demi mendapatkan keterangan lebih lanjut mengenai Natrah yang ditulis sendiri oleh insan yang ditakdirkan tuhan bertemu dengan Natrah semasa beliau di Amerika Syarikat, bertemu dengan Mansoor Adabi sebelum beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir, juga mengembara di serata dunia demi menyingkap kebenaran yang terselindung dalam kes yang sememangnya menghiris jiwa ini.

Oleh itu, sesiapa yang terbaca tulisan ini, andai kalian ada menyimpan majalah tersebut, atau mengetahui apa-apa mengenai tulisan tersebut di ruang maya ini, bolehlah kalian tinggalkan coretan di sini agar perkongsian ilmu dan pendapat dapat kita teruskan. Syukran.

TAMRIN dan HARI KOKURIKULUM

July 26, 2009 at 2:21 pm | In Citra Kehidupan, Sekolahku | 1 Comment

TAMRIN F2

Alhamdulillah, moga pasca tamrin ini, kita semua akan lebih memaknakan kehidupan kita – sebagai hamba yang taat dan dalam masa yang sama seorang khalifah yang berperanan memakmurkan bumi Allah ini. InsyaAllah, ghuraba’  di akhir zaman menjadi buruan kita bersama.

Buat adik-adik tingkatan 2, akak meminta maaf andai ada tersalah kata, terkasar bahasa, dan segala yang ter… ter… Tujuan kami cuma satu, mahu melihat adik-adik berjaya di dunia dan di akhirat. Hablum minallah, wa hamblum minannas. Manfaatkan ukhuwwah dan potensi yang kalian miliki. Biar kalian lebih maju daripada kami. Biar kalian lebih hebat dari kami memimpin bumi al-Amin dan bumi Allah ini.

Buat adik-adik usrahku, akak amat meminta maaf kerana jarang bersama kalian. Terlalu banyak aralnya…

HARI KOKURIKULUM SRIAAG

Alangkah terharunya apabila melihat adik-adik SRIAAG yang kukira masih kecil ini membicarakan mengenai al-Quds. Al-Quds semakin diancam. Kita di Malaysia bagaimana? Boikot, jihad…Ramai yang mengalirkan air mata. Sungguh sayu meyayat hati mengenangkan nasib saudara kita di sana. Sayu lagi apabila mengenangkan kanak-kanak sekecil ini melafazkan bicara mereka yang tulus mulus mengenai al-Quds. Kita yang dah besar gajah ini bagaimana?

Aku berharap, segala semangat dan ruh al-Quds yang disemai hari ini berkekalan agar ada antara kita membesar menjadi Umar al-Khattab. Membesar menjadi Salahuddin al-Ayyubi. Perjalanan kita masih jauh… Janganlah obor dan bara yang dinyalakan hari ini terpadam sekerat jalan. AMIN YA RABBAL ALAMIN…

Tangkak

June 14, 2009 at 4:55 pm | In Citra Kehidupan, Usrati | 1 Comment

Sekali-sekala balik ke Tangkak memang menyeronokkan. Semalam, kami ke Tangkak sebab ada wedding sepupu. Sebetulnya, kami tak pergi pun wedding yang sebenarnya. Yang kami pergi tu party bersama family malam sebelum berlangsungnya majlis perkahwinan.

Party depan rumah...

Party depan rumah...

Seperti biasa, kalau ke Tangkak, kamilah VIP secara tak rasmi. Sebabnya, kami tak makan makanan yang tetamu lain makan tatkala menghadiri party tersebut. Almaklumlah, susah nak dipastikan halalnya. Jadi makanan kami SPECIAL.

Pertemuan yang tak selalu ini menjadi medan untuk kami bertanya khabar dan bertukar-tukar kisah. Namun, ada satu masalah besar yang kami hadapi. Masalahnya, kami tak tahu dan tak faham berbahasa cina. Hal ini menyebabkan komunikasi terbatas. Tambah-tambah lagi ada yang tak tahu langsung cakap Melayu. Hal ini menyebabkan aku ada menanam cita-cita untuk menguasai bahasa ini.

Antara adik-beradik perempuan mak. Mak yang second bongsu daripada 17 adik-beradik seibu sebapa.

Antara adik-beradik perempuan mak. Mak yang second bongsu daripada 17 adik-beradik seibu sebapa.

Bersembang dengan Ah Huan, sepupuku. Seorang SPM 2009, seorang STPM 2009. Semoga dua-dua berjaya.

Bersembang dengan Ah Huan, sepupuku. Seorang SPM 2009, seorang STPM 2009. Semoga dua-dua berjaya.

Azhari dengan salah seorang sepupu yang kami tak tahu nama. Sama tak muka?

Azhari dengan salah seorang sepupu yang kami tak tahu nama. Sama tak muka?

Pulang ke Tangkak, aku selalu terfikir akan besarnya tanggungjawab aku dan Azhari untuk memastikan hubungan antara keluarga sebelah ibuku ini terus tererat apabila kami talah dewasa nanti.

8 Jun 2009

June 8, 2009 at 11:45 pm | In Usrati | Leave a Comment

Muhammad Hafizuddin Muhammad Asri

Muhammad Hafizuddin Muhammad Asri

Dialah yang selalu menjadi mangsa buli ku tatkala menjejakkan kaki di Kampung Sungai Soi. Insan yang teramat ceria, namun dalam ceria dan kadang-kala nakalnya, dia juga mempunyai hati yang amat lembut…

Malam semalam, tatkala selesai bacaan tahlil buat arwah atuk, ada majlis potong-potong kek bagi meraikan hari jadinya yang kesembilan. Semua orang teruja nak makan kek tu terutamanya Majedi. Sampai nangis-nangis dia nak makan kek punya pasal!

Eid Milaad Saeed, Muhammad Hafizuddin… Selamat melangkah ke alam 9 tahun…

Dialog semalam:

Kak Lina: Hafiz, apa perasaan dah makan kek ni? Besar dah ye…
Hafiz: Seronok sangat…
Kak Lina: Dah besar kena rajin-rajin. Solat tak boleh tinggal dah. Belajar lagilah kena rajin…
Hafiz: Kak Lina nih=)

SPM Hanya 10 Subjek?

June 3, 2009 at 1:02 pm | In Cetusan Pemikiran, Imtihan, Sekolahku | 8 Comments

Insan yang mula-mula mengkhabarkanku mengenai pengehadan subjek SPM mulai 2010 ini ialah Cg Rosmalena. Ketika itu, aku baru selesai mengambil peperiksaan Perdagangan di Bilik Guru. Aku terpana mendengar berita tersebut. Terkejut. 10 subjek? Sedikitnya… Alangkah majoriti anak-anak al-Amin pun mengambil sebanyak 11 subjek.

Perlukah SPM dihadkan hingga 10 subjek sahaja? Persoalan tersebut berlegar-legar dalam benakku sekian lama. Pulang ke rumah, aku mencari-cari di internet mengenai isu ini.

Rupa-rupanya, menurut Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pelajaran Malaysia, keputusan tersebut dibuat berdasarkan beberapa sebab. Antaranya, ialah kesukaran Kementerian Pelajaran memberikan biasiswa kepada yang layak. Hal ini kerana, SBP hanya membenarkan murid-muridnya mengambil 10 subjek sahaja. Oleh itu, pelajar-pelajar SBP ini semestinya tidak mampu untuk bersaing dengan murid-murid sekolah harian lain yang mana mereka dibenarkan mengambil sebanyak mana subjek yang disukai.

Pada pendapatku, alasan ini tidak adil untuk murid-murid sekolah harian. Umum mengetahui, di SBP, fasilitinya cukup lengkap. Reputasinya juga cukup hebat di persada kebangsaan. Maka, murid-murid sekolah harian ini perlu bersaing dengan murid-murid SBP ini hanya melalui keputusan akademik mereka. Dalam keadaan serba kekurangan, dengan ketiadaan reputasi sehebat SBP, mereka hanya boleh menunjukkan kekuatan mereka melalui kecemerlangan dengan deretan 1A dalam keputusan SPM mereka, barulah mereka menjadi pilihan penaja. Jika tidak, pastinya mereka akan tenggelam jika dibandingkan dengan lepasan SBP yang lain.

Fahamilah, lepasan MRSM umpamanya, sangat-sangat mudah untuk mendapatkan tajaan MARA. Lepasan SBP pula, dengan segala reputasi dan kegemilangan nama sekolah mereka yang dikenali umum di peringkat kebangsaan, akan mudah untuk mendapat tajaan. Lepasan sekolah harian, apa senjata yang mereka ada selain berusaha sedaya mungkin untuk meningkatkan keputusan SPM mereka?

Kemudian, timbul pula isu murid-murid terbeban untuk belajar sehingga tidak mempunyai masa untuk kegiatan kokurikulum dan sebagainya.

Walaupun majoriti kami mengambil 11 subjek ke atas, kami masih berkokurikulum dengan jayanya!

Walaupun majoriti kami mengambil 11 subjek ke atas, kami masih berkokurikulum dengan jayanya!

Bagiku, hal ini bukanlah salah jumlah subjek yang terlalu banyak diambilnya. Insan-insan sebegini ialah yang tak tahu mengurus kehidupan. “Tak tahu menari dikatakan lantai jongkang-jongket.” Lihat sahaja nama-nama pelajar cemerlang yang tersohor di Malaysia, contohnya, Nik Nur Madihah. Beliau bukanlah asyik belajar sampai tak ingat dunia, malahan, beliau merupakan naqib Persatuan Pengawas Sekolah bermula tahun 2007.  Berpersatuan, pertandingan menulis, banyak yang disertai beliau. Membantu keluarga bukan lagi sesuatu yang asing. Walaupun begitu, keputusan akademiknya tetap tak terjejas.

Pembaziran wang untuk ke tuisyen?

Tuisyen tu pilihan. Ada yang tak ambil lebih 10 pun pergi tuisyen juga. Ada yang ambil subjek tambahan tapi tak pun pergi tuisyen. Kesimpulannya, tuisyen itu pilihan sendiri!

Akhirul kalam, pendapatku lagi sekali, murid yang ambil banyak-banyak dalam SPM ini bukannya mahu bertanding kepandaian. Namun, ada benda lagi besar daripada itu. Bagiku, aku mahu menjadi generasi daie yang serba tahu. Bukan sahaja sains dikuasai, bidang perniagaan, syariah, semuanya dapat dihubung jalinkan dengan baik. Kita mahu usia belasan tahun ini dipenuhi dengan pelbagai jenis asas-asas ilmu, supaya tatkala besar-besar nanti, akan lahir dalam kalangan kita klon-klon al-Farabi, Ibn Sina, al-Khawarizmi, Ibn Khaldun, Ibn Nafis, dan sebagainya yang bukan sahaja mahir dalam aspek sains sahaja, namun mahir dalam kesemua bidang kehidupan.

Murid-murid yang mengambil banyak subjek ini, jauh sekali mereka dipaksa untuk berbuat sedemikian. Namun, atas dasar cinta akan ilmu, maka tindakan tersebut diambil…

Pandangan semua dialu-alukan…

Atuk Dalam Kenangan…

June 1, 2009 at 2:10 pm | In Renungan, Usrati | 2 Comments

Menganali Atuk sememangnya indah. Berdamping dengan Atuk lagilah indah.

Itulah yang tergambar di cepu kepalaku apabila nama Atuk disebut. Atuk, insan yang sempoi, santai, dan jarang sekali mengekspresikan kemarahannya. Bicaranya tidak ada yang menyakitkan hati insan lain kerana Atuk jarang berbicara kecuali apabila adanya keperluan.  Hari-hari tuanya banyak dihabiskan dengan zikrillah, membaca al-Quran, buku-buku agama, mendengar “Bicara Mufti” di televisyen saban pagi, menjadi imam di Masjid Kg Sg Soi, tolong sembelih kambing dan lembu di sana sini, menghadiri kenduri, dan tak lupa berkebun di belakang rumah.

Atuk 1

Di KLIA (atas). Dalam kapal terbang (bawah) ketika pergi menunaikan umrah akhir Januari yang lalu

Di KLIA (atas). Dalam kapal terbang (bawah) ketika pergi menunaikan umrah akhir Januari yang lalu

Gambar terakhir bersama Atuk ketika kami pulang ke kampung. Atuk kelihatan ceria. Ya, aku rindukan suasana seperti ini.

Gambar terakhir bersama Atuk ketika kami pulang ke kampung. Atuk kelihatan ceria. Ya, aku rindukan suasana seperti ini.

Teringat kenangan ketika aku sedang menolak Atuk di atas kerusi rodanya keluar daripada Masjidil Haram menuju ke arah Hotel Hijaz yang ditumpangi kami.

Biasanya, Azhari atau Abah yang menolak Atuk tiap kali waktu solat kerana mereka sebilik. Satu hari, selesai Solat Zohor, aku terserempak dengan Atuk dan Azhari di hadapan Bab Malik Abdul Aziz.

Aku: Azhari, Kak Lina lak nak tolak Atuk. Asyik awak je…
Azhari: Ha, tolaklah…

Kerusi roda bertukar tangan. Ketika mahu turun dari Bab Malik Abd Aziz tersebut, aku tak perasan lantainya tak rata. Almaklumluh, aku tak biasa menolak.

Tetiba je, tak sempat Atuk nak bagi warning, aku terus tolak Atuk kat lantai yang tak rata tu. Apa lagi, Atuk pun terjatuhlah… Terjelopok jatuh tas lantai marmar nan putih tu… Orang kiri kanan tengok aku semacam je. Semua orang tengok aku macam aku salah. Hakikatnya memang pun kan?

TINGGAL KENANGAN

Namun, semua iu hanya tinggal kenangan… Atuk pergi dijemput Ilahi tanggal 31 Mei 2009 yang lalu jam 8:30 pagi. Pemergiannya tak kami duga, dalam keadaan tak sakit apa-apa, dalam keadaan sungguh tenang.

Alfatihah

Next Page »

Blog at WordPress.com. | Theme: Pool by Borja Fernandez.
Entries and comments feeds.